Friday, December 26, 2014

Berpadalah. Jika Tidak, Saya Rimas

Pada bulan yang lepas, selepas balik dari kerja. Saya terus meluncur ke bandar KT. Hajat di hati ingin membeli kain lycra dan juga beberapa barang keperluan diri sendiri seperti kain ela merangkap kain untuk majlis kahwin sepupu. Jadi saya nak survey harga, material dan warna kain.

Kain lycra tu saya nak buat alas tutup badan kereta. Kucing selalu sangat buat angkara. Dia suka panjat pada bonet kereta. Maka terhasillah calar-balar pada badan si vivi.

Saya masuk ke Nagoya. Selepas beberapa kali mengelilingi kawasan kedai tu, saya tidak menjumpai apa yang saya berkenan. Saya keluar dan ke kedai kain Dewandas pula. Ini bukan kedai pilihan bagi saya. Namun manalah tahu kot ada kain yang saya cari tu. Dah lama benar tak masuk ke kedai ini. Kali akhir saya masuk adalah bersama makcik dan sepupu-sepupu saya. Adalah dalam awal tahun ni kot atau akhir tahun yang lalu.

Apabila masuk ke kedai tu, saya disapa oleh seorang budak perempuan. Jurujual di situ. Dia tanya kepada saya 'cari apa kak?'. Saya maklumkan kepada dia saya cari kain lycra kerana itu tujuan utama saya. Tujuan-tujuan lain adalah ingin mencari kain ela untuk majlis kahwin bla bla bla, tak ada lah saya nyatakan kepada penjual tu. Ini sebab saya dah tahu saya punya style. Saya memang suka ronda semua kawasan kedai untuk lihat kain. Adakala kain yang saya tak nak beli pada mulanya, eh boleh pula terbeli sebab terberkenan la pulak. Jadi biarkan sahaja saya melihat dahulu kain-kain di sini.

Budak perempuan tu terus mengekori saya. Jarak kami sangat dekat dan hanyalah terpisah sekadar setengah depa je. Dia terus mengekori dan memberitahu saya, 'kain lycra kat atas kak'. Saya pun menjawab 'Ooo ok, tak apelah saya nak tengok-tengok dulu kain yang lain'. Lalu dia pun menjawab yang memang kena ikut pelanggan sebab itu dah peraturan kedai. 

Saya terkejut sebenarnya apabila disetiap langkah budak ni ada. Sebab sebelum ini kan saya datang beramai-ramai. Jadi tak sempat nak perasan dorang ni mengekor kita ke tak. Ketika saya menelefon kakak 2, jurujual ni tidak berganjak. Maka segala isi perbualan saya dan kakak 2 didengarinya. Bukan saya kisah dia dengar perbualan kami, namun yang saya kisahkan. Tak kan lah tak ada perasaan jurujual ni. Tolonglah!

Ini apabila saya seorang, haii dah la dia ekori kita setiap sudut kita pergi. Kalau jauh tu tak apalah juga, ini kalau saya berpaling wajah. Memang muka bertemu muka. Kalau di Kamdar, saya biasa juga datang seorang diri. Tapi tak adalah serimas ini.

Saya menjelajah lagi dan melihat harga kain di situ. Lalu saya ke tingkat atas pula, apabila melihat semua kain. Saya tidak menemui kain lycra yang saya inginkan tu.

Turun balik ke tingkat bawah, tak lama kemudian saya pun keluar dari kedai yang merimaskan tu. Dalam kepala saya terbayang akan kedai kain Kamdar.

**Perkara ini juga akan terjadi sekiranya anda pergi ke Saleem Aziz/Jakel. Kalau kat situ, kita naik aje ke tingkat atas. Maka diaorang akan ikut sampai ke sudah. Kadang-kadang kita nak tengok macam mana material kain yang nak dibeli tu. Buat perbandingan harga dulu. Namun biasalah, privacy itu menipis apabila di sini. Tapi kalau kita kat tingkat bawah, tak adalah serimas sepertimana di tingkat atas. Kedai ni pun dah nak berpindah dan dia sedang sale sekarang.

Wahai pemilik kedai kain. 

1. Rasanya tak perlu kot nak arahkan jurujual kamu ekori setiap langkah pelanggan. Ini bukan cara terbaik untuk memudahkan pelanggan, malahan MERIMASKAN pelanggan untuk memilih kain, melihat kain, membuat keputusan kain mana yang mereka ingini. 

Kedai yang selalu saya kunjungi kebiasaannya ialah Kamdar. Ini kerana, sebab dah biasa kot kat situ. Kita pun senang nak pilih kain. Mereka pun tak adalah asyik nak mengekor aje. 

Hai pemilik kedai kain. Beranikanlah diri untuk ubah sedikit peraturan kedai. Bukan rugi pun. Sedikit je, untuk kebaikan semua pihak.

2. Pelanggan ini banyak kerenahnya. Macam saya sendiri. Saya banyak kerenah kalau bab nak membeli. Jika kita fikirkan, pemilik kedai juga manusia, jurujual juga manusia. Saya nak tanya kamu, adakah kamu selesa seandainya apabila kamu pergi membeli barang-barang, kamu diekori seolah-olah kamu ni nak mencuri??? Rimas bukan? Tak tahulah kalau kalian memang suka akan cara begini.

3. Pelanggan banyak songeh, jurujual pun banyak songeh. Kita cakap nak kain macam ni macam ni, eh dia sempat pulak promote kain lain. 'kain ni ok juga, bla bla bla'. Persoalan sekarang, adakah citarasa penjual dan pelanggan sama? Adakah kita ini sejiwa? Jadi berpada-padalah memberi saranan atau cadangan. Lain lah pelanggan meminta cadangan daripada kamu. Haa, masa tu boleh kamu bagi cadangan yang sesuai dengan pertanyaan pelanggan.

Ketahuilah, pelanggan tu ada 10 kerenah + jurujual pula tentu ada kerenah tersendiri sebanyak 7 maka apabila ditambah menjadilah 17 kerenah. 

Jadi jangan expect pelanggan itu mudah dikawal.

4. Tak semua pelanggan itu mempunyai target kain diingini. Oleh sebab itu adakala pelanggan akan survey dahulu semua kain sebelum membeli. Jadi perlulah bersabar dengan mereka. Dan tak semestinya apabila dia masuk kat kedai kamu, dia akan membeli di kedai kamu. Dia tak wajib membeli di situ. Terpulanglah pada dia.

5. Mana-mana kedai yang dah establish biasanya mengambil pendekatan yang agak ke depan. Mereka membiarkan pelanggan mereka memilih kain dengan selesa. Apabila diperlukan, jurujual bersedia untuk memberi pertolongan. Tak adalah sampai pelanggan dibiarkan terkontang kanting nak cari jurual nak minta tolong potong kain.

Sebenarnya, pendekatan yang sederhana adalah menjadi pilihan pelanggan. Tidak terlalu didesak oleh jurujual. Tidak terlalu dibiarkan :: contoh apabila kita nak tahu di mana letaknya kain cotton? Dibiarkan seolah-olah kedai tu tak ada tuan. 

Kerana itu, amat penting pemilik kedai dan jurujual meletakkan diri mereka sendiri sebagai seorang pelanggan.

Semasa saya berada di dalam seksyen kursus pada 4 tahun yang lalu, saya selalu diingatkan oleh bos. Letak diri kamu sebagai peserta. Apa keperluan yang peserta nak? Barulah kita dapat memberi perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan kita.

Kerana itulah, kita bukan hanya sekadar berniaga untuk untuuunggg sahaja, Nilai kemanusiaan, ilmu berniaga itu perlu ada.

