Thursday, December 31, 2015

Siapa Penolong Pegawai Penerangan?

Edisi #throwback2015.

Dalam banyak-banyak kenangan di 2015. Kenangan ini boleh dikategorikan agak berkrim manis sekali. Nak dijadikan cerita, saya mengisi jawatan kosong di SPA [Suruhanjaya Perkhidmatan Awam] bertahun yang lalu. 

Satu hari ada mesej masuk dan memaklumkan yang saya layak untuk menduduki peperiksaan online [atas talian] pada 15 April 2015. Teruja sangat. Yelah, dah lama betul tak hadiri mana-mana temuduga. Jadinya inilah masa untuk kita merasai kembali suasana peperiksaan. 



Selepas Maghrib, saya dan sepupu terus ke pejabat. Hehe. Saya mengambil keputusan untuk menduduki peperiksaan online ni di pejabat. 

1. Akses internet laju 
2. Kebarangkalian kesesakan trafik di talian agak sukar memandangkan internet yang stabil
3. Tak berani nak gunakan wifi di rumah sepupu memandangkan calon yang akan menghadapi peperiksaan ini dah tentu ramai.

Selepas sampai di pejabat. Saya terus buka komputer dan bersedia. Ketika itu, berdebar jangan cakaplah. Dahlah saya tak sempat nak cover bacaan. Memang rugi juga sebenarnya.

Apabila bermula peperiksaan maya ini, maka dengan gigih dan mencemaskan saya menjawab. Haha. Jika ditanya apakah perasaan saya menghadapi peperiksaan objektif ini? 

Ini jawab saya, err berdasarkan pengalaman sendiri. Jadi mungkin tak sama dengan orang lain.

1. Bagus kerana dapat menjimatkan masa, kos pengangkutan, kos itu ini kerana tak perlu ke tempat peperiksaan yang mungkin agak jauh dengan tempat tinggal kita. Yelah, calon yang ada dah tentu dari segenap negeri. Jadi pendekatan ini sememangnya bagus.

2. Tak berapa best menjawab secara maya. Soalan yang terpapar hanyalah 1 soalan di tiap muka surat yang terpapar. Apabila kita klik pada soalan lain ianya dah memakan masa. Sedangkan jika kita menjawab peperiksaan di dewan peperiksaan, kebiasaan buku soalan mempunyai 5 atau lebih dari 1 soalan di setiap helaian. Kalau tak dapat jawab nombor 1, kita terus ke nombor 2 atau baca sekali lalu setiap soalan sebelum menjawab. Namun peperiksaan online ni, terpaksalah kita klik satu persatu. Memang agak leceh kerana kita sebagai calon dah tentu mengejar masa.

3. Saya sempat membaca komen di ruangan facebook SPA dan ramai yang menyatakan bahawa sistem terus ditutup walaupun masih mempunyai baki masa. Yalah kan, sistem ini dah tentu di tutup secara automatik mengikut setting yang telah ditetapkan. Cumanya, sistem dah tentu tak sama dengan peperiksaan biasa. Jika calon tak sempat nak klik jawapan, maka tak bertandalah soalan tu. 

4. Calon terdedah dengan masalah teknikal. Macam saya, Alhamdulillah lancar sepanjang peperiksaan berjalan. Cuma saya ajelah yang tak begitu nak lancar menjawab. Haha.




Dah tamat peperiksaan ni. Ketika ini, saya dah 50/50 tak harap sangat pada kejayaan. Ini disebabkan banyak soalan yang jawapannya agak keliru. Lebih kurang aje jawapan dia tu, namun jawapan yang tepat itulah yang kita cari. Memang terkial-kial nak berfikir. Jam sentiasa berdetik. Kita boleh lihat saat demi saat berdetik. 



Calon peperiksaan sahaja dah hampir 8 ribu. Mereka yang berjaya lepasi peperiksaan online ni kan, memang tabik ar. 

Semasa saya dalam perjalanan ke pejabat nak hadiri peperiksaan ni kan, sepupu saya tanya:

N: Kalau awak dapat, awak nok gi ke?
S: Kalau dapat, nok gi ar. 
N: Awak nok kerja ke kat KL [Putrajaya]?
S: Nok [tapi dalam minda banyak benda saya fikir terutamanya pasal kerja yang dah saya ada].
N: Awok dok payah gi ar ork. Sebab kat KL mahal. Haha.
S: [Turut gelak].

Tapi sebetulnya, sayu juga sebenarnya. Sepupu ni memang agak rapat dengan saya. Jadi kalau saya dapat kerja ni kan [andai lepas ke step temuduga dan seterusnya], dah tentu saya akan ditempatkan di mana-mana berdasarkan kekosongan. Itu sudah pasti. 

Apabila kita dah mempunyai kerja yang stabil, agak sukar sebetulnya untuk kita buat keputusan. Namun jika jawatan ini kena dengan jiwa saya, dah tentu saya rebut peluang yang terpapang di depan mata.

Akhirnya hari yang dinanti pun tiba. Masa untuk menyemak keputusan peperiksaan. Dub dab dub dab.



Haha. Tidak berjaya.  Ini keputusan yang saya semak selepas 5 hari berlalu. Dah agak cuma biasalah kan, masa nak menyemak tu. Memang cuak juga sebenarnya. Kita tak tahu apa keputusannya. 

Boleh saya katakan, saya lebih mengharapkan jawatan lain. Namun pengalaman menduduki peperiksaan ini memang sangat berharga. 

Dan, saya masih nak mencuba nasib untuk mencari kerja. Sekadar mencari pengalaman. Kita tak terlalu stress dengan jawatan ini memandangkan kita dah ada kerja tetap. Dan saya sentiasa yakin bahawa mereka yang layak tentu akan berjaya. Cumanya lambat atau cepat sahaja.

Jadi sekiranya kalian masih fresh keluar dari Universiti atau baru aje grad. Tak usah risau. InsyaAllah rezeki itu ada. Cuma perlu sabar. Ini berdasarkan pengalaman sendiri 1 tika dulu ketika bergelar pekerja shopping mall. Hehe.

Cuma kan, entah siapa ek yang dapat jawatan Penolong Pegawai Penerangan ni kan? Tahniah untuk yang berjaya tu.

Kita? Ah, kita cubalah lagi di lain kali. 



Wednesday, December 30, 2015

Sekali Sahaja di 2015

Sambung lagi entry #throwback sempena dah nak akhir tahun 2015. 

Semua orang suka makan-makan dan begitu juga diri ini. Cumanya kami tidak mempunyai kesempatan menerjah dan menerokai alam makanan dengan jaya disebabkan kami hanya mempunyai rehat 1 jam sahaja. Bila dah makan, bergegas nak balik ke pejabat pula. Adakala kami tersasar juga masuk ke pejabat lewat sedikit dari jam 2:00 petang. 

