Wednesday, February 11, 2015

Luaran Bagus dan Dalaman Sihat

Telefon di atas meja memekik nyaring. Belum sempat bunyi kedua terpekik, saya terus mengangkat ganggang dan dihala ke telinga. Eh bukan, bukan. Haish, terbiasa tidak membiarkan telefon memekik lama dan selalunya menerima panggilan telefon sebegitu rupa, maka lupa yang tadi saya yang memulakan menelefon.

Pada jam 8 lebih, kerja baru siap beberapa % terdengar kawan melaung dari sebelah depan. Ditanyanya tiada ke orang nak keluar makan? Saya menyahut menyatakan ingin makan awal dan kereta juga perlu diberi minum iaitu minyak bagi menjalani kehidupan dia sebagai kereta.

Sambil-sambil itu, saya mengangkat ganggang telefon dan mendail nombor rakan di jabatan lain untuk memaklumkan 1 perkara kepadanya. Talian orang sana diangkat selepas beberapa saat menunggu. Bila ditanya, orang yang nak saya maklumkan tu tiada. Maka suara di sana bertanya kepada saya, siapa ni? Saya menjawab. Lantas ditanya kepada saya lagi. Tak kenal ke? Saya pantas menjawab tanpa ada talian hayat. Salmah kan? Nampak sangat Salmah bukan nama sebenar. Terima aje lah nama tu, sebab nama tu je yang muncul dalam kepala.

Dia bertanya kepada saya, rindu nak berkursus sama-sama macam dulu. Laju saya katakan padanya yang saya tidak lagi betah untuk hadiri kursus. Saya mempunyai alasan yang sangat kukuh dan saya tidak berniat untuk berkongsi dengan anda apatah lagi dengan Salmah. Saya tuturkan kepadanya, saya lebih selesa menghadiri mana-mana target kami yang perlu kami penuhi yang tidak melibatkan terpaksa tidur di hotel atau perlu hadir selama 2 atau 3 hari bermalam. Dan ternyata kami sama. High 10!! Err, macam bocor rahsia pula. HAHAHA!

Sebenarnya, saya pun rindu banyak-banyak untuk ulangi masa lalu namun bukan dalam hal pemakaian. Serius sangat rindu dan kenangan itu sangat menggirangkan hati kami. Macam tak perlu fikir berat-berat dan ianya boleh dikatakan percutian yang berilmu. Cuti dari kerja tapi dapat ilmu dari berkursus.

Sedangkan banjir pun berubah, dulu banjir sinonim dengan Pantai Timur. Sekarang, semua negeri dah rasai banjir. Begitu juga dengan kami. 

Tidak dijangka ianya akan menjadi perbualan yang panjang dan sangat bermakna. Sangat memberi inspirasi dan mengerdilkan diri ini.

PAUSE!

Dalam pada kami tidak berhubung, banyak sangat cerita yang telah dilalui olehnya. Bukannya kat hati saya tiada nama-nama rakan-rakan yang saya pernah kenal, saya kenali, saya pernah rapat. Bukannya tak ada, namun keadaan sudah tidak sama macam dulu lagi. Sukar untuk saya coretkan perihal ini. Saya berdoa agar rancangan-rancangan saya dipermudahkanNya untuk direalisasikan dan dilunaskan hutang. Bukan hutang duit, namun hutang nak menziarah anak-anak kecil mereka. Dah banyak terlepas nak menyaksikan dan hidu bau bayi yang mewangi.

Berbalik kepada ceritanya, dia bercerita banyak hal. Dan dalam ceritanya sangat menginsafkan dan memberi saya seribu satu pengajaran. Dulu, beliau seperti kebanyakkan kami. Pakai baju kebaya, maksud saya, memang la kita ni pakai baju, namun tak adalah sampai nak menitik beratkan apa yang boleh, apa yang tak boleh. Lengan pendek tu biasa. Tudung memanglah dipakai. Tetapi tatacara berpakaian agak rapuh ditika itu. Aurat tak berapa dijaga. Namun, siapa sangka. Allah itu Maha Penyayang. Hidayah Allah itu luas. Sesiapa yang beruntung tentu dia berjaya temui. Dan dia adalah seorang daripadanya. Ya Allah, dihati saya masih terngiang-ngiang ceritanya. Sangat mengujakan setiap ceritanya.

Beliau telah berkahwin agak lama. Saya hadiri majlis beliau dan kami bergambar bagai nak pecah kamera. haha. Sungguh, memang seronok sangat masa tu. Namun kita tidak dapat menduga masa depan. Sehingga sekarang dia masih berdua dan masih belum memperolehi zuriat yang menjadi idaman setiap pasangan.

Dugaan Allah itu berbeza-beza. Dikhabarkan kepada saya, hampir 2 tahun dia sakit dan menderita, Sudah puas dia menjelajah mencari penawar, namun penawar itu belum tiba lagi. Sampai satu tahap mereka mengerjakan umrah. Alhamdulillah, pasangannya adalah seorang yang 'satu jalan' dengannya. Maksud saya, suaminya juga orang yang sentiasa mencari dan mengisi rohani. Maka, mudah bagi mereka untuk berjuang dalam kehidupan mereka bagi mencari penawar.

Sungguh, walaupun telah beberapa kali hamil. Namun kandungannya tidak pernah lekat. Allahu. Saya terpempam dengan ceritanya. Dan, saya tak pernah tahu dia pernah hamil. 

Akhirnya beliau menemui dengan jalan yang indah. Mungkin penawarnya masih belum tiba kepadanya, namun Allah gantikan dia dengan ketenangan dan kebahagiaan yang hanya dia dapat rasai. Dia katakan pada saya, betapa malunya dulu memakai macam tu macam ni. Ah, bagi saya. Itu dulu, sekarang dia sangat berbeza. Dia nyatakan agar dapat istiqamah untuk melakukan apa yang Allah suka.

Nangis!

Bukan dia yang nangis, tapi saya yang nangis dengar cerita yang manis sebegini. Lebih manis dari Manisnya Cinta di Cappadocia! Walaupun hanya pernah tengok iklan cerita tu, tapi rasanya cerita Salmah lebih melekat di hati.

Ceritanya buatkan saya berfikir.

Semua orang boleh pakai jubah. Semua orang boleh pakai tudung labuh. Semua orang boleh memakai pakaian yang menutup aurat. Namun, tak semua orang boleh mengisi rohani mereka dengan baik dan istiqamah. Boleh ke kita kekalkan 5 waktu di masjid? Tahajjud pada malam hari? Tahu ke kita pada setiap hari bagaimana dia menjaga solatnya? Bagaimana dia menjaga dirinya? Tak semua orang mampu dan kuat hadapi semua ini. Ini kerana iman kita adakala macam bateri yang hampir full, adakala macam sipi-sipi lagi nak mati. Manusia.

Rakan-rakan sebeginilah yang sangat berinspirasi untuk saya ikuti. Sebagai jentikan hati untuk diri ini yang selalu alpa. Macam langit ke 7 dengan tanah.

Kalaulah saya boleh menulis semua ceritanya jelas satu persatu tanpa selindung-selindung. Urmm alangkah baiknya. Namun harapnya, ini sudah memadai untuk kalian semua membaca pengalaman orang-orang disekeliling saya. 

Kami menamatkan perbualan disebabkan orang yang saya ingin bercakap pada mulanya tadi dah muncul. 

Dan sungguh, sehingga sekarang. Saya berharap yang macam-macam kat hati ini. Biarlah sebaik dan sebagus dia!



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.