Saturday, February 14, 2015

Rehat Yang Abadi

P.S :: Catatan dan gambar ini lebih kepada kenangan untuk diri sendiri. Dan saya kongsikan dengan kalian semua sebagai renungan kita bersama.

Malam Jumaat yang lalu, saya berwhatsapp dengan kawan-kawan sekolah. Tiba-tiba seorang kawan bertanya 'betul ke TGNA dah meninggal?'. Saya terkejut dengan soalan dia dan jari terus bergerak ke fb. 

Sampainya di fb, saya lihat status pengesahan berita itu daripada banyak pihak. Sedih. Masa itu tiba jua akhirnya. Saya maklumkan kepada ayahanda saya. Dia terkejut sepertimana dia terkejut apabila melihat berita mengenai pemergian Haji Hasbullah Awang ketika menonton berita jam 8 malam tadi. 

Saya sejujurnya tidak mengenali TGNA dengan lebih dekat. Namun banyak mengikuti kisahnya di dalam media massa dan juga media sosial. Tidak dinafikan beliau insan yang sangat dikagumi oleh saya. Dan saya kira bukan saya seorang yang begini, malah puluhan ribu lagi yang mengagumi beliau. Seronok melihat kata-kata beliau. Pendek kata sosok peribadi beliau sangat menyenangkan.

Pada malam itu, saya bermesej dengan sepupu saya. Kami entah bagaimana pada jam 12 malam kot, akhirnya bersetuju untuk pergi ke Pulau Melaka, Kota Bharu.

Sebelum keputusan ini dilakukan, banyak perkara yang saya fikirkan. Banyak kata-kata pesanan yang berlegar di minda kerana memikirkan kami ni perempuan. Selepas banyak timbangan dilakukan, akhirnya kami ON.

Kami merancang untuk bergerak selepas Subuh. Pada jam 4 pagi lebih-lebih, saya terkejut dari tidur. Melihat handphone, saya berfikir lagi. Banyak perancangan dalam minda yang digarapkan. Lantas apabila melihat info mengenai waktu Subuh, saya mencadangkan kepada sepupu agar bergerak sebelum Subuh.

Kami pergi hanya berdua sahaja. Sepupu takut dimarahi ayahnya, namun apabila dia maklumkan pada pagi tu. Ayahnya ok je. Manakala saya pula, tidak memaklumkan kepada ayahanda langsung. Mempelawanya pun tidak. Sebetulnya saya takut untuk mempelawa kerana teringat peristiwa pada tahun 2009. Maka saya tidak berani mengambil risiko.

Pagi itu kami bersiap lalu saya pergi mengambil sepupu. Perjalanan di pagi yang hening itu kami tempuhi. Sejujurnya pemanduan saya adalah bawah 100km/j dan kami gelak apabila saya menyatakan bahawa saya ni lambat dan boleh sebabkan orang sebelah tertidur. 

Sepanjang perjalanan, kami berjumpa dengan beberapa konvoi yang mempunyai tujuan yang sama dengan kami.



Gambar akhir beliau saya simpan pada 21 Januari 2015 yang lalu

Ketepikan soal politik. Saya sememangnya gemar menyimpan video, gambar, gambar yang ada kata-kata beliau di dalam handphone dan sesekali akan dikongsikan di dalam facebook saya. Simpan kerana banyak peringatan yang beliau titipkan untuk kita. Tak boleh dinafikan, kata-kata beliau memang bermakna dan tidak sia-sia untuk kita renungi.

Saya perlukan pesanan dan peringatan sebegini rupa. Maklumlah, saya ni kan bukan baik sangat, bukan bagus sangat. Jadi kena ketuk sokmo! hehehe.

Namun yang saya ingati ialah sajak oleh Oki Setiana Dewi untuk beliau. Sangat menitiskan airmata apabila mendengarnya.

Jam 4.45 pagi kami bertolak. Pada jam 8.45 pagi kami sampai di Kota Bharu. Namun disebabkan saya ni kurang arif mengenai jalan kat sini, akhirnya kami terlajak ke depan dan terpaksa patah balik apabila kami dah rasa 'eh macam salah jalan je ni'. Kawan kepada sepupu saya dah selamat sampai pada jam 3 pagi tadi. Dia berkesempatan untuk melihat jenazah Tok Guru Nik Aziz. 

Selepas beberapa puluh minit, akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju. Alhamdulillah, sebenarnya kami main redah je dan ikut aje mana-mana signboard. Pada hari itu, memang ramai yang datang menziarah. Jadi mudah kami ikuti kenderaan yang pemandu atau orang kat dalam kereta tu nampak pakai kopiah.