Hari tu kami dah berpakat nak mencuba ayam penyet di Mydin Mall. Selama datang kat sini, tak pernah mencuba ayam penyet. Tiap kali lalu kat depan restoran ni, pemandangan biasa yang kami lihat ialah penuh dengan pelanggan.

Jam menghampiri 1:00 tengah hari, kami semua masuk ke dalam kereta menuju ke sini. Masing-masing dengan menu masing-masing yang rata-ratanya adalah sama. Hehe.



Tahun ini, hanya sekali ini sahajalah kami makan ayam penyet. Eh maksud saya, saya sendiri. Kawan-kawan yang lain tak pasti macam mana. Benda yang paling sedap kita makan ialah kerak [entah apa nama dia yang sebetulnya] yang ditabur di atas ayam tu. Rasanya kruk kruk dan sukar di mengertikan. 

*******

Makanan lain yang hanya sekali di makan pada 2015 ialah pulut durian. Ini ialah hidangan selepas kami mendengar taklimat. Sedap! Cumanya pulut durian kita tak boleh makan dengan kuantiti yang banyak. Muak!



Pulut durian adalah lebih bagus jikalau dimakan dengan perut yang kosong. Ia akan membawa maksud anda akan dapat banyak dengan kuantiti yang lebih sedikit berbanding biasa. Sekiranya preut perut dah kenyang, agak mustahil kalau nak habiskan 2 mangkuk pulut durian melainkan jika kalian ialah hantu pulut durian. Hehe.



Thursday, December 24, 2015

Aidiladha - Raya Korban

Edisi #throwback2015

Pertamanya, Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1437H. Esok cuti, yess! Cuti? Urmm mengambil keputusan untuk tinggal kat rumah sambil mengemas apa yang patut. Tak boleh nak join untuk persiapan final exam esok. Terpaksa pentingkan hal sendiri terlebih dahulu. Sekali sekala, dua kali dua kala. Hehe.

Okay berbalik kepada tajuk kita tadi. Beberapa bulan lalu, kita menyambut Aidiladha. Seperti biasa sambutan di kampung saya adalah berkadar biasa sahaja. Tiada luar biasa sangat. Namun pada tahun ini ada sedikit kelainan. Pertamanya, inilah kali pertama kami menyembelih sendiri lembu korban. Sebelum ini kami menumpang di rumah orang lain. Kali ni pak saudara dah tempah penyembelih dan dilakukan di hadapan rumah dia je.

Nak dijadikan cerita, cuaca Terengganu adakala hujan adakala tidak. Kebetulan hari tu baru sahaja lepas hujan. Jadi kawasan penyembelihan agak becak. Memang kawasan rumah pakcik ni akan huru hara sikit apabila hujan. Bukan nak salahkan hujan. Jangan salah faham. 



Keduanya ialah korban kali ini melibatkan orang asing iaitu Bangladesh. Haha. Dah jadi warganegara Malaysia dah. Mereka kebetulan berkerja di snow wash tak jauh dari rumah pakcik. Bila ditanya nak join korban ke tak? Terus mereka bersetuju. Pandai dorang simpan duit kan? Mesti selalu penuh aje tabung mereka.

Ketiganya, selain mamat Bangla tu, makcik saya pun join korban ni. Memang meriah sikitlah kerana ramai yang datang.



Dah selesai kena sembelih. Penyembelih pun dah balik masa ni. Kami semua duduk jauh-jauh sebab lembu masih lagi tak habis nyawa. Mereka berdua aje rileks tunggu dengan lebih dekat. Hehe.



Ayahanda, adik abang kakak dan abang ipar 3 turut serta dalam operasi melapah. Kalau nak memudahkan kerja, kita perlu menggunakan pisau yang tajam dan bersesuaian. Paling penting perlu berhati-hati bagi mengelakkan kita melapah terlalu tebal. Daging tu akan banyak melekat di lapisan kulit, jadi macam membazirlah.



Operasi masih berjalan. Perkerja snow wash tu tidak diberi apa-apa tugasan. Mereka hanya perlu membawa bekas kosong untuk diisi daging. Lagipun mereka kerja. Ya, mereka kerja di Hari Raya Aidiladha. Tak balik kampung. Kasihan kan? Ah, tak usah kasihan sangat, sebab mereka dah rakamkan penyembelihan dan tentu mereka dah tunjuk video atau gambar tu kat saudara mara mereka kat kampung. 




Daging di tompok dan diasingkan mengikut 7 bahagian. Lembu pun dah tinggal kulit sahaja sekarang. Boleh tahan besar juga lembu ni. Kami semua dapat setiap bahagian lebih kurang 13 -16 kilogram kot. Memang puas hati apabila kita korbankan lembu yang gemuk-gemuk.

InsyaAllah tahun depan nak juga join. Tahun ni sekadar melihat aje, tak masuk korban pun. InsyaAllah tentu ada rezki. Doakan.



Wednesday, December 23, 2015

Big Bad Wolf 2015

Entry menuju ke akhir tahun akan lebih bertemakan #throwback. Sekurangnya dapat mempatrikan apa memori yang saya rasa sedikit best pada tahun ini.

Big Bad Wolf 2015 - Unisza, Kuala Terengganu #throwback

Setiap kali melihat iklan BBW, selalu tengok pestanya dibuat di negeri pantai Barat terutamanya di KL. Pada tahun ini, merasa jugalah pergi BBW. Mereka adakan BBW kat sini pada bulan 5 lalu. Suka sangat. Petang Jumaat saya, kakak ipar 2 dan sepupu pergi ke sini. Namun orangnya terlalu ramai. Keadaan kereta yang penuh sesak tu, jangan ceritalah. Pusing punya pusing kami jumpa juga dengan cik parking. BBW kebetulan diadakan di Pusat Gymnasium Unisza. Memang full house! Ketika pergi saya dah tak boleh nak masuk. Orang dah ramai dan akan dibuka semula pada jam 7 petang kalau tak silap. Kami dah tak nak menunggu lantas pulang pergi ke tempat lain. 

Bila hari Ahad, kebetulan hari kerja kan. Kami ramai-ramai [kawan sekerja] buat keputusan untuk ke BBW. Apalagi, semua setuju. Unisza ni sebelah aje dengan tempat kerja kami. Memang dalam masa beberapa minit kami dah sampai. Dan yang paling bestnya, orang tak ramai. Yuhuuu! Ahad bermakna orang Terengganu berkerja. Apabila berkerja orang tak ramai sangat. Hamboi. Penat nak explain.

