Sunday, January 6, 2013

Indahnya Perjalanan Ini

Januari 2012: Alhamdulillah, berpeluang lagi untuk menjejakkan kaki ke tanah Bandung, Indonesia. Nak kata jemu, memang jemu la juga untuk seketika. Lebih-lebih lagi ini adalah kali ketiga aku jejakkan kaki ke sini. Kali ni, aku ke sini lagi tapi bezanya aku disamping kawan-kawan. Pada Januari ini, aku masih Aida yang seperti biasa yang dikenali oleh teman-teman. Tiada apa yang berubah. Gaya masih sama, perangai masih sama. Ketawa masih sama, riang sedih pun Alhamdulillah masih sama. Err, kadangkala berubah mengikut musim. HEHEHE. Masih banyak nikmat yang Allah beri pinjamkan kepadaku. Syukur sangat-sangat. 

Mac 2012 : Pada hari Sabtu, aku bersiap-siap untuk ke rumah kawan baik aku. Tujuan dan niat dihati ingin ziarah menziarah dan melihat anak yang baru dilahirkannya. Entah kenapa, ketika aku memakai tudung, terlintas sesuatu difikiran. Pasal apa, aku kurang pasti. Sebetulnya aku tak ingat. Yang pasti, aku mengingati perkara ini iaitu, terlintas satu pernyataan 'elok juga kalau pakai macam ni. labuhkan tudung'. Terasa kelainan menyelinap di hati. Ah payah sebenarnya untuk diterangkan dengan kata-kata bisu begini. Tapi sungguh! Ianya seperti satu kelainan pada diri. Satu tudung aku turunkan menutupi dada manakala satu tudung lagi aku angkat ke bahu. Kelihatan seperti tiada apa yang istimewa kan? Namun, bagi aku ianya terlalu ISTIMEWA hinggakan aku merakamkan foto diriku bertudung sebegitu. Dua foto bertudung pink, berbaju bunga kecil comel-comel berinner pink aku rakamkan. Tarikh yang tepat aku lupa, tapi ianya sebelum aku ke Sarawak. Sejak hari tu, tudung aku akan pastikan dalam keadaan yang aku inginkan. Masa ke Sarawak tudung memang dah aku labuhkan, tapi masih tak sempurna sangat pun [bila buka balik gambar-gambar lama]. 

Jun/Julai 2012: Aku selalu berulang-alik ke satu tempat ni. Mulanya aku tidak memakai stoking. Dan aku tidak berasa apa-apa kerana ianya bukan kebiasaan bagi diri aku. Satu tahap, aku ingin memudahkan lalu aku memakai stoking. Itupun apabila sampai ke rumahnya. Begitulah keadaan aku sehinggalah beberapa ketika. Satu ketika, aku terfikir lagi. Adalah lebih elok aku memakainya di dalam kereta sebelum sampai ke rumah beliau. Jadinya, aku berstoking di dalam kereta sebaik sahaja aku sampai di rumahnya. Selepas balik dari rumah tersebut, aku seperti biasa. Terus membuang stoking dan menjalani kehidupan seperti hari-hari yang biasa aku lalui.

Satu hari seperti biasa, selepas aku balik dari rumah tersebut. Aku tidak membuang stoking dan hanya membiarkan ianya tersarung dikaki aku. Tanpa terasa ingin membuangnya. Masuk sahaja ke tempat ini [aku namakan ianya A] aku tersenyum apabila melihat kakiku. 'Eh aku pakai stoking sampai sini'. Perasaan itu sukar untuk dijelaskan. Namun aku masih lagi seperti aku yang biasa, hanya hari itu sahaja aku memakai stoking di A.

Julai/Ogos 2012: Ramadan menjelma. Kehidupan aku seperti biasa. Cuma, banyak benda yang datang secara bertubi-tubi dalam masa yang jarak tak jauh selangnya. Err, jarak yang dekat dengan bahasa yang lebih mudah :) Benda itu ialah peringatan contoh : 

31.10.2011
Gambar kat atas ni kira masih baru la aku save. Sebenarnya, peringatan yang paling berkesan di ketika itu iaitu pada bulan Julai/Ogos ialah mengenai checklist masa nak pergi ke masjid. Masa tu kan bulan Ramadan, jadi ramai perempuan yang berpusu-pusu ke masjid untuk tunaikan solat sunat terawih. Seingat aku, page Ustaz Zaharuddin ada post satu gambar berkenaan kaki juga aurat. Itu memang aku ingat. Jadi, apabila ada peluang untuk berterawih di masjid, aku mulanya memang langsung tak pakai stoking apa ke benda. Lepas tu, pelan-pelan pakai stoking. Lagipun memang dah ada stoking pun. Tapi setakat itu ajelah. Pergi masjid je, pergi kerja memang togel la kaki tu. HEHEHE.

Dalam masa yang sama, ada terbaca kat blog yang memang banyak kata-kata best. Seingat aku, penulis tu pesan. “Wahai anak-anak perempuanku. Bulan Ramadhan adalah masanya untuk kita berubah. Jika ada diantara kamu belum bertudung dan menutup aurat dengan sempurna..inilah masanya. Orang tidak akan mengata dan kekuatan kita menjadi luarbiasa di bulan ini. Jangan bertangguh lagi. Mulakan hari ini.” [kata-kata ni memang saya petik tanpa sunting apa-apa dari blog beliau. Saya tak sertakan link, usahalah cari sampai jumpa].

Saya buka semua koleksi penulisan beliau yang lama-lama dulu. Dari bulan ke bulan saya baca, sikit-sikit. Macam tu la kegiatan saya. HEHEHE. Banyak perkara yang saya tertarik dengan penulisan beliau. Dengan keadaan saya ketika itu seolah-olah melorongkan banyak perkara kepada diri saya. Sukar untuk diungkapkan dengan penulisan. Hati lebih mengerti.

