Saturday, September 5, 2015

Tsui Tsunami PLTD Apung

#ENTRY-VERSINOVEL


Semasa ditutup seketika waktu Asar

Kami sampai di PLTD Apung tidak lama sesudah berada hanya beberapa puluh minit di dalam avanza. Sampainya kami di sini, memang dah nampak sebuah kapal yang teramat besar yang terdampar kaku. Turun aje dari kenderaan, kami terus menuju ke pintu masuk tempat ini. 

Nak dijadikan kisah, kami sampai hampir pada waktu Asar. Jadi kami hanya sempat mengambil beberapa gambar sebelum keluar semula dari tempat ini. 


Besar!

MONUMEN



Ini adalah monumen ombak tsunami. Kami difahamkan, warna yang dicat itu merupakan warna air tsunami ketika itu.



Ukiran gambar yang ada pada ombak tsunami. Kalau pandang dari jauh memang kita tak perasan. 


WAKTU ASAR
Tidak lama kemudian, satu pengumuman kedengaran. Pengumuman yang memaklumkan bahawa tempat itu ditutup seketika kerana waktu Asar telah tiba. Jadi semua pengunjung perlu keluar terlebih dahulu dan boleh masuk balik apabila pintu dibuka kelak. 

Kami pun keluar dari tempat tu dan hanya berdiri di depan sebuah warung. Selepas penat berdiri, kami mengambil keputusan untuk membeli air di sebuah warung kecil di tepi sebuah pagar. Kat sana ada tempat duduk, hehe. Kami plan nak beli air lepas tu terus duduk la sementara pintu dibuka. Ketika duduk, kami borak borak. Haish kalau lebih lama duduk di sini, mahu ketiduran! 

Tak lama kemudian, pintu dibuka. Kami apalagi, cepat cepatlah masuk ke dalam. 




Ini papan arah yang boleh dijadikan panduan bila kat dalam sini. Cuaca agak terik. Badan dah penat. Tambah lagi dah tak tahu nak buat ekspresi muka ketika bergambar. Nak senyum dah letih. Akhirnya mata terpejam sebab dah tak boleh buka dek panahan mentari. Memang saje tutup mata sebab silau. Amboi panjang benor penerangan pasal gambar seco'et ni. haha. 



Kami mengambil gambar dari pelbagai sisi kapal. Sedang kami mengambil gambar, ada seorang lelaki yang memberi idea kepada kami agar mengambil gambar dari arah belakang sana. Ketika itu orang agak ramai berkunjung di sini. Kami pun apa lagi, terus aje pergi ke angle yang disebutkan. 

Maka bermulalah kisah menarik di sini. Encik F menawarkan dirinya untuk mengambil gambar kami berdua. Kami panggil Encik F bukan sebab terikut dengan tren masakini ke apa. Tapi sebetulnya, lupa apa nama penuh dia. Kalau tak silap bermula huruf F. Firausi. Firdausi. Entah. F aje la eh. 

MAYAT
Selepas beliau mengambil gambar kami. Ketika itulah kami bertanyakan itu ini kepada beliau. Ramah dia menjawab soalan kami. Selepas itu, dia secara sukarela ingin menunjukkan bahagian atas kapal. Beliau menceritakan bahawa di bawah kapal ini masih terdapat mayat mayat yang tidak dapat dikeluarkan. Mayat mayat tersebut sebenarnya cuba dikeluarkan, namun begitu ianya terputus. Contoh nak tarik lengan, lengan tercabut. Semuanya itu disebabkan kerana sulfur yang bercampur dengan air ketika tsunami melanda. Sulfur itu mungkin dah banyak ditelan oleh kebanyakan mangsa. Ini telah menyebabkan mayat menjadi kempis dan melekat pada lantai/tanah. Oleh sebab itulah menjadi kesukaran kepada mereka untuk mengambil mayat. Mereka mengambil keputusan untuk tidak mengalihkan dan ditanam di bawah kapal ini sahaja. 

