Sunday, June 14, 2015

Subuh Pemisah Kami

Monolog
6 tahun berlalu. Sekejap benar dirasakan masa berlalu. Apabila disedari angka 6 tahun telah mencecah, termenung memikirkan masa-masa yang telah berlalu pergi dan tidak kembali lagi. Bukan setahun 2, namun hampir mencecah 10 tahun. Hampir 10 tahun. Fuh! Lama betul.

Subuh Perjalanan Kami
6 tahun lalu, pada jam 4 pagi. Kami bersiap-siap untuk menghadiri majlis konvokesyen adik 3. Tiada di benak fikiran bila masa aku berbincang dengan ibu saudaraku untuk meminjam keretanya. Adakah pada petang sehari sebelum kejadian? Adakah on the spot terus cakap nak pinjam? Urmm, semua itu tiada dimemoriku. Nyatanya, pada pagi 18 Ogos 2009 Selasa, kami bertiga menaiki kereta merah tersebut terus menuju ke Politeknik Kota Bharu [PKB].

Suasana gelap di sepanjang laluan jalan yang aku lalui. Walaupun jam semakin menginjak ke arah pagi yang hening, namun suasana masih kelam. Sedang ketika masih di dalam daerah negeriku, aku menyuruh ibuku mengambil peta untuk ke PKB. Sejujurnya aku tidak begitu familiar dengan jalan negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Hanya mengikut keberanian hati dan juga berpandukan peta yang telah aku siapkan sebelum kami ke sini. 

Masih aku ingat, pada malamnya. Aku gigih berdepan dengan laptop mencari arah tuju mana jalan yang perlu aku lalui selepas melepasi Jerteh. Sehingga kini, peta itu masih tersimpan di dalam simpananku. Cumanya tidak pasti berada di dalam portable hard disk atau di dalam komputer mana.

Laptop
Semasa kami berada di penghujung daerah Kuala Terengganu pada agakan aku, ibuku bertanya nak letak tidur ke gane laptop ni? Aku hanya membalas letak baring ar. Selepas itu kami bertiga diam membisu. Aku sibuk melayan bermacam-macam perkara di benak kepala. Sehingga kini aku masih ingat apa yang aku fikirkan. Cukuplah Allah tahu apa yang aku fikirkan. Selebihnya aku sendiri tidak mahu mengingati perkara itu kerana ianya sememangnya sangat tidak penting aku fikirkan. Dustbin tempat selayaknya.

Kereta yang aku pandu melalui jalan yang masih di dalam pembaikan. Selekoh demi selekoh aku layani.

Wangian 
Semasa asyik memandu, di pertengahan jalan. Aku terhidu satu bau yang wangi. Sangat wangi menusuk hidung. Aku sempat menghirup udara wangi tersebut. Ku toleh wajahku ke kiri memandang ayahku. Dipemikiranku bau nape eh? Akan begitu, aku takut nak bertanyakan ayahandaku di sebelah. Takut sebab gelap. Macam-macam hal aku fikir. Seram. Sebab tu aku diam je.

Bau itu hilang dan aku meneruskan pemanduan tanpa memikirkan apa-apa. Suasana sunyi sepi. Sedikit pun kami tidak bersembang sepanjang jalan selepas soalan akhir mengenai beg laptop aku tadi. Mulut kami seolah-olah dikunci. Ibuku tidur sedari tadi lagi. Hanya ayahandaku yang setia menemaniku memandu.

Sehingga lah di satu tempat. Aku kira masih di dalam negeriku namun daerah lain. Ternampak seekor binatang melintas laju di depan kereta. Binatang itu tidak aku cam apakah dia. Musang? Kucing? Mungkin musang kerana badannya agak besar sedikit jika dibandingkan dengan kucing.

Binatang itu laju melintas dan terdetik di hatiku. Lajunya mung nintas [melintas].Memang betul-betul di depan kereta. Jarak binatang itu dengan kereta mungkin kira-kira selang 2 buah kereta.

Perancangan Terhenti
Perjalanan diteruskan tanpa aku memikirkan apa-apa. Setibanya di Pasir Puteh, aku mula berkira-kira untuk berhenti solat Subuh. Selalunya sekiranya kami bermusafir bertiga menaiki kenderaan. Mulut aku biasanya ringan memberitahu akan berhenti di situ atau di sini bla bla bla. Pada pagi itu, hanya aku berkira-kira dengan hati aku sendiri.

Hati masih lagi membayangkan perancanganku. Berhenti solat Subuh dan akan sempat berjumpa dengan adikku sebelum dia masuk ke dewan konvokesyen pada jam 7.30 pagi. Sejujurnya, aku sendiri tidak pasti berapa lama lagi jarak untuk aku sampai ke PKB.

Semasa sedang berkira 2 perkara tersebut. Pandangan tertumpu pada signage selekoh. Terus aku pusingkan stereng kereta ke kanan dan di situlah segala-galanya terjadi dan ternoktah. Selekoh terakhir yang perlu aku layani ini rupanya menjadi saksi bisu akan tragedi di subuh hari itu.

Kami terbabas. Jelas dipendengaranku bunyi sreh sreh mungkin akibat geseran tayar pada jalan raya. Ayahandaku bertanya bakpe Daa?? Aku ingat, aku hanya diam mengawal stereng keretaku. Sejurus aku membuka mata. Ya. Sekelip mata sahaja kejadian itu. Pantas dan Allah telah kosongkan pemikiran dan ingatanku pada ketika itu. Semasa aku mengangkat wajahku. Kereta telah terhenti dan menghala ke arah Kuala Terengganu. Sedangkan tadi, kami sedang menghala ke Pasir Puteh.

