Saturday, September 12, 2015

Hari Ke-2 di Banda Aceh

p.s ENTRY NI PANJANG. RUGI RASANYA KALAU SAYA SKIP DARI MENULISNYA DI SINI

20 Ogos 2015 - Khamis

Semalam kami kepenatan, yelah dah meredah Banda Aceh dengan bersungguh sungguh kan. Mau tak penat. Apabila saya bangun dari tidur yang lena bertemankan mimpi yang menakutkan. Errr tapi tak berapa ingat mimpi tu. Terus bangun solat Subuh dan Jan turut mencelikkan mata dari beradu.

Ketika di dalam bilik air, dalam mamai tak mamai. Tiba tiba blackout! Takut weh. HAHA. Cepat cepat meluru keluar dari bilik air sambil memanggil Jannnnnnnnnnnn! Meluru sehabis pantas untuk keluar nak cari Jan. Ngam ngam keluar dari bilik air, elektrik tu ada balik. Tengok tengok Jan dah duk gelakkkkkkk kat tepi dinding. Haha. Tak guna punya member. Rupanya dia silap tutup lampu bilik air. Mana saya tak menggelupur cuak, malam tadi dah nightmare. Ini pulak tetiba blackout. Kami sama sama gelak. Gelak dengan penuh sarat. Sakit perut bila ingat insiden haru ni. Jan gelak sebab dia tengok ekpresi wajah saya. Saya pulak gelak bila teringat ketakutan tadi.

BAJET
Pada pagi tu acara kami santai santai aje. Sebetulnya kami plan nak pergi ke Pulau Sabang atau juga dikenali dengan nama Pulau Weh. Akan tetapi, kami kan tak bawa duit banyak. Duk tolak itu ini, kami sangat yakin duit kami tak cukup. RM500 yang kami bawa tu dah tolak dengan tambang semalam dalam RM150 la kot lebih kurang. Kami share 2 jadi dalam RM75 la seorang. Kalau kami ni nekad ke Pulau Sabang tu, urmm tambang nak pergi jeti return lagi, lepas tu tambang nak naik boat lagi return. Haiii, mana kami nak cekau duit. Silap haribulan kami jadi orang pulau. haha. Tersadai sebab tak cukup duit. Sebab itulah kami memadamkan hasrat kami untuk menerokai Pulau Sabang tu. Next time la kita pergi eh. Ayat sedapkan hati.

Justeru, pada pagi tu kami hanya santai santai kat dalam bilik. Kami borak borak bercakap mengenai diri kami dan isu isu semasa yang lain. Sempat jugalah kami macam mati kutu tak tahu nak pergi mana. Ini sebab kami dah terokai hampir 70% kawasan dan tempat yang wajib dilawati kat Aceh ni semalam. Kami memang mengambil kesempatan pergi kesemua tempat pada hari pertama sebab alang alang dah ada pak supir segera kan. Jadi eloklah mengambil peluang yang terhidang di atas meja. Jan cakap eh, dah macam boleh balik esok je. HAHA. Sebetulnya itulah yang saya rasa dalam hati. Nak pergi mana lagi eh? Semua tempat dah kami tinggalkan jejak.

Dalam merangka rancangan kami pada hari kedua ni, Jan ajak makan pada jam 9.00 pagi. Saya ok je. Bila dah sampai waktunya, kami pun turun ke bawah. Sambil sambil lepak, kami makan makan roti canai dan murtabak yang sempat kami tapau malam tadi semasa kami makan kat Mee Razali. Sedap pula roti canai ni dengan murtabak. Lapar kot! Haa, itulah alas perut kami. Turun dari bilik dan apabila sampai kat ruang makan hotel kan. Aduhai, banyak makanan dah habis. Itulah kan siapa suruh turun lambat. Makanan bukanlah habis kesemuanya, namun tak berapa banyak pilihan. Lalu kami makan aje apa yang ada, janji kenyang. 

PERANCANGAN & BETJAH ACEH
Selepas makan, kami plan nak keluar selepas makan pagi. Kami nak repeat ke tempat Boat Atas Rumah. Sebab utama kami nak pergi sana semula sebab nak ambil gambar gambar dari angle yang betul. Haa. Itu aje tujuan kami. Lagipun kan semalam kami sampai dah lewat petang. Jadi tak boleh berlama lama sangat pun kat sana.

