Tuesday, November 25, 2014

Penghujung Minggu

Kisah ini diinspirasikan dari kisah benar kami. Bila dah sebut kisah benar, dah tentu ianya sangat benar sekali. Percayalah kata kata tulisanku nih. 

Jumaat yang memancar mentarinya
Imbas sekejap pada 20 hb. Sebelas 20 Empat Belas yang lalu, di mana kami diberikan cuti free. Maka pada keesokan harinya yakni Jumaat, kami dah datang kerja untuk siapkan semua folders bagi skrol. Afiq ada datang sekali, Rayyan pun datang sekali. Dua dua anak buah ni sekadar memeriahkan. Si Rayyan tak berapa nak menolong sangat disebabkan moodnya telah terkucar kacir disebabkan jatuh di lopak air dalam pejabat. Afiq ada menolong juga membuang kertas bagi folder. Wah, boleh diharap juga dia ni.

Pada jam 1.30 macam tu, barang barang dikemas. Kami simpan apa yang patut lepas tu bertolak balik. Dalam perjalanan tu sempat singgah ke Mydin Mall yang baru dibuka. Mulanya tak nak singgah sebab takut. Takut ramai orang, takut pintu pecah. HAHA! Bila sampai sana, orang tak ramai sangat. Teruja juga dengan tempat baru. Ruang dia pun agak selesa. Ok, bukan pasal Makdin ni yang nak diceritakan. Tutup cerita.

Sabtu yang indah, mentari juga memancar gagah

Sabtu kami datang lagi ke tempat kerja. Kali ni kami memunggah jubah ke dalam beg. Saya datang agak lambat dalam sejam macam tu, dah banyak beg yang disiapkan.




Ini gambar keesokan harinya. HAHA. Bayangkan lah ini mesin masa. Terkedepan 1 hari. Ini sebelah petang. Pada pagi, saya duk melepak kat pejabat je. Bukan melepak kosong, saya lepak berisi. Isinya ialah menolong kawan kawan mengisi, mengecop nombor siri skrol. 

Rajah di atas adalah semasa pelajar dah ambil jubah mereka. Kala ini, orang dah agak lengang. Jadi saya tak ada kerja nak buat melainkan baca surat khabar sambil tu mengambil gambar secara rambang. Sambil sambil tu berangan sekejap. Selang seli dengan kenangan lama. Mood agak baik melayan pelajar yang ambil jubah. Ada yang tanya 'akak, kalau saya size apa ya?'. 'Akak, size S ada lagi ke?'. 'Yang kupon ni nak diberi kat sini ke?'. Macam macam soalan dan soalan itu saya jawab dengan lapang hati. Eh tak, kecuali soalan size jubah dorang. Saya bukan pakar sangat, jadi terpaksa minta tolong kawan sebelah bagitahu size yang sesuai.


Ok, mari kita kembali ke hari Sabtu. Yang saya nak cerita tadi tu. 





Inilah kerja yang kami lakukan pada hari Sabtu tu. Silalah melihat dan mengamati beg yang berisi dengan jongkong emas. hehe. Ini lebih bernilai dari jongkong emas lagi. Semua mengidamkan baju ni. Yaa, inilah dipanggil jubah! Itu menandakan hari graduasi kamu sudah hampir saatnya. Menandakan kesibukan pun bermula. Nak pakai baju macam mana, nak datang hari apa, nak datang jam berapa, berapa orang nak datang, sekampung ke? sekeluarga ke? 2 keluarga ke? beramai ramai ke? Tiket dah beli ke? Kenderaan dah ditempah ke? Semuanya tu penting dan perlu difikir serta dirancang rapi.

Ya Allah, rindunya saat memakai jubah konvokesyen. Ingat tak seronok ke? Sedangkan graduasi tabika pun dah bukan kepalang gembira, graduasi ini apatah lagi. Kita ambil gambar banyak banyak. Eh bukan bukan, yang penting merasai hari bahagia tu dengan perasaan sehabis maksimum girang cemerlang. Walaupun result tak berapa nak cemerlang, namun kegembiraan perlu melampau daripada si cemerlang. haha. Apa kisah, eh kena kisah, kena kisah. Jangan gembira melampau. Sedang sedang elok je happynya walaupun kalian semua dapat menggengam segulung diploma atau pun ijazah. 

Yelah, saya bukannya marah nak rasa gembira sakan tu. Bukan. Tapi perjalanan tu jangan gembira sangat, banyakkan hati hati. Tambahkan doa kat dalam hati, moga perjalanan selamat sampai ke dewan konvokesyen dan selamat kembali ke destinasi.


Mencelah jap si Ahad
Jap, nak cerita masa hari Ahad di sebelah pagi. Tadi tu kan Ahad di petang hari. Masa hari Ahad kan. Saya duk masukkan skrol ke dalam envelope. Mana envelope yang dah berisi dengan transkrip tu, saya jenguk jenguk juga sebelum masukkan skrol. HAHA. Saya dapati, ramai yang dapat 3.5 dan ke atas. Pandai budak budak ni eh. Dah lah tu, ramai yang dapat 3 pointer. Melayu pulak tu, dahlah program tu bukan bukan calang calang program. Aliran sains dan biasanya diboloti oleh pelajar bangsa lain. 

Saya ni memang suka tengok pada kejayaan pada pelajar yang nak konvo ni. Tumpang seronok. Tumpang rasa best!


Sabtu petang, angin petang menderu namun itu tidak membuatkan saya terlelap

Adik 1 ajak keluar cari kerang di Marang. Di Marang ada kerang. Kerang di Marang memang berkarung karung banyaknya. Memang pesta kerang sedang berlangsung dengan gegak gempita. Kan kat Marang sedang dilanda fenomena kerang. Jadi kami pun turut teruja sama.

