Saturday, August 11, 2012

Renungan

22 Ramadan 1433H | Sabtu

Alhamdulillah sudah masuk ke fasa terakhir di dalam bulan yang penuh barakah ini. Dan masih berkesempatan untuk sama-sama merasai nikmat-nikmat yang diberikanNya. Alhamdulillah.

Di dalam kaca tv, ada menyatakan. Ramadan semakin berlalu semakin meninggalkan kita. Apakah bekas yang ada di dalam diri kita setakat ini?? Saya sendiri tiada jawapan. Banyak ganjaran yang dihampar Allah kepada kita, tetapi banyak yang tidak disambut oleh kita saya. Urmmmm, apa yang boleh saya tulis dan katakan lagi??

Hampir berhari-hari tidak mengemaskini MPS. Banyak yang ingin dikongsi, perihal kad rayanya :) perihal kain langsirnya. Ah terasa banyak ingin ditaip untuk dikenangankan di sini.

Rasanya di pagi ini, saya hanya ingin menaip mengenai apa sahaja. Tentunya tentang Ramadan.

Tadi, Alhamdulillah di masjid ada membuat sujud sajadah semasa kami semua bertarawih tadi. Apa itu? Saya sendiri jarang melakukannya. Mula la terasa segan, malu kerana sedar ilmu yang dikendong sangatlah sedikit, tipis, jarang tidak berat ilmu di dada. Elok rasanya saya kongsi di sini untuk ingatan sendiri dan semoga bermanfaat untuk yang membacanya. InsyaAllah. Sujud sajadah dibuat pada rakaat pertama. Lepas tu kita terus bangun dari sujud. Sambung solat seperti biasa. Jumlah kesemuanya adalah 3 rakaat [mengikut perkiraan semasa bertarawih tadi]. *update: sujud sajadah bukan hanya dilakukan di rakaat pertama, biasanya imam akan maklum pada rakaat mana yang akan dibuat sujud tersebut

Kalau tak silap rasanya, tahun lepas ada sujud tilawah. Rupanya apabila disemak di dalam buku dan juga mengoogle di internet, sujud sajadah juga dipanggil sujud tilawah or vice versa. Oo barulah faham.

Nak menulis panjang-panjang, saya tak pandai. Jadi, saya sertakan link bagi kefahaman yang lebih jelas Sujud Sajadah/Tilawah

Saya perhalusi diri, rasanya Ramadan di tahun ini agak berbeza. Mungkin kerana semakin kita hidup, semakin kita lebih mengerti hidup. Rindu meluap-limpah di hati dengan arwah mak. Rindu untuk bertarawih bersama-sama. Rindu untuk berada di dalam kereta menuju ke mana-mana secara bertiga-tiga. Diluah tidak akan sama dengan rasa.

Kehidupan akan lebih dihargai apabila kita menghadapi sesuatu.

Allah sayangkan saya. Sayang sangat-sangat dan sangat. Kenapa?

27 Syaaban 1430H atau 18.8.2009 : Kami bertiga terlibat di dalam kemalangan. Allah punya kuasa, di ambilnya nyawa mak dan dipanjangkan umur, di beri peluang kepada saya [driver pada kejadian tersebut] dan ayah  untuk terus hidup di muka buminya. Kami tidak mengalami kecederaan dan hanyalah lebam-lebam sahaja. Subhanallah. Sentiasa tersemat di hati, di beri PELUANG KEDUA untuk hidup bagi membaiki diri, sentiasa membaiki diri. Betapa sayangnya Allah kepada kita. Untuk diberi peringatan bahawa ajal itu tiada siapa yang mengetahuinya kecuali DIA. Peluang kedua inilah mengajar saya apa itu nikmat, apa itu menanam, apa itu menjadi. Saya tidak begitu bimbangkan arwah mak kerana perginya ketika dia sentiasa menuntut ilmu. Setiap minggu, dia akan hadir kelas mengaji, kelas agama. Kata-kata nasihat sentiasa meluncur dibibirnya kepada kami anak-anaknya. Memang kadang kala kita bosan mendengarnya. Namun kata-kata itulah yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga ketika dia sudah jauh di sana. Dan saya belajar sesuatu daripada semua ini. Semoga dengan rahmat serta kasih sayang daripada Allah sentiasa mengiringi arwah di alam barzakh dan di akhirat sana. Amin amin amin. Semoga kami semua bertemu di jannah kelak. Amin & InsyaAllah semoga cita-cita ini akan termakbul.

Dulu, di awal kejadian tangisan airmata menjadi peneman diri, dan tiada siapa menduga [termasuk saya], rupanya itu adalah titik-titik semangat untuk diri ini bagi meneruskan kelangsungan hidup. Allah itu adil, diambilNya seseorang yang saya/kami sayang. Dan digantikan dengan satu perasaan yang sungguh sukar untuk diluahkan.

Saya sentiasa yakin, Allah tidak akan menguji seseorang itu di luar kemampuannya. Setiap ujian sentiasa ada hikmah, pengajaran yang boleh kita pelajari. Pelajari untuk kita membaiki diri.

Alang-alang bercerita, malam fasa kedua Ramadan baru-baru ni, ayah, abang 2 dan saya ke surau kampung bersebelahan. Selepas selesai bertarawih, bersalam-salaman. Lepas tu ada mak cik ni tanya 'duduk mana?' Saya hanya menjawab 'duduk ****'. Dua ayat sahaja. Terus makcik tu cakap 'oooo, anak arwah ke?'. 'a'aaa'. Ya Allah, beberapa malam selepas itu, masih ada lagi pertanyaan daripada makcik di situ. 'Anak sape?'. Dan yang buatkan saya terharu. Mereka masih ingat akan arwah mak. Macam tiga tahun yang telah berlalu tu, seolah-olah baru 3 bulan lepas berlalu. 

Di sini, apa yang saya nampak. Pentingnya ukhwah yang baik sesama masyarakat setempat. Sesama jiran, sesama kita. Saya ingin menjadi seperti arwah mak = che yang biasa tetapi sangat luar biasa. Ya kerana mak dulu hanyalah seorang surirumah & ibu kepada 10 orang anak. Namun, ilmu sentiasa di cari sehingga akhir hayatnya. Saya memuji kepada sesiapa yang layak dipuji dan kesempurnaan itu hanya milik Allah.

Semoga saya tidak akan terus lalai. Semoga kita masih tidak terlambat untuk mengambil dan menggunakan peluang di hari-hari terakhir Ramadan ini. InsyaAllah.


1 comment:

  1. Tak terkata-kata sebenarnya membaca kisah ini. Tapi Bila Dia mengambil sesuatu dari Kita.. mungkin saja dia akan memberikan yang Lain lagi di lain waktu.

    setelah bertahun-tahun barulah kita dapat melihat pemberianNya itu kan..?

    indah bahasa n3 ini..

    ReplyDelete

Terima kasih atas pandangan.