Dung dang dung dang. Selepas selesai solat jamak, kami keluar dari hotel dengan hajat dihati. Kami kan dah kekurangan bajet. Jadi kononnya dengan misi redah sendiri, kami bertanyakan pak pak supir di depan hotel Mekah yang kami menginap ni berapa kos untuk ke Gampung Lampulo dan jarak dia jauh ke? Sebab kami rasa tak adalah jauh mana pun. Bila setuju dengan harga tu, kami pun apa lagi. Terus ajelah naik atas beca tu. HEHE. Kami memilih untuk menaiki betjah Aceh! Wuhuu. Betjah Aceh, tapi apakah itu betjah Aceh? Betjah Aceh [baca beca Aceh] sebenarnya motorsikal yang telah diubahsuai mempunyai tempat duduk untuk penumpang kat tepi motorsikal tu. Bolehlah dinaiki oleh 2 orang penumpang. Cuma kalau kalian berbadan besar, saya tak galakkan sangat naik beca ni. Bukan apa, kalau nak naik berdua rasanya tak muat kot demi keselesaan. Ini serius tau, bukan main main. 



Seronok sangat dapat naik beca ni. Angin berhembus dari semua arah. Inikan kali pertama naik beca. Jadi perasaan tu sukar nak diungkapkan dengan kata kata. Hari ni kami kenal Pak Anto. Dia bilang pada kami awal awal, mana tempat yang murah untuk membeli. Dan juga dia pesan ada juga yang suka ambil kesempatan meletakkan harga yang mahal ketika berurusan dengan orang luar. Rasanya kat mana mana pun akan ada manusia yang suka ambil kesempatan termasuk kat negara kita sendiri.



Kami melalui kawasan sekolah. Waktu kami keluar dari hotel pun dah petang dah. Cuaca baik dan agak panas kalau bagi yang tak biasa. Saya yang tinggal kat Terengganu ni dah biasa dengan cuaca macam ni.



Untung sangat naik beca ni. Kita boleh tengok aje pemandangan kat luar tanpa batasan. Yelah beca ni bukannya ada dinding pun, jadi mudah untuk kita cuci mata. Cumanya, biasalah kan. Habuk dan debu tu terpaksa lah kita redah. Kalau kalian jenis tak kisah macam kami ni, bolehlah try naik beca ni. 

Tak lama kemudian, kami pun sampai kat Gampung Lampulo. Masa tu kan, kami tengok tak ramai pengunjung pun. Yelah, waktu waktu macam ni kan biasanya orang lepak kat rumah je. Kami terus cari sudut yang sesuai untuk ambil gambar. Mula mula kami kat lorong antara 2 buah rumah. Urrmm, tak sesuai sebab tak nampak penuh. Jadi, kami beralih kat depan sebuah rumah. Semasa saya sedang mencari kedudukan, saya berundur ke belakang dan memasuki kawasan depan rumah siapa entah. 



Tetiba keluar la seorang makcik yang masih bertelekung solat di sebalik pintu. Terus aje cakap tumpang nak ambil gambar. Beliau mengizinkan kami berbuat demikian dan beliau tanya, dari mana? Kami jawab dari Malaysia. Beliau senyum dan bagitahu dia antara yang sempat merasai sendiri pengalaman tsunami tu. Jan cepat cepat suruh saya bergambar dengan makcik tu. HAHA. Insiden ni berlaku spontan dan cepat sangat. Lucu pun ada sebab makcik tu dah tentu baru selesai solat, tiba tiba Jan terus suruh bergambar. Makcik tu ajak kami masuk kat dalam rumah dia. Dalam masa yang sama beliau masuk ke dalam sebentar untuk tukar telekung, jadi Jan tak sempatlah nak bergambar dengan makcik ni ketika dia mula mula keluar tu. 

Bila tengok gambar ni kan, baru perasan hidung kami lebih kurang je. HAHA. Macam anak dengan emak je. Patutlah pakcik yang kami jumpa masa makan tengah hari semalam tu cakap muka saya macam orang Aceh. huhu. Mungkin sebab tona kulit dengan air muka kot. Terima aje lah walaupun dalam hati tak adalah suka sangat orang cakap macam tu. 



Kami sempat mengabadikan kenangan kat sini. Makcik ni rupanya bernama Bundia. Ibu Bundia ni kurus dan tinggi. Terasa pendek bila berdiri sebelah dia. Selepas itu, kami bertiga duduk dipangkir di bawah sepohon kayu depan rumah Ibu Bundia ni. Kami tak masuk pun kat dalam rumah Ibu Bundia ni.