Ngerti?




Musibah. Bertabahlah

Mata menghadap handphone, menghadap laptop. Skrol semua cerita kat dada skrin. Semuanya pasal banjir. Membaca, melihat gambar dan mengetahui banyak cerita mengenai banjir membuatkan saya turut banjir. Empangan air di tubir mata tidak dapat ditampung lagi. Lalu saya membuat keputusan untuk melepaskan air mata tersebut dengan perlahan-lahan mengikut rasa yang saya rasa. 

Disember yang dilalui ini, sangat sarat dengan emosi. 

Banjir kali ni memang teruk. Sangat teruk. Tiada ayat yang boleh memperincikan situasi sekarang.

Melihat Kelantan yang lumpuh. Sedih.
Terengganu, Perak, Perlis, Johor. Negeri-negeri ini memang ada daerah yang banjir.



Gambar pada 2013. Diambil oleh jiran kakak 2 yang ketika itu balik melawat rumahnya. Diambil melalui loteng rumahnya. 

Rumah kakak 2, ketika ini air dah agak surut. Nampak tak titik-titik kuning bawah tingkap tu? Itulah paras air yang sebenarnya sebelum surut. Ketika ini, kereta tak sempat di alih. Maka berendam lah dia kesejukan. Selepas kesejukan mengalami demam-demam dan sakit-sakit urat. Akhirnya kereta ini diberi ubat-ubatan bagi menangani kesemua penyakit tu. Banyak kos yang dibelanjakan.




Ini gambar TERKINI pada pagi tadi. Air mula melimpah. Semakin hampir untuk memasuki ruang rumah. Saya bersimpati dengan mendalam apabila melihat gambar yang dikirimnya.  Sebenarnya, kakak 2 saya telah mula berpindah pada hari semalam [Rabu]. Pada jam 4 pagi, mereka dikejutkan agar bersiap sedia kerana air makin naik.

Selepas banjir pada Disember 2013 yang lalu, kakak 2 ada membeli perabot bagi menggantikan perabot yang rosak. Bayangkan, apabila sekali lagi dia terpaksa menerima hakikat bahawa 'bersedialah untuk hadapi lagi sekali keadaan ini'.

Saya tahu kakak 2 saya penat. 
Saya tahu kakak 2 saya menangis di dalam hati dan juga direaliti.
Saya tahu kakak 2 saya akan banyak fikir mengenai seluruh isi rumahnya.
Namun saya yakin, bahawa kakak 2 saya kuat.
Kuat untuk menghadapi dugaan ini dengan sehabis cekal.
Mana ada dugaan tidak berlalu pergi? 
Sedangkan malam punyai siang. 
Apatah lagi dengan dugaan, yang tentu datangnya tidak keseorangan. 
Datangnya tentu bersama-sama peringatan. 
Datangnya bersama-sama hikmah yang bukan sedikit.
Allah kan Tuhan kita. 
Kita kan mahluk dia.
Tentu Dia lebih tahu.
Masih ada lagi jalan untuk kita seluruh negara termasuk pemimpin kita berpatah balik ke pangkal jalan.

Ya Allah, tunjukkilah kami jalan yang lurus.

Berdoalah walaupun kerongkong berasa sebu dengan sebak.





Anak kakak saya 7 orang semuanya. Yang paling kecil baru berusia dalam lingkungan 4 bulan. Manakala, ini satu-satunya anak lelaki yang ada dalam keluarganya. Masih belum mengerti sepenuhnya keluh kesah Uminya. Masih sempat melayan bowling di tempat pemindahan banjir di siang tadi. Bermainlah Qayyim. Bermainlah jika itu dapat mengembirakan hatimu.




Penempatan banjir. Alhamdulillah, kami dikhabarkan bahawa mereka tinggal 2 keluarga sahaja di dalam bilik ini. Mudah kerana keluarga 1 lagi ialah adik kepada abang ipar 2 saya. Kebiasaan saya lihat, mangsa banjir akan duduk aje ramai-ramai dalam 1 bilik. Saya pun tak tahu macam mana. Mungkin sekolah ni banyak bilik kot atau dewan dah penuh.

Tinggalkan persoalan tu. Yang penting, mangsa-mangsa banjir ada tempat perlindungan, ada bekalan makanan, cukup makan pakai. Semoga Allah permudahkan urusan bantuan semua pihak yang masih belum menerima bantuan. Semoga Allah terima taubat kita. Mungkin ini teguran Allah untuk kita.

2014 - terlalu banyak tragedi besar yang menimpa Malaysia.

Bumi sudah terlalu uzur.

Takut kan?



Thursday, December 25, 2014

Bah

Tak pernah datang ke Terengganu? Atau lebih spesifik lagi ke Kemaman? Atau lebih dan lebih spesifik lagi ke beberapa kawasan penting Kuala Terengganu? Tak pernah? Marilah saya pernahkan anda untuk road tour dari satu ke satu tempat sehingga anda temui sedikit cahaya kesimpatian.

Kisah kali ini, sebenarnya tiada niat untuk menagih simpati pun. Namun ingin mengajak anda semua agar melihat sesuatu di sebalik sesuatu. Faham maksudku? Susah sebenarnya nak menjelaskan ayat tersebut. 

#DISEMBER | 2013

Kita cerita sejarah terlebih dahulu, barulah senang nak faham cerita.

Banyak cerita tidak diabadikan di MPS ni. Maka ruang Muzium saya mula mengalami kekurangan arkib sejarah 2013. Sebab tulah saya memang akan berusaha untuk menulis sebanyak mungkin apabila ada cerita yang dirasakan menarik. Urmm, menarik bagiku. 

Air bah tidak mengenal siapakah dikau? Apakah jawatanmu? Apakah rumahmu? Tidak kenal. Air bah tidak akan kenal. Soalan tu contoh sahaja dan tiada kena mengena dengan gambar. Soalan itu adalah umum untuk semua.

Pada Disember 2013. Daerah Kemaman mengalami banjir dengan besar-besaran sekali. Air tak dapat diagak. Nak naik banyak mana? Nak naik kat mana? Pssst! Ini bukan lirik lagu eh. 




Gambar daripada kakak 2 yang masih lagi di dalam simpanan saya. Ini ketika rumahnya telah surut airnya. Jika tidak, air itu mencecah hampir separuh pagarnya. Sampah sarap yang tidak diundang datang, eh tanpa segan silu datang terdampar di depan sana. Sampah sangat banyak. Terpaksa tolak ke tepi untuk membuka pintu nak masuk ke dalam rumah. Kakak saya yang cakap. Err, anda boleh baca dengan beberapa nafas.




Kita yang tengok sedih. Yang menghadapinya lagi berduka. Pilu dihati bagaikan ditabur garam, diletakkan gula dan juga cili padi. Pedih! 




Saya bergerak ke rumah sewa sepupu pula yang juga berada di daerah Kemaman. Musnah teruk barang-barang dia. 1 plastik besar novel-novel kawan sepupuku terpaksa dibuang sebab dah terendam air. Sangat bertabah kepada kawan sepupu saya ni. Dia peminat novel, banyak giler kot novel dia. 

Tapi itulah kan, apa yang kita ada sebenarnya bukan kita punya secara mutlak. Ianya hanya pinjaman. Sedangkan kereta kalau asyik tak bayar aje boleh ditarik, inikan pula novel biasa.




Tahukah kamu semua. Gambar ini sangat menyentuh perasaan. Apabila melihat gambar ini, saya masih dapat merasai kesunyian di sini. Kami sampai di Kemaman lebih kurang pada jam 9 malam. Lalu saya dan adik 1 ke sini untuk mencari jarum suntikan. Saya bukan doktor mahupun nurse. Namun saya perlukan jarum tu. 

