Wednesday, February 9, 2011

Rasa Ini [Fragmen 1]



Tepat jam 1.05 tengahari, Yumna keluar dari pejabatnya dengan secepat yang mungkin. Yumna sedar dia telah berjanji dengan ayahnya, pak cik Abdullah untuk menghantar bekalan makanan tengahari. Janji itu harus dipenuhi. Yumna teringat akan kata-katanya kepada pak cik Abdullah pada pagi yang hening-hening bahasa. Bersungguh-sungguh Yumna berjanji, yang dia akan ke sekolah untuk menghantar makanan tengahari. Idea itu datang apabila pagi semalam, Yumna telah pergi ke suatu kedai makanan bersama rakan-rakan taulan untuk menikmati makan pagi. Apabila melihat menu di kedai tersebut, ternyata ianya memenuhi beberapa peratus selera pak cik Abdullah. Yumna mula berkira-kira tentang rancangannya.

Namun, tidak semua perancangan itu menjadi kenyataan. Yumna agak ralat kerana tidak dapat ke kedai semalam. Perancangan yang tergambar diminda terbang umpama kapas ditiup angin. Tetapi itu bukan alasan untuk berasa kecewa. Segugus kunci dan dompet duit yang dipegangnya terus dihayun bersama langkah menuju ke kereta. Cuaca pada hari itu agak terik memancar.'Sedang elok untuk menjemur pakaian' getus hati kecilnya. Apabila kereta dihidupkan, pedal minyak ditekan secepat mungkin untuk menuju ke destinasi yang tergambar dimindanya.

Sampai sahaja di kedai, Yumna mempercepatkan langkahnya untuk membeli makanan tengahari. Menu yang disediakan memang membuatkan mata naik rambang. Namun hati Yumna lebih memahami dan mengetahui apa yang terbaik untuk pak cik Abdullah. Kedai itu agak asing bagi Yumna kerana dia jarang sekali mengalas perut di situ.

Kehadiran pembeli yang agak ramai, sedikit sebanyak membuatkan Yumna terpaksa menunggu kira-kira 10 minit untuk siap kesemua urusannya. Usai membeli, kereta dipandu menuju ke destinasi seterusnya. Sekolah! Cuaca yang agak terik, membuatkan Yumna menukar suhu penghawa dingin kereta, 1 kepada 2. Terasa pemanduan sedikit selesa.

Sampai ke sekolah, Yumna terus mematikan enjin dan memakirkan keretanya di tepi jalan. Cepat-cepat langkah dihayun menuju pintu sekolah sambil menjinjit makanan tengahari yang dibelinya sebentar tadi.

'Mana nak cari nih?' tanya Yumna kepada diri sendiri. Kelibat pak cik Abdullah langsung tidak kelihatan. Mana mungkin dia akan menemui pak cik Abdullah dengan keadaan pelajar-pelajar sekolah yang melebihi jumlah 100 orang pada ketika itu. Masing-masing kelihatan gembira menandakan sesi sekolah pada hari itu telah selesai. Bilangan pelajar yang ramai itu disebabkan sekolah mula memperkenalkan sistem satu sesi selepas berpuluh-puluh tahun berlalu. 'Oh, patutla budak-budak ramai' monolog Yumna sendiri selepas mengingati yang pak cik Abdullah ada memberitahunya tentang perkara tersebut.

Masa semakin berlalu, ketika itu masa adalah umpama wang. Sedikit pun tidak boleh dibazirkan. Yumna terus ke pondok pengawal. Di situ, Yumna mula bertanya kepada pak cik pengawal tentang pak cik Abdullah. Wajah pak cik pengawal yang sememangnya asing dipandangan Yumna di perhati. Kata-kata pak cik pengawal di amati. 'Yang mana satu ye? Yang naik motor ke?' tanya pak cik pengawal. 'Bukan, ayah saya naik basikal' balas Yumna. 'Urmmmmm.'Helaan yang panjang serta mimik muka pak cik pengawal sedikit sebanyak mengecewakan Yumna. 'Tak kenal ke? Mana la nak cari?' dengus Yumna di dalam hati. 'Ooo, yang naik basikal le run ke?' tutur pak cik pengawal selepas puas memikirkan gerangan yang dicari Yumna. 'Yeee',jawab Yumna dengan cepat. Terserlah kegembiraan di wajah Yumna. 'Urmm, biasanya kalau waktu-waktu macam ni dia akan keluar. Jalan kaki je' sambung pak cik pengawal lagi. 'Jalan kaki?' bisik hati Yumna lagi.

Dulu, ketika mak cik Fatimah masih ada, pak cik Abdullah akan ke masjid sambil memboncengkan mak cik Fatimah. Umpama Uda dan Dara keluar dating. Mereka sama-sama memenuhi masa yang terluang untuk mencari ilmu akhirat. Masih terbayang-bayang dibenak Yumna, ketika itu dia mengintai sambil ketawa dari cermin nako rumahnya. Di atas jalan kampong, kelihatan wajah mak cik Fatimah yang turut ketawa apabila melihat pak cik Abdullah tidak berjaya menghidupkan enjin motorsikal. Terkial-kial pak cik Abdullah menunjal-nunjal kakinya pada penghidup tendang. Tatkala Yumna dan mak cik Fatimah ketawa, wajah pak cik Abdullah kelihatan serius umpama seorang Menteri memikirkan masalah rakyat. Motorsikal Honda Cup yang dibeli oleh anaknya telah berusia hampir 11 tahun, maka tidak hairanlah ianya sukar dihidupkan. Namun segalanya berubah, semenjak motosikal yang menjadi kegunaan pak cik Abdullah sekeluarga hilang dan mak cik Fatimah menemui Ilahi. Pak cik Abdullah lebih selesa mengayuh basikal kesayangannya dengan kudrat yang ada. Di panas mentari, di kala hujan membasahi bumi, pak cik Abdullah tetap setia dengan basikalnya. Terlalu banyak kenangan disebalik sebuah basikal.

Selepas meninggalkan pak cik pengawal, Yumna terus menuju jalan utama. Saat kakinya terhenti untuk melintas, pandangan mata Yumna agak kelabu dek air jernih yang menanti masa untuk digugurkan melepasi tubir matanya. Namun sedaya upaya di tahan sementelah Yumna sedar banyak mata-mata pelajar ada disitu. Yumna segera memasuki kereta dan menuju tempat yang dirasakan 'mesti kat situ'. Kereta dipandu lagi mengikut gerak hatinya........................




2 comments:

  1. ni chapter 1 novel ke??
    panjang nye...
    mane kedai makn tu? nak pegi..
    sedap tak???

    ReplyDelete
  2. wahh saspennyaaa sepatlah sambung huhu...

    ReplyDelete

Terima kasih atas pandangan.