Saturday, June 13, 2015

Mencelup Tepungkan Diri

Kisah ini adalah kisah lampau yang telah kami harungi pada cuti sekolah di bulan Mac yang lepas. Namun demikian, ha ha. Nak kasi alasan lah tu. Ye, saya beralasan menceritakan kisahdrama di Vietnam terlebih dahulu sebelum kisah-kisah lain saya bongkari di sini.

Pada satu siang hari, selepas kami semuanya dah ketepuan berehat di rumah menghabiskan cuti persekolahan. Bukan senang kakak 3 nak balik kampung, maklumlah anak-anak dia semuanya bersekolah. Maka saya dan kakak 3 dan anak-anaknya berpakat untuk mengunjungi warung Pok Nong. Sekiranya kalian adalah rakyat Terengganu di sebelah kawasan di sini, tentu akan kenal dengan warung beliau. Dulu kan, warung dia kecil namun sekarang dah ada perubahan. Boleh tahan la dia besarkan warung dia berbanding pada zaman dahulu. 

Kami turun dari rumah pada jam 2.45 petang. Dah set time untuk sampai ke sini dalam jam 3.00 petang. Ini memandangkan cuti sekolah dan tidak mustahil manusia akan berpusu-pusu umpama ikan diberi makan umpan datang ke sini. Kami sebahagian ikan yang telah termakan umpan. Lantas bergeraklah kami ke destinasi yang telah diset dalam hati tu. 

Perjalanan ke sini hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit. Semakin hampir kami ke warung beliau, semakin kami dihiasi dengan pandangan pohon nyiur yang meliuk lintuk ditiup angin pantai. Kiri kanan terdapat kambing sebagai penyambut tetamu. Toleh ke kanan kita akan nampak pantai yang membiru sepanjang jalan. Tenang di sapu angin aircond kereta. Eh, korang masih ada di sini atau dah ada kat pantai nih? haha.

Bangun bangun, basuh muka jangan kasi tidur. Tak perlu imagine jauh sangat. Cukuplah kamu bayangkan suasana kampung. Dah cukup dah.

Sampainya kami di warung beliau. Dah nampak dah orang mula beratur. Walaupun tak berapa nak panjang lagi, namun hati kami dah gusar. HAHA. Malas weh nak beratur pepanjang macam kereta api. Beratur malas, tapi kalau bab makan kami rajin. Rindu juga zaman berebut-rebut dulu di warung ni. Yelah, dulu tak ada peraturan. Sotong diangkat, kami terus berebut letak dalam pinggan. Sekarang dah maju ke puncak jaya. Dah kena beratur. hikhik.




Hampir setengah jam beratur. Kami akhirnya berjaya mendapatkan hidupan laut yang telah disaluti tepung bukan qu putih qu putih barulah putih. Bukan. Ini tepung lain, ini tepung beras di campur dengan air sama itu telur sama itu kunyit.

Hai, dah lama tak buat sendiri ramuan untuk menggoreng sotong atau ikan celup tepung. Harapnya nanti dapat buat sendiri pula. Dah lama sangat tinggalkan skil yang suam-suam kuku ingat tak ingat ramuan dia.




Afiq dan Fiya sedang ralit melayani  kesemua hidupan laut yang telah dicelup tepungkan. Mungkin mereka berasa takjub melihat betapa kreatifnya manusia untuk menterjemahkan ikan dan sotong sebegitu rupa. Maksudnya, tak adalah asyik sotong masak kicap, ikan goreng kunyit aje. Sotong celup tepung merupakan menu di luar pemikiran mereka sebagai kanak-kanak yang baru mengenali dunia.




Tip untuk kalian yang tinggal di luar Terengganu. Yang datang dari negeri lain. Di Kuala Terengganu terdapat puluhan gerai yang menjual ikan atau sotong celup tepung. Sekiranya kita lihat dengan sekali lalu, kesemuanya tampak hampir sama. Tiada beza. Mereka tetap sotong atau ikan yang disalut tepung. Namun tahukah anda semua, ianya tetap berbeza.

