Saturday, September 13, 2014

Dinihari


Hari sudah menjengah Sabtu. Namun mata masih belum mahu lelap. Maksud saya lelap dengan lena hingga ke pagi. Lelap lelap ayam tadi bertukar menjadi terjaga terus. Terdengar orang mengetuk sesuatu. Rupanya ayahanda mengetuk sna*e. Saya geli jadi perlu dieja sebegitu. Saya khuatir dengan kehadiran binatang tersebut. Yelah, rumah kampung.

Hujan diluar renyai renyai. Membawa air hujan yang jatuh mencecah atap, mengalir ke tanah. Diiringi guruh sebagai 'muzik' iringan. Tadi guruh agak kuat hingga menggegar rumah. Bukanlah kuat sangat tapi kesan dia rumah gegar. Itu baru bunyi guruh, saya dah takut! Maka di dinihari macam ni, saya tak berniat untuk memikirkan yang lain lain.

Oh ya. Sekadar mewar warkan. Saya sedang menulis di bloggerid kat handphone. Yeah! Saya muat turun aplikasi ni gara gara nak sangat menulis. Dari malam tadi lagi nak menulis. Tapi tuntutan mata lebih didahulukan. Jadinya menulis ke mana, tidurnya kroh kroh. Eh zzzz la. Sedikit sopan. Hehe.


Minggu Lepas
-----------------------

1. Alhamdulillah. Jika anda refer pada entry yang lepas. Saya akhirnya sempat jua meluangkan masa ke rumah kawan pejabat yang melangsungkan perkahwinannya. Hari bahagia beliau Ahad. Saya ke sana Isnin. Lewat sehari namun ianya tidak mengapa. Sekadar meraikan. Duduknya sebelah kampung sahaja. Tak pergi macam tak kena. Apapun, misi selesai.

2. Pada hari Jumaat. Alhamdulillah. Jadual berjaya dikeluarkan. Dalam banyak banyak jadual, jadual ini begitu mengemosikan. Saat emel dilepaskan kepada semua, airmata kelegaan mengalir. Tak pernah menangis untuk emel. Namun apabila di tekan butang send. Ya Allah leganya. Sangat lega sampai kepenatan sebelum ini terbang bagaikan kapas ditiup angin. Terbang terbang tinggi tinggi. Tinggi ke awan. #flyinghighyuna. Maafkan lirik yang tak sempurna. Haha. Saya memang tak ingat lirik lagu ni. Pernah dengar sekali namun tak dapat tangkap kesemuanya. Ah. Bukan lirik yang perlu kita bimbangkan. Kita bercakap pasal jadual ni. Itu sahaja yang mampu saya hidangkan kepada semua. Jadi terimalah dengan dada yang lapang. Kalau dada rasa sempit lagi menekan macam terhempuk. Maka maafkan saya.

Sambung lagi. Malam tadi tak sempat tulis habis, ter zzzz dulu.

3. Dalam tempoh dua minggu lepas saya menerima perkhabaran yang agak mengejutkan. Dan semestinya menyedihkan. Cuma masa menulis entry kat bawah, saya lupa nak masukkan. Masa tengah tunggang terbalik saya kat pejabat. Kawan saya call. Tanya dia 'aida ada dengar apa apa tak pasal family hajar?'. Saya hanya menyatakan tidak sebab saya sememangnya tidak mengetahui apa apa melainkan memikirkan jadual. Lalu dikhabarkan pada saya 'family hajar accident. Kak Long meninggal. Anak Kak Long baru meninggal tengahari tadi. Emak Hajar ada kat icu. Abang Hajar alhamdulillah luka sikit je'. Rupanya mereka kemalangan pada Ahad. Tapi pada Selasa baru saya tahu. Itupun sebab Hajar sendiri yang call. Kalau tidak, memang saya tak kan tahu.

Lepas bercakap dengan dia. Saya memikirkan keadaan family dia. 'Kalau accident kematian mesti ada kat dalam surat khabar'. Saya bergegas keluar dari bilik mencari suratkhabar semalam. Sebab semalam saya tak sempat baca suratkhabar. Belek punya belek. Terpampang berita tentang kemalangan tu. Wajah arwah Kak Long dia. Wajah kereta yang masuk gaung. Sedih bilamana mendengar kisah berita ni.

Dulu, beberapa tahun yang lepas. Saya tak berapa ingat sama ada Hajar yang call atau dia tahu sendiri yang emak saya meninggal dalam kemalangan. Dan hari ini kami mengalami penceritaan yang sama. Cuma lokasi dan mereka yang terlibat sedikit berbeza.

Saya nekad nak pergi ziarah emak Hajar di icu. Masa saya tulis ni, saya baru nekad tapi tak pergi lagi pun. Kena baca hingga akhir sebab dia berkait. Percayalah. [kenapa perlu tulis percayalah?]

4. Beberapa hari selepas itu. Saya terbaca status kawan saya. Dia menyatakan agar dapat didoakan untuk kakaknya yang pembuluh darah dia pecah. Ala, ayat sebetulnya saya lupa. Kehilangan memori untuk mengingat ayat dia nih. Tak apalah tapi begitulah status dia. Saya memang terbaca status dia tu agak lewat. Jadi saya pun plan nak pergi ziarah sekali dengan mak Hajar.

Plan nak pergi Sabtu lepas. Tapi tak berkesempatan sebab rancangan yang disusun dah lari dari asal. Masa ni agak terasa ralat juga sebenarnya. Sebab dah banyak hari saya tak boleh nak celah untuk kr hospital.