Kami bersiap selepas Asar, terus keluar dari rumah. Ke rumah adik 1 sekejap. Kami plan nak pergi dengan 1 kereta aje. Senang nak bergerak. Dengan berbekalkan sebuah baldi untuk diletakkan kerang yang bakal kami perolehi, saya rasa seronok. Berkira kira merancang dalam kepala tu, jangan cakaplah. Tunggu masa je nak sauk kerang kat pantai nanti.

Tunggu punya tunggu, adik 1 masih tak balik lagi. Kami bergerak dah agak lambat. Bila sampai kat sana. Jalan sesak. Kereta diberhentikan. Kami turun ke pantai walaupun dah agak lewat petang. 




Kerang tak ada, yang ada hanyalah orang ramai yang tak berputus asa mencari kerang. Pantai ni macam bahaya sikit. Agak menjunam strukturnya. Ombak besar membadai. Uish, jangan dibuat memain. Sekali datang ombak, mau terguling kat dalam pantai tu. Jadi masa saya jalan ni, mata tak lepas pandang pada si Rayyan dan Afiq kat depan. Bimbang!





Baihaqi tiba tiba memunculkan diri dengan baju Ultraman! haha. Muncul dengan tiba tiba di dalam handphone. Kami tak datang sekali, kami datang asing asing. Baihaqi datang dengan kapal angkasa berwarna hitam, plat TA*xxxx. Wah, hebat Bai. Adik 2 datang agak awal daripada kami. Awal tak awal, dia pun tak dapat kerang.

Nasib baik saya tak bawa turun baldi. Kalau tak tentulah 'woh mek, mangatnya bawa baldi. nok isi nape tu?'. HAHA! Kalau ada yang tanyakan soalan macam ni kat saya, dah tentu saya jawab 'nok isi mung ar, nok isi nape lagi'. haha. Dah tentu terkerang kerang dia nak jawab. Eh, ini imaginasi saya je. Tak bawa baldi turun dari kereta, jadi tak ada lah dipandang rendah atau ditertawakan. Padam balik imaginasi dialog tu. Padam balik kan Bai?




Oleh kerana kerang tiada, maka kami melayan kerang di kedai makan sahaja. RM10/1 kilogram. Mahal juga kan harga kerang? Ini yang rasa nak redah pantai je sauk sendiri kerang. Kami makan ramai ramai. Sos kerang ni sangat sedap!




Kami gigih ke pantai cari kerang. Orang kat Kemaman senang senang dapat free tanpa bersusah payah ke pantai. Ini kerang yang kakak 2 terima daripada siapa entah. Cuma kan, kerang ni agak pelik sedikit. Dia tak macam biasa. Kulit dia dah ternganga. Kerang yang normal cengkerang dia tertutup rapat tak nak tunjukkan wajah.




Akhirnya tiba juga kat gambar terakhir ni. Rasa macam dah berjalan berpuluh puluh kilometer nak bercerita sampai habis ni. Penat menulis aih. Ini kanak kanak yang girang gembira. Sambil minum susu sambil berlari ke sana ke sini. Tahun depan kita sekolahkan mereka.

Oleh itu, berakhir sudah penhujung mingguku. Nak kata hebat sangat, tak adalah sangat. Namun seronoklah juga sebab dapat spend time dengan anak buah dan keluarga yang lain.

Mengantuk pulok doh ni. Slow slow kena undur diri doh ni.

Permisi dulu ya dong!



Friday, November 21, 2014

Mama Mia Versi Kami #inibetulbetulpunyacerita

Rasa bersalah sangat lepas post entry sebelum ni. Yelah, tajuk lain isinya lain. Itulah akibat menulis separuh separuh, lalu idea lari secara berganti ganti dan larian mula berubah menjadi acara kutip gula gula. Namun itu tak bermakna saya perlu tulis pada malam ini, tak perlu pun.

Namun kerana bersalah yang sangat bersangatan dan memang nak sangat cerita, maka ku gigihkan jariku untuk mengetuk semua huruf yang ada kat keyboard ni. Padan muka keyboad kena tidur lewat malam ni. Nasib kat luar hujan dah berhenti. Alhamdulillah. Maka esok kena pergi kerjaaa. Haaa, kena pergi kerja. 

Eh petang tadi sempat jalan jalan tengok air. Seronok walaupun dah lewat petang. Nantilah kita sembang sembang eh. Takut entry ni lari dari tajuk lagi. Kalau exam tak tentu kena tanda dek cikgu 'karangan terpesong!'. 

Ok, saya tak nak terpesong isi maka marilah kita semua sama-sama tekun membaca apa isinya. Saya kalau boleh nak bagi isi yang bermanfaat untuk kalian semua yang sedang membaca ni.

Kita kasi aluan sikit sebagai panduan pembacaan.

Versi cerita : lebih kurang Mama Mia
Sebab musabab : kami 3 orang, Mama Mia pun 3 juga. Kan sama bilangan dia
Rupa : apa ni main rupa rupa pulak, dah tentu Mama Mia berupa. HAHA. Kami ni alhamdulillah. syukur apa yang ada. Tapi tak setanding la dengan MM tu. Oit sat, bukan nak cakap pasal rupa pun.
Teraju utama : Muhammad (sekarang dah nak masuk urmmm ... tak ingat la)
Teraju yang lebih utama : sepupu saya

Kisahnya saya kagum dengan sepupu saya. Kami membesar bersama sama sejak dari kecil lagi. Dulu saya tak berapa juga dengan dia. Macam konflik kanak kanak yang sedang membesar. Lama lama bila dah besar, kami rapat secara semulajadi tanpa suntikan botox ataupun pemakanan tambahan. Tiada langsung unsur unsur sebegitu pada perapatan kami. Sangat semulajadi. Jadi tiada tarikh yang tepat bila masa ianya utuh.