Di gerai A sebagai contoh, mereka menjual sotong yang telah siap dipotong dengan harga RM5 satu pinggan. Dalam pinggan tersebut, mungkin tak sampai seekor pun sotong tu. Mungkin setengah, mungkin lebih atau kurang. Terpulang kepada tangan penjual tersebut.

Akan demikian, sekiranya kita ke sini. Pok Nong akan meletakkan sotong seekor-2 ekor-3 ekor di dalam pinggan. Kita sendiri lah yang perlu memotong ke semua sotong tersebut. Oleh itu, jika anda berbajet rendah, pilih aje sotong yang kecil. Jika anda berbajet sebesar gudang, maka pilihlah sotong yang sihat lagi walafiat. Biasanya harga untuk 3 ekor sotong yang sederhana sizenya adalah dalam RM27-29 mengikut tahap tumbesaran sotong tersebut.

Point di sini, makin gebu lagi sihat sotong itu, maka harganya juga semakin meningkat. Terpulang kepada kalian. Secara peribadinya, ini warung yang menjadi pilihan kami sekeluarga walaupun Pantai Airport/Seberang Takir hampir dengan kediaman. Nun jauh di sana yakni pantai Batu Rakit juga menjadi pilihan hati kami.

Sebab itulah, andai kata anda datang ke sini. Lebih elok datang berkunjung ke sini. Lokasi warung ni tak adalah susah mana. Warungnya terletak di pantai Batu Rakit dan di sebelah kiri jalan sahaja. Kalau nak lagi mudah, gunalah waze. Err, itupun andai kata lokasi warung ni ada kat dalam waze. 



Saya sendiri terfikir. Milik siapakah idea menyaluti sotong dengan tepung? Orang-orang dulu memang hebat kan dalam menggunakan daya kekreatifan mereka. Satu persoalan, kenapa tidak disaluti dengan coklat? Tidak juga dengan cheese? Rasanya setakat ini kan, belum ada lagi orang yang berani menongkah arus membuat kelainan dengan menyaluti sotong atau ikan dengan anasir-anasir perasa yang lain. Belum ada lagi untuk sotong atau ikan setahu saya. Lainlah kalau keropok. Dah ada keropok cheese, urmm rasanya tak adalah sedap mana. Eh, kalian berani ke nak cuba sotong cheese meleleh? Kalau berani, cubalah di rumah. hehe. Gurau jelah. 




Tengoklah Fiya. Bersungguh benor makan. Nama pun makan kan? Habis licin kami sapu sotong dalam pinggan. Kalau tulang sotong tu boleh dimakan, harus tak tinggal apa-apa.

Selepas kami kekenyangan. Perjalanan kami diteruskan ke kampung sebelah. Kami bukan ke shopping complex. Bukan. Ini cerita orang kampung aje. Jadinya, marilah saya membawa anda semua ke pantai satu lagi. 

Ini pantai yang terletak bersebelahan dengan airport. Namun di sini tidak banyak yang menjual makanan. Pantai di sini insyaAllah selamat untuk dimandi.






Alhamdulillah tinggal di kampung. Jadinya tak susah sangat nak datang ke pantai. Pilih aje nak pantai mana, nak suasana macam mana. InsyaAllah akan sampai. Itu pun bergantung kepada tahap kerajinan nak pergi lah.





Jamahlah, peganglah pasir pantai Humaira. Itu lebih baik dari kamu menggengam lantas menggerakkan jemarimu di muka smartphone. Rasailah dunia sebetulnya untuk kamu lebih dekat dengan alam. Dan tidak hanya berlegar di alam maya. Eh. Kiranya saya sedang berlegar ke apa ni di alam maya? Harapnya tidak termasuk dalam kategori berlegar-legar. Macam tiada arah tuju pulak bunyinya kan?






Biarkan gambar menenangkan anda semua. Tatapilah gambar ini secara percuma. Saya tahu agak sukar untuk kalian sampai ke sini. Maka saya sajikan panorama ini untuk anda. Err, jika saya tulis banyak-banyak, kamu dah tak tenang. Dah tentu kalian naik pening. haha!



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.