Sampai di sini, bayangkan. Hampir kebanyakkan kedai ditutup. Keadaan sepi. Desir angin menyapa pipi dan hati. Sebak menguasai kedua-dua mata. Panas mata ini.

Kesunyian pada malam itu seolah-olah dilanda tsunami. Serius! Orang ramai memang kelihatan namun tiada percakapan yang bising kedengaran. Hanya perlahan-lahan tutur kata dituturkan. 

Kami sempat melihat jambatan yang runtuh di pukul arus kuat di depan sana. Di situ sebenarnya laluan air. Tapi pada kejadian itu, air naik tinggi sehingga melimpah di hadapan KFC kat sini. Err, orang Kemaman mesti tahu lah kawasan tu.



Gambar  kanan : pemandangan selepas banjir di jalan rumah kakak 2 dan sepupu

Pada 2013 banyak peralatan persekolahan anak-anak buah saya rosak. Saya tidak dapat menebak apa perasaan mereka. Walaupun mereka masih di sekolah rendah, namun tentu terselit perasaan sedih mereka. 

Pada 2014. anak-anak buah saya dah bersiap sedia. Kasut dan beg sekolah yang baru dibeli dah standby untuk hadapi segala kemungkinan. 

Perasan tak 'refrigerator' tu? Itulah peti bantuan yang diterima semasa tahun 2013 yang lalu. Tapi masih di dalam kotak sebab peti dah ada.




Pembersihan sedang giat dijalankan. Ini bagi mengelakkan permasalahan di masa akan datang. Kalau lambat bersihkan lumpur ni semua, haaa maka akan sukarlah untuk ditanggalkan. Maka cucilah ketika lumpur ni masih baru dan tidak berupaya lagi tinggalkan kesan yang degil tahap kuasa 8!




Kereta yang terkena banjir. Kebanyakkan mereka tak datang pun ambil kenderaan mereka ni. Bukan tak nak ambil, tapi rosak. Ada yang tak boleh start! Nak menangis? Memang kita akan menangis.




Bantuan yang dikumpul untuk diagihkan kepada masyarakat di Kemaman.

Sementara itu, jambatan yang runtuh sedang dibina dengan jambatan sementara.

Maka, ambillah peluang ini untuk sama-sama ringkan beban mereka yang terlibat dengan bencana ini.


#DISEMBER | 2014

Malam tadi, saya dan keluarga abang 2 mengambil peluang untuk melihat keadaan sebenar. Eh silap, malam Selasa yang lalu saya dah tinjau kawasan dengan kakak ipar 2.




1 :: Saya cuba rakamkan gambar di atas jambatan Sultan Mahmud. Hasilnya sangat mengecewakan. Ketahuilah kalian semua, angin ditika itu sangaaatttttlah kuat. Saya tak galakkan mereka yang ada anak kecil suka-suka hati duk menggendong anak kat palang besi jambatan sini. Bayangkan kalau terlepas? Saya tak nak bayang selebihnya. 

2 :: Air di Masjid Kristal melimpah dan membawa sampah sarap ke tepi tebing 

3 :: Air turut melimpah di Pulau Kambing. Kat depan sana ada waterfront. Air tengah pasang masa saya ke sini.



1 :: Kami lalui taman rekreasi di belakang Masjid Terapung. Kelihatan penanda agar tidak menghampiri kawasan selepas pokok-pokok tersebut. Kat sinilah kejadian budak yang mati lemas, lemas kat area sini namun ditemui di Pulau Kapas. Jauh sangat.

2:: Kita ke Masjid Terapung pula. Ini gambaran malam tadi. Air dah nak naik ke permukaan aras masjid.

3:: Jambatan Sultan Mahmud pada malam semalam. Air makin naik tika itu.

4:: Afiq mengambil peluang yang dah terhidang di depan mata. Naik buggy sambil tersengih-sengih kesukaan.

Lepas tu, kami ronda-ronda lagi dan balik.

Itu sahajakah? Tidak.

Apabila melihat dengan mata sendiri. Betapa, kerdilnya kita. Betapa tiada kuasanya kita untuk menghalang semua ini. Tiada kudrat untuk kita menadah air hujan supaya semuanya masuk ke dalam satu kawasan sahaja. Tiada. Namun mengapa kita masih angkuh kepada Pencipta?



Monday, December 22, 2014

.... Sambungan 1 Hari Suku dan 1 Malam Yang Sangat Mengujakan

Enggan berlengah dalam menyiapkan naskhah cerita ini. Maka saya teruskan cerita untuk baki 1 hari keesokkannya.

1 HARI 

Kami tidak mahu berlama-lama di Negeri Sembilan. Rancangnya selepas selesai membeli, kami akan balik pada hari sama ke Terengganu. Bergegas untuk check out dari hotel kira-kira pada jam hampir 9 pagi. Kami terus meneruskan perjalanan ke Nilai 3, Negeri Sembilan. Semasa kami sampai di kawasan Nilai 3 tu kan, kedai masih tak dibuka lagi dengan sepenuhnya. Dengan sepakat kami membuat keputusan untuk mengisi perut terlebih dahulu memandangkan banyak tenaga yang kami akan gunakan nanti.

Nasi lemak dan roti canai menjadi mangsa saya pada pagi itu. Bila nak bayar, agak terkejut jugaklah apabila penjual tu cakap 'RM2'. Ha?? Beria pergi cerita kat makcik dan pakcik yang harga makanan murah. HAHA. Sebenarnya ok lah harga tu. Nasi lemak telur rebus yang dibelah 8/6 barangkali. Sambal bilis yang tak ada bilis. Roti canai dia sedap!

Terus terang cakap, makanan kat sini [foodcourt] harga dia tak adalah mahal mana. Adakala tu kan, harga dia lebih murah daripada Kuala Terengganu. Woww! Nasi goreng kampung boleh dapat dengan harga RM3.50. Sedangkan kalau kat KT harganya adalah RM4 dan ke atas.

Makcik dan Pakcik, sepupu makan nasi putih berlaukkan macam-macam. Nak tahu harga dia? RM5. Padahal lauk penuh 1 pinggan. Mak aih. Memang syurga makanan. Hanya saya yang tak makan nasi putih diketika itu.

Alasannya : 

1. Tukang masak tu pakai rantai. Saya memang cerewet bab-bab makan terutamanya apabila makan kat luar. 

2. Ternampak seorang lelaki yang kukunya sangat panjang. Euwww! Saya ingatkan dia ni kerja kat situ, rupanya pelanggan. 

Saya tak lalu nak beli makanan kat situ, itu sebab makan roti canai dengan nasi lemak je. Jangan bimbang, saya makan kat gerai orang kita [penduduk tempatan]. 

Tutup cerita makan, kita ke cerita lain pulak ye.





Kedai pertama yang menerima kesan tapak kasut kami. Padahal tujuan UTAMA kami adalah nak mencari barang-barang perkahwinan sepupu saya. Biasalah kan, kalau dah tersasar menulis, apatah lagi ketika membeli. 

Di sini, saya angkut balik 2 beg [arrow kaler merah tu] serta beg Frozen [membeli dengan niat]. Manakala sepupu saya pula, dia beli beg baldu Superman macam contoh kat bawah sekali tu ha. Kalau nak tahu, beg kat sini memang teramat murah. Ketika beg ditangan saya, sepupu saya tanya 'nok beli ke sape tu?'. Hanya mampu menjawab 'dok tau nok bagi ke sape, beli je dulu'. haha. Lepas balik rumah barulah saya decide 2 beg tu nak kasi kat anak buah yang mana.