Sebelum ini, saya pernah bercerita mengenai jiran saya yang menjadi pengasuh. Dan sekarang saya nak bercerita mengenai sepupu saya pula. Kiranya saya ni tidak berat sebelah. Mana yang baik patut kita contohi. Bukan contohi saya yang tak berat sebelah ni. haha. Itu ayat saya yang poyo dan tidak membawa apa apa makna pun pada pasaran minyak dunia sekarang. Maksud saya, contoh sepupu saya yang baik itu perlu dicontohi. Amacam? Nampak macam mengipas tak? Alah, sepupu saya tak baca pun blog blog ni. Dia pun tak tahu saya ada blog. Kita kita aje lah eh. Jadi pujian pujian ini tidak jatuh ke dalam kategori mengipas. 

Sepupu saya namanya Naa. Bagi nama pendek aje lah eh, tak perlu nama sebenar. Ini bukan nak isi borang cek kat bank. haha. Dia tak kerja di mana mana sektor awam ataupun swasta. Dia hanya berkerja secara sendirian berhad. Masanya lebih fleksibel dan lebih menyeronokkan. Dia pandai menjahit dan jahitannya sangat kemas. Itu saya tak boleh pertikaikan. Dia pernah belajar di dalam kolej di dalam kelas jahitan/fesyen. Macam resume lagaknya. Tapi ini bukan resume, ini pengenalan diri dia.

Sepupu saya dah pernah mengasuh 1 orang budak budak sebelum ini. Seorang atau 2 orang macam tu la. Sekali dia mengasuh biasanya tak lebih dari 1 orang. Kiranya mengambil upah untuk yang dekat dekat ajelah dengan rumah. 

Kanak kanak yang diasuhnya sebelum ini adalah biasa. Maksud biasa tu, emak datang hantar pagi dan ambil di petang hari. Lepas tu dapat gaji. Settle kerja.

Ini cerita yang saya nak coretkan lain sikit.



Nah gambar. Sebagai hadiah kerana bersabar membaca penulisan saya yang agak kutu kutu mati pada malam ini. Di samping menerima tempahan baju, sepupu saya turut mengambil upah menjaga anak orang. Jangan buat lawak cakap 'tak kan anak kucing kot'. Tak kelakar. 

Keterangan gambar : Nampak tak budak lelaki berbaju belang yang didukung sepupu saya tu? Budak tu lah saya nak cerita ni. Jadi sila fokus. Jangan kasi hilang konsentrasi anda. Aa dia memang cerah budaknya, sebab Muhammad ni nenek atau siapa entah, ada keturunan Cina. Budak baju kuning tu jangan dipandang sangat. Itu anak buah saya si Baihaqi yang sado. haha. Glamer sangat ayat sado. Itu budak sangat pandai bercakap dan menjawab. Anak buah saya tu dah mencapai tahap obesiti. Berat dia 20 kg lebih tau. Baru masuk 3 tahun, nasib tahun depan dah nak sekolah. Tapi tak tahulah macam mana akhir dia. Berjaya atau tidak. Tunggu sahaja lah. Baju kurung tu mak saudara [Makteh] saya merangkap emak kepada sepupu saya. Manakala saya pula sebagai jurugambar pada hari itu, tidak mempunyai ibu dan hanya menumpang kasih emak saudara sahaja. 

Berbalik pada budak kecil baju belang tu. Dah besar kan dia? Saya pula lupa dia dah masuk berapa bulan sebab dia dah pandai berjalan. Tak kan lah 11 bulan. Cepat benar dia pandai jalan.

Ok. Macam ni, Kenapa macam susah sangat eh nak menulis ni. Asyik macam tersekat je. 

Budak berbaju belang itu namanya Muhammad. Nama penuh tidak pernah saya tanya. Baru perasan tak pernah tanya sebelum ni, apa nama sebenar Muhammad ni. Muhammad ni dijaga oleh sepupu saya sejak dia habis pantang. Kiranya semasa dia berumur 3 bulan, dia dah dijaga oleh sepupu saya.

Cuba fikir. Ibu mana yang sanggup nak tinggalkan anak kecil sebegitu. Bukan tinggal pada siang hari aje tau, malah pada malam hari juga.

Oleh kerana ibu si Muhammad ialah seorang jururawat yang mana kerjanya ialah mengikut shift. Maka, nak tak nak dia kena cari pengasuh dan rela tak rela dia perlu tinggalkan anak dia. Anak masih lembik, masih bau bau baby lagi. Masih jari mengerekot lagi menggengam. Masih lagi menyesuaikan diri dengan dunia. Masih lagi belajar mengenali bau ibunya, bau ayahnya. Masih lagi terpisat pisat pandangan dia. Masih lagi baby yang comel. Namun, kerana kerja. Maka terpaksalah direlakan. Nenek Muhammad jauh, di dua negeri yang berasingan. Mana mungkin ibu Muhammad nak tinggalkan anak dia kat sana. Tapi tak tahulah akan datang macam mana.

Maka, tugasan sepupu saya telah bermula ketika Muhammad masih kecil lagi. Sepupu saya tidurkan dia, tukar pampers, tidur sama sama. Alahai, senang cerita jaga macam anak sendiri. Ini pengasuh gred A punya. Dahlah sepupu saya tu masih muda, tapi sanggup menjaga baby. Kalau pengasuh yang dah berusia, yang dah kahwin itu saya tak peduli lah sangat. Yelah, pengalaman dorang banyak. Dah kira otai masih berbisa. 

