Sunday, December 30, 2012

Erti Kehilangan

Dua minggu yang lalu, saya menerima mesej melalui WhatsApp. Terkejut juga sebab kawan saya seorang ni, tak pernah menghantar mesej melalui WhatsApp kecuali melalui sms biasa tu. Eh, macam tahu-tahu aja saya ada WhatsApp. Sedangkan saya memang tak add contact sebarangan kecuali orang-orang tertentu sahaja. Bila baca mesej yang diberikan, agak terkejut juga kerana beliau memberitahu kawan baik saya yang seorang lagi baru aje kehilangan ayahnya. Terkejut kerana saya baru aje melihat gambar-gambar ayahnya di Instagram. Ya, saya tahu ayahnya berada di hospital menjalani pembedahan. Tapi tak tahu details sangat sebab instag tak berapa best nak gebang lebih-lebih. Taip sikit-sikit ok lah, kalau banyak-banyak, urmm tak bestlah. 

Kawan saya dah pergi menziarahi kawan saya disebelah pagi. Oleh kerana saya berkerja, jadi selepas pulang dari kerja barulah ada kesempatan untuk menziarahinya.

SEDIH. Memang kita semua akan sedih apabila berdepan dengan kematian. Lebih-lebih lagi, sekiranya insan yang meninggalkan kita itu, orang yang TERSANGAT - TERAMAT rapat dengan kita, dengan hati kita.

Memang sedih, memang perit untuk terima satu hakikat bahawa kita sekarang sudah di dua dunia yang berbeza. Dia di alam barzakh sana, dan kita masih di alam realiti. Kita masih diberi peluang dan pinjaman untuk berada di alam realiti. Alam kehidupan yang perlu kita lalui.

Untuk nota, kawan-kawan saya berdua ini adalah kawan sejak dari sekolah rendah lagi. Semasa sekolah menengah kami kenal dan agak la rapat-rapat juga. Selepas semuanya menyambung pelajaran, kami berkumpul semula melalui reunion dan kami semua bertambah rapat. Boleh dikatakan hampir sekelas, kami rapat. Semua kawan-kawan yang ada, kami berhubung. Ada la dua tiga kerat yang jarang kami berhubung tapi still ok kalau berjumpa. Berhari raya beriang ria. Kami biasa berhubung melalui fb/instag/whatsapp/sms. Itulah kegunaan teknologi. Tq encek teknologi.

Urmmm, sebenarnya saya terasa agak kaku untuk menaip pada pagi ini. Terasa tiada rasa. Tapi saya sambung ajelah ye.

Bercakap mengenai kematian. Urmmm, setakat yang saya duk sembang dengan mereka berdua ni, banyak benda sebenarnya kami berkongsi rasa mengenai kehilangan ini.

Mengimbau kenangan
Seingat saya, kawan saya yang pertama yang kehilangan ibunya adalah semasa kami berada di dalam tingkatan dua. Dia sedih, tapi kami masih tak dapat merasai kesedihan itu. Apalah sangat budak-budak tingakatan 2 nak berfikir pada masa itu. Saya sendiri hanya memahami apabila tiada ibu, akan jadi susah. Sebab tiada orang yang nak masak. Adik-adik tiada orang yang nak jaga. Kawan saya sedih mak dia dah takde. Itu aje. Lebih-lebih dari tu, memang tak ada lah.

Selepas itu, pada masa kami tingkatan 3. Kawan kami yang lain pula kehilangan ayahnya. Dia sedih. Itu aje anggapan kami. Kesian dia.

Masa berlalu. Kami sudah menghabiskan zaman persekolahan menengah. Kami juga menghabiskan pelajaran masing-masing di mana-mana jua.