Masuk kat dalam mata dah jadi rambang. Lambakan buku kat atas meja sangat banyak sampai tak tahu nak mula dari mana. Kami berpecah. Pergilah korang semua cari buku yang diingini. Saya dah tak tahu nak buku apa. Haha!

Akhirnya terus jalan ke buku kanak-kanak. Huish. Banyak sangat pilihan sampai tak tahu nak capai yang mana. Inilah buku-buku yang menjadi pilihan hati.



Harga buku ni tak adalah mahal mana. Jadi saya hanya memilih buku yang unik dipandangan saya.



Buku ini dibeli kerana anak saudara saya si Rayyan sukakan semua jenis lori, bulldozer dan anak-beranak dia ni semua. Paling menarik untuk kanak-kanak kerana buku ini ala-ala slide macam tu. Kalau nak lihat gambar, kita hanya perlu slidekan aje. Macam handphone lah pula. Hehe. Buku ni memang tebal betul kulit dan isi kandungan dia. Jadi tak adalah koyak dengan cepat.



Sebelum BBW berakhir, saya sempat ke sini untuk kali ke-3 namun hanya dapat masuk 2 kali je [tolak dengan kehampaan tak boleh masuk sebab penuh]. Maka inilah semua hasil pembelian saya di BBW. Oleh kerana masa yang kami pergi hanya lebih kurang 2 jam jadi tak berapa banyak buku dibeli. Tolak masa memilih, tolak masa rambang mata lagi. Memang beli mana yang sempat aje.

Dalam banyak-banyak buku, saya pilih buku yang ajar cara memasak kepada kita step by step. Haha. Step cara nak menggaul ayam pun penting untuk saya. Yelah, saya kan tak pandai sangat dalam hal ehwal perdapuran ni. 



Keinginan untuk memasak semakin berkobar-kobar bagai obor menyala. Satu yang saya perasan, kebanyakan buku masakan daripada luar ni, kulit dan kertas yang digunakan sangat berkualiti. Bukanlah nak diperlekehkan buku masakan kita. TIDAK! Namun buku yang saya dapat daripada seorang kawan kan, mula menampakkan unsur-unsur kemusnahan. Belum musnah lagi. Baru mempunyai unsur-unsur. Saya perlu selak helaian dengan cermat tak nak kasi tercerai ke apa.

Nanti kalau saya post perihal masakan, disinilah saya copy semua resepi. Hehe. InsyaAllah. Semoga semangat juang nak memasak ini terus membakar.

Lain kali kalau ada BBW kami nak pergi lagi. Best! Sangat best. Kali ni dah aim buku apa nak beli. Hehe.



Monday, December 21, 2015

Jeruk Mangga Asam Boi

Dah lama nak kongsikan resepi yang paling mudah dan pernah menjadi kegilaan orang Malaysia suatu ketika dulu. Sekarang ni rasanya dah kurang kot, sebab banyak lagi perkara yang jadi perhatian kita dan saling silih berganti. Apam susu lah, ini lah itu lah. Hehe.

Okay, untuk membuat Jeruk Mangga Asam Boi ni tak adalah payah sangat. Janji bahan-bahan cukup, dah siap. Itu yang penting 'bahan-bahan cukup'. Ulang 2 kali. Hehe.

Bahan-bahan:
Mangga [bahan paling penting]
Epal
Buah Warna Merah [Macam ceri, tapi bukan. Tak tahu nama dia apa]
Garam
Gula
Asam Boi
Serbuk Asam
Cili Padi/Api




Saya mengambil pendekatan menggunakan epal dan mangga lemak. Nak bagi bervariasi.



Selepas dikupas kulitnya, kita potong mengikut saiz yang kita suka.



Untuk memilih asam boi, saya pilih asam yang berwarna putih kerana rasanya dia masam dan manis. Bila kita satukan dengan bahan-bahan yang lain, rasanya lebih sedap.



Semua bahan tadi kita gaulkan ke dalam satu bekas. Epal, mangga, asam boi. Nampak tak dia berwarna putih tu? Haa, sebab itulah saya menyarankan kalian menggunakan asam boi yang warna putih ni. Salah satu sebab kerana apabila kita gaulkan dia sekali, benda putih tu akan turun menyaluti bahan-bahan lain.

Selepas tu, kita letak garam, gula mengikut rasa yang kita suka. Anggarkan sendiri. Bolehlah letak cili padi berdasarkan pedas yang kita suka, serbuk asam nak bagi warna dia putih bercampur-campur bintik coklat.



Nampak kosong aje kan? Ini sebelum saya masukkan bahan-bahan lain. Kebetulan bahan yang saya nak tu tak ada. Jadi saya buat yang asas terlebih dahulu. Dapat 1 balang besar.



Ini air yang kita akan dapat lihat selepas di letakkan di dalam peti selama semalaman. Memang sedap hirup air dia ni. Sebab tu saya tak berapa gemar jika air yang berwarna jernih [macam ala-ala air paip tu], kerana saya lebih sukakan warna macam ni. Nampak menyelerakan. Err, bagi saya je lah. Heheh.



Ini gambaran apabila semua bahan-bahan dah lengkap saya masukkan kat dalam ni. Nampak tak bintik-bintik coklat tu? Itu adalah hasil daripada serbuk asam boi. Saya beli di Giant dengan harga RM1/plastik kecil. Bukan kita nak guna hari-hari, jadi beli yang kecil dah memadai. Guna serbuk asam ni bukan apa, nampak tak cantik kalau putih seputihnya. Ini bukan Qu Putih ni. Haha. Jadi kita pandai-pandailah adun atau tukar selera mengikut citarasa kita sendiri.

Biasanya hasil yang kita dapat tu sama je. Cuma bergantung pada air tangan seseorang tu. Saya tak pandai memasak, tapi buat jeruk asam ni memang saya suka. Sepupu saya siap minta saya buatkan untuk dia sebabnya dia buat tak menjadi. Sampai sekarang tak buat-buat walaupun dia sanggup nak bayar. Sebab kalau saya buat, memang habis kat saya dulu. Hehe. Makan sikit-sikit memang tak sedar dah nak habis.

Cubalah ya.



Saturday, December 19, 2015

Lawatan ke Kelantan

Saya dan adik ipar 1 berborak kosong. Timbul idea untuk ke Kuantan namun adik ipar 1 tak berapa nak bersetuju. Dia cakap Kuantan dah biasa sangat, almaklumlah rumah kakak dia. Jadi idea berubah untuk ke Kelantan.

Pada pagi hari Rabu, saya menerima mesej daripada adik ipar 1 bertanyakan mengenai perancangan ke Kelantan. Saya memang tak maklumkan pun perancangan kami tu kepada adik 1 saya. Lantas, bila dah baca mesej dia saya terus mesej kepada adik 1 mengenai 'best gok kalau kita gi Kelantan'. Dia balas 'wak nape?'. 'Saje jalan-jalan, kita gi KB Mall lalu', jawab saya. Dia jawab 'baik kita gi Mundok'. Saya ok aje. Tak kisah pun mana-mana janji dapat pergi ke Kelantan.