Upah pengasuh yang dibagi ialah RM250 sebulan. Sebenarnya saya tak tahu sangat bab bab upah ni. Kiranya mahal sangat ke atau murah atau ok. Adakala ibu Muhammad lepas balik kerja, dia akan ambil Muhammad agak lewat sedikit.

Contoh : waktu kerja habis pagi, dia akan berehat dahulu dan pada tengah hari barulah dia datang ambil Muhammad. The best part, Makteh dan sepupu saya ni selalu gak cakap 'kesian mama Muhammad penat, jadi dia rehat dulu sebelum ambil Muhammad'. Kalau kat taska dah tentu ada extra charge.

Konflik ada tak? Dah tentu ada. Bukan tak ada. Contoh, kalau ambil lambat sangat dan sepupu saya ada kerja yang dia dah plan nak buat. Maka kat situlah timbul konflik. Konflik perasaan nak bersukaria tapi Muhammad masih ada. haha. Yang lain lain ok. Biasanya sepupu saya nak keluar ambil angin dengan kawan baik dia je. 

Tapi adakala lambat tu bersebab. Pernah 1 ketika tu, ibu Muhammad ni memang sangat lambat datang rumah sepupu saya. Makteh saya dah risau lalu disuruhnya sepupu saya tengokkan ibu Muhammad. Rupanya dia kepenatan dan tertidur. Kesian kan? Dahlah mak ayah sendiri/mak ayah mentua jauh.



Mari kita tengok payung payung ni sekejap. Cuci mata la sikit. Semua ni kat lorong di Kampung Cina. Jangan ingat Kuala Terengganu tak ada benda ni eh. Adaaaa. Dah maju la sikit, sikit lagi nak sama dengan jalan jalan warisan kat Penang. hehe. Betul ke nama dia jalan warisan? Saya main hentam je. haha. Tak pernah pergi pun kat lukisan jalanan tu semua. Sebenarnya kat sini banyak lagi benda yang terpamer, tapi saya tak tunjuk semua gambar. 




Keterangan gambar yang dipaksa kirim oleh sepupu saya : Kami 3 sepupu. Yang tengah namanya Liya merupakan kakak kepada Naa. Manakala yang kanan, lagi sekali hanya menumpang kerana tiada adik adik perempuan. Gambar ni masa sepupu saya bertunang pada bulan 6 yang lalu. Tak sempat nak cerita sebab upload gambar namun tak lepas lepas. Lalu saya tidak menyambung usaha untuk menyiapkan entry tersebut. Majlis pertunangan tu saya rasa tersangat meriah dan wow. Saya rasa lah. haha.

Pada malam Ahad yang lepas, kami bertiga ke kedai makan layan meatball dan chicken chop. Kebetulan Muhammad ada kat rumah, maka bergeraklah kami ke kedai makan berempat. Sanggup bawa Muhammad walaupun ianya akan nampak seolah olah anak kepada kami kami. haha. 

Saya tak banyak pegang Muhammad, hanya Liya yang pegang. Tak kan semua nak berebut pegang pulak. Kasi can lah pada sepupu saya yang jauh tu pegang, Minggu tu kebetulan dia balik cuti.

Sebab tu la saya perasan macam Mama Mia. haha. Sebab malam tu kan, Muhammad asyik nak berdukung aje, Tak nak duduk diam kat meja makan.



Ini pulak, keterangan gambar : semasa kami lepak lepak di kedai makan di persekitaran Sabasun. Muhammad pun ada juga.

Duhai Muhammad. Ketahuilah engkau budak kecil. Kalau kami nak ke mana mana, kalau Muhammad ada. Cikda cuna cuya akan bawa kamu sama sama kami. Akan angkut Muhammad walaupun Muhammad bukannya siapa siapa pada kami pada mulanya. Sekarang Muhammad dah besar. Cikda tengok Muhammad dari Muhammad kecil lagi. Walaupun bukan cikda yang jaga, namun cikda tengok sedikit % pembesaran Muhammad. Sekarang dah pandai berjalan terkedek kedek, dah pandai marah marah, dah pandai memberontak, dah pandai ogeh pintu. haha. 

Ogeh ialah goncang/cubaan membuka pintu/sesuatu dengan semangat. 

Kalau ibu Muhammad kerja malam, maka pada petang Muhammad dah dihantar kat rumah sepupu saya. Kalau dia kerja siang, dia tak hantar. Maka mudah sedikitlah pergerakan aktiviti kami. Bukan apa, sepupu saya akan fikirkan Muhammad terlebih dahulu.

Kami tak berani nak bawa dia lama lama kat luar, sebab dia amanah kepada kami [baca sepupu saya]. Macam sepupu saya cakap, jaga anak orang ni kan, adalah lebih sukar berbanding jaga anak sendiri. Anak sendiri, kalau dia buat salah, kita boleh pukul, boleh marah. Tapi kalau anak orang, kita perlu jaga dia, lebih dari kita menjaga diri kita sendiri. Kalau dia sakit contoh demam semasa kita jaga, kita akan rasa bersalah. Kalau dia jatuh, kita takut dia cedera. Kalau ada lebam atau apa kesan gigitan nyamuk, kita yang susah hati. Tak kan nak pulangkan anak orang dalam keadaan ada gigit nyamuk, ada kesan lebam? Kalau dia buat perangai, kita kena tahan daripada nak marah marah. Memang sangat mencabar kan? Sekarang ni, dia dah pandai melasak. Kalau bawa jalan jalan, dah pandai meragam. Dah pandai berjalan, asyik nak berjalan sendiri aje. Suka mengekek bilamana kita kejar dia.