Mula mengerti
Pada 2009, saya kemalangan dan kehilangan emak. Terasa jatuh terhempas. Berkecai. Rupanya Allah telah tulis di perjalanan hidup saya, saya akan kehilangan emak saya pada 2009. Kehilangan itu memberi kesan yang sangat mendalam pada diri saya. Belek lah helaian 2009, banyak cerita kat sana. Kesan kehilangan itu memang meruntuhkan semangat saya. Sedih memang teramat sedih. Menangis hingga terkeluar urat. HAHAHA. Eh, kenapa rasa nak gelak ni. Betul la, itu la perumpamaan yang sesuai. Tapi tiada siapa menduga, rupanya Allah itu Maha Adil. Maha Besar, dia ambil nyawa emak saya. Semangat saya Alhamdulillah pulih seperti biasa. Alhamdulillah, rupanya Allah mempunyai perancangan lain yang lebih hebat. Selepas kejadian dan kehilangan itu, saya seperti saya yang dulu. Namun pandangan saya pada kehidupan menjadi agak berbeza dengan sebelum ini. Untuk dikata-katakan di ruangan tulisan ini, agak susah lah. Namun, ianya terasa di hati. Sangat terasa. Salah satunya, pandangan saya berubah kepada membuatkan kita lebih rasa bersyukur dengan apa yang kita dipinjamkan. Tujuan kita hidup adalah semata-mata kerana Allah menuju akhirat. Jannah. Ya, semua orang boleh gebang bagai nak rak. Hidup ini begitu begini. Namun percayalah, ianya masih tidak sama dengan apa yang kita rasa. Dengan apa yang kita lalui. Kerana bahagian hidup kita tidak sama walau kita satu keluarga.

Pada tahun 2011 [kalau tak silap], kawan saya yang seorang lagi turut kehilangan ayahnya yang disayanginya kerana sakit, masuk hospital lebih kurang macam tu la. Saya sempat menziarahi beliau dirumahnya. 

Pada tahun 2011 juga kot, kawan saya yang hantar mesej melalui WhatsApp tu lah, juga kehilangan ayahnya. Sakit juga, masuk hospital juga. Dan ini pun, sempat saya pergi ke rumahnya.

Dan yang terbaru, kawan saya yang saya tulis tadi tulah. Dua minggu lepas, dia pun kehilangan ayah dia. Sakit, masuk hospital, bedah. Alhamdulillah, sempat juga saya ziarah beliau kat rumah. 

Untuk ketiga-tiga kawan saya ini, saya memberi nasihat berdasarkan pengalaman yang seciput yang saya ada. Orang yang pernah kehilangan akan lebih merasai apa itu kehilangan. Kami berkongsi erti kehilangan itu bersama-sama. 

Bagi saya, berbuih mana pun semangat dan kata-kata nasihat yang kita berikan kepada mereka, percayalah. Hanya masa yang dapat menyembuhkan hati-hati mereka.

Bagi saya, mereka sebenarnya masih bertuah kerana memiliki seorang ibu. 

Kita memang mudah mengatakan, 'sabar eh'. Tetapi rasa itu, hanya mereka yang menanggung. Bertemankan air mata. Terasa kosong, terasa begitu begini, sangat menyesakkan dada. Namun, saya yakin. Allah itu sangat bijak rencananya. InsyaAllah, semuanya akan ok. Sedih, memang kita sedih. Harus diingat, bersandarlah kita kepada Allah. Kerana Dia yang menciptakan kita. Dia yang lebih mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi. Yakin lah padaNya. Semuanya akan ok.

Kita akan menjalani kehidupan seperti biasa. Sedih + kenangan bermacam-macam hal akan tetap bersama-sama kita. Namun perlu diingat. Kita yang perlu mengawal emosi perasaan kita. Jangan biarkan diri kita terus hanyut beremosi sehingga merosakkan diri. Berpada-padalah. Kerana, satu hari nanti. Kita juga akan dijemput pulang olehNya. Dunia ini hanyalah pinjaman, hanyalah hentian sementara untuk kita mencari bekal untuk kita bawa pulang dan 'dipersembahkan' kepadaNya. Ya, hanya amal soleh yang akan kita bawa ke sana nanti.

Kehilangan itu adalah normal. Ianya adalah lumrah. Tangisi kehilangan dengan bijak. Sedih? Bersedihlah anda. Tapi harus bersedih dengan bijak. Macam susah je kan. Memang mulanya agak susah. Orang cakap senang lah, yang menanggung terasa bagai nak 'mati'. Yakinlah, anda akan pandai menguruskan emosi anda dengan hati kita disandarkan kepadaNya. 

Apa yang kita lalui, hadapi. Susah senang, kematian atau apa-apa ajelah, selalulah ingat. Kita milikNya. Jadi itulah yang harus kita lalui. Semoga kita semua membuat yang terbaik untuk hidup kita.