Pada petang Rabu, adik 1 cakap 'kita gi esok'. Saya jawab 'esok kita kerja'. Rupanya adik 1 ajak pergi selepas kami pulang dari kerja. Bermalam di rumah adik 2 dan pagi tu terus kami ke Mundok.

Khamis petang, saya pulang dari kerja dan kemaskan barang. Saya bersama keluarga adik 1 dan mak mentua terus ke Kelantan. Sampai di Machang dah malam. Masuk kat dalam rumah sekejap dan adik 1 terus ajak pergi ke Wakaf Che Yeh. Saya sebetulnya tak pernah pergi ke sini. Jadi malam tu bolehlah lihat bagaimana keadaan tempat tu. Masa kami ke Kelantan, hujan renyai-renyai dan adakala lebat. Setiba di Wakaf Che Yeh, kami berjalan-jalan disekitar kawasan. Walaupun hujan, ramai juga pengunjung yang datang. Kat sini kami tak membeli sangat pun. Esok kan dah nak ke Mundok, orang cakap barangan kat sana lebih murah. Jadi kami sekadar menjamu mata.

Esok pagi, kami terus bersiap ke Mundok. Perjalanan dari Machang ke Mundok adalah dalam kira-kira 1 jam lebih.



Setibanya di hujung jalan, kami melihat papan tanda di sebelah kiri 'ke Mundok'. Macam tu je rupanya kawasan kami nak ke Mundok. Ada sungai dan di seberang sana itulah Mundok. Kalau tak silap info, Mundok tu adalah sebahagian negara Thailand. Kiranya masuk ke negara Thailand namun kami terhad untuk ke kawasan tertentu. Ini kerana kami masuk tanpa passport. 

Semasa sampai, kami lihat beberapa kereta dah sampai dulu dari kami tapi tak berapa banyak. Lantas kami masuk ke dalam. Kami bercakap sesama kami tentang waktu dibuka untuk ke Mundok. Kami tengok ada sampan di seberang namun mereka tak datang pula ke seberang sini.

Adik 1 turun melihat kawasan, selepas tu dia balik memberitahu kami. 'Mundok ni tutup sebab ada kes rakyat Malaysia kena tembak'. Hampa! Tak ada rezeki kami nak menjelajah dan kenal kawasan Mundok tu. Semasa kami berpatah balik, nampak anggota keselamatan di bawah sebuah rumah menjaga kawasan. 

Terpaksalah ubah rancangan. Kami ke Rantau Panjang. Sempat juga saya beli beberapa biji mangkuk. Tak banyak pun saya beli sebab tak terfikir nak ke Rantau Panjang. 

Sejam kemudian kami beralih ke KB Mall. Sampai di KB Mall, kami meronda kawasan. Tempat yang paling utama kami pergi ialah mencari kasut. Sebetulnya kasut saya dah banyak rosak, memang dah aim nak beli kasut kat sini.

Kami ke Popular, kedai buku ni tak ada kat Kuala Terengganu. Masuk aje kat sini, saya lihat 1 keadaan yang sangat menyenangkan pandangan. Saya tak pernah melihat keadaan sebegini di kedai buku di Terengganu tapi pemandangan ini pernah saya lihat di MPH di bandar-bandar besar. Di Kuala Terengganu, tak ada lagi pengunjung lepak-lepak membaca bahan bacaan di dalam kedai buku. Tapi di sini, saya lihat Melayu dan Cina selamba aje lepak membaca. Seronok  melihat suasana yang harmoni sebegini. Pengunjung kat Popular ramai sangat, macam ada pesta buku lagaknya. 



Sempat mencari buku mewarna untuk dewasa, tapi buku yang saya nak tu tak ada. Ada versi lain aje. Terpaksa bertahan untuk dapatkan semua siri buku-buku ni. 



Selepas itu, kami singgah untuk makan sekejap. Saya order aiskrim kelapa. Saje je lah order benda baru. Tak pernah nak mencuba. Oklah not bad. 

Sempat ke Stesen Keretapi Wakaf Bharu. Dulu, selalu pasang impian nak naik keretapi. Kali ni, impian tu datang lagi apabila sampai kat stesen ni.




Rasa seperti zaman dulu kala. Macam nostalgia sangat apabila melihat landasan ni, walhal tak pernah naik pun keretapi.


Saya selalu berasakan naik keretapi ini sesuatu yang menyeronokkan. Melalui kawasan kampung, makan roti cicah air kopi. Berangan macam ni sebab pernah lihat dalam tv dokumentari pasal keretapi yang last sekali stesen dia kat Johor tu. 



Kami ke sini disebabkan abang Rayyan nak datang lihat landasan keretapi. Eh, bila dah sampai kat sini. Dia nak pergi jalan sepanjang landasan ni pula. Mana boleh, kami bukan nak berlama-lama kat sini. 



Ambil gambar bukan sebarangan ambil gambar. Saya dah pasang plan nak naik keretapi 1 hari nanti. Tak tahulah bila jadi kenyataan. Hahaha. Bajet nak naik dari KL Sentral terus ke Utara. Kononnya. Kalau nak cuba, kena plan bebetul ni.

Selepas ke sini, kami ke Tesco dan terus balik ke Terengganu.

Sedikit info dan persepsi mengenai Kelantan. 

Saya selalu mendengar orang cakap Kelantan ni mundurlah, apalah. Perkara-perkara negatif. Bagi saya sepanjang saya berada di Kelantan [bukan kali pertama datang ke sini], saya tak nafikan adalah beberapa perkara yang perlu ditambahbaik. Tapi saya tak nak 'up'kan info tu.

Terengganu dan Kelantan sama-sama Pantai Timur. Namun dari segi kuasa beli rakyatnya, Kelantan agak terkedepan berbanding negeri saya. Mereka rakyat Kelantan tak perlu bersusah payah nak datang ke Terengganu sekiranya nak membeli barangan contoh barangan peribadi. Tapi kami rakyat Terengganu, biasanya akan membuat pilihan membeli di Kuala Lumpur, Kuantan atau Kota Bharu. Kerana di Terengganu tiada shopping mall yang menawarkan barangan yang kami ingini. Oh ya, kami ada Mesra Mall namun tak banyak barangan yang ada kat situ. Biasanya kalau alang-alang nak membeli, memang kami akan ke tempat lain yang lebih banyak pilihan.