Soalan sekarang : mana nak jumpa pengasuh macam sepupu saya sekarang? Ada.. bukan tak ada. Saya tak cakap tak ada, cuma saya tanya je. haha. Bagi saya, ibu Muhammad direzekikan dapat sepupu saya sebagai pengasuh. Dia tak perlu bimbang sebab anak dia dijaga dengan baik. Tak perlu cctv. haha. Melampau sangat ni ayat. Sepupu saya mungkin tak adalah 100% sempurna menjaga, namun dia bagi yang terbaik untuk Muhammad.

Saya tengok sepupu saya dah mak mak sangat cara dia pegang budak. HAHA. Naik ternganga pun ada. Nantilah saya cerita sebab ini cerita Muhammad, tapi memang lawak oo cerita tu.

Sepupu saya masih ada adik adik lelaki. Jadi kalau apa apa, semua main peranan. Bergilir gilir kalau sepupu saya nak menjahit atau nak masak. Makteh saya tolong tengokkan apa yang patut. Sebab dia tak larat nak layan kerenah Muhammad. Makin melasak sekarang katanya.

Pejam celik, cerah gelap, dari 3 bulan sehingga 11 bulan kot dia ni, Dah besar dia. aish! Malas nak tanya sepupu, Muhammad dah berapa bulan eh? Tapi baru baru ni, Muhammad sambut birthday. Haa, dah setahun kot dia. HAHA. Ok, ini nampak sangat bukan pengasuh Muhammad. Apa pun tak boleh harap. Ala, saya anak buah dah ramai. Memang tak terlayan la birthday Muhammad. Sorry Muhammad. Nanti cikda ajak gi jalan jalan eh.

Jadinya, dengan keadaan hari ini. Berdoalah banyak banyak kat Allah semoga Allah permudahkan kepada kita untuk jumpa pengasuh yang baik. Yang boleh jaga anak anak kalian semua dengan baik walaupun tak sebaik air tangan kamu sendiri, namun sekurang kurangnya anak anda diterima dan diperlakukan seperti keluarga mereka sendiri. Berdoa semoga Allah tanamkan rasa kasih sayang pada si penjaga anak anda agar marah dia kerana sayang dan bukan membuta tuli. Ini sedikit sebanyak dapat mententeramkan anda di tempat kerja tanpa gusar fikirkan tentang keselamatan anak anda. Doakan agar anak anda tidak menyusahkan pengasuh. Doakan apa sahaja yang baik baik. InsyaAllah, Allah tentu akan tolong. 




Thursday, November 20, 2014

Mama Mia versi Kami

Pernah tengok cerita Mama Mia? Saya pernah walaupun tengok separuh dan sedikit sedikit. Yang saya ingat mereka berkerja di shopping mall, jumpa baby lepas tu mereka kelam kabut dengan polis. Dan lagi mereka kelam kabut juga nak jaga baby dan dalam masa yang sama mereka berkerja. Jadi macam kena bergilir gilir lah jaga baby tu.

Itu versi cerita. Ini versi realiti. Mama Mia versi Kami. Sebetulnya bukan kami sangat. Ianya lebih kepada versi sepupu saya.

Malam ni, saya nak kongsikan satu cerita yang pada saya macam best. Yelah, saya nak bercerita pasal benda lain. Mood saya tak berapa bagus untuk beberapa minggu ini. Banyak benda yang difikirkan. Menulis di dalam mood yang tidak ketahuan amatlah sukar. Kamu akan terganggu dengan diri sendiri. Saya seorang yang tidak mampu untuk menulis HAHA sedangkan kat hati UWAA! Menipu manusia tidak mudah apatah lagi menipu orang yang rapat dengan diri iaitu diri sendiri.

Ok. Kita pendekkan cerita yang kalau dibiarkan akan membanjir ayat ayat lantas menjadi karangan yang tiada penghujung.

Dengarlah ini cerita ya sekalianku.

*** perenggan di atas ditulis pada 18hb. dan sekarang bilamana saya buka balik draft ini. Haribulan dah pun menjangkau 20hb. Jadi elok saya sambung semula cerita di atas.

-------------------


Rasanya kali ni saya akan menulis tanpa sempadan, HAHA. Oleh kerana entry ini dah terhenti dan ada pula cerita baru, maka terimalah cerita tanpa sempadan dariku.

BahRain

Malam tadi hujan turun tidak henti-henti. Pagi tadi bersiap siap nak ke tempat kerja. Tengok air dah melimpah di kawasan belakang dapur dan sekali lagi bilik air turut menjadi mangsa.

Semasa detik nak melangkah keluar dari rumah hampir tiba, saya baca whatsapp yang menyatakan air dah naik di kawasan kampus. Maka saya tunggu sambil tak lekang membaca mesej yang masuk kat handphone. Akhirnya, pihak atasan universiti mengeluarkan arahan bahawa hari ni kami semua diberikan cuti. Nak kata gembira sangat tu tidak lah sangat.

Semalam saya demam [saya jarang demam], hati tu nak sangat mc sebab masa petang tu, memang tak larat. Saya dah bertahan dari pagi. Bila pergi klinik tapi tak dapat mc. haha. Yelah, saya pergi klinik jam 3.30 pm lagi 1 jam nak balik dari kerja. Tiba-tiba pula masa kat dalam klinik tu, demam macam dah ok. Eh dia ni memain pulak. Bila doktor check, suhu dah 38. Kiranya tak perlu mc melainkan kalau saya pergi pagi, demam masih beruap. haha. Ini demam dah sendu baru nak pergi. Errr, itu pun sebab selepas saya munta*, barulah timbul rasa takut dengan suasana sekarang. Bila musim banjir, penyakit kan mudah merebak. Itu lah yang membawa saya melangkah jua ke klinik.