Ibu Bundia ceritakan kepada kami, dia dulu sebenarnya jual bubur di pasar Aceh. Sekarang dah tak berniaga lagi. Pada hari kejadian, ramai yang bagitahu tsunami melanda, namun orang tak percaya. Setelah tengok air melimpah masuk jalan dan kampung barulah mereka bertempiaran lari nak selamatkan diri.

Air yang semakin tinggi tu memaksa mereka menumpang di rumah Ibu Abassiah. 



Di tingkat 2 itulah, mereka berada dan menunggu masa. Air mencecah hingga ke paras dagu. Mereka beramai ramai berpegangan tangan dan saling bermaafan untuk sebarang kemungkinan. Allah itu hebat perancanganNya. Tiba tiba adanya kapal yang hanyut dan terdampar betul betul di atas rumah Ibu Abassiah.

Mereka beramai ramai naik ke atas kapal tu dan rupanya kat dalam kapal tu ada seorang pemuda lelaki. Pemuda tersebut bertanyakan kepada mereka kenapa kamu ramai ramai naik atas kapal ni? Mereka bagitahu tsunami melanda. Subhanallah, rupanya pemuda tu tak sedar sedikit pun tsunami dan kapal ini sebenarnya terletak di tempat lain. Seramai 59 orang penduduk terselamat pada ketika itu.

Ibu Bundia menceritakan, banyak kejadian yang kita sendiri tak jangka berlaku. Seperti cerita sebelum ini, beliau juga memberitahu binatang banyak yang menyelamatkan manusia dengan izin Allah. Ketika dengar, kami memang sebak. Saya beberapa kali terpaksa tahan air mata dari meluncur.



Semasa kami berbual dengan Ibu Bundia ni, Jan sempat merakamkan perbualan dan penceritaan Ibu Bundia kepada kami. Rumah Ibu Abassiah itu dah diambil oleh pihak kerajaan bagi dijadikan 1 bukti sejarah. Ibu Bundia menceritakan, banyak hikmah dari tsunami. Dulu Aceh walaupun 100% Muslim, namun tidak begitu mengamalkan Islam dengan sebenarnya. Beliau cakap tidak mahu cerita panjang kerana seolah olah membuka celana sendiri [baca aib]. Sambungnya lagi, perancangan Allah itu tidak boleh kita duga. Kamu datang ke sini selepas tsunami berlalu lebih 10 tahun lamanya. Allah yang menemukan kita di sini. Tak terungkap dengan kata kata tentang perasaan terharu kami tu.



Ibu Abassiah telah berpindah ke tempat lain selepas kejadian tsunami tu dan ditambah lagi dengan pengambilan rumahnya oleh kerajaan. Kata Ibu Bundia, sekiranya tiada kapal ini, tiada kapal PLTD Apung tu, tiada bukti Banda Aceh pernah dilanda tsunami. 

Selepas lama di sini, kami meminta izin untuk beredar. Sebetulnya, perbualan kami bertiga penuh sarat dengan emosi. Masing masing dengan perasaan sendiri. Tapi Ibu Bundia kental. Kita pula yang sebak!

Masa kami bagitahu nak ke pasar Aceh nak beli cenderamata, Ibu Bundia sempat bagitahu yang di depan sana kedai cenderamata milik kawan beliau. Jan sempat beli beg tangan yang sangat unik! Cantik dan harga dia tak adalah mahal mana.

Dah selesai membeli, usai Jan bersalam dan memeluk Ibu Bundia, Jan sempat mengungkapkan sesuatu. Biarlah ini menjadi rahsia kami bertiga. Ketika itu saya dah menangis. Dah tak tahan nak buat derk. Ketika Ibu Bundia bersalam dan memeluk saya. Air mata makin laju menitis kerana saya belum cakap apa apa, akan tetapi Ibu Bundia telah ungkapkan 1 doa yang sangat indah pada halwa telinga saya. Hingga kini kata kata tu memang saya ingati dan saya cuba aplikasikan dalam seharian sikit demi sikit. Cuba! Beliau sempat mengambil nombor telefon saya, yelah mana tahu andai ada rezeki, boleh kami berjumpa lagi di lain waktu dengan lembaran baru. Amin. 



