Monday, June 15, 2015

Kesinambungannya

Sebetulnya, tidak terlintas akan ada kesinambungan untuk kisah 6 tahun yang lampau. Namun malam tadi, aku cukup penat menulis dan ceritera itu menjadi terlalu panjang. Panjang macam usus.

Hospital 
Kami tiba di hospital Tengku Anis dan terus di bawa ke wad kecemasan. Alhamdulillah. Aku tiada kecederaan yang serius melainkan hanya luka di dahi. Mungkin akibat percikan kaca dari cermin depan kereta. Ayahandaku pula hanya mengalami luka ringan. Katanya, dada dia sedikit sakit. Mungkin kerana terpempam di dashboard. 

Aku disuruh baring di atas katil. Semasa itu lah baru airmataku mengalir. Antara sedih dan takut. Satu perasaan yang sukar untuk dimuntahkan di hujung jariku ini. Antara ayat yang aku ingat sampai ke hari ini ialah 1 ayat yang aku ulang kerana kebuntuan. Ya, kerana apabila berada di situasi sebegitu. Kita akan keliru. Bertali arus aku didatangi rasa kesal. Kenapa begini, kenapa begitu. Sudahnya, air mata mengalir tanpa henti. Jika di tempat kejadian, mental aku begitu kuat memikirkan itu ini. Namun selepas semuanya selesai diuruskan, yakni bomba datang, ambulan pun datang. Aku dihantar ke hospital. Aku mula lemah. Allah pinjamkan kekuatan untuk seketika sebelum aku lesu dibaluti kesedihan.

Tidak lama kemudian, ibu saudaraku sampai bersama-sama adik 1 dan juga adik 3. Dia menenangkan aku. Tampak jelas di wajahnya kesedihan hatinya. Aku bimbangi keretanya yang telah remuk tersadai di depan gerai. Dia hanya memberi isyarat supaya diam, jangan fikir apa-apa, banyakkan berselawat. Dibibirnya terkumat kamit membaca ayat suci aku jangkakan. Manakala aku pula, berselang seli antara lemah dan mengharapkan sumber kekuatan.

Urusan Jenazah
Jenazah sampai ke bilik mayat di hospital. Adik-adik bersedia menolong apa yang patut. Kebetulan saudara kakak ipar 1 ada tinggal di sekitar Kota Bharu. Dan kebetulan lagi, anaknya pula ada pulang bercuti dari Mesir jika tak silap aku. Dia turut menolong menguruskan jenazah ibuku. Kebetulan dia mengambil jurusan perubatan andai tidak silap aku. Urusan memandikan sehinggalah jenazah bersedia untuk di bawa balik ke Kuala Terengganu pada tengah hari.

Aku dibawa balik dengan van bapa saudaraku, manakala adik lelaki pula balik bersama van jenazah. Sampai di rumah, khemah telah didirikan. Orang agak ramai. Aku di bawa naik ke atas rumah ibu saudaraku. Mungkin sukar untuk aku ceritakan semuanya secara details. Pertamanya kerana ianya kisah panjang. Maka aku cuba ceritakan mana yang penting sahaja.

Hari-hari Terakhir
Tak pernah aku ceritakan kepada mereka yang dekat dengan diri aku, bahawa ibuku menggerakkan aku di setiap pagi. Ya, hampir setiap pagi dia kejutkan aku untuk ke tempat kerja. Dipanggilnya aku, yang..bangun. Maksudnya sayang bangun. Dan ya, perkara ini TIDAK PERNAH aku ceritakan kepada sesiapa pun sehingga ke hari ini, melainkan di sini. Tidak aku ceritakan kerana tidak perlu untuk aku hebahkan semuanya. Tidak perlu kerana aku rasa berbagai rasa. Dan aku kira, inilah kali akhir aku bercerita mengenai rasa memilukan ini. 

Ketahuikah dikau, di saat pagi. Telinga ini selalu diingatkan bangun, solat Subuh. Bangun pergi kerja. Sudah dapat aku hafal ayat-ayat biasa yang terpacul dari mulut ibuku. 

Masih terbayang pada hari sebelum itu, ibuku dan ayahandaku berada di bawah rumah. Bersembang. Sehingga sekarang, aku nak sangat tahu. Apa yang ayahandaku sembangkan di hari akhir itu. Namun aku takut. Dan biarlah persoalan itu tinggal persoalan. 

Wajah Kali Akhir
Aku tidak lihat wajah ibuku untuk kali akhir. Cukup semasa tolehan aku semasa berada di atas gerai. Melihat tubuh yang dibaluti dengan plastik hitam. Semasa itu, Allah telah hadirkan aku satu lintasan ini kali akhir aku tengok. Allah lebih tahu apa kekuatan kita. Terima aje.



Gambar tahun lepas yang dikirimkan adik 3. Inilah transit sementara ibuku sebelum di bawa balik ke rumah. 

Semalam
Semalam adalah 27 Syaaban 1436H. Tarikh yang senantiasa berada di ingatan kami adik beradik. Begitulah putaran masa, setiap kali Ramadan akan tiba. Kami akan melalui 27 Syaaban yang amat bermakna pada hidup kami. 3 hari sebelum Ramadan. Satu tarikh yang mudah diingati. Itulah detik pahit yang terlakar dalam sejarah. Gentar atau tidak, setiap orang perlu melalui kematian. 




1 comment:

  1. semoga syurga tempat ibumu aida..airmataku menitik..semoga Allah peliharadn memberkati kita semua...:-(

    ReplyDelete

Terima kasih atas pandangan.