Saya hanya menulis perihal negeri Pantai Timur, bandingkan dengan negeri yang dikatakan mundur. Kalau bandingkan dengan negeri besar, kan bunyinya macam eksyen pula. Patut ubah mentaliti orang-orang kita. Kalau mundur, kami tak datang ke Kelantan. Mak mentua adik 1 saya siap cakap semasa kami di KB Mall 'macam kat Kuala Lumpur rasa'. Ini pandangan orang tua ni, bukan orang muda macam kita. Sekurangnya kat Kelantan mereka ada Manhattan Fish Market. Sebelum ni semasa datang kat sini, tak perasan pula adanya restoran ni.



Wednesday, December 16, 2015

Humaira dan Gigi

Sebelum ini dah pernah tulis pasal gigi orang dewasa. Kali ini nak ceritakan perihal gigi si Humaira. Jika nak dibandingkan Humaira dan abangnya Afiq, urrmm memang jauh bezanya dari segi penjagaan gigi.

Gigi Afiq mula rosak kerana terlanggar sesuatu yang tidak saya ingat. Akarnya mungkin dah rosak kerana gigi dia dah berubah warna sekarang. Tapi sekali tenung, dah nampak macam ada minor kerosakan pada gigi Afiq. Macam ulat bersarang. Haha. Tak tak. Macam gigi dah diserang rongak tapi bukan rongak. Susah juga nak terangkan eh. Ini mungkin angkara makan gula-gula sekali sekala dan adakala berubah menjadi berkali-kali.

Namun setakat ini, gigi yang dah rosak akarnya tu tak adalah sampai perlu dicabut giginya. Setakat yang saya ingat, Afiq tak liat nak menggosok giginya. Rajin dan bersemangat kalau nak jumpa doktor gigi. Ya, kakak ipar 2 saya selalu juga membawa anak-anaknya memeriksa tahap gigi samada rosak atau tidak. Setahun tu adalah dalam 2 atau 3 kali.

Nak dijadikan cerita. 

Apabila hadirnya Humaira ke dunia. Maka Humaira telah menjalani kehidupan dan proses pembesaran seorang bayi kepada kanak-kanak kecil. Berbekalkan angka 1 tahun 9 bulan kot, dia telah membawa 1 imej yang agak tidak patut bagi kanak-kanak seusianya. HAHA!



Gambar ini saya ambil 2 bulan yang lalu. Apabila kita sebut aje perkataan 'gigi', secara automatik sel-sel otak Humaira terus berhubung secara pantas lalu tindakan spontannya ialah menutup mulutnya. Ini bukan menutup mulut secara biasa, namun secara ketap! Tak buka-buka walaupun anda menggeletek dia. 

Humaira dan gigi dia kan, entahlah. Saya pun tak tahu kenapa dia susah sangat nak bagi orang lain cuci giginya. Selepas berjumpa dengan doktor gigi, kakak ipar 2 bagitahu yang gigi Humaira dah rosak. Macam ada karang gigi. Dari kecillah kita nak jaga gigi kita. Bila dah besar kita just maintainkan aje gigi tu.


Berjaya mengambil gambar selepas sabar menanti
Paling tak tahannya, gigi depan pulak tu. Doktor dah sarankan supaya kakak ipar 2 saya gunakan ubat gigi orang dewasa dengan kuantiti yang munasabah bagi seorang kanak-kanak. Dah tak boleh dah guna ubat gigi kanak-kanak yang berperisa macam-macam tu. Hampir setiap malam, akan ada aktiviti menggosok gigi secara paksa kepada Humaira. Berus gigi jangan cakaplah, bermacam jenis dah beli.

Untuk menggosok gigi, kakak ipar akan pegang si Humaira dan abang 2 pula akan menggosok giginya. Ketika itu akan berteriaklah Humaira ni. Memang menangis dengan pakej meronta sekali. Nasib baik tangisan dia ni sekejap je. Adakala saya mengambil tugas abang 2 dengan menggosok gigi Humaira dan kakak ipar 2 memang tugasnya memegang Humaira. Tugas tetap. Hehe.

Bila kita yang tukang gosok, memang saya akan tenyeh betul-betul. Haha. Nangis tak nangis. Kasihan bila kecil-kecil gigi dah rosak. Sebetulnya gigi ni kita tak perlu nak gosok kuat-kuat sangat, cuma disebabkan gigi Humaira ni ada karang, terpaksa buat macam tu.

Dan sekarang dah bulan 12, gigi Humaira makin teruk. Warna memang dah berkarat betul. Cuma sekarang, kalau kita tanya pasal gigi. Bolehlah dia sengih-sengih dan tunjuk tak tunjuk gigi dia. Tapi menangis memang masih menangis bila kena gosok gigi.

Mungkin juga ianya berkaitan dengan kalsium si ibu ketika mengandung kot. Ini agakan yang saya bagitau kat kakak ipar 2. Hehe. Kerana pada usia Humaira sebegitu, dia bukannya makan benda-benda merepek. Kerosakan gigi ni dah berlarutan hampir 5 atau 6 bulan yang lalu. Karang gigi tu memang tak akan hilang walaupun kita dah berus kecuali kalau Humaira pergi cuci gigi. Kot la hilang. Pandai-pandai je mak cik ni. Haha.

Moralnya:

1. Ibu bapa sekalian, cucilah gigi anak-anak anda walaupun mereka tak nak. Kalau susah-susah sangat, gunakan aje kain tuala ke, kain batik ke. Janji boleh kesat gigi mereka tu. Nak lagi senang, beli aje yang macam permainan plastik tu, tapi kita boleh masukkan jari kat dalam tu. Nama dia memang saya tak tahu, tapi rupa dia saya tahu. Pernah nampak kakak sendiri gunakan untuk anak dia. Tak payah cari kain bagai.

2. Lepas tu, kalau memang anak tu seolah-olah benci dan tak boleh berkawan langsung dengan berus gigi. Teruskan beli berus gigi dan ajar mereka pegang berus gigi tu. Saya lihat kakak ipar 2 saya selalu belikan berus gigi dan bagi Humaira pegang sendiri. Sambil-sambil tu, ajar mereka halakan berus gigi tu pada gigi mereka. Senang cerita, jadikan berus gigi tu macam permainan bagi mereka. Biar mereka biasa dan tak takut dengan berus gigi. Sekarang Humaira pun dah tak campak berus gigi. Haha. Kalau dulu, memang dia campak aje berus tu apabila ada kat tangan dia. Adalah perubahan daripada tak ada langsung.

3. Perlu banyak bersabar dengan perlakuan dan tindakan anak-anak kecil ni. Mereka memang tak boleh terima dengan cepat apa yang mak ayah buat. Tapi InsyaAllah, lama-lama mereka akan berus sendiri. Harapnya begitulah. Hehe.