Average harga untuk beg yang saya beli hanyalah RM16 - RM25. Murah kan?? Tahukah kalian, bahawa beg ini dijual di KT dengan 1 atau 2 kali ganda. Mana ibu bapak yang anak ramai tu kan, tentu tak mampu nak beli setiap 1 kat anak-anak mereka. Kesian dengan harga fenomena Frozen ni. Kadangkala macam tak masuk akal pun ada.

Selepas selesai membayar, kami keluar dari kedai beg ni.

Ketika melintasi 1 kedai, terpandang 1 dress. Lalu kami sepakat nak masuk ke kedai ni.





Beberapa bulan yang lalu, saya ke butik Avon dan ke butik baju di Gong Badak. Masa masuk kat dalam, saya berkenan sangat-sangat dengan dress ni. Harganya ialah RM150 sepasang. Selepas diskaun, harganya RM120. Saya bersetuju dengan harga tu. Namun kisah sedihnya, dia tak terima deposit saya RM30. HAHAHA. 

Dia cakap macam tak mencukupi % yang diperlukan untuk deposit. Semasa tu kan, duit dah saya belanjakan di Avon. Sebab tu lah saya dah tak ada duit nak bayar. Lalu saya ceritakan kepada sepupu tentang dress ni.

Esok pagi, saya ke butik tu nak bayar deposit RM50. Namun sedih berganda apabila penjual tu cakap dress tu dah dijual petang semalam. 

Saya ralat, uh tak tahu lah nak cakap macam mana.

Namun itulah kan, Allah punya kuasa. Saya sendiri tak jangka dan telah melupakan dress tu.

Tak menjangka, dress yang saya berkenan sangat-sangat tu ada di kedai ni [berkenan pada pink yang sebelah kiri tu]. Kat Nilai 3 yang jauh beratus kilometer. Alhamdulillah.

YEAAAYYYYY!!

Double yeayyy apabila harganya hanyalah RM89.90. Untung. 

HAHA.

Allah nak gantikan sekejap aje rezeki untuk kita. Cuma kita kenalah sabar. Dan sungguh, rezeki daripada Allah tu kita tak boleh nak agak macam mana. Seolah-olah jatuh kat tangan kita.




Nak tahu, beg bercorak timbul ni saya ralat sangat tak beli. Harga dia tak adalah mahal sangat. Cuma masa tu saya lebih fokuskan kepada dress saya. Nak tahu, hinggakan masa kat dalam van dalam perjalanan balik ke Terengganu tu kan, saya masih lagi berfikir akan beg ni. Dalam kepala saya 'sesuainya dengan Afiq. Afiq suka bola. Suka sangat-sangat akan bola'. Terpaksa tenangkan jiwa sendiri masa kat dalam van tu. Pujuk hati 'takpelah Aida, lain kali mu boleh beli'. Allah je tahu macam mana saya rasa. 




Selepas tu, kami singgah ke kedai karpet. HAHA. Gelak lah sebab tujuan utama bukan nak beli karpet. Tapi bila kat sini, kami memang terperangkap dengan harga yang diberikan oleh geng-geng Pakistan ni. 

Diaorang memang meniaga lah. Harga karpet yang dibeli makcik saya ialah RM500/bidang [200x290]. Lalu diangkutkan 2 bidang. 


Hanya ini gambar yang ada menunjukkan kami datang kat sini. Memang kami tak ambil 1 gambar pun beramai-ramai. Padahal kami sepupu ni suka bergambar. Nak buat macam mana kan?

Masa kat kedai karpet ni kan, kami masih ada hati lagi nak beli cermin besar gedabak ni. Kami tawar punya tawar, dapat RM80 je tau. Namun pakcik datang dan mengingatkan kami semua akan tujuan datang ke sini.

'Dok muat nak letak dalam van. Bukan marah beli, tapi dok muat. Kita ni jauh ni nak balik. Fikir, banyak lagi barang yang dok beli lagi'.

Lalu kami insof lantas membayar karpet sahaja. Eh, sepupu saya pandai. Dia bodek dapatlah 2 sejadah kecil. Saya ni kan macam biasa lah, penakut sikit. Semasa dapat sejadah tu, saya cakap minta halal la. hehe. Takut lah, sebab kita nak guna untuk solat kan?







Bila dah membeli barang-barang yang tak perlu, barulah kami ke tujuan asal kami ke sini. HAHA. Memang rambang mata. Macam-macam barang ada kat sini. Nak yang mahal? Nak yang murah? Pilih aje berdasarkan bajet anda. 

Ada 1 kedai ni kan, bunga telur dia memang tip top. Sangat terkini! Kedai lain tak seterkini macam dia ni. Kat kedai-kedai lain, saya main rembat aje tangkap gambar. Entah macam mana kat kedai tu kan, saya siap tanya boleh ke tak tangkap gambar? Dia cakap tak boleh. Alahai. Kalau tak, boleh tunjuk kat sini.

Namun saya tidak khuatir, sebab saya dah ambil business card dia. Kalau nak datang lain kali, boleh datang kat kedai tu lagi. HEHE. 

Kami beli paper bag, cenderamata untuk tetamu 4 kotak. Jadi memang selesai misi kami untuk hari tu. Naik jenuh juga menapak dan menziarah dari 1 kedai ke 1 kedai nak cari barang-barang ni semua.


Pada jam 5 petang lebih, selesai lah kami membeli. Kami sempat berjumpa dengan adik 2 saya kat sini. Kebetulan dia ada family day kat Port Dickson. Dia turun Nilai sekejap sebelum balik Terengganu.






Sebelum balik, sempat singgah ke gudang karpet ni. Besar giler tempat ni. Pilih aje nak yang mana. Memang terbaik. Namun kat sini kan, harga dia agak mahal.

Contoh karpet yang makcik saya beli, kat dalam kawasan Nilai 3 tu dapat RM500, kat sini RM650.
Jadi pandai-pandailah korang menawar harga semasa korang menjelajah kedai ke kedai kat dalam sana tu haa, sebabnya kawasan tu kan luas giler. Jenuh.


PERJALANAN BALIK




Penuh. Nasib baik pakcik saya terer susun. Jadi tak adalah pemandangan dia terlindung dengan barang-barang.




1st time tengok orang jual daging salai, ikan salai. Seronok pulak tengok gaya hidup orang kat sini ha. At least, kita boleh dapat ilmu. Jauh berjalan luas pengalaman. 

Sebelah kanan pulak, itu tanda kedai yang kami pernah singgah. Makanan kat sini sedap. Tapi lupa nama kedai ni. xxx Tomyam apa entah.

Maka tamatlah kisah kami ke Nilai 3. Ala, ke Nilai 3 aje pun, namun kami sangat riang dan gembira. Kenapa eh ayat ni macam nak kena pelempang je? haha.

Ok, ok kita tukar ayat. Kami sangat gembira dengan pengalaman kami pada kali nih. Sukar dinyatakan dengan tulisan sebenarnya. Namun kalian semua, bermusafirlah untuk membuka mata, buka hati. Lihat budaya orang lain. Memang sangat berbaloi.




Sunday, December 21, 2014

1 Hari Suku dan 1 Malam Yang Sangat Mengujakan

Assalamualaikum MPSku. Sihatkah engkau atau bagaimana? Semoga dikau dan kamu-kamu semua, baik-baik sahaja di sini.

