Friday, November 7, 2014

Tenat dan Nazak

Banyak ketenatan dan kenazakan yang melanda khususnya di negara kita sekarang.

Tv makin nazak.
Perfileman dan pendramaan tenat tersemput semput.
Masalah sosial tenat menanti mati.
Akhlak anak muda mudi makin tenat.
Alam persekolahan tenat menjangkau mengerikan.
Iklim dunia juga telah menemui ketenatannya.
Dunia? Penghujung usia.
Manakala kita? Masih seronok. Sesekali je disapa insaf.

Kali ini saya menulis agak serius atas kapasiti seorang pemerhati bebas yang tidak terikat dengan sesiapa. Menulis bukan untuk diri sendiri namun yang lebih jauh, saya menulis untuk generasi akan datang. Walaupun saya anak, bergelar adik, masih bergelar seorang ibu saudara dan masih belum masuk di dalam kategori dipanggil emak, rasanya saya berhak untuk memikirkan hal ini.

Kukhabarkan, semakin lama, saya semakin selektif memilih rancangan televisyen kerana ada kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah yang sedang membesar.

1. Terlalu banyak anasir negatif yang dibawa oleh kaca berbentuk 4 segi itu. Cikgu yang paling berpengaruh mengajar bermacam benda. Tersergam di setiap rumah namun membawa barah secara diam diam lantas merebak dengan memburukkan dalaman. Bila dah sedar, ianya tidak dapat diundur lagi. Kanser dah tahap kronik!

Bila menonton bersama si Afiq. Dia akan bertanya itu ini.

Bakpe ye wak gitu oor? [merujuk kepada adengan bergaduh]

Jadi, biasanya sekiranya saya dah dapat agak apa adengan seterusnya, saya akan tukar kepada channel lain. Apabila channel ditukar, ayat "dok best cite ni" akan terkeluar dari mulut kecil dia. Tengok, budak budak kecil pun tahu cerita bergaduh, bertumbuk tumbuk sepak terajang itu menyeronokkan! Yang manis jangan terus ditelan, yang pahit jangan terus dibuang.

2. Di saat kawan-kawan bercerita mengenai kebestan cerita di jam 7 maghrib di tv tiga, saya hanya boleh mendengar. Tidak dapat menyampuk kerana tidak menonton. Sebenarnya saya boleh memilih untuk menonton, namun saya memilih untuk tidak. Percayalah, pada hari ini semakin susah untuk melihat drama drama yang berstatuskan betul betul UMUM. Drama jam 9 malam pun dah banyak yang berstatuskan 13 tahun ke atas. Cerita kartun pun ada yang berunsurkan keganasan contohnya adengan bergaduh yang dahsyat. Nama pun kartun, bergaduh pun memang tahap tak logik dek akal. Memang sangat mudah kanak kanak mengikuti. 

Urmm, setiap drama melayu, akan ada sedikit sebanyak diterapkan unsur-unsur mendayu dayu, entah apa apa di dalam penceritaan. Adengan yang tidak penting turut dipentingkan. Apa tujuan? Pernah satu ketika di hari raya. Saya dan anak buah berkumpul beramai-ramai melihat tv. Cerita si Mia Sara, Lisa Surihani dan juga Shaheizy Sam. Layan sebab budak budak kan suka Mia. Comel. Eh eh tiba tiba ada adengan si SS ni dengan LS di atas katil. Oh apakah ini? Bayangkan semua budak budak yang ada berumur di bawah 10 tahun ketika itu, paling muda adalah dalam 2 tahun lebih. Terkejut lalu selepas beberapa minit berkeras dengan anak buah yang tak nak kasi tukar channel, lalu channel ditukar. Astro memang ada kuasa besar untuk siaran, jadi apa dia cakna untuk semua ini. Dan pabila anak buah datang ke rumah, kitalah yang perlu mainkan peranan apa yang perlu ditonton dan apa yang tidak. Jikalau mereka di rumah masing-masing, itu adalah menjadi tanggungjawab mak ayah mereka pula.

Sebagai ibu bapa, adakah anda seronok dengan jalan cerita sebegini? Adakah ini yang ingin kita sajikan kepada minda anak-anak yang masih bersih tu? Adakah ini panduan hidup yang perlu dibawa oleh anak anak? Adakah ini yang dinamakan moden dan terbuka? Adakah saya konservatif. Ya, saya memang konservatif. Sangat konservatif pada sesuatu perkara.

Melihat pada pembesaran anak anak buah memang menakutkan saya. Takut dengan keadaan sosial di masa kini. Anak anak buah masih dilingkungan umur 14 tahun dan ke bawah. Masih kecil kecil lagi. Tapak kaki masih kecil berbanding tapak tangan saya. 

Adakah di dalam kaca tv semuanya buruk? Tidak. Masih ada sisa sisa peratusan yang baik. Masih ada pengisian yang baik. Namun cuba kita fikirkan, ramai mana yang ingin melihatnya? Kebiasaannya ianya hanya menjadi pilihan mak-mak kita, senang cerita pilihan golongan veteran atau yang dah banyak banyak umur sikit. Adalah bernasib baik, sekiranya ianya masih menjadi pilihan muda mudi. Setakat ini tv Alhijrah masih konsisten dalam menyiarkan apa yang terbaik kepada penonton.

Dunia sekarang bukan seperti dulu.

Kakak 2 saya adakala bercerita perihal kejadian di sekolah rendahnya. Jangan terkejut sekiranya budak-budak sekolah rendah ada yang membawa bahan-bahan cerita yang tak sepatutnya. Bila ditanya, kepunyaan siapa? Mak ayah punya. Dan bermacam cerita lain. Ada yang sedih ada yang sangat menakutkan kita.