Tuesday, December 15, 2015

Semuanya Penting

Saya pernah menulis pasal ini di sini : Kisah 1  &  Kisah 2

Sekarang dah macam trend. Tak tahulah trend ni timbul kerana media sosial yang tanpa batasan atau masing-masing cuba untuk pertahankan sesuatu. Saya hanya mengambil beberapa contoh berdasarkan apa yang saya baca di dalam media sosial.

Jururawat - kerja ini menuntut kesabaran tinggi dengan kerenah pesakit.
Doktor - kerja kami tak menentu. Penat jangan cakaplah.
Guru - kami bukan pengasuh anak-anak kalian.

Saling berhujah tanpa kesudahan. Mungkin kesudahannya ialah ...

Hanya mereka yang tahu. Tak boleh nak agak perasaan orang.

Setiap kerja ada penatnya sayang. Cuba ambil masa lihat disekeliling. Lihat pada tukang bersih di tepi jalan. Berpanas berhujan. Adakah mereka tidak penat? Cuba lihat pada pengawal keselamatan yang antara tidur dengan tidak menjaga amanah. Tambah lagi apabila pengawal keselamatan itu dah berusia. Cuba alihkan pula pandangan sayang sekalian pada buruh kasar. Memikul bebanan simen dari lori besar ke kedai hardware. Si tukang pikul simen bukan pemuda yang masih punyai upaya namun si tua yang sudah lanjut usianya. Dan bermacam lagi variasi pandangan yang boleh kita lihat.

Dalam zaman serba moden ini perbandingan siapa yang tak didendang siapa yang didendang seolah-olah menjadi persaingan. Kita yang membaca terasa lelah dengan dambaan sebegitu. Dalam dunia ini bukan hanya beberapa pekerjaan yang ada sayang sekalian. Banyak lagi pekerjaan yang melelahkan lagi menuntut kesabaran. Sama ada kita tahu atau tidak. Adakala hanya si pekerja itu sahaja yang tahu apa dugaan di bidang mereka. Kita tidak boleh nak meneka semberono sahaja.

Sayang sekalian, semua kerja ada peranan pentingnya. Tak kira kita ni pencuci tandas ke, tak kira kita sales girl kat supermarket ke, tak kira kita ni pengangkut sampah ke, tak kira kita tukang kebun ke apa. Semuanya penting.

Mereka yang tak pernah mengadu kerja aku lebih penat & tidak didendang di media sosial lebih tinggi nilainya pada mata saya. Ya, saya pun perlu muhasabah diri.

Ps. Sesetengah contoh-contoh di atas adalah dekat dengan diri saya.



Monday, December 14, 2015

Balik Kampung

Sejak 3 Disember lalu, episod adik beradik balik ke kampung menghiasi kalendar. Kerana itu fokus berubah kepada mereka dan bukan pada blog. Hehe.

Dan kebetulan pula, saya di dalam mood untuk menghabiskan cuti tahunan. Memang sangat ngam-ngam dengan kepulangan mereka.

3 Disember kot, adik 4 balik ke kampung bersama isterinya. Sempat kami ke pasar malam bersama-sama dengan si Afiq. Ketika adik 4 balik, kebetulan kat Terengganu mengalami musim tengkujuh-musim panas. Hujan dan mentari silih berganti. Alhamdulillah hujan pada tahun ini tidak seperti tahun yang sudah. Alhamdulillah tahun ini tiada banjir di Kemaman atau Terengganu. Tak tahulah kot saya yang tak tahu.

Hampir setiap malam sentiasa ada aktiviti mencari ikan. Adik 4 dan abang 2 sibuk pergi menyauk ikan di belakang rumah, di sawah atau di belakang tali air di belakang. Memang sangat meriah akuarium kat rumah dengan anak-anak ikan yang mereka tangkap. Ada ikan haruan [paling banyak], ada ikan sepat kot. Saya tak ambil cakna sangat. Si Afiq menjadi sangat sibuk. Apabila hujan, dia seolah-olah tak senang duduk. Hujan itu ikan, ikan itu hujan.

'Leid, leid [walid]. Jom tangkap ikan'. 

'Poksu nok gi mana? Tangkap ikan ke? Nok gi gok'.

Paling haru.

'Walid, walid. Ada ikan belakang. Afiq napok ekor ikan leid'. Haha! Yang paling sadis, abang 2 percaya cakap Afiq. Padahal anak ikan je.

Pada 7 Disember lalu, adik 3 balik bersama isterinya. Hari cuti saya adalah semasa mereka ada di rumah. Pada hari Khamis, kami sempat ke Pasar Payang untuk menikmati bihun [mee] sup. Memang sup kat sini boleh tahan rasanya. Saya sempat bertanya pada adik ipar 3 berkenaan rasa mee sup kat sini. Dia maklumkan pada saya, rasanya berbeza dengan sup yang ada kat Penang sana.

Hari Jumaat kami sempat makan malam bersama-sama di sebuah kedai ikan bakar. Namun rasanya, kami dah kena mencari kedai yang lebih baik dari yang ini. Maksud saya, kedai yang mempunyai masakan yang lebih sedap. Cuma saya terfikir untuk men'shell out' dengan keluarga di lain masa.  Ini gara-gara tertengok 1 video cara-cara membuatnya. Satu lagi, kita selalu jangkakan masakan di kedai sedap. Namun adakalanya biasa-biasa aje. Rasanya lagi berbaloi jika kita beli sendiri dan masak sendiri dengan lebih kasih sayang. Hehehe.

Sekarang mereka dah balik ke Penang selepas hampir seminggu bercuti di kampung.

Pada hari Jumaat  11 Disember, kakak 2 balik ke kampung dengan sebatalion anak-anaknya. Haha. Dia sempat makan malam bersama-sama kami sebelum adik 3 balik ke Penang. Sebetulnya, keluarga kakak 2 selalu memeriahkan suasana kerana anaknya ramai. Anak dia pula ada pelbagai peringkat umur yang sedang membesar, lagilah bertambah meriah. Meriah dengan tangisan koir. Haha. 

Tadi dia dah nak balik ke Kemaman dan kebetulan saya cuti. Kami sempat ke Mydin [mana lagi kan?] untuk membeli peralatan sekolah anak-anak dia. Banyak benda yang tak ada kat sini, maka kami beransur ke kedai lain. Sempat dia membeli kasut, tudung dan baju sekolah di kedai yang dia berkenan. Saya hanya mengikut sambil sempat jugalah membeli pensil warna. Yuhuu. Dapat juga yang 48 punya. Sebelum ini hanya sempat beli 24 batang aje. Lagipun tadi ada offer, sebab tu sambar dulu sebelum harga dia naik. Berani beli sebab saya dah survey harga dia sebelum ni. Hehe.