Di sini hujan turun dengan lebat dan adakala terhenti-henti. Sambil-sambil kita melihat perkembangan berita mengenai bola sepak yang mana dimenangi oleh Thailand. Yeah! AFF Suzuki Cup 2014 yang mana diadakan 2 tahun sekali telah menyaksikan Malaysia tumpas dengan agregat 4-3. 

Masa tengok semalam, geram tu memanglah geram bilamana goalkeeper asyik terlepas bola aje. Tangkapan bola dia tak berapa kemas dan ini memang tak boleh dinafikan. Sekali terlepas, kita masih selamat. Dua kali terlepas pun kita masih selamat. Namun tak selamanya kita selamat apabila sepakan berbisa daripada Thailand menunjal bola ke dalam gawang. Hancur berderai. Namun tak boleh dinafikan, agakan goalkeeper ni memang tepat dan mengagumkan kita yang tak pandai main bola diperingkat antarabangsa ni,

Hancur hatiku namun tak adalah sampai nak menangis. Yelah, yang bermain bagus adalah berhak untuk menang, Dalam bola sepak ni, kadangkala nasib juga. Dah nak habis permainan pun, masih lagi dapat sumbat 2 gol. Memang sangat zalim bola ni kan?

Tahniah untuk Charyl Chappuis. haha. Ok ok jangan jengkel eh. Tahniah Thailand! Kalau dia tak ambil penalti masa 1st final itu hari dan cameraman tak zoom muka dia sehabis dekat! Mana kita [baca = orang perempuan] nak kenal dan tahu dia tu wujud. 
Pssttt! Kawan saya jeles, dia cakap 'hok mana? hok kening Ziana Zain tu ke?' HAHA. 

Eh eh, ni dah tersasar ke bulan ni. Kita nak cerita pasal benda lain.

Ah! Kasi can lah. Dah lama tak menulis ni. Bila dah start menulis, macam ni lah gaya dia.

PERJALANAN BERMULA KE NILAI 3

Hari Rabu dan Khamis saya bercuti. Cuti pun diisi agak last minute. Saje je cuti, untuk habiskan cuti saya yang saaangaaattttt banyak. Baki yang ada 1 bulan 16 hari lagi selepas ditolak dengan Rabu dan Khamis.

Pada hari Khamis. Saya mesej kat sepupu, bila nak pergi? Saya nak standby lah nak kemas apa yang patut. Bila sepupu cakap nak bertolak lepas Asar. Jadi saya buat keputusan untuk keluar ke bandar dahulu bersama si Afiq. Saya nak bayar apa yang patut terlebih dahulu. Takut nanti bajet saya tersasar. Jadi sebelum kita membeli, adalah lebih bagus kita menyelesaikan apa yang penting dahulu.

Saya keluar adalah hampir 1 jam lebih. Balik rumah, sempat lepak-lepak. Pada jam 4 petang, barulah saya terhegeh-hegeh mengemas baju. Dahlah masa mengemas tu kan. Saya tak tahu berapa lama kami nak pergi. Saya solat, lepas tu sambung lagi mengemas. Siap.

Tunggu punya tunggu, pada jam 6 lebih barulah pakcik dan makcik saya datang ambil. Haila, kata lepas Asar. haha. Inilah maksud lepas Asar sekalian. Masa tu bapaknda saya yang duk jenguk kat luar pintu. Jenguk tengok Pokteh dan Mokteh dah datang ke belum?


Pokteh dan Mokteh datang dan kami pun bergerak ke destinasi dengan doa dalam hati. Macam-macam doa kat hati sebab takut. Kami ni nak bermusafir jauhh.



Hujan sepanjang jalan. Air di tepi highway Pantai Timur dah naik agak tinggi. Gambar agak tidak sharp disebabkan kamera handphone agak lambat nak capture sesuatu image.




Masih lagi cerah di lewat petang hari. Masa ni van dipandu agak laju iaitu 100km/h. Apa?? tak laju ke tu? Nak laju, kalian pandulah sendiri pada 170km/h. HAHA. Mau tercabut enjin kereta kalau laju macam tu. Untuk pengetahuan kalian, van ni tak boleh 'lari' laju sangat. Suka diwar-warkan, saya suka naik van ni sebab dia ada limit kelajuan. HEHE. Van dah veteran katakan. Tapi van ni banyak berjasa pada kami saudara mara ni ha. 

Air yang banyak kat jalan raya menyebabkan ada la beberapa kali van ni macam terhoyong sekali sekala. Langgar lopak air, mana nak stabil sangat van ni. Alhamdulillah, Pokteh boleh dikatakan cekap memandu van kesayangan dia ni. Jadi dia dapat control van tu.




Perjalanan pada waktu malam. Kami melalui:

Lebuhraya Pantai Timur
Jalan Almuktafi Billah Shah
Jalan belakang [saya tak pasti sangat jalan ni] dan keluar di Kampung Mak Chili, Kemaman
Jalan Muadzam Shah, Pahang
Jalan Kuala Pilah
Nilai

Berbagai pengalaman mendebarkan kami lalui.

1. Kami melalui 1 jalan di Kemaman, air agak biasa. Nak cakap dalam, tak adalah dalam mana. Namun, air yang cetek jangan disangka tiada kelajuan membara di situ. Semasa melalui jalan tersebut, van mula dibawa arus air yang melimpah di situ. Saya dan sepupu memang agak cemas kat dalam. Makcik kat depan, senyap je. haha. Pakcik pun senyap. Yang bercakap hanyalah Naa sepupu saya. 'Bad kita makin tepi doh ni'. Masa tu, boleh nampak van mula ke kiri yang mempunyai tebing di situ. Alhamdulillah, pokteh berjaya melaluinya dengan tenang. 

Saya tak tahu apa yang berada di fikiran pakcik saya ketika itu. Makcik saya pula, dia rileks sebab dia cakap dia tak sedar/perasan keadaan masa tu genting rupanya. hahaha.

Pengajaran dia: Saya dah faham kalau ada maklumat yang cakap 'tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan/jalan ditutup untuk kenderaan ringan'. Oo, ini rupanya keadaannya. 

2. Semasa kami melalui jalan di kampung Sungai Ular, Kuantan. Tengah seronok borak-borak. Tiba-tiba sepupu saya 'bad, lembu tu depan'. Pakcik saya brek van tu. Nasib dia tak adalah brek kaw-kaw punya. Kami berjaya lalui halangan tu. Syukur.

3. Kami melalui Muadzam Shah. Kat situ jalan sempit dan gelap. Sangat gelap. Adakala hanya van kami yang terkontang-kanting keseorangan melalui jalan tu tanpa adanya kenderaan lain. Kiri kanan memang hutan. Lampu jalan memang lah tak ada. Ada sekali tu kan, treler dia makan jalan kami sikit. Pakcik saya kena mengelak, tapi tak boleh mengelak ke tepi sangat, sebab nanti masuk hutan. 

4. Pakcik saya silap masuk jalan [highway/flyover] masa kat Negeri Sembilan. Yang kelakar, dia siap boleh undurkan van masuk lorong yang betul. HAHA. Bolehlah buat macam ni sebab jalan lengang tak ada orang pun.

Memang sangat mencabar dan mengujakan perjalanan ni. 

Dan yang banyak bermain di hati ialah sangat cemas sampaikan BERDETAK DETAK hatiku kecemasan. 

Serius! Tak main-main. Macam-macam yang ada kat dalam fikiran.

Alhamdulillah, selepas melalui ranjau perjalanan untuk datang ke sini, akhirnya kami sampai jua.



4 pagi kami sampai di hotel bajet. Hotel ni kami cari secara on the spot macam tu je. Harga dia oklah. Sangat affordable. 