Semalam tak dapat mc, hari ni semangat nak kerja eh dapat cuti free. Rasa hati seronok tak seronok sangat almaklumlah masih ada kerja yang perlu diselesaikan. Masih banyak lagi untuk bahagian saya. Urgh! Saya bimbang, Dan esok, kami semua dah kena sama-sama perlu selesaikan tugas untuk konvokesyen bulan ni. Bab-bab konvo ni, bukan tugasku namun seperti biasa, memang kami akan buat kerja sama-sama satu pejabat. Jadi no big deal la. Dah tak lama dah konvo tu, hampir seminggu lebih aje lagi.




Semasa tengah menulis, banyak gambar gambar yang masuk kat dalam whatsapp. Ini adalah depan pejabat saya. Tak pernah air naik sebegini rupa.



Depan pagar utama kampus.



Lumpuh



NOVEMBER RAIN

Bukan nak cakap pasal hujan lagi dan lagi, tapi saja je nak highlight kan macam tu. Hari semalam dan sehingga 23 November ini juga merupakan birthday kepada anak saudara dan juga adik 3 saya.

Diaorang ni macam berpakat pulak. Bermula 19 - 23.11.2014 : semuanya ada birthday. Tapi kan, macam tak sah kalau birthday tak ada kek. Suasana yang typical. HEHE. Namun tak semestinya kena beli atau wajib beli, kalau tak beli maka tiadalah birthday pada hari tu. Oh tidaklah sebegitu rigid. Cuma ianya lebih kepada rasa kegembiraan yang tidak terjangkau. Lebih lebih lagi kepada budak-budak. Itu aje lah.

Untuk semua penyambut-penyambut ulang tahun kelahiran, diucapkan dengan penuh harapan agar hidup mereka semua diberkati Allah. Diberikan umur yang berkat, hidup yang dirahmati, diberikan keluarga yang menyenangkan dan membahagiakan. Semoga selamat dunia dan akhirat. Amin.


DIARI TERBUKAKU

Lepas dah diisytiharkan cuti pagi tadi. Saya hanya melayan facebook, instagram dan whatsapp. Kesimpulannya, pagi saya sangat tidak berkhasiat. Bila dah banyak membaca itu ini, dan otak saya turut sama laju berfikir dan akhirnya saya mengambil laptop. Saya rasa saya nak menulis semua rasa tu.

Rasanya dah pernah tulis, tapi nak tulis lagi. Pernah tak tengok seseorang tu yang biasa biasa aje pada pandangan kita. Urm macam ni, macam ni. Orang tu biasa aje pada pandangan pertama kita. Namun bila kita teliti dia kan, akan ada kesimpulan dalam hati kita. 'Patutlah orang suka, dia baik'. 'Patutlah itu ini, dia ok rupanya'.

Apabila kita banyak bergaul dan jumpa dengan pelbagai ragam manusia. Saya selalu didatangi dengan frasa-frasa yang saya tidak minta pun dia hadir, tapi dia selalu hadir kat hati.

Contoh: .................................................
Senang cerita macam ni. Sebenarnya, suami dan isteri memang sangat rapat. Itu kita tak boleh pertikaikan. Namun dari segi perlakuan suami kita dipejabat. Adakah kita tahu? Saya selalu perhatikan dan fikir, adakala kelakuan suami sedikit sebanyak berbeza di rumah dan di pejabat. Apapun, yang penting cukuplah si suami pandai jaga diri dan batas batas pergaulan di pejabat.

Contoh: ada seorang budak perempuan. Bukan budak pun, dah boleh jadi mak budak. HAHA. Tapi macam comel je gunakan ayat budak, nampak bergula la sikit kan. Budak perempuan ni saya tak kenal sangat, tapi dari segi rupa biasa biasa je. Saya tunjuk gambar dia kepada kawan perempuan saya, lalu dia cakap 'xxxxxxxx'. HAHA. Tak boleh tulis. Namun bagi saya, selepas saya meneliti. Saya akui dia cantik dengan cara dia. Pengalaman dia yang menjelajah banyak negara, pandai, tahu agama dan saya rasa dia berhak untuk itu. Untuk apa? Untuk itu.. haha. Ayat yang tidak dipinta hadir kat hati 'jauh benar aku dengan dia', 'tak layak sangat aku nak sama-sama bersaing'. Ini bukan merendah diri, ini namanya sedar diri. haha.

Saya tak tahu, kenapa kat mata saya selalu nampak benda-benda cantik yang pada mulanya tak cantik terutamanya melihat peribadi orang lain. Mungkin kerana saya masih banyak kekurangan.


HAL SEMASA

Kejadian di Mekah agak heboh diperkatakan. Saya juga tidak terlepas mendapat video yang mana memaparkan pergerakan angin yang gelap [ribut pasir] yang makin lama makin gelap sehinggalah menutupi pandangan.

Di dada akhbar menyatakan itu hanyalah fenomena biasa yang seringkali terjadi saban tahun di Mekah. Saya pula apabila membacanya, otak memacu saya ke arah yang lain. Ini belum lagi datangnya hari kiamat. Saya teringat kepada 1 ayat lebih kurang bunyi nya 'gunung hancur lalu berterbangan seperti debu'. Lebih kurang macam tu la mengikut ingatan saya. Bagaimana nanti kita? Di mana nak selamatkan diri? Dengan apa nak selamatkan diri? Bagi saya itu adalah cerita atau gambaran daripada Allah untuk kita berfikir. Semua benda/kejadian boleh dilakukan oleh Allah. Menunjukkan betapa besarnya kekuasaanNya. Dan saya takut. Saya kan penakut sikit.

Mama Mia versi Kami

Akan disambung di lain siaran. HEHE.