25 Ogos 2012: Hari Sabtu, malam tu saya surf internet. Saya buka fb, malam tu saya terbaca satu post gambar juga mengingatkan pasal aurat. Saya baca, selepas tu terfikir. Eh esok macam mana eh? Pakai stoking ke tak? Saya duk bersoal jawab dengan diri. Tidurrr zzzZZzz.

9 Syawal 1433H [26 Ogos 2012]: Pagi esoknya, persoalan itu masih berlegar kat kepala tapi saya tidak buat apa-apa tindakan pun. Masuk kerja selepas hampir seminggu bercuti raya. Pergi kerja kaki togel. Tak tahu la nak cakap dengan budak ni. HEHEHE. Tapi itu lah, kuasa Allah sangat Besar. Ketika rehat, kami ke kedai makan. Seperti biasa, saya tongkatkan tangan di atas meja. Aih, rasa tak selesa. Saya turunkan tangan ke bawah. Semasa pulang, tengahari kot. Saya ke tandas dan kebetulan ada lelaki di belakang saya. Urmm, tak selesa juga. Sebab kaki saya togel. Perasaan tu, saya tak tahu nak ungkapkan bagaimana.

Malam tu, saya cakap kat diri 'dah pakai, memang kena pakai secara istiqamah. tapi macam mana eh kalau nak keluar pergi jalan-jalan nanti?' Macam-macam persoalan yang merisaukan sebenarnya yang saya duk layan dalam kepala tu.

*Benda-benda yang saya risau tu semua, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Senang aje.

10 Syawal 1433H [27 Ogos 2012]: Saya ke pejabat dengan lengkap berstoking dan berhandsock. Handsock tu memang dah ada, tapi tak guna pun. Saya tak suka nak pakai. Ketat rimas. Masa tu la, ramai kawan-kawan terkejut. Haaa?? Apakah?

HEHEHE. Iya, ini la perjalanan perihal perubahan diri saya yang tak seberapa tu.

Kalau nak tahu, sejak dari hari tu. Banyak respons positif yang saya terima. SMS dan juga soalan yang diutarakan depan-depan. Mereka nak tahu. Kadang-kala lucu juga. Ada yang datang 'tengok aida, saya pun pakai stoking juga'. Saya balas, bagus lah. Bagi saya, itu yang sebaiknya. Tapi saya memang tak reti nak berpanjang lebar sangat nak kasi nasihat kalau tak dipinta. Mungkin faktor, saya tiada adik perempuan. Jadi saya tak reti nak alaa tangkap leleh sangat. Tak reti. Biasa dalam gurau dalam bicara yang seadanya, atau yang serius. Haa, boleh la kalau time macam tu. Itu pun sikit-sikit la. Sebab saya bukan banyak ilmu, saya bukan yang terbaik [boboi boy. HAHAHA]. Tapi seronok sangat. Sebab banyak yang datang macam.. haih! nak tulis macam mana eh? Senang cerita, memang seronok la. Tak kan saya nak tulis semua kan, HAHAHA. Penuh la page ni dengan cerita ni aje karang.

Cuma, saya teringat akan satu pesanan kat dalam blog juga lah. Biarpun kita berubah ke arah yang lebih baik, jangan memandang rendah atau sombong. Cukup katakan pada diri kita 'dulu, aku pun macam tu la juga'. Jadinya, harap ianya dapat mematikan apa jua perasaan yang hadir dalam hati kita. Sebab syaitan suka menghasut hati kita untuk riak, menunjuk-nunjuk, buat perkara tak elok. Semuanyalah yang buruk-buruk sepertimana tugasan syaitan tu.

Sebab tu lah, saya delete semua gambar sepertimana yang saya tulis di sini Gatal. HAHAHA. Tapi ada juga gambar yang tak bersalah menjadi mangsa. Terpaksa upload baliklah nanti. HUHUHU.

Sebab tu la, hidayah yang Allah datangkan kepada sesiapa sahaja memang tak kan kita jangka. Saya sendiri tak jangka. Entah la, yang pasti saya bersyukur. Kerana itu lah, jikalau orang tu jahat, jangan lah kita pandai-pandai nak menghukum dia begitu begini. Hati kita Allah yang pegang. DIA boleh membolak balikkan hati kita sekelip mata. Macam kita balikkan tapak tangan kita. Mintalah agar hati kita ditetapkan di jalanNya selepas kita diberi petunjuk ke jalan yang DIA redhai. Yalah kan, sebab kita tak tahu perjalanan hidup kita bagaimana. Ala, lagipun saya bukan PERFECT pun. Masih banyaakkkkk benda yang nak kena belajar lagi. Entahlah, banyak sangat la benda yang saya tak tahu. Serius!

Entry ni sebenarnya saya dah tulis 31 Disember 2012, tapi tak sempat siap. Minggu lepas, ada yang bertanyakan soalan 'Aida, kenapa lain sekarang?ceritalah'. Itu yang saya gigih menyiapkan entry ni. Mungkin entry ni tak adalah details mana, tapi itu la sedikit rentetan perjalanan semuanya. Alhamdulillah :)

Ok lah, ini aje kot yang boleh saya share. Pengalaman yang sedikit. Yang pasti, bila baca perihal artis-artis yang berubah tu. Sedikit sebanyak boleh rasa macam mana perasaan dorang.

p/s: ada entry yang saya block komen. Sebab niat saya ingin bercerita aje sebagai panduan dan ingatan bersama dan bukannya apa-apa, jadi saya click don't allow comments T__T