3. Semalam, saya berkesempatan menghadiri ceramah mengenai perfileman. Masa masuk kat dewan tu, penceramah sedang menerangkan itu ini mengenai tugas Lembaga Penapisan Filem. Pada akhir slot, ditayangkan sebelum dan selepas filem ditapis. Terkejut betul bila mendengar dialog yang diungkapkan oleh seorang pelakon veteran wanita. Tidak bertemu punca apakah keperluan dialog sebegitu. Cerita Melayu. Urmm yang disasarkan tentulah anak muda mudi melayu. Skrip memang sampah, Yelah kalau tak sampah, takkan LPF potong skrip tu. 

Ceramah tak sempat habis, saya angkat kaki balik dulu sebab saya sayang minda dan penglihatan saya. Sedih kerana si penceramah Islam dan melayu. Tidakkah dia sanggup dan sampai hati untuk memberi kelulusan kepada filem filem sebegitu kepada generasi sekarang walaupun dah ditapis. Padahal masih banyak lagi yang perlu ditapis. Memang itu tugas dia, namun semoga dibukakan hatinya untuk resign cepat dari jawatan dia tu. Atau bertukar position pun ok juga.

Semasa saya berjalan balik, saya terfikir. Siapa penulis skrip itu? Apa tujuan dia? Menyedapkan cerita ke? Memang sampah memikirkan hal ini sebab kali pertama dengar dialog sebegitu. Kesimpulannya, untuk penghasilan cerita yang baik, ianya perlu bermula dari penghasilan skrip yang baik. Dan tentunya datang dari orang yang baik yang mementingkan nilai insaniah di dalam karya mereka demi pembentukan akhlak anak muda dewasa kini.

4. Dan malam tadi, terbaca mengenai viral video kes buli di asrama. Itu yang kita tahu, yang kita tak tahu? Buli di zaman dulu kala dan di zaman kini jauh bezanya. Untuk video sebegini, saya tidak mempunyai keberanian untuk menontonnya. Mana perginya nilai simpati sebagai seorang manusia. Keseronokan memperlakukan keganasan ke atas individu lain yang masih kecil memang tidak boleh diterima akal. Nilai kemanusiaan makin merudum umpama bangunan dibom.

Tidak pasti, adakah ini pengaruh daripada filem yang ganas? Sedikit sebanyak ya. Minda yang biasa disogokkan dengan cerita cerita aksi keganasan tidak boleh dinafikan akan menimbulkan minat untuk remaja mencubanya. Best ke ek tumbuk orang? Best juga kalau tengok orang menangis merayu rayu. Memang tenat pabila minda diajar oleh sang tv/media sosial!

Bagi para ibu bapa, selalulah mendampingi anak anak terutama yang berada di asrama ataupun yang berada di rumah. Jalinkan dan tingkatkan lagi hubungan keluarga. Usahakanlah agar anak anak seronok bercerita kepada anda sebagai ibu bapa berbanding kawan kawan mereka. Anak lelaki cabarannya begitu, anak perempuan dengan cabarannya begini. Semuanya mencabar. Dunia tanpa sempadan.

Lelaki nak tunjuk hebat, padahal tulang masih rapuh. Anak perempuan pula sibuk ingin paparkan kecantikan di media sosial. Besar cabaran ibu bapa masa kini. Awasilah permata permata anda. Doa banyak banyak untuk anak anak. Doa ibu bapa memang hebat, tiada hijab. 

Saya sendiri mengambil keputusan berfikir dan berfikir banyak kali untuk upload gambar anak anak buah terutamanya yang meningkat remaja. Sekiranya gambar ok, barulah saya upload. Gambar yang saya rasa tidak perlu dipaparkan, akan kekal di dalam laptop sahaja. Kerana, ketahuilah anak anak buahku sekalian. Kamu semua cantik, namun yang cantik itu tak perlu dipertontonkan sangat la. Err, kalau ada saya upload itu kiranya dah lepas piawaian la. Kerana menjaga anak buah seumpama kita menjaga diri kita juga.

---------------------------------------------------------------------------- penulisan disambung semula.

17.11.2014 : Semalam membaca surat khabar. Ada berita remaja yang tiada seurat benangpun membaluti tubuhnya. Baru berusia 15 tahun, diperlakukan sedemikian rupa kerana cuba mencuri motorsikal di masjid. Persoalan sekarang, WAJARKAH kita perlakukan remaja itu sedemikian??

Saya menentang sebarang kecurian, perompakan, pengedaran dadah atau apa jua kesalahan sebegitu. Namun saya juga menentang tindakan mengaibkan manusia sebegitu rupa. Dengan media sosial yang bergerak pantas sekarang, paparan tersebut tersebar sepantas angin ribut yang menderu. Tidak perlu rasanya kejahatan dibalas dengan kejahatan. Memberi pengajaran ada jalan nya, jalan mengaibkan itu bukan jalan yang terbaik.

Kita tidak tahu, rentetan peristiwa itu, mungkin boleh menjadikan seseorang berubah menjadi pendendam. Menjadi lebih agresif di dalam perlakuan mereka. Ianya berkaitan psikologi dan kita sendiri sebenarnya sukar untuk menebak masa depan. Sesungguhnya Allah lebih tahu. Dan semoga remaja itu mengubah haluan kerana masih belum terlambat untuk mengatur jalan kehidupan. Hari ini kita tidak baik, esok kita boleh menukar arah itu kepada yang lebih baik.

Hidup ini memang mencabar dan misteri, namun inilah kehidupan yang perlu kita lalui. Bijaklah mengatur kehidupan agar tidak tergelincir jauh dari landasan, Kalau rasa jatuh dari landasan, naik balik teruskan perjalanan. Semoga akhir kita dijalanNya. Amin.




No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.