Friday, November 7, 2014

Tenat dan Nazak

Banyak ketenatan dan kenazakan yang melanda khususnya di negara kita sekarang.

Tv makin nazak.
Perfileman dan pendramaan tenat tersemput semput.
Masalah sosial tenat menanti mati.
Akhlak anak muda mudi makin tenat.
Alam persekolahan tenat menjangkau mengerikan.
Iklim dunia juga telah menemui ketenatannya.
Dunia? Penghujung usia.
Manakala kita? Masih seronok. Sesekali je disapa insaf.

Kali ini saya menulis agak serius atas kapasiti seorang pemerhati bebas yang tidak terikat dengan sesiapa. Menulis bukan untuk diri sendiri namun yang lebih jauh, saya menulis untuk generasi akan datang. Walaupun saya anak, bergelar adik, masih bergelar seorang ibu saudara dan masih belum masuk di dalam kategori dipanggil emak, rasanya saya berhak untuk memikirkan hal ini.

Kukhabarkan, semakin lama, saya semakin selektif memilih rancangan televisyen kerana ada kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah yang sedang membesar.

1. Terlalu banyak anasir negatif yang dibawa oleh kaca berbentuk 4 segi itu. Cikgu yang paling berpengaruh mengajar bermacam benda. Tersergam di setiap rumah namun membawa barah secara diam diam lantas merebak dengan memburukkan dalaman. Bila dah sedar, ianya tidak dapat diundur lagi. Kanser dah tahap kronik!

Bila menonton bersama si Afiq. Dia akan bertanya itu ini.

Bakpe ye wak gitu oor? [merujuk kepada adengan bergaduh]

Jadi, biasanya sekiranya saya dah dapat agak apa adengan seterusnya, saya akan tukar kepada channel lain. Apabila channel ditukar, ayat "dok best cite ni" akan terkeluar dari mulut kecil dia. Tengok, budak budak kecil pun tahu cerita bergaduh, bertumbuk tumbuk sepak terajang itu menyeronokkan! Yang manis jangan terus ditelan, yang pahit jangan terus dibuang.

2. Di saat kawan-kawan bercerita mengenai kebestan cerita di jam 7 maghrib di tv tiga, saya hanya boleh mendengar. Tidak dapat menyampuk kerana tidak menonton. Sebenarnya saya boleh memilih untuk menonton, namun saya memilih untuk tidak. Percayalah, pada hari ini semakin susah untuk melihat drama drama yang berstatuskan betul betul UMUM. Drama jam 9 malam pun dah banyak yang berstatuskan 13 tahun ke atas. Cerita kartun pun ada yang berunsurkan keganasan contohnya adengan bergaduh yang dahsyat. Nama pun kartun, bergaduh pun memang tahap tak logik dek akal. Memang sangat mudah kanak kanak mengikuti. 

Urmm, setiap drama melayu, akan ada sedikit sebanyak diterapkan unsur-unsur mendayu dayu, entah apa apa di dalam penceritaan. Adengan yang tidak penting turut dipentingkan. Apa tujuan? Pernah satu ketika di hari raya. Saya dan anak buah berkumpul beramai-ramai melihat tv. Cerita si Mia Sara, Lisa Surihani dan juga Shaheizy Sam. Layan sebab budak budak kan suka Mia. Comel. Eh eh tiba tiba ada adengan si SS ni dengan LS di atas katil. Oh apakah ini? Bayangkan semua budak budak yang ada berumur di bawah 10 tahun ketika itu, paling muda adalah dalam 2 tahun lebih. Terkejut lalu selepas beberapa minit berkeras dengan anak buah yang tak nak kasi tukar channel, lalu channel ditukar. Astro memang ada kuasa besar untuk siaran, jadi apa dia cakna untuk semua ini. Dan pabila anak buah datang ke rumah, kitalah yang perlu mainkan peranan apa yang perlu ditonton dan apa yang tidak. Jikalau mereka di rumah masing-masing, itu adalah menjadi tanggungjawab mak ayah mereka pula.

Sebagai ibu bapa, adakah anda seronok dengan jalan cerita sebegini? Adakah ini yang ingin kita sajikan kepada minda anak-anak yang masih bersih tu? Adakah ini panduan hidup yang perlu dibawa oleh anak anak? Adakah ini yang dinamakan moden dan terbuka? Adakah saya konservatif. Ya, saya memang konservatif. Sangat konservatif pada sesuatu perkara.

Melihat pada pembesaran anak anak buah memang menakutkan saya. Takut dengan keadaan sosial di masa kini. Anak anak buah masih dilingkungan umur 14 tahun dan ke bawah. Masih kecil kecil lagi. Tapak kaki masih kecil berbanding tapak tangan saya. 

Adakah di dalam kaca tv semuanya buruk? Tidak. Masih ada sisa sisa peratusan yang baik. Masih ada pengisian yang baik. Namun cuba kita fikirkan, ramai mana yang ingin melihatnya? Kebiasaannya ianya hanya menjadi pilihan mak-mak kita, senang cerita pilihan golongan veteran atau yang dah banyak banyak umur sikit. Adalah bernasib baik, sekiranya ianya masih menjadi pilihan muda mudi. Setakat ini tv Alhijrah masih konsisten dalam menyiarkan apa yang terbaik kepada penonton.

Dunia sekarang bukan seperti dulu.

Kakak 2 saya adakala bercerita perihal kejadian di sekolah rendahnya. Jangan terkejut sekiranya budak-budak sekolah rendah ada yang membawa bahan-bahan cerita yang tak sepatutnya. Bila ditanya, kepunyaan siapa? Mak ayah punya. Dan bermacam cerita lain. Ada yang sedih ada yang sangat menakutkan kita.