5. Pada hari Ahad minggu ini, pelajar dah masuk. Saya kesibukan bagai tak tahu nak selesai yang mana dulu. Plan nak jengah kakak dan emak mereka berdua pada petang ni la konon. Bajet 4.45 pm terus ke hospital. Tapi kerja pulak tidak mengizinkan saya terus pulang. Dung dang dung dang dalam jam 7.00 pm kot baru saya balik. Hampa. Memang tak boleh pergi hari ni. Jadi tekak teringin nak makan pizza. Saya singgah kat pizza seketika. Masa tu barulah saya membaca mesej mesej dalam whatsapp. Bila buka group MH17&MH370. Barulah saya tahu. Kakak kawan saya dah meninggal tengahari tadi. Saya baru baca mesejnya sekitar maghrib. Bayangkan kalau tadi saya sempat ke hospital. Tentu saya pergi kosong je. Yelah sebab saya tak tahu kakak dia dah meninggal.

Letih tak korang baca nih? Percayalah [lagi] cerita ini panjang.

Selepas tu saya plan nak ke rumah dia malam. Konon lepas magrib ok la kot. Atau lepas isyak. Bila dah balik rumah. Layan pizza, jam dah 8 lebih. Hati pula mula terasa malas sebab malam. Hati mula berbahagi rasa. Jadi saya tak jadi pergi. Dalam jam 12 kot. Dapat mesej menyatakan 'alhamdulillah majlis tahlil berjalan lancar'.

Masa tu barulah saya 'aa..ada tahlil. Ya Allah aku dok ingat sikit pasal tahlil. Nasib dok gi tadi. Kalau dok malu gok sebab orang laki mesti ramai hok mari'.

Jadi plan bertukar. Saya nak pergi pagi esok ke rumahnya. Pagi tu saya mesej kat bos. 'saya masuk lewat nak gi nawak kakak kawan meninggal'. Lebih kurang gitu la ayat dia.

Kenapa pagi? Sebab bila balik kerja nanti saya nak ke hospital lawat emak Hajar. Punyalah lama saya nak pergi ziarah. Banyak sangat likunya.

Masa saya ziarah kawan tu. Dia bagitahu. Kakak dia sihat. Kena tiba tiba je. Pembuluh darah kat otak dah pecah. Sakitnya tak lama. Alhamdulillah dia pergi dalam keadaan yang mudah. Wajah arwah senyum je. Cemburu mendengar cerita dia. Semua orang inginkan pengakhiran yang baik iaitu husnul khatimah. Semoga kita semua dapat pengakhiran sebegitu. Amin.

Eh dah nombor berapa ek? 5 ke 6? Sebab tak nampak dah nombor atas. 


Ok. 6.


6. Masa Isnin saya masih lagi diselubungi dengan kerja yang tak sudah. Dalam jam 545 macam tu. Saya katakan pada diri 'solat Asar siap siap. Sempat kot kalau bertolak dari office 6 pm. Sampai 6.30. Waktu ziarah habis jam 7. Sempat kot ni. Sebab kalau nak pergi esok belum tentu berkelapangan'.
Saya solat dan terus ke hospital menziarah emak Hajar. Mak guard kat hospital pulak sedikit buat muka. Sebabnya bila saya masuk diruangan nak ambil tag nama tu, saya tak tahu nama mak Hajar apa. Saya call kawan saya tak berangkat. Jadi saya disuruh keluar dulu untuk buat panggilan. Ok la. Cuma muka mak guard tu sorang tak senyum langsung. Mungkin letih kot.

Masa tengah buat panggilan tu la saya ternampak muka ala ala family Hajar. Saya dekati budak perempuan tu 'err anak sedara Hajar ke?'. Dia jawab dia adik Hajar. Ya Allah saya lupa akan adik dia yang bongsu. Dalam diam saya berkata sendiri 'dah besar dah. Tapi apa la nama dia ni. Dulu Hajar selalu cerita pasal dia'. Family Hajar kebanyakkannya pandai. Yang tu kebanyakkan orang tahu. Rumah dia pulak batu dua tingkat. Jadi masa dulu kan, mana ada orang mampu nak buat rumah macam tu. Kita tinggalkan topik pandai dan rumah batu ni. Nanti lagi panjang saya menulis.
Saya tanya nama emak dia. Bila dah tahu nama, dia cakap kat tepi dinding tu ada senarai nama. Ya Allah sungguh saya tak perasan. Urmm tapi kalau perasan pun saya tak boleh masuk juga. Sebabnya dah ada 2 orang pelawat kat dalam sana. Sekali masuk kan hanya 2 yang dibenarkan. Jadi saya tunggu kat luar sambil borak borak. Jam dah hampir sangat dengan 7 pm. Dipendekkan cerita. Dalam 6.50 pm baru saya dapat masuk.

Saya masuk dan terlihatlah sekujur badan di atas katil tidak berdaya. Anak lelaki makcik J tengah titipkan air zamzam pada bibir dan juga disapukan diwajah. Saya gagahkan diri untuk melihat. Lukanya tak adalah sangat. Darah pun tak ada. Semuanya ok. Alhamdulillah. Cuma tangan kirinya bengkak. Leher ditebuk. Jadi bila tiap kali makcik J nak bernafas. Dia macam agak susah. Masa ni lah saya tak dapat tahan airmata. Saya kalih muka saya membelakangi dia. Saya sapu air mata tak nak kasi dia tengok kita sedih. Saya hanya usap perlahan lutut dia. Tak berani nak sentuh lebih lebih sebab takut dia sakit. Lagipun makcik J ni baru juga sedar dari koma.

Saya menangis bersebab. Point utamanya ialah 'Alhamdulillah Allah tak uji mak aku sebegini'. Masa tu saya memang dapat rasai banyak hikmah Allah tuliskan perjalanan untuk emak saya.
Bila jam dah beberapa minit sebelum 7. Abang Hajar mengisyaratkan agar saya keluar bagi memberi ruang kepada adiknya untuk masuk.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.