Friday, November 9, 2012

Kehidupan Itu Rahsia Allah

Sebetulnya tadi, perihal kucing yang hendak saya karangkan. Namun, apabila menatap gambar ayah kepada seorang kawan lama. Saya terus tukar fikiran. Rasanya, eloklah saya kiv dulu cerita tentang kucing tu. Dan rasanya, eloklah saya berkongsi sesuatu yang bermanfaat  yang mana boleh kita fikirkan bersama. Sekurangnya, kita patut bersyukur dengan apa yang kita ada. Bukan merintih tidak tahu tujuan. Ok, sebelum anda tertanya-tanya apa motif dan hala tuju penulisan ini, saya teruskan penceritaan.

Kehidupan Itu Rahsia Allah

Di saat kita lahir ke dunia, kita sendiri tidak tahu apa yang kita perlu lalui. Yang kita tahu ialah menangis di saat keluar dari perut ibu setelah sekian lama 'berkurung' di dalam sana.Masa semakin beredar, usia semakin meningkat, kehidupan semakin berubah. 

Bagaimana harus saya mulakan ceritera ini eh? Urmm. Dulu, dulu semasa saya bersekolah rendah. Terdapat satu keluarga yang sangat pandai. Abang dia pandai dan adik dia pun pandai. Masa tu, saya masih berusia dalam 8 tahun. Tapi saya tahu budak perempuan sekelas ini, adalah budak pandai. Agak cemburu dengan dia. Namun ianya sekadar berkisar begitu sahaja. Berlegar-legar macam tu aja. Maklumlah, budak-budak. Tapi saya masih ingat, ketika kami melepasi UPSR. Beliau meninggalkan alam sekolah rendah dan bersekolah di sekolah menengah yang entah di mana. Yang pasti sekolah berasrama penuh untuk budak-budak pandai [biasanya macam tu la kan].

Masing-masing meneruskan kehidupan masing-masing dengan haluan sendiri.

Selepas berbelas-puluh tahun berlalu. Kami dipertemukan lagi di dalam muka buku. Urmm betapa 'bernilainya' muka buku ni kerana berjaya menemukan kami semula. Padahal muka buku ini hanyalah asbab kepada pertemuan, sedangkan semuanya adalah di bawah perencaan bijak Yang Maha Esa.

Kami mula menjadi kawan semula. Namun biasalah, selepas sekian lama tak bertemu. Mana mungkin nak mesra apa ke semua. Sementelah semasa di sekolah rendah dahulu, kami tidak pernah rapat. Cuma kenal di atas dasar satu kelas. Yang biasa saya lakukan hanyalah setakat chat sekali-sekala, errr itu pun dah lama sangat dah. Jadi tukang LIKE gambar dia yang saya rasakan bernilai atau cantik, atau yang saya rasa saya nak tekan butang LIKE. 

Nak dijadikan cerita, apabila pulang dari tempat kerja. Biasanya saya akan melalui sekolah lama saya. Pada satu petang, saya ternampak kelibat seorang lelaki tua menaiki motorsikal. Lelaki tua?? Ya, kerana pada pandangan saya, usianya hampir sebaya dengan ayah saya. Dengan wajah sebegitu, memang usianya sudah berada di dalam warga emas. Ok, saya sambung. Motorsikal dihentikan dan di ambilnya seorang perempuan. Saya perhatikan perempuan tersebut secara sekali lalu sahaja. Walaupun perhatian saya hanya sekali lalu kepada perempuan yang di ambil oleh lelaki tua tadi, wajah perempuan itu masih saya kenali.

Rupanya, kawan perempuan saya ini berkerja di sini. Di sekolah lama saya. Namun ada sesuatu yang membuatkan saya terfikir dan berfikir dengan lebih jauh. Boleh dikatakan, cuba membuat analogi sendiri. 

Jikalau ditanya, adakah saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang? Jawapan saya ialah bahagia itu senantiasa ada. Cuma kadang-kadang Allah sorokkan seketika bahagia dan dikembalikan semula kepada hambaNya ini. Berasa bersyukur-dan-sangat bersyukur dengan kehidupan yang sedang saya lalui. Bukan bermaksud sebelum ini saya tidak bersyukur. Bukan begitu. Tetapi di tika ini, saya lebih menghargai dan mensyukuri nikmat yang pelbagai dan melimpah ruah yang Allah pinjamkan.

Disaat saya memegang stereng kereta, dia pula memegang bahu ayahnya untuk menaiki motor. Pabila memikirkan ini, sudah cukup membuatkan saya errr sebak sendiri. Semua gambaran semasa di sekolah rendah terbayang-bayang di kepala.

Hari-hari berlalu, jikalau terserempak dengan mereka. Saya akan perhatikan mereka dari dalam kereta. Nak sangat memanggilnya. Namun keadaan sangat tidak mengizinkan saya membuat begitu. Kadang-kadang dibawa sekali anak-anaknya seramai 2 orang. Anak dua tetapi balik kerja ayah dia yang ambil?? Tak perlu dihairankan kerana itulah perjalanan satu kehidupan. Kerana kawan saya ini ialah ibu tunggal. Bukan mudah dan ringan gelaran tu baginya. Gelaran yang sangat berat. Diuji dengan ujian. Ya Allah, tapi saya tahu dan yakin. Allah tidak akan menguji seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia insan yang terpilih untuk Allah lipat gandakan pahala dalam kehidupannya.

Saya mengambil iktibar kisah kawan saya ini. Di dalam usia ayahnya yang sudah dimamah usia, ayahnya masih lagi gigih datang mengambilnya di tempat kerja. Ayah saya pula?? Tidak perlu pergi mengambil anak-anak di mana-mana. Hanya sekadar mengikut anak-anak berjalan, atau dibawa oleh anak-anak ke mana-mana, atau paling cikai, ayah saya keluar sendiri dengan motor honda lampu bulat dia tu. Saya bukan berasal daripada keluarga yang senang. Boleh goyang kaki mintak duit belanja sampai tak ingat dunia. Bukan. Saya hanya datang dari keluarga yang biasa-biasa aja. Kesusahan yang pernah dirasai tidak meninggalkan kudis buat kami malah menjadi kenangan yang mana tidak semua orang merasainya. Kesusahan itu mempunyai seribu satu hikmah yang terselindung. Saya perhatikan, kehidupan saya dan kawan saya hampir sama iaitu bukan datang dari keluarga yang sonang :)

Bukan jodoh, maut, rezeki sahaja di bawah rahsia Allah. Malah kehidupan itu juga adalah rahsia Allah. Kita sendiri tidak tahu apa yang akan kita lalui di hari yang mendatang. Sungguh kita tidak tahu, yang kita mampu lakukan hanyalah merancang. Namun segala-galanya terpulang kepada yang hak. DIA lebih mengetahui. Betapa banyaknya nikmat yang Allah pinjamkan. Sedangkan kita selalu alpa dalam hidup ini.

Kehidpan kita pada hari ini, belum tentu dapat menentukan kehidupan kita di hari esok.

Semoga Allah berkati kehidupan kawan saya dan kehidupan kita semua. Amin

Sentiasalah bersyukur :)