3. Semalam, saya berkesempatan menghadiri ceramah mengenai perfileman. Masa masuk kat dewan tu, penceramah sedang menerangkan itu ini mengenai tugas Lembaga Penapisan Filem. Pada akhir slot, ditayangkan sebelum dan selepas filem ditapis. Terkejut betul bila mendengar dialog yang diungkapkan oleh seorang pelakon veteran wanita. Tidak bertemu punca apakah keperluan dialog sebegitu. Cerita Melayu. Urmm yang disasarkan tentulah anak muda mudi melayu. Skrip memang sampah, Yelah kalau tak sampah, takkan LPF potong skrip tu. 

Ceramah tak sempat habis, saya angkat kaki balik dulu sebab saya sayang minda dan penglihatan saya. Sedih kerana si penceramah Islam dan melayu. Tidakkah dia sanggup dan sampai hati untuk memberi kelulusan kepada filem filem sebegitu kepada generasi sekarang walaupun dah ditapis. Padahal masih banyak lagi yang perlu ditapis. Memang itu tugas dia, namun semoga dibukakan hatinya untuk resign cepat dari jawatan dia tu. Atau bertukar position pun ok juga.

Semasa saya berjalan balik, saya terfikir. Siapa penulis skrip itu? Apa tujuan dia? Menyedapkan cerita ke? Memang sampah memikirkan hal ini sebab kali pertama dengar dialog sebegitu. Kesimpulannya, untuk penghasilan cerita yang baik, ianya perlu bermula dari penghasilan skrip yang baik. Dan tentunya datang dari orang yang baik yang mementingkan nilai insaniah di dalam karya mereka demi pembentukan akhlak anak muda dewasa kini.

4. Dan malam tadi, terbaca mengenai viral video kes buli di asrama. Itu yang kita tahu, yang kita tak tahu? Buli di zaman dulu kala dan di zaman kini jauh bezanya. Untuk video sebegini, saya tidak mempunyai keberanian untuk menontonnya. Mana perginya nilai simpati sebagai seorang manusia. Keseronokan memperlakukan keganasan ke atas individu lain yang masih kecil memang tidak boleh diterima akal. Nilai kemanusiaan makin merudum umpama bangunan dibom.

Tidak pasti, adakah ini pengaruh daripada filem yang ganas? Sedikit sebanyak ya. Minda yang biasa disogokkan dengan cerita cerita aksi keganasan tidak boleh dinafikan akan menimbulkan minat untuk remaja mencubanya. Best ke ek tumbuk orang? Best juga kalau tengok orang menangis merayu rayu. Memang tenat pabila minda diajar oleh sang tv/media sosial!

Bagi para ibu bapa, selalulah mendampingi anak anak terutama yang berada di asrama ataupun yang berada di rumah. Jalinkan dan tingkatkan lagi hubungan keluarga. Usahakanlah agar anak anak seronok bercerita kepada anda sebagai ibu bapa berbanding kawan kawan mereka. Anak lelaki cabarannya begitu, anak perempuan dengan cabarannya begini. Semuanya mencabar. Dunia tanpa sempadan.

Lelaki nak tunjuk hebat, padahal tulang masih rapuh. Anak perempuan pula sibuk ingin paparkan kecantikan di media sosial. Besar cabaran ibu bapa masa kini. Awasilah permata permata anda. Doa banyak banyak untuk anak anak. Doa ibu bapa memang hebat, tiada hijab. 

Saya sendiri mengambil keputusan berfikir dan berfikir banyak kali untuk upload gambar anak anak buah terutamanya yang meningkat remaja. Sekiranya gambar ok, barulah saya upload. Gambar yang saya rasa tidak perlu dipaparkan, akan kekal di dalam laptop sahaja. Kerana, ketahuilah anak anak buahku sekalian. Kamu semua cantik, namun yang cantik itu tak perlu dipertontonkan sangat la. Err, kalau ada saya upload itu kiranya dah lepas piawaian la. Kerana menjaga anak buah seumpama kita menjaga diri kita juga.

---------------------------------------------------------------------------- penulisan disambung semula.

17.11.2014 : Semalam membaca surat khabar. Ada berita remaja yang tiada seurat benangpun membaluti tubuhnya. Baru berusia 15 tahun, diperlakukan sedemikian rupa kerana cuba mencuri motorsikal di masjid. Persoalan sekarang, WAJARKAH kita perlakukan remaja itu sedemikian??

Saya menentang sebarang kecurian, perompakan, pengedaran dadah atau apa jua kesalahan sebegitu. Namun saya juga menentang tindakan mengaibkan manusia sebegitu rupa. Dengan media sosial yang bergerak pantas sekarang, paparan tersebut tersebar sepantas angin ribut yang menderu. Tidak perlu rasanya kejahatan dibalas dengan kejahatan. Memberi pengajaran ada jalan nya, jalan mengaibkan itu bukan jalan yang terbaik.

Kita tidak tahu, rentetan peristiwa itu, mungkin boleh menjadikan seseorang berubah menjadi pendendam. Menjadi lebih agresif di dalam perlakuan mereka. Ianya berkaitan psikologi dan kita sendiri sebenarnya sukar untuk menebak masa depan. Sesungguhnya Allah lebih tahu. Dan semoga remaja itu mengubah haluan kerana masih belum terlambat untuk mengatur jalan kehidupan. Hari ini kita tidak baik, esok kita boleh menukar arah itu kepada yang lebih baik.

Hidup ini memang mencabar dan misteri, namun inilah kehidupan yang perlu kita lalui. Bijaklah mengatur kehidupan agar tidak tergelincir jauh dari landasan, Kalau rasa jatuh dari landasan, naik balik teruskan perjalanan. Semoga akhir kita dijalanNya. Amin.