Friday, December 26, 2014

Musibah. Bertabahlah

Mata menghadap handphone, menghadap laptop. Skrol semua cerita kat dada skrin. Semuanya pasal banjir. Membaca, melihat gambar dan mengetahui banyak cerita mengenai banjir membuatkan saya turut banjir. Empangan air di tubir mata tidak dapat ditampung lagi. Lalu saya membuat keputusan untuk melepaskan air mata tersebut dengan perlahan-lahan mengikut rasa yang saya rasa. 

Disember yang dilalui ini, sangat sarat dengan emosi. 

Banjir kali ni memang teruk. Sangat teruk. Tiada ayat yang boleh memperincikan situasi sekarang.

Melihat Kelantan yang lumpuh. Sedih.
Terengganu, Perak, Perlis, Johor. Negeri-negeri ini memang ada daerah yang banjir.



Gambar pada 2013. Diambil oleh jiran kakak 2 yang ketika itu balik melawat rumahnya. Diambil melalui loteng rumahnya. 

Rumah kakak 2, ketika ini air dah agak surut. Nampak tak titik-titik kuning bawah tingkap tu? Itulah paras air yang sebenarnya sebelum surut. Ketika ini, kereta tak sempat di alih. Maka berendam lah dia kesejukan. Selepas kesejukan mengalami demam-demam dan sakit-sakit urat. Akhirnya kereta ini diberi ubat-ubatan bagi menangani kesemua penyakit tu. Banyak kos yang dibelanjakan.




Ini gambar TERKINI pada pagi tadi. Air mula melimpah. Semakin hampir untuk memasuki ruang rumah. Saya bersimpati dengan mendalam apabila melihat gambar yang dikirimnya.  Sebenarnya, kakak 2 saya telah mula berpindah pada hari semalam [Rabu]. Pada jam 4 pagi, mereka dikejutkan agar bersiap sedia kerana air makin naik.

Selepas banjir pada Disember 2013 yang lalu, kakak 2 ada membeli perabot bagi menggantikan perabot yang rosak. Bayangkan, apabila sekali lagi dia terpaksa menerima hakikat bahawa 'bersedialah untuk hadapi lagi sekali keadaan ini'.

Saya tahu kakak 2 saya penat. 
Saya tahu kakak 2 saya menangis di dalam hati dan juga direaliti.
Saya tahu kakak 2 saya akan banyak fikir mengenai seluruh isi rumahnya.
Namun saya yakin, bahawa kakak 2 saya kuat.
Kuat untuk menghadapi dugaan ini dengan sehabis cekal.
Mana ada dugaan tidak berlalu pergi? 
Sedangkan malam punyai siang. 
Apatah lagi dengan dugaan, yang tentu datangnya tidak keseorangan. 
Datangnya tentu bersama-sama peringatan. 
Datangnya bersama-sama hikmah yang bukan sedikit.
Allah kan Tuhan kita. 
Kita kan mahluk dia.
Tentu Dia lebih tahu.
Masih ada lagi jalan untuk kita seluruh negara termasuk pemimpin kita berpatah balik ke pangkal jalan.

Ya Allah, tunjukkilah kami jalan yang lurus.

Berdoalah walaupun kerongkong berasa sebu dengan sebak.





Anak kakak saya 7 orang semuanya. Yang paling kecil baru berusia dalam lingkungan 4 bulan. Manakala, ini satu-satunya anak lelaki yang ada dalam keluarganya. Masih belum mengerti sepenuhnya keluh kesah Uminya. Masih sempat melayan bowling di tempat pemindahan banjir di siang tadi. Bermainlah Qayyim. Bermainlah jika itu dapat mengembirakan hatimu.




Penempatan banjir. Alhamdulillah, kami dikhabarkan bahawa mereka tinggal 2 keluarga sahaja di dalam bilik ini. Mudah kerana keluarga 1 lagi ialah adik kepada abang ipar 2 saya. Kebiasaan saya lihat, mangsa banjir akan duduk aje ramai-ramai dalam 1 bilik. Saya pun tak tahu macam mana. Mungkin sekolah ni banyak bilik kot atau dewan dah penuh.

Tinggalkan persoalan tu. Yang penting, mangsa-mangsa banjir ada tempat perlindungan, ada bekalan makanan, cukup makan pakai. Semoga Allah permudahkan urusan bantuan semua pihak yang masih belum menerima bantuan. Semoga Allah terima taubat kita. Mungkin ini teguran Allah untuk kita.

2014 - terlalu banyak tragedi besar yang menimpa Malaysia.

Bumi sudah terlalu uzur.

Takut kan?



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.