Dalam keadaan yang seolah-olah dalam mimpi itu, aku arahkan ayahadanku keluar dari kereta. Sejujurnya dalam pemikiranku. Aku takut kereta meletup. Aku berpaling ke tempat duduk belakang. Aku gerakkan ibuku. Namun tiada respon. Aku pandang pada sekujur badan ibuku yang mana wajahnya telah tertutup dengan tudung yang dipakainya. Aku rasai denyut nadi ibuku. TIADA denyutan yang aku jumpai.  Aku tahu ibuku telah meninggalkan kami semua. Aku yakin dengan kata hati aku. Allah tanam keyakinan pada diriku bahawa ibuku telah tiada. Sungguh aku tidak panik pada ketika itu. Aku tahu yang kami kemalangan. Aku sedar ini bukan mimpi. Aku dapat bayangkan namaku meniti di bibir di semua kawan-kawan. Sungguh! Selama ini mungkin tidak pernah aku ceritakan pada sesiapa tentang apa yang aku rasakan melainkan hanya DIA. DIA yang tahu melebihi aku sendiri. Allahuakbar.

Pertolongan 
Aku tinggalkan ibuku di dalam kereta. Ayahku keluar dari kereta dan duduk di atas gerai yang betul-betul di depan kereta kami terhenti. Pada ketika itulah kelihatan seorang lelaki berlari ke arah keretaku. Orang kampung bertelekung solat datang ke arah kami. Lelaki itulah yang memberi aku pinjam telefon bimbitnya untuk menelefon abang 1 aku. Ini kerana telefon bimbitku berada di dalam handbag dan aku tidak sanggup untuk menolak tubuh ibuku semata-mata ingin mengambil telefonku. Telefon bimbit lelaki tersebut aku ambil. Nombor aku dial. Aku ingat dengan jelas nombor abang 1 ku. Namun semasa ingin aku dail kali kedua ketiga. Aku seolah-olah terkeliru dengan susunan nombornya. Seingat aku, telefon diangkat oleh kakak ipar 1. Aku masih ingat bahawa aku maklumkan kami kemalangan dan ibuku telah meninggal. Kakak ipar fikirkan aku panik dan sewaktu dengannya. Sebenarnya TIDAK. Aku yakin pada saat itu.

Orang semakin ramai datang mengerumuni kami. Aku masih ingat satu pertanyaan daripada seorang lelaki mari dari mana ni? Aku jawab dari Kuala Terengganu. Dimulutnya hanya terpacul ayat Allahuakbar. Sedikit pun aku tidak menangis di tika itu. Dibenak pemikiran aku. Hey, mak aku dah meninggal? Berat sangat kenyataan itu untuk aku hadam di hati.

Bomba datang. Aku ditenangkan oleh seorang lelaki. Dia datang ke arahku. Tika itu aku duduk di atas gerai sepertimana ayahandaku. Cuma aku mengadap di tepi jalan, manakala ayahandaku mengadap di depan jalan. Bomba itu datang dengan penuh hikmah memujuk dalam dialek Kelantan. Mok awak dok kabba [sedar] je tu. Ye pengsan je tu. Sedangkan hati aku yakin, teramat yakin bahawa ibuku sudah habis pinjaman nyawanya. Namun aku diamkan sahaja. Ketika itu, bomba itu memujukku. Disoalnya nak pergi mana? Lantas aku menjawab nak gi konvo adik. Dia memujuk lagi telefon ar ke adik. Tapi aku enggan. Enggan mengganggu perasaan gembiranya di tika itu. Namun bomba itu pujuk dan pujuk lagi lalu dia berkata biar saya cakap dengan adik awak. Bomba itulah yang menelefon adik 3 aku. Dia la yang mengatur bicara dengan cermat mengkhabarkan berita sedih itu. Terima kasih tuan bomba. Jasa anda hanya Allah yang layak membalasnya.

Lelaki bomba itu jugalah yang menegah membawa mayat ibuku ke luar dari kereta. Katanya biarlah mok awak duduk dalam tu dulu. Kalau kita bawa keluar, kekgi semua orang pakat nak tengok. Dia sibuk memujuk aku dengan kata-kata semangat. Allah lebih sayang mok awak. Haa. Tengok. Tadi, dia juga yang cakap mak aku pengsan, ini dia sendiri yang cakap Allah lebih sayang mak aku. Mungkin bomba ini maklum akan keadaan ibuku namun sebagai anggota bomba yang mempunyai pengalaman, beliau cuba bagi aku semangat. Terima kasih sangat sangat.

Seingat aku, ambulan datang dan membawa aku dan ayahandaku ke hospital. Bila aku bertanya bagaimana dengan ibuku. Mereka menjawab tak po, awak gi dulu dengan ayah. Baru aku faham, apabila melibatkan kematian, beberapa prosedur perlu dilalui. Mereka menunggu polis datang mengambil gambar tempat kejadian. Aku tinggalkan tempat itu dan di bawa ke hospital.

Ah, panjang kiranya kisah ini. Sekiranya aku tulis satu persatu. Entah sampai berkajang-kajang kertas A4.




2 comments:

  1. takziah. Semoga ruh arwah ditempatkan di kalangan org2 yg soleh. Sedih saya baca...

    ReplyDelete

Terima kasih atas pandangan.