RM70 - 2 orang, RM80 - 3 orang | lebih kurang lah harga dia macam tu. Senang cerita bawah RM100 lah. Kami ambil 2 bilik. 
Kalau nak murah, boleh ambil 4 orang sebilik. Itu pun kalau kamu datang 1 jantina, contoh lelaki atau perempuan tak bercampur. 




Jangan pandang rendah pada hotel ni. Saya ni memang tak pernah menginap di hotel bajet. Namun hotel ini sangatlah woww! Internet dia punyalah laaajuuuu berdesup! Tak ada password pun tau. Bersih. Dipendekkan kata, memang sangat berbaloi. Boleh cuba kalau setakat nak tidur semalam dua. Pekerja dia ramai India. Namun sangat friendly.

Nah untuk rujukan kalian, kot manalah tahu kan nak datang kat Nilai. hehehe Hotel New Wave Nilai

Nampaknya setakat ini sahaja cerita episod 1 kita pada kali ini sebab kami dah penat. Kami nak tidurkan mata dulu.

Suku dan 1 malam pun berlalu. Baki 1 hari lagi, nanti kita cerita esok-esok pulak eh.




Wednesday, December 3, 2014

Bingkisan Pelangi

Kirimkan aku kekuatan. Lagu siti nurhaliza. Tadi layan cerita Salju Sakinah kejap. Cerita dia tak berapa nak dihayati sangat. Kekurangan fokus itu berpunca daripada kelalaian saya ketika menonton tv. Semasa sedang menonton, saya lakukan kerja lain. Kerja melayan kerenah si Humaira.

Humaira dah pandai meniarap. Sebelum ni dia asyik guna gear reverse aje. Malam tadi, Humaira berjaya menemui gear D. Lalu dia berjaya menggerakkan badannya ke hadapan. Satu pencapaian yang agak mengagumkan dan mempersonakan. Pingat emas untuk Humaira. Cakap pasal persona. Tadi ternampak kereta wira tapi dia letak 'Persona' kat belakang bonet kereta tu. Maka jadilah.

Proton                                                      Persona

Boleh bayangkan tak? Tentu boleh kan? 

Sebelum majlis konvokesyen bermula, saya berperang pom pung pom kaboom dengan diri sendiri. Berperang dari segi kerja. Kerja masih ada yang terbengkalai namun dalam masa yang sama saya perlu juga menyumbang tenaga demi menjunjung pepatah 'berat pikul sendiri, yang ringan ringan tu bolehlah saya tolong junjung'. HAHA. Ampun sebab jahanamkan peribahasa ni.

Namun tak mengapa, dalam berat hati dan berbelah bahagi, Alhamdulillah majlis konvokesyen dah menemui titik penghabisannya. Syukur.

Namun kerja saya masih belum lagi menemui jalan END.

--------

Untuk seketika, marilah saya bercerita di sebalik tabir sebelum majlis berlangsung. Pendek kata nota diri sendiri.

Maka, dengan ini terimalah entry bertajuk Bingkisan Pelangi yang mana pengisiannya agak rainbow sedikit. Entry lelong, satu entry banyak cerita. Kiranya buy 1 free 5. haha. 


JUMAAT | yang akan ku kenang - 28.11.2014

Pagi sebelum saya bergerak ke tempat kerja. Saya basuh baju sikit, ambil kesempatan matahari yang memancar terang di luar. Ambil peluang menjemur pakaian untuk dikeringkan tanpa bertangguh lagi. Ambil peluang sementara mendung menyembunyikan diri, ambil peluang sebelum mutiara jernih turun dari langit. Peluang itu perlu diambil sebelum ianya hilang.

Selepas kelam kabut menjemur baju. Ternampak orang kampung berjalan secara berjemaah untuk ke kampung seberang. Tak tegur rasa serba salah. Sebab dah biasa menegur makcik makcik ni. Lalu ketika di pertengahan jalan, saya berhentikan kereta. Mereka di ajak naik dan saya turunkan mereka di pertengahan jalan di kampung yang satu lagi. Manakala saya pula meneruskan perjalanan ke tempat kerja.

Kawan sepejabat memesan makanan. Ok, lantas saya berhenti di sebuah warung makan. Selepas pesanan dibuat dan makanan bertukar tangan. Terus masuk kereta.

Hidupkan enjin, terus tukar gear reverse dan dah bersedia nak tukar gear kepada D. Tiba tiba ada ultraman. Eh tak, itu cerita Afiq dan Ultraman dia. Tiba tiba ada seorang pakcik bangun dan menuju ke arah keretaku. Aku sangat tertanya tanya, adakah pintu keretaku tidak rapat ditutup? Adakah apa yang ingin dikatakan oleh beliau? Maka apakah jawapannya? Menyampah pulak baca ayat ni kan?

Ok, jangan kita panjangkan penyampahan itu.

Pakcik tu bagitahu tayar kereta saya kempis. Saya turun, terkejut melihatnya. Kempis belepeng. HAHA. Kalau kamu mahir gunakan nada orang terengganu bercakap Key El. Maka cubalah ayat ini 'kempis belepeng'. LOL!! 

Tayar bocor!

Terus call adik 2 bagitahu kejadian ni, Alhamdulillah dia memang nak datang kerja juga. Jadi saya tunggu aje kat dalam kereta. Nak tunggu kat luar, orang ramai sangat. Segan. Sebab mereka makan makan, tak kan saya nak terkelip kelip menonton mereka makan? Aish, malu lah.

Semasa kat dalam kereta, ada lagi seorang pakcik datang dan tunjuk ke arah tayar. 'Bocor tu, tahu dok lagi?' 'saya jawab dengan anggukan sahaja menandakan dah tahu tayar bocor'. Kami tak berbicara namun hanya minda yang berbicara. Hebat. haha. 

Banyak lagi ni nak tulis. Mohon bersabar semua. Sehabis laju saya menaip ni.

Adik 2 sampai, lalu kerja menukar tayar dilakukan. Alhamdulillah ramai yang datang hulurkan pertolongan. Saya dan Dhia hanya melihat. Bagaimana Dhia tiba tiba ada dalam cerita ini? Dimaklumkan Dhia datang dengan adik 2 saya. Anak adik saya ni tak boleh berenggang dengan ayah mereka. Anak ayah katakan.

Selepas selesai menukar tayar, maka kami meneruskan perjalanan. Dhia naik kereta bersama sama saya.




Saya sebenarnya nak biarkan Dhia pakai helmet dalam kereta. Tapi akal cepat memotong perbuatan tersebut. 'aih, takkan dalam kereta pun nak pakai helmet'. Terus saya ambil helmet letak di belakang kerusi.




Skill menukar tayar perlu ada di setiap pemandu tak kira lelaki atau perempuan. Dalam hidup saya, rasanya dah boleh nampak cara nak tukar tayar tu. Cuma rasanya tak berapa nak mampu sebab tenaga yang bergunung diperlukan. Kalau tenaga setakat seciput, tak payah nak berangan. Tayar dah lah berat, lepas tu nak 'jek' skru kat tayar tu lagi. Adik 2 pun punyalah berpeluh nak longgarkan skru tu semua.

Kalau ada pemutar skru macam kat kedai tayar tu, urm mungkin sangat membantu. 