Kami tinggalkan Gampung Lampulo dengan 1001 perasaan. Ibu Bundia hanya kongsikan kisahnya, dan sekarang terpulang kepada kami berdua sama ada ingin mengambil iktibar seterusnya sentiasa membaiki diri sikit demi sikit. Jangan sekadar sedih bila dengar kisah tsunami, akan tetapi kami tidak mengambil iktibar tersebut lantas berlalu ditelan waktu? Semoga tidak sekadar menulis di dalam blog untuk kenangan namun yang penting, kuat untuk berubah!

Kami menuju terus ke Pasar Aceh dengan hasrat membeli cenderamata. Sebelum itu, kami sempat singgah ke satu kedai yang mana Pak Anto bagitahu harganya agak berpatutan. Banyak Jan beli kat sini. Saya hanya membeli beberapa barangan sahaja. Sebetulnya nak beli baju untuk bapaknda saya, namun harga yang senantiasa berubah ubah itu membuatkan saya tawar hati untuk membeli. Tak mengapalah, lagipun saya memang dari awal dah niat bukan nak membeli sangat pun. 



Semasa kami berada di pasar Aceh, barulah saya membeli 2 pasang kain untuk dibuat baju. Lagipun harganya murah. Saya tertarik dengan cara peniaga di kedai kain tu. Sebetulnya takut nak membelek kain, sebab kami belum tentu akan beli. namun kata lelaki tersebut kami udah diajar oleh guru kami. Nggak papa kalau kamu tidak mahu membeli, kami tidak boleh paksa. Rezeki itu telah ditetapkan oleh Allah. Kami ada belajar pada sebelah malam, jadi kami lebih faham urusan berniaga dalam Islam. Mau ambil gambar pun nggak papa. Kat sinilah saya beli kain pasang tu. HEHE.


Itu di sebelah kiri tu, Pak Anto. Sabar menunggu kami



Kami sempat datang kat perkarangan Masjid Raya Baiturrahman buat kali kedua. Ambil gambar sekejap je, lepas tu kami terus balik.



Ku jejak jalan yang berduri, eh ini bukan jalan berduri. Ini jalan yang berTAR. Kami dalam perjalanan balik selepas separuh hari di luar.

Semasa sampai diperkarangan hotel. Ada lagi insiden lucu [baca cemas lagi cuak]. Masa nak bayar tambang tu kan, kami sebetulnya plan nak pergi makan malam dengan Pak Anto ni juga. Lebih mudah kan? Masa nak bayar tambang tu, Jan tanya berapa. Saje je la kan nak confirm. Pak Anto bagitahulah berapa harga dia. 

Masa Jan bayar tambang tu kan, Pak Anto cakap bagilah lebih sikit. hehehe. Jan suruh saya tambah. Dah cuak giler masa tu. HAHAHA. Saya kasi ajelah 1,000 rupiah. Dah tak fikir berapa nilai dia. Sebab tetiba kan. Sebenarnya dah niat saya nak kasi lebih sikit bila malam nanti sebab tadi kami plan nak naik dengan Pak Anto juga. Lagipun, saya tak jumpa lagi dengan barangan yang saya cari tu. Jadi saya bimbang duit tak cukup, bukan tak nak kasi. 

Pak Anto siap cakap bagilah sikit lagi. Jan suruh saya kasi lagi. Dan sebetulnya saya tak ada duit kecil. Ada pun note 100,000 rupiah. Ketika itu rasa bersalah dan saya terus cakap aku adok duit kecil doh. Muka memang berkerut giler rasanya. HAHA. Kalau tak silap saya tambah kot, tapi tak berbaloi la sebab sikit sangat.

Esoklah kita sambung cerita. Dah melampau panjang ni.




2 comments:

  1. Assalamualaikum..sy nk tanya, sy mmg x pernah pergi ke mana2 bandar kt indonesia ni..tp, insyaAllah 1st april 2016 ni,sy akan ke banda acheh..so bleh x sy nk tau, jenis plug(utk cas hp n camera)yg normally digunakan kt hotel banda acheh..tq..

    ReplyDelete
  2. Wslm. Saya guna international travel plug. Kalau yang Indonesia, kebanyakan mereka gunakan plug bulat dan ada 3 lubang yang bolehkan kita charge handphone macam biasa. Kamera setakat ni tak pernah caj sebab bateri dia sempat cover untuk beberapa hari :)

    ReplyDelete

Terima kasih atas pandangan.