Kami pada mulanya berpakat nak naik bas dari stadium namun apabila ada info yang menyatakan boleh je datang terus, akhirnya saya buat keputusan tidak menaiki bas. Sebenarnya, saya tidak tahu di mana terletaknya stadium.

Kami mencari tempat meletak kereta. Alhamdulillah, dalam kesesakan yang teruk tu, kami dapat 1 ruang kosong di belakang sebuah bangunan. Syukur sangat. Semasa kami keluar dari kenderaan, ada seorang lelaki yang menyuruh kami lalui sebuah lorong di depan. Katanya itu jalan pintas. Syukur sekali lagi.

Kami berjalan mengikut arah orang ramai. Kami melalui sebuah lorong di depan rumah-rumah penduduk di situ. Semasa sampai di persimpangan, saya ternampak sepasang suami isteri [makcik dan pakcik] di depan. Makcik tersebut berpaling kali pertama dan dia berpaling kali kedua sambil tersenyum. Pada masa dia berpaling kali kedua tu, saya menyatakan hasrat saya untuk mengikutinya. Alhamdulillah, kami mengikuti mereka dan dibawanya melalui jalan pintas.

Semasa kami berjalan. Suasana tenang dan orang terlalu ramai. Sangat-sangat dan sangat ramai! Makcik itu bercerita tanpa dipinta, dia menyatakan 2 orang cucunya sempat ditahnik oleh Tok Guru Nik Aziz. Sambil bercerita, dia menyeka matanya dengan tudung labuhnya. Saya sebak dan tumpang seronok mendengar ceritanya. Beruntungnya dia dan cucu-cucunya.

Makcik tu juga berkata 'sekali ni je kita mari, susah dah nak dapat peluang gini. Takdok doh lepas ni'. Sekali lagi dia menyeka airmata. Sebak.

Ketika melalui jambatan, kelihatan ramai orang mengambil gambar sebagai kenangan. Saya pada masa itu, tidak terasa nak mengambil gambar namun lebih mengamati suasana di situ.

Makcik tersebut bercerita lagi, di sana itulah tanah perkuburan. Rumah TGNA tidak jauh dari masjidnya dan bermacam-macam cerita lagi. Saya setia mendengar. Ketika itu, sepupu berjalan agak di belakang kerana dia berjalan agak perlahan. Namun saya sentiasa ada di tepi makcik tu mengikut rentak langkah beliau, takut tertinggal sebab saya segan.




Apabila sampai di sini, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk mengambil gambar ini. Itu pun guna mode: silent. Angkat sekali aje handphone, memang sangat segan nak ambil gambar walaupun saya ni sebenarnya agak tegar kalau bab mengambil gambar.




Makcik dan pakcik ni bawa kami melalui 1 lorong. Katanya ini jalan belakang. Kami yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sini tidak dapat membayangkan di mana jalan depan rumah TGNA. Ketika ini, saya mengambil gambar secepat yang boleh. Segan.




Kami sampai di halaman sebuah rumah 2 tingkat. Dengarnya ini rumah anak TGNA. Entahlah, saya tidak pasti tentang perkara ini. Namun yang penting ialah melihat kesesakan orang ramai yang datang untuk solat jenazah bagi TGNA. Semasa kami di sini, pakcik tu terus masuk ke dalam pintu pagar di depan manakala makcik tu ditinggalkan bersama kami. 

Pakcik tu tak bercakap walau sepatah pun dengan kami. Saya tak berani nak buka mulut melainkan dengan makcik tu sahaja. Kalau kalian nampak, orang sangat ramai. Namun ketahuilah kami yang berada di tepi tembok tidak diendahkan sangat. Ini kerana mereka mempunyai agenda yang lebih penting. Maka kami yang berada di situ tidaklah berasa segan sangat.

Ketika ini makcik itu bercerita mengenai kisah tahajjud TGNA. Dia menyeka airmata dan saya pula dah menitiskan airmata. Cerita itu sebenarnya saya dah baca di dalam fb, namun apabila mendengar dari mulut penduduk, terasa sangat menyentuh. Saya hanya mampu mengangguk dan berkata sepatah dua sahaja kerana sebak.

Semasa dia menyuruh saya turut duduk di lantai, makcik tu sempat berkata 'cemar la sikit kalau duduk ni'. Maksud dia, baju yang saya pakai akan kotor sebab duduk kat situ. Saya tak kisah pun. Memang terasa macam kita ni anak dia. Baiknya makcik nih.




Selepas semua kaum lelaki masuk ke masjid dan berada di depan sana, kami melihat semua perempuan masuk ke pintu depan tadi. Lalu kami turut bangun dan rupanya kami boleh berjumpa dengan isteri TGNA. Alhamdulillah, impian tercapai selepas saya tahu impian yang 1 lagi tidak tercapai. Syukur.