Ini Humaira dan si Rusyda. Memang lama betul tak jumpa dengan anak buah yang sorang ni. Tengok-tengok dah besar. Rusyda dan Humaira adalah sama usia. Mereka sekarang dah setahun lebih. 

Sebelum Rusyda balik ke kampung, kami dah sembang awal-awal. Kami dah agak si Rusyda ni lebih lasak berbanding dengan Adam dan Humaira. 

Humaira, Adam dan Rusyda dilahirkan pada tahun yang sama namun berbeza bulan. 

Mungkin kerana si Rusyda ni punyai kakak yang ramai membuatkan dia dah biasa dengan aktiviti 'PLKN'. Tengok rambut lah. Haha. Panjat kerusi itu biasa. Si Humaira bagi saya dah lasak namun masih kalah dengan si Rusyda. Sepanjang kita mendukung dia kan, ada sahaja benda yang dia nak capai. Genggaman dia cukup kuat dengan usia dialah kan. Kalau handphone tu, jangan cakaplah. Berebut dengan kita tau. Pandai selfie. Haha. Rasanya dia tengok adik beradik dia kot nih.




Langkah yang membawa misi besar. Nak melayan pelbagai kerenah mereka ni, memang sangat memeningkan kepala. Nak-nak kalau si Afiq, Qayyim nak duduk dalam troli. Dahlah berat. Nasib baik si Humaira dan Rusyda tak buat hal. Boleh kontrol lagi. Afiq dan Humaira saya yang jaga kerana kakak ipar 2 pergi ke kelas memandu. Nasib baik saya cuti, bolehlah jaga mereka ni.

Terfikir juga, macam mana kakak saya mengawal 7 anaknya sebegitu ketika membeli keperluan yang penting. Bukan senang tau. Itu belum campur yang menangis nak itu ini, yang bergaduh lagi. Haha. Macam huru-hara pun ada. Tapi tadi rasanya ok kot. Boleh diterima lagilah walaupun mulut kita asyik memesan jangan itu, jangan ini. 

Aduhai anak-anak buahku. Terpaksa guna ayat jangan. Dah tak jalan nak guna cara diplomasi atau cara reverse psychology. Haha. Tak sempat dah. Percayalah. 



Thursday, December 3, 2015

Ya Allah, Baiknya Mereka

Pada tahun sudah. Ya ini cerita dah tahap tv hitam putih. hehe. Tapi nak tulis untuk kita sama sama fikir dan ambil tauladan. Satu pagi kami ke taklimat rutin di bulan Ramadan. Taklimat pada kali ini bertajuk Mudahnya Menjemput Rezeki.

Ketika ceramah sedang berjalan, kami semua hadirin di beri sampul kosong. Kita sebetulnya tak tahu apa isi kandungan kat dalam tu. Sampul itu diedarkan kepada semua orang di dalam auditorium. Kami dapat satu sampul dan selepas selesai sampul diagihkan, kami diminta untuk membukanya.

Pada ketika itu, terdapat beberapa peserta yang mendapat duit apabila sampul dibuka. Ada yang dapat RM10, RM50. Mereka yang dapat duit tu kan, telah diminta untuk menerangkan apa kebaikan yang telah dilakukan ketika atau sebelum datang ke taklimat ini.

Cerita yang saya dengar, Subhanallah. Sangat tak terjangkau pada fikiran kita.

A : ketika dia datang ke tempat kerja. Dia selalu melihat sebuah keluarga yang susah. Hampir setiap hari dia nampak. Lalu dia mengambil keputusan untuk memberi beberapa barangan keperluan makanan. Tak lama kemudian dia di dapati hamil. Betapa gembiranya dia.

B : Lelaki ini selalu bersedekah tak kira berapa nilainya. Diah menjadi rutin beliau untuk berbuat demikian tanpa dipaksa.

C : Selalu share tentang cerita cerita yang ada memerlukan sedekah. Beliau share untuk di kongsi bersama kot kot ada orang lain nak bersedekah.


--- Cerita di atas berada di dalam draf sejak 2 Oktober 2015 yang lalu. Tak tersambung cerita itu sampai ke sudah. Hari ini, biarlah saya sambung hingga ke akhir.

Apabila mendengar kematian seseorang yang dikenali di Malaysia ini beberapa hari yang lalu, saya teringat akan cerita tergantung yang saya tulis di atas. Teringat kepada beberapa gambar yang saya save di dalam handphone.

Saya membuka youtube melihat apa yang saya ingin lihat. Buka pula instagram dan melihat apa yang ingin hati lihat. Apabila berbicara dengan sepupu saya siang tadi, saya buka pula instagram yang lain. Sepupu saya sebagai follower bagitahu yang dia pernah membalas komen sepupu di dalam instagram. Saya bukan jenis follow rapat seseorang di dalam instagram, jadi memang tidak mengikuti perkembangan. Mudah cerita, memang tak tahu sangatlah. Tambahan pula di rumah tiada siaran Astro Warna. Akan tetapi apabila melihat dan melihat gambar dan setiap komen, akhirnya saya menangis.

Apabila orang agama membuat kebaikan itu mungkin biasa, namun apabila orang biasa membuat pelbagai kebaikan itu luar biasa. Luar biasa bagi saya.

Hidup lawannya mati.




Dalam hidup kita, adakala kita lalai. Terlupa akan hakikat hidup yang sementara. Adakala kita terbuai dengan dunia yang serba 'sempurna' di mata kita. Dengan pelbagai dugaan dan godaan, adakala hati kita tewas.




Ketika dalam ceramah Mudahnya Menjemput Rezeki. Rupanya ramai orang senantiasa berbuat kebaikan tanpa kita sedari. Adakala seseorang itu biasa-biasa sahaja di mata kita, namun apabila kita mendengar cerita-cerita mereka, terasa terpana juga. Baiknya mereka.

Kata-kata di atas sentiasa saya ingati. Janji Allah itu benar. Dan sekarang, kebenaran itu tersingkap. Tidak pernah kita tahu apa kebaikan yang dia telah lakukan dan selepas kematian barulah terhambur segala cerita kebaikannya. Tiada siapa yang paksa seseorang itu menulis kebaikan tentang si arwah, namun itulah yang terjadi. Banyak sangat kebaikan dia yang baru kita semua tahu.




Kata-kata ini saya simpan untuk diri sendiri. Semat dalam kepala. Sebetulnya dah lama saya simpan gambar ni kerana pada zaman ini, kita selalu mudah menjadi tuan hakim kepada sesiapa sahaja tanpa kita sedar.

Sebab itulah kita tidak boleh hakimi seseorang berdasarkan lahiriah mereka sahaja. Cuba tanam pada diri kita, mereka lebih baik dari kita. 

