Friday, August 22, 2014

Pekerjaan Apakah Yang Paling Sesuai?

Lewat kebelakangan ini, diri agak sibuk memberi fokus kepada kerja hakiki. Sempat membaca beberapa blog dengan sepintas lalu namun tidak boleh berlama-lama. Masa itu sama 24 jam namun adakala ianya seperti mengambat diri.

Pada minggu ini, tatkala jari menaip dan mengemaskini semua kursus yang akan dijadualkan pada semester yang akan di buka tak lama lagi. Ya tak lama lagi. Lebih tepat lagi tarikhnya ialah pada 2 September 2014 yang merupakan hari kemasukan pelajar baru. Dan bermulanya kuliah pada 7 September 2014 selang seminggu selepas pendaftaran. Pihak kami masih gigih berjuang di dalam arena kami. Berjuang untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar, kepada pensyarah dan dalam erti kata yang luas. Memberi yang terbaik kepada semua termasuk diri kami.

Apabila menerima panggilan yang bertalu-talu yang mengandungi bermacam persoalan, bermacam perkara membuatkan aku berfikir sambil menaip setiap kursus-kursus yang terlibat.
'Saya tak mahu kelas malam, anak kecil..kesian kat mereka'
'Aida dah terima ke emel saya? Kalau boleh saya tak nak kelas malam ya'.
'Boleh mintak tolong tak, saya selalu aje kelas malam. Semester lepas malam, jadi tak nak la malam lagi'.
bla bla bla bla...
Kalau mereka mengerti akan rasa hati aku, tentu mereka akan memahami apa yang kami lalui.

Apabila diutarakan sebab musabab akan kekangan di kalangan tenaga pengajar. Satu perkara terus berlari-lari di dalam minda. Soalan demi soalan bertubi tubi, berasak-asak menjelma. Lantas dengan masa yang ada ini, akan ku coretkan persoalan dan jawapan untuk semua huraian di mindaku. Sejujurnya, jikalau mengikut rasa hati aku. Semua orang aku nak tolong. Bagi kesesuaian waktu dan keselesaan untuk mereka. Namun apakan daya, kekangan yang berlaku menyebabkan kami tidak dapat mengambil kira perkara-perkara yang boleh membantutkan kerja kami. Hati yang perlu dijaga bukan 1 orang, bukan 2 orang, namun ramai. Sangat ramai. Seorang tak nak malam, 20 orang lagi belum tentu nak kelas malam. Jadi, berlapang dada lah kalian semua.

Kamu seorang pensyarah. Dalam masa yang sama, kamu akan terkekang dengan masa dengan keluarga. Apabila ada kelas malam, kamu akan berada di persimpangan antara keluarga dan tuntutan kerja. Nak tinggalkan anak? Kasihan. Nak tinggalkan pelajar? Serba salah. 

Kamu seorang doktor. Dalam masa yang sama, kamu mendapat panggilan 'on call' untuk perkara-perkara kecemasan? Bagaimana persiapan kamu ya? Bagaimana anak-anak kamu? Panggilan itu mungkin di waktu 1.00 pagi, 3.00 pagi atau bila-bila masa sahaja. Bagaimana agaknya mereka membahagikan masa dengan baik antara kerja dan keluarga?

Kamu pula seorang guru. Tuntutan dan bebanan guru pada dewasa ini bukan calang-calang cabarannya. Kamu kuat kamu gigih, kamu lemah kamu mencemuh dengan berbolak rasa. Mencemuh bukan kerana membenci, namun tanggungjawab yang semakin memberat membuatkan kamu menjadi ibu di rumah dan ibu di sekolah. Harapan ayah emak pelajar diletakkan kepada guru. Salah guru di keji, betul guru dipuji. Hati guru? Keluarga guru pula bagaimana? Ini kerana, masa pengajaran mereka di sekolah sama sahaja seperti pekerja pekerja yang lain. Masa mereka sangat terhad. Lalu bagaimana perasaan mereka?

Kamu seorang jururawat, yang mana kamu tahu kerja kamu akan tidak menentu. Ini baru jururawat. Orang bawahan yang mempunyai peranan yang sangat besar kepada semua. Kamu juga sudah tentu mempunyai keluarga. Kerjamu tidak mengira masa, tidak mengira keadaan. Bagaimana pula dengan anak-anak kamu? Bagaimana pula dengan keluarga kamu?

Kamu pula seorang jurujual di pasaraya. Adakala shif kamu jatuh pada petang hingga ke lewat malam. Bagaimana kamu menyatakan kepada pengurusan kamu? Adakah kamu menolak jadual kerja kamu yang sebegitu? Atau bagaimana cara kamu menerimanya? Anak-anak kamu yang ditinggalkan bagaimana? Kasihan? Siapa yang menjaganya? 

Banyak persoalan kan. Ya, semua orang akan mempunyai persoalan di lema. Antara keluarga dan tuntutan kerja. Bagi aku yang belum mempunyai keluarga, memikirkan bahawa 'ini tanggungjawab kita, ini jihad kita'. Jihad berperang dengan perasaan diri sendiri, jihad untuk meninggalkan keluarga seketika untuk mencari rezeki. Jadikan kerja kita sebagai ibadah, niatkan kerja kerana Allah. Memang agak payah, namun cuba agar hati lebih rileks.

Fahamilah kalian, kita semua melalui jalan yang sama. Namun ianya berbeza situasi. Aku sendiri adakala berkerja sehingga lewat malam. Walaupun tidak kerap namun akan ada ketikanya 'hati perlu bersiap sedia untuk berkerja umpama pergi kerja gelap, balik kerja gelap'. Rela? Adakala rasa hati tidak rela, aku lebih rela lepak kat rumah, goyang kaki tengok tv layan makan minum apabila di hujung minggu. Namun ini jalanku. Apabila bebanan kerja mendesak, tidak rela akan bertukar menjadi ok je. Kaki akan melangkah jua ke pejabat. 

Pensyarah, doktor, jururawat, jurujual, guru yang hanya disebut sebagai contoh sahaja. Tidak perlu pergi jauh, contoh yang paling tepat diriku sendiri. Ini kerja yang aku mohon. Ini kerja yang aku nak. Maka, harungilah walaupun rasa umpama ombak menghempas batu di pantai. Harungilah kerana kita sama, ini pilihan kita. Maka, pikullah tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Dikala orang lain di rumah, kita di pejabat. Di malam hari, kita di pasaraya orang lain bersama keluarga bersuka ria. 

Jikalau kita membandingkan dan memikirkan bagaimana orang lain melaluinya, serasa tentu kita lebih bersyukur. 

Andai kita sayang pada keluarga, andai kita kasihan pada anak-anak, andai aku lebih suka lepak di rumah di kala ada kelapangan. Maka di sinilah, jawapannya kerja yang paling sesuai untuk seorang perempuan ialah 'menjadi surirumah yang terhebat'. Tak perlu tinggalkan anak, anak membesar di depan mata. Tidak perlu keluar malam untuk mencari nafkah. Tidak perlu berjauhan dengan keluarga.

Percayalah, andai diberi pilihan itulah pekerjaan yang akan menenangkan diri dan gejolak rasa kita sebagai perempuan.

Doakan kami akan diberi kekuatan membuat yang terbaik demi semua pihak.

Amin




No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.