Kami beratur dan dikawal oleh muslimah-muslimah dari unit mana pun saya tak pasti. Dari tangga di depan pintu masuk sampai ke pintu keluar, semua dijaga oleh mereka. Sepupu dan makcik tu masuk terlebih dahulu manakala saya disekat di depan pintu. Semasa sebelum masuk, kami dinasihatkan agar bersalam sahaja memandangkan kesihatan isterinya yang mungkin keletihan. Kami dikhabarkan dia tidak berapa sihat.

Dari jauh saya boleh nampak beliau duduk di sebuah kerusi ditemani beberapa orang disebelah. Apabila giliran saya tiba, saya dipesan sekali lagi. Bertemu mata dan melihat sendiri raut wajah isteri TGNA. Ya Allah, wajahnya putih bersih. Manis lagi tenang sangat. Wajahnya tidak membayangkan usianya. Terasa malu melihatnya, yelah sebab saya bukan orang baik namun Alhamdulillah dapat peluang untuk berjumpa dengannya.

Ketika ingin keluar, saya bertanyakan kepada petugas sama ada boleh mengambil gambar isteri TGNA atau tidak? Petugas tidak membenarkan pada mulanya kerana disangkakan saya ingin bergambar berdua. Namun apabila menjelaskan, petugas tersebut memberi handphone saya kepada petugas yang lain untuk mengambilnya. Saya menunggu seketika di situ. Ya Allah, baik sangat layanan daripada mereka semua.

Gambar ketika sepupu menunggu giliran dan gambar isteri TGNA tersebut ada di dalam simpanan saya. Namun saya tidak berniat untuk berkongsi di sini melainkan di fb sahaja.

Kami terus keluar dari rumah TGNA dan kembali di tepi tembok tadi.

--------------------------------------------------------------------------------------

Selepas selesai solat jenazah. Saya menemani makcik tu menunggu pakcik keluar dari perkarangan depan masjid sana. Alhamdulillah, kami bertuah sebab makcik dan pakcik ni mempunyai semangat yang saya rasa Subhanallah. Cergasnya mereka.

Kami dibawa keluar dari lorong dan melalui celahan-celahan orang ramai dengan laju. Saya memegang tangan makcik tu, manakala sepupu saya memegang saya. Dalam ramai-ramai manusia ketika itu, kami berjaya lalui dengan baik.

Semasa sebuah kereta melalui jalan, kami sama-sama pandang. Rupanya Dato' Najib dan juga Tengku Razaleigh. Kereta dapat bergerak dengan perlahan aje disebabkan orang terlalu ramai kat jalan. Ya Allah, peluang yang langsung saya tak jangka. Berpakaian putih mereka berdua. 

Kami teruskan perjalanan, nak tahu. Pakcik ni cari jalan pintas dan kami berjaya lalui. Semangat nya mereka




Kami akhirnya berdiri di sini selepas semua kawasan dah penuh. Pakcik tu sebenarnya masih berusaha mencari ruang yang sesuai namun tidak ada. Selang beberapa ketika jenazah di bawa lalu di sini menuju ke tanah perkuburan. Jelas di mata akan kain kafan yang diletakkan di keranda. Ianya bukan keranda kayu sebagaimana biasa. Ketika jenazah di usung itu lalu di depan kami, bayangkan suasana yang sangat gamat. Mereka sepenuh hati melaungkan kalimah Agungلا اله الا الله  د

Suasana sangat hiba ketika ini. Bayangkan orang lelaki boleh menitiskan airmata, perempuan apatah lagi. Beliau dah pun berehat. Rehat Yang Abadi. Selama di dunia, beliau dah penat berlelah. Kita ni pulak?

Selepas jenazah lalu pakcik dan makcik ni dan orang ramai mula bergerak ke tempat lain di depan sana. Saya mengekori beliau, namun semasa saya berpaling melihatkan sepupu saya di belakang. Saya melepaskan tangan saya dari lengan makcik ni. Ini kerana, seandainya saya terus pegang maka saya dan sepupu akan terpisah. Apabila melihat sepupu melilau mencari saya, saya memanggilnya manakala kelibat makcik dan pakcik tu telah hilang ke depan bersama-sama orang yang ramai.

Saya tidak sempat bertanya nama beliau. Rugi kan? Kelemahan diri saya.

Saya dan sepupu terus ke jalan depan.



Kami berada di sini menunggu jalan kat atas jambatan sana boleh dilalui oleh kami. Maknanya kami agak-agak wanita boleh celah di dalam kesesakan orang ramai, barulah kami nak bergerak.




Semasa dalam perjalanan pulang melalui jambatan. Saya berhenti sekejap untuk mengambil gambar. Kelihatan orang ramai di perkuburan sana. Ya Allah, damailah Tok Guru di sana.