Cara tukar tayar :
  • Pastikan tayar bocor.
  • Keluarkan tayar spare yang rupanya kecil lagi aneh. HAHA. Saya malu nak bawa kereta dengan tayar ni tau. 
  • Keluarkan 'jek' untuk angkat badan kereta. Saya tak pasti alatan besi tu orang panggil apa. Tapi biasa dengar orang duk sebut 'jek'. Jadi saya sebutlah 'jek' jugak
  • Longgarkan semua skru kat piring tengah tayar tu. Kena guna tenaga yang banyak di sini.
  • Kita posisikan 'jek' tu kat bawah kereta. Cari tempat yang betul, sebab pakcik tu cakap, kalau silap letak kereta boleh kemik. Tak tahulah betul ke tak. Saya percaya aje. hehe
  • Putar 'jek' dengan besi panjang tak panjanglah sangat, sampai kereta terangkat. 
  • Putarkan skru dan tanggalkan tayar
  • Ambil tayar spare, lepas tu pasang.
  • Skrukan semula tayar. Pastikan skru betul betul, takut tertanggal kan naya kita.
  • Siap
Nampak mudah kan? Tapi tak semudah saya menulis. Sebab macam saya cakap tadi. Tenaga yang banyak sangat diperlukan.


Tutup pasal cara tukar tayar, kita beralih pula kepada cerita di dewan.




Kami dah selesai buat kerja. Abam pun ada datang. Dhia dan Abam sangat gembira sambil minum susu. Memang tak boleh nak ambil gambar. 


SABTUDAY | k o n v o k e s y e n - 1 2 - 29.11.2014



Masa rehat, ambil kesempatan datang kat atas ni. Tujuan utama nak kutip semua sisa sisa bekas minuman. Tapi bila dah kat atas, macam rugilah kalau tak ambil pemadangan dari sisi sini. Cantik kan? Rasa nak konvo lagi sekali pun ada. Serius! Saya tak main main.

Semua orang dalam kadar secepat mungkin membersihkan dewan dek kerana sesi sebelah petang akan bermula seawal perarakan graduan masuk lebih kurang jam 2 petang. Sepatutnya lebih awal sedikit, tapi biasalah. Bukan senang nak pastikan pelajar ikut arahan kita. Dengan keadaan bersesak kat luar dewan. Pelajar pula dah lama tak jumpa kawan kawan lama. Ambil gambar, bersembang itu ini. Padahal tugasan kami nak pastikan mereka pakai jubah yang betul, bawa smart card. Bawa apa yang patut, kami tak nak kelam kabut. Bila dah nak bergerak masuk dewan, barulah sesetengah mereka bagitahu 'tak bawa smart card'. 'Jubah salah warna'. Urmm. Benda ni boleh diselesaikan lebih awal sekiranya pelajar bagitahu awal awal, namun begitulah kan, lama tak jumpa kawan. Borak dulu lepas tu baru tersedar T___T . Kita nak marah, tak boleh juga, yelah tak nak ar spoilkan mood happy pelajar ni semua.

Nak tulis salah, tak tulis pun salah. Maka marilah kita sama sama menikmati pemandangan ini.


SUN-DAY | 30.11.2014



Setiap tahun, saya tak pernah gagal untuk membidik pemandangan di sini. Rupanya kat kampus ni, adalah juga angle yang cantik untuk diambil. Masa ni kan, pelajar tak ramai lagi. Hari masih pagi. Jadi bagi pelajar yang datang awal tu, mereka sempat bergambar lama lama kat sini. Lepas dah bosan kat sini, mereka beralih arah kat tempat lain pula. Pendek kata, datanglah awal untuk ke konvokesyen. Anda sebagai graduan tidak akan menyesal kalau datang awal.

Apa yang anda dapat kalau datang awal?

Tenang
Boleh bergambar puas puas
Boleh nikmati masa dengan family dengan baik sementara anda nak masuk kat dalam dewan
Kalau lapar, sempat lagi nak makan
Anda tak termengah mengah datang kat dewan
Anda tak perlu pakai jubah semasa berjalan, tak perlu pakai mortar board senget benget
Kalau tapak kasut anda tercabut, anda ada masa dan akan sempat tukar dengan orang lain dengan tidak kelam kabut [at least, family anda boleh cari alternatif]

Dan lain lain yang anda carilah sendiri faedahnya apabila anda datang awal ke sesuatu majlis. hehehe




Semasa majlis konvo berlangsung. Kami sempat curi curi masa ke tapak pesta pergi  beli air. Beli bear comel ni. Kami pergi pagi sangat. Adalah dalam jam 9 lebih macam tu. Banyak gerai tak buka lagi.

Sebabnya, kami tahu kalau dah petang nanti, susah sikit nak datang. Time tu pelajar dah nak pulangkan jubah. Jadi pandai pandailah urus masa..

Oh ya, bear ni untuk yang dapat result UPSR baru baru ini. Tak boleh sebut nama, nanti dia perasan.




Petang pada sesi keempat konvo. Majlis dah selesai. Kami petugas pun dah balik masa ni. Dah nak maghrib, lampu dewan pun dah terpasang tapi pelajar dan ibu bapa masih ramai mengambil peluang bergambar. Yelah, bila lagi kan nak ambil peluang ni. Lepas ni, mereka dah tentu dah susah nak datang Terengganu. Jadi, ambillah peluang akhir ni. Touching la pulak. Salah satunya, bilamana melihat wajah gembira dan kepuasan pada raut ibu bapa graduan.

Saya dan Dhia pun turut sama bergambar. Dhia pun nak konvo juga. Bila dia dah besar nanti, boleh tengok balik gambar ni. Kot kot boleh jadi pembakar semangat untuk belajar. Eh, kenapa Dhia ada ek? Sebab dia datang dengan ayah dia. Kerana tu lah dia selalu je ada kat dalam galeri gambar saya.





Macam biasa, bunga yang selalu saya ambil saban tahun. HAHA. Bunga bunga ni diambil oleh kawan saya. Saya tak sempat nak ambil pusing pasal bunga sebabnya pelajar sangat ramai pada petang tu. Mereka pulangkan jubah hari yang sama kerana esok mereka dah nak balik.

Maka, tamatlah cerita konvo kita pada tahun ini.

Untuk graduan semua.

TAHNIAH!

Selamat menempuh alam pekerjaan. Dan semestinya alam belajar adalah yang paling best. HAHA



Tuesday, November 25, 2014

Penghujung Minggu

Kisah ini diinspirasikan dari kisah benar kami. Bila dah sebut kisah benar, dah tentu ianya sangat benar sekali. Percayalah kata kata tulisanku nih. 

Jumaat yang memancar mentarinya
Imbas sekejap pada 20 hb. Sebelas 20 Empat Belas yang lalu, di mana kami diberikan cuti free. Maka pada keesokan harinya yakni Jumaat, kami dah datang kerja untuk siapkan semua folders bagi skrol. Afiq ada datang sekali, Rayyan pun datang sekali. Dua dua anak buah ni sekadar memeriahkan. Si Rayyan tak berapa nak menolong sangat disebabkan moodnya telah terkucar kacir disebabkan jatuh di lopak air dalam pejabat. Afiq ada menolong juga membuang kertas bagi folder. Wah, boleh diharap juga dia ni.

Pada jam 1.30 macam tu, barang barang dikemas. Kami simpan apa yang patut lepas tu bertolak balik. Dalam perjalanan tu sempat singgah ke Mydin Mall yang baru dibuka. Mulanya tak nak singgah sebab takut. Takut ramai orang, takut pintu pecah. HAHA! Bila sampai sana, orang tak ramai sangat. Teruja juga dengan tempat baru. Ruang dia pun agak selesa. Ok, bukan pasal Makdin ni yang nak diceritakan. Tutup cerita.