Saya sendiri dah jumpa dan tahu betapa ramai sangat orang baik yang ada dikeliling saya ketika hadir ke taklimat Mudahnya Menjemput Rezeki. Ramai dan kita sahaja yang tak tahu kerana urusan itu antara dia dengan Allah.

Semoga Allah merahmati roh mereka yang telah pulang ke rahmatullah. Amin.




Friday, November 27, 2015

Menjelajah ke youniQ

Ketika bulan September lalu, saya dalam keterpaksaan telah pergi menghadiri 1 bengkel. Keputusan yang saya ambil itu agak last minute dan Alhamdulillah masih ada peluang untuk berbengkel. Memang payah juga untuk buat keputusan datang sini. 

Bersama kawan saya, kami dari airport terus ke hotel ini. Nak dijadikan cerita, oleh kerana saya kan lambat buat keputusan nak ke bengkel maka kami berkongsi hotel dan bilik. Sampai kat hotel ni, memang tersangat wow. Saya rasa dah banyak pergi ke hotel namun hotel ini memang berbeza dengan hotel yang lain. Kami tinggal di sini 3 hari 2 malam. 



Kami sampai hampir jam 6.30 petang kat hotel ini. Kawan saya dah tempah bilik melalui agoda, saya hanya menantikan dia check in sambil melilau hotel yang unik ni. Kawan saya cakap 'maaflah Aida tempah hotel ni je'. Pelik pula bila saya dengar, sebab saya ok je sebab untuk tidur aje kan. Dia minta maaf, saya pula duk kagum kat hotel ini.

Bila dia tahu tentang cerita saya ke Acheh, tergelak dia. Haa baru tahu macam mana hotel kat Acheh atau hotel-hotel sebelum ini yang saya menginap. Ini dah tahap hotel bajet 5 bintang ni.




Ini pemandangan di hadapan bilik kami. Lengkap dengan bean bag. Haha. Memang seronok santai kat tepi meja kecil tu. Bila balik bengkel sementara nak masuk bilik kami, kami lepak kat sini lah.




Insiden kelakar, ketika kami selesai check in kan. Semasa mencari-cari bilik, kami tertanya-tanya mana bilik kami. Cari nombor bilik tak jumpa. Rupanya nombor bilik kat bawah. HAHA! Kami gelak terasa macam 'hey itu pun tak tak nampak ke?' Mata tertumpu kat atas je, apabila dah duduk kat sini barulah perasan nombor bilik ada yang besar dan ada yang kecil saiznya.



Unik kan? Entah kat manalah dia beli benda besi macam tu. Saya sendiri tak tahu nak panggil apa. Memang sesuai sangat dengan nama hotel ni -

the youniQ



Tanda arah yang ada kat sini janganlah nak bandingkan dengan hotel-hotel lain. Memang ini punya tanda arah adalah terbaik! Kalah hotel 5 bintang. Melampau tak statement? Haha.




Tengoklah kata-kata dalam signage ni. Tergelak bilamana melihat the cockroaches are getting cancer. Kasihan kat lipas. Kami ke laundry untuk iron baju. Nak iron di dalam laundry kami rasa macam lemas, sebab pintu tak boleh kami hadang. Lantas kami ambil keputusan heret keluar iron board sambil menggosok baju memandang highway. Sambil tu memang boleh nampak siapa yang keluar masuk dari hotel. Ramai juga orang yang menginap kat sini rupanya.



Kami menginap kat sini tanpa mengambil set breakfast atau dinner. Jadi kami makan kat kedai belakang di lorong sebelah. Nasib baik makanan kat kedai tu sedap. Sepanjang kami tinggal kat sini, di situlah tempat kami mengisi kekosongan perut kami. Siap tapau lagi. Haha. 



Sekali tengok dah macam kipas. Dua kali tengok kami tak boleh nak agak. Yang kami selalu bualkan sesama kami, kat mana mereka beli semua barang yang sangat nostalgia ni.




Pemandangan hotel ini ketika malam. Dah kenyang kami jalan-jalan sekitar hotel kat situ sambil ambil gambar. Cuma tak berani nak ke lorong belakang terkebelakang sangat sebab gelap. Kami dahlah berdua perempuan. Kat sini selamat cuma kami tetap ambil langkah berjaga-jaga. 

Hotel kami ni tak jauh dengan Admal Aviation College. Semasa kami dalam perjalanan nak ke tempat makan, sempatlah kami bergambar di depan replika jet atau helikopter ringan kot. Saya ni fail betul nak kenalpasti sesuatu nama benda. Hehe.




Pergi ke mana-mana, memang akan saya bawa jam loceng ni. Kalau nak harapkan alarm dari handphone. Urmmm. Memang tak sedar. HAHA!



Pagi sebelum balik, mengadap depan tingkap ni sambil melihat Shell dan kenderaan lalu-lalang sambil makan nasi goreng kampung. Nasi ni kami tapau malam tadi. Nasib tak basi.



Kalau kami ambil set breakfast atau dinner, kat sinilah kita perlu makan. Cantik tempat makan dia. Sangat unik, apalagi yang boleh saya katakan tempat ini.




Ini keadaan dalam bilik air. Semua ada youniQ. Simple aje tapi cantik.



Ini pemandangan dari jauh bilik kami. Sekali pandang macam kat luar negara kan? Ada banyak lagi gambar, tapi cukuplah ini saja yang dikongsi.

Yang penting hotel ini adalah hotel BAJET! Namun tak nampak macam hotel bajet kan? Harga dia untuk 1 malam tak adalah mahal mana. Kita memang mampu kalau setakat nak tidur kat sini.

Semasa kami sampai kat sini, mereka siap tanya 'flight delayed ke?'. Kami hairan dan bagitahu tak adalah. Kami datang sini untuk bengkel. Selepas bersembang dengan pemandu teksi kat sini, barulah kami tahu yang hotel ini selalu menjadi pilihan mereka yang akan fly ke mana-mana atau flight delay disebabkan lokasi hotel ini tak jauh dengan KLIA. Patutlah mereka tanya macam tu kat kami. 

Tak rugilah stay sini. Best! Ini bukan entry iklan. HAHA. Ini berdasarkan pengalaman sendiri. Cubalah. Oh ya, kalau nak tahu lebih lanjut, layari teruslah laman web dia eh.

Kalau sesiapa yang suka surf internet tu atau nak check in flight ke apa, boleh ke komputer yang ada kat lobi. FREE! Tak ada caj tapi limit per user adalah 15 minit aje. Kalau nak berlama-lamaan, beli data sendiri. Hehe.



Tiba masa kami terpaksa meninggalkan hotel ini kerana kami dah nak balik dah. Tengoklah lif hotel ini, menarik!

Tata.