Selautan manusia. Saya terfikir, bagaimana ketika kita di padang mahsyar nanti. Macam mana nak cari orang yang pernah kita buat jahat dengan mereka? Nak cari ahli keluarga kita? Ya Allah sedih bilamana ingat perkara ni. 

Pengajaran di perjalanan kami:

1. Kalau kita lihat pada selautan manusia yang datang menziarah di media sosial, terasa mustahil nak dapat berjalan dengan baik. Tentu berhimpit-himpit lelaki dan perempuan. Namun ketahuilah, apabila kita berada di situ. Allah buka jalan untuk kita. Kami diberi laluan oleh pemuda-pemuda sana 'tepi sikit tepi sikit, ore tino nok lalu ni'. Maksudnya ketepi sikit, orang perempuan nak lalu. Ada yang meletakkan tangan mereka di bahu kawan, atau meletakkan kedua belah tangan mereka di depan. 

2. Tiada kejadian yang tidak diingini. Macam lucu je ayat ni kan? Tapi saya fikir sebaliknya, kalau dikonsert atau tempat-tempat awam yang lain. Ada je kejadian ambil kesempatan ke apa. Kat sini walaupun ramai, namun percayalah yang datang ni semuanya baik-baik. Sebab itulah kami selamat akhirnya. Alhamdulillah. Mereka memang bersatu. Saya tak pernah tengok sebegini suasananya. Kuat betul klik orang Kelantan ni.

3. Memberi kita pengajaran, kalau berbuat baik di dunia. Allah akan menaikkan darjat kita. Ya Allah, betapa Allah memuliakan pengakhiran TGNA. Kerdilnya kita nih.

4. Ada beberapa isu yang saya baca di dada fb. Bagi saya menyanjung, mengagumi tidak perlu sampai kepada taksub. Kagumi dan ambil contoh tauladan yang baik untuk kita sama-sama baiki diri kita ke arah yang lebih baik. Melihat selautan manusia yang datang menziarahi beliau, terfikir kita ini berapa kerat yang datang menziarah. Apa kebaikan yang kita boleh tinggalkan? Apa bekalan untuk ke sana? Macam-macam sebenarnya boleh disoal kepada diri.

5. Untuk ke tempat sebegini, saya lebih suka datang berteman dengan orang tua. Itu lebih manis memandangkan tempat-tempat begini kebiasaannya ramai lelaki yang hadir. Perkara ini saya khabarkan kepada sepupu saya. Ini bagi mengelakkan fitnah dan sekaligus dapat menjaga maruah dan diri kita. Sebab itulah saya mengekori makcik dan pakcik semasa kami pergi dan akhirnya terpisah semasa kami ingin bergerak ke depan. Semasa kami balik, saya berjalan di kalangan kaum wanita yang lain agar lebih selesa.

6. Percaya tak, betapa ramainya orang yang sayang pada TGNA. Pelbagai lapisan manusia yang datang. Ada India, ada yang rockers, ada yang dah tua sangat [saya masih ingat pakcik yang lalu depan saya. Dah tua namun masih kuat melangkah], ada yang sedikit uzur namun semangat mereka sangat saya kagumi. Semoga Allah mengampuni mereka-mereka yang pernah menghina/apa-apalah kepada TGNA. Amin.

7. Kejadian saya terpisah dengan makcik tu dan sepupu saya terpisah dengan saya, membuatkan saya terfikir. Apabila di akhirat nanti. Kita tentu sibuk dengan urusan kita. Tak sempat nak fikir pasal orang lain. Ini baru di dunia, baru di Pulau Melaka. Itu pun dah terpisah, melilau-lilau. Kat sana nanti tentu lebih hebat. Takut nak fikir.

8. Saya bukan ahli Pas. Namun kali ini, saya melihat dengan mata saya sendiri betapa gigihnya Unit Amal menjalankan tugas mereka. Mengawal laluan sampai berpeluh-peluh, mereka terdiri dari yang dah berusia dan muda, mereka laksanakan dengan sehabis baik. Salute kat mereka!

9. Nak ambil gambar kat sini, terasa macam nak mencuri. Betul. Saya curi-curi ambil je. Segan sangat. Dan biasanya gambar diambil dengan cepat. Nasiblah kalau gambar senget ke tak jadi ke, itu lain cerita.

10. Nak jumpa orang baik, berkawanlah dengan orang baik. Itu yang saya nampak. Terima kasih kepada makcik pakcik yang telah tolong kami. Hanya Allah yang mampu membalasnya. 

Semoga Allah mengampuni Allahyarham TGNA, memberi rahmat dan menempatkan beliau dikalangan orang-orang yang soleh. Amin.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.