Sabtu yang indah, mentari juga memancar gagah

Sabtu kami datang lagi ke tempat kerja. Kali ni kami memunggah jubah ke dalam beg. Saya datang agak lambat dalam sejam macam tu, dah banyak beg yang disiapkan.




Ini gambar keesokan harinya. HAHA. Bayangkan lah ini mesin masa. Terkedepan 1 hari. Ini sebelah petang. Pada pagi, saya duk melepak kat pejabat je. Bukan melepak kosong, saya lepak berisi. Isinya ialah menolong kawan kawan mengisi, mengecop nombor siri skrol. 

Rajah di atas adalah semasa pelajar dah ambil jubah mereka. Kala ini, orang dah agak lengang. Jadi saya tak ada kerja nak buat melainkan baca surat khabar sambil tu mengambil gambar secara rambang. Sambil sambil tu berangan sekejap. Selang seli dengan kenangan lama. Mood agak baik melayan pelajar yang ambil jubah. Ada yang tanya 'akak, kalau saya size apa ya?'. 'Akak, size S ada lagi ke?'. 'Yang kupon ni nak diberi kat sini ke?'. Macam macam soalan dan soalan itu saya jawab dengan lapang hati. Eh tak, kecuali soalan size jubah dorang. Saya bukan pakar sangat, jadi terpaksa minta tolong kawan sebelah bagitahu size yang sesuai.


Ok, mari kita kembali ke hari Sabtu. Yang saya nak cerita tadi tu. 





Inilah kerja yang kami lakukan pada hari Sabtu tu. Silalah melihat dan mengamati beg yang berisi dengan jongkong emas. hehe. Ini lebih bernilai dari jongkong emas lagi. Semua mengidamkan baju ni. Yaa, inilah dipanggil jubah! Itu menandakan hari graduasi kamu sudah hampir saatnya. Menandakan kesibukan pun bermula. Nak pakai baju macam mana, nak datang hari apa, nak datang jam berapa, berapa orang nak datang, sekampung ke? sekeluarga ke? 2 keluarga ke? beramai ramai ke? Tiket dah beli ke? Kenderaan dah ditempah ke? Semuanya tu penting dan perlu difikir serta dirancang rapi.

Ya Allah, rindunya saat memakai jubah konvokesyen. Ingat tak seronok ke? Sedangkan graduasi tabika pun dah bukan kepalang gembira, graduasi ini apatah lagi. Kita ambil gambar banyak banyak. Eh bukan bukan, yang penting merasai hari bahagia tu dengan perasaan sehabis maksimum girang cemerlang. Walaupun result tak berapa nak cemerlang, namun kegembiraan perlu melampau daripada si cemerlang. haha. Apa kisah, eh kena kisah, kena kisah. Jangan gembira melampau. Sedang sedang elok je happynya walaupun kalian semua dapat menggengam segulung diploma atau pun ijazah. 

Yelah, saya bukannya marah nak rasa gembira sakan tu. Bukan. Tapi perjalanan tu jangan gembira sangat, banyakkan hati hati. Tambahkan doa kat dalam hati, moga perjalanan selamat sampai ke dewan konvokesyen dan selamat kembali ke destinasi.


Mencelah jap si Ahad
Jap, nak cerita masa hari Ahad di sebelah pagi. Tadi tu kan Ahad di petang hari. Masa hari Ahad kan. Saya duk masukkan skrol ke dalam envelope. Mana envelope yang dah berisi dengan transkrip tu, saya jenguk jenguk juga sebelum masukkan skrol. HAHA. Saya dapati, ramai yang dapat 3.5 dan ke atas. Pandai budak budak ni eh. Dah lah tu, ramai yang dapat 3 pointer. Melayu pulak tu, dahlah program tu bukan bukan calang calang program. Aliran sains dan biasanya diboloti oleh pelajar bangsa lain. 

Saya ni memang suka tengok pada kejayaan pada pelajar yang nak konvo ni. Tumpang seronok. Tumpang rasa best!


Sabtu petang, angin petang menderu namun itu tidak membuatkan saya terlelap

Adik 1 ajak keluar cari kerang di Marang. Di Marang ada kerang. Kerang di Marang memang berkarung karung banyaknya. Memang pesta kerang sedang berlangsung dengan gegak gempita. Kan kat Marang sedang dilanda fenomena kerang. Jadi kami pun turut teruja sama.

Kami bersiap selepas Asar, terus keluar dari rumah. Ke rumah adik 1 sekejap. Kami plan nak pergi dengan 1 kereta aje. Senang nak bergerak. Dengan berbekalkan sebuah baldi untuk diletakkan kerang yang bakal kami perolehi, saya rasa seronok. Berkira kira merancang dalam kepala tu, jangan cakaplah. Tunggu masa je nak sauk kerang kat pantai nanti.

Tunggu punya tunggu, adik 1 masih tak balik lagi. Kami bergerak dah agak lambat. Bila sampai kat sana. Jalan sesak. Kereta diberhentikan. Kami turun ke pantai walaupun dah agak lewat petang. 




Kerang tak ada, yang ada hanyalah orang ramai yang tak berputus asa mencari kerang. Pantai ni macam bahaya sikit. Agak menjunam strukturnya. Ombak besar membadai. Uish, jangan dibuat memain. Sekali datang ombak, mau terguling kat dalam pantai tu. Jadi masa saya jalan ni, mata tak lepas pandang pada si Rayyan dan Afiq kat depan. Bimbang!





Baihaqi tiba tiba memunculkan diri dengan baju Ultraman! haha. Muncul dengan tiba tiba di dalam handphone. Kami tak datang sekali, kami datang asing asing. Baihaqi datang dengan kapal angkasa berwarna hitam, plat TA*xxxx. Wah, hebat Bai. Adik 2 datang agak awal daripada kami. Awal tak awal, dia pun tak dapat kerang.

Nasib baik saya tak bawa turun baldi. Kalau tak tentulah 'woh mek, mangatnya bawa baldi. nok isi nape tu?'. HAHA! Kalau ada yang tanyakan soalan macam ni kat saya, dah tentu saya jawab 'nok isi mung ar, nok isi nape lagi'. haha. Dah tentu terkerang kerang dia nak jawab. Eh, ini imaginasi saya je. Tak bawa baldi turun dari kereta, jadi tak ada lah dipandang rendah atau ditertawakan. Padam balik imaginasi dialog tu. Padam balik kan Bai?




Oleh kerana kerang tiada, maka kami melayan kerang di kedai makan sahaja. RM10/1 kilogram. Mahal juga kan harga kerang? Ini yang rasa nak redah pantai je sauk sendiri kerang. Kami makan ramai ramai. Sos kerang ni sangat sedap!




Kami gigih ke pantai cari kerang. Orang kat Kemaman senang senang dapat free tanpa bersusah payah ke pantai. Ini kerang yang kakak 2 terima daripada siapa entah. Cuma kan, kerang ni agak pelik sedikit. Dia tak macam biasa. Kulit dia dah ternganga. Kerang yang normal cengkerang dia tertutup rapat tak nak tunjukkan wajah.




Akhirnya tiba juga kat gambar terakhir ni. Rasa macam dah berjalan berpuluh puluh kilometer nak bercerita sampai habis ni. Penat menulis aih. Ini kanak kanak yang girang gembira. Sambil minum susu sambil berlari ke sana ke sini. Tahun depan kita sekolahkan mereka.

Oleh itu, berakhir sudah penhujung mingguku. Nak kata hebat sangat, tak adalah sangat. Namun seronoklah juga sebab dapat spend time dengan anak buah dan keluarga yang lain.

Mengantuk pulok doh ni. Slow slow kena undur diri doh ni.

Permisi dulu ya dong!