Kami juga diceritakan bahawa beliau sendiri turut tertelan sulfur. Namun masih sempat diselamatkan. Beliau menelan pil untuk membersihkan dalaman beliau dari sulfur. Pil itu bernilai ratusan ringgit dan disumbangkan oleh seorang doktor terkenal di Malaysia. Saya yakin ramai yang kenal dengan doktor tersebut. #kalau ada silap fakta. Jan mohon betulkan eh


SUMBANGAN
Ketika mendengar cerita ini, barulah kami tahu bahawa ramai orang perseorangan yang menderma dan menghulurkan pertolongan tanpa mengharapkan ganjaran. Beliau menyambung cerita lagi, ketika tsunami berlaku ramai yang tidak menjangkakan ianya sebegitu tragis. Ramai yang fikir itu hanyalah olok olok. Beliau sempat berpaut pada tiang elektrik dan dibelakang beliau ada ibunya dan anaknya. Saya lupa sama ada isteri beliau meninggal atau tidak. Tapi kami difahamkan anak beliau sampai sekarang masih sakit akibat kesan tsunami dulu. Tangan beliau yang cedera juga pulih namun masih dapat dilihat kesan ketika beliau menunjukkan jemarinya. 

Kami dibawa naik ke atas. Sebetulnya kami boleh naik sendiri tanpa adanya beliau. Namun beliau bermurah hati untuk menunjukkan satu persatu kepada kami. Alhamdulillah. Kami rasa macam, Ya Allah. Kami bukan sesiapa untuk dilayan seistimewa sebegini. Kami bukan VVIP. Kami bukan bawa duit berguni. Kami bukan golongan bangsawan yang mana semua orang kenal. Kami insan biasa yang hanya datang ke sini tanpa itinerary yang jelas. 

Kami menuruti beliau ke atas. 



Kesan hentakan. Tapi tak tahulah kapal ini langgar apa. Beliau memaklumkan palang ini merupakan besi padu namun boleh bengkok sebegini. 

Ceritanya lagi, semasa kejadian. Dia boleh melihat air tsunami itu ada tiga peringkat hentaman. Air itu pada mulanya surut lalu datang ombak menghentam Banda Aceh. Ombak yang di bawah pula bergulung gulung. Ianya sebanyak 3 kali. Pada ketika itu, jelas kelihatan ombak yang tinggi pada pemandangan mereka. Yang paling tinggi ialah 1/4 @ 3/4 langit. #kalau ada silap fakta. Jan mohon betulkan eh

Selepas itu mereka tidak lagi memikirkan mengenai air tersebut. Namun apa yang mereka fikirkan apakah masih ada kehidupan di hari muka. Mereka hanya tahu ingin menyelamatkan diri sahaja. Air tsunami itu hanyalah sekejap sahaja. Akan tetapi untuk surut itulah yang memakan masa hingga petang hari. Beliau berkata banyak benda yang tidak mampu difikirkan oleh kita sebagai manusia namun telah berlaku pada hari kejadian itu. Subhanallah. Sebak menyerang diri ketika mendengar ceritanya. 



Lihat bawah sana, kapal ini telah merentasi satu jalan dan menyebabkan jalan baru terpaksa dibina. Kami dimaklumkan bahawa jalan ini merupakan jalan yang menjadi laluan bagi penduduk. 



Jan banyak menyoal beliau sementara saya hanya mendengar ceritanya. Sesekali saya menyampuk tapi saya sebak. Jadi kerana itu saya berdiam diri. Beliau bercerita lagi. Air itu sehingga bumbung atau tiang seberang sana. Betapa tingginya air ketika itu. Kapal ini sebenarnya berada di tempat lain, namun pada hari kejadian. Kapal ini dipukul arus tsunami yang kuat lalu ianya seolah olah bergerak laju secara lurus dan kemudian u turn. Semasa itu, banyak rumah musnah dilanggarnya. Akhirnya kapal itu terhenti di sini. Di mana kami berdiri. Di sinilah tempat akhir kapal ini berlabuh. 



Ini pemandangan ketika berada di atas kapal. 



Kita boleh lihat banyak masjid yang tersergam indah. 



Selepas kami berada di atas, beliau mengajak kami ke satu sudut penerangan mengenai kisah tsunami. Kami melalui tangga sebuah rumah yang telah ditinggalkan kosong selepas tsunami. 





Sampai di sini, kami ditunjukkan dengan gambar kejadian tsunami. Encik F turut menceritakan mengenai kejadian yang menunjukkan kebesaran Allah. Beliau menceritakan, banyak haiwan yang menolong manusia tika itu. Pada satu tahap, mereka menggunakan khidmat gajah bagi mencari mangsa. Ini kerana gajah merupakan haiwan yang sangat sensitif derianya. 

Ada satu kisah, yang mana gajah tersebut seolah olah tidak mahu berganjak. Apabila disiasat rupanya ada satu mayat ahli agama di situ. Mayat tersebut elok di atas sebuah kerusi [jika tidak silap saya]. Beliau memaklumkan keadaan mayat yang ditemui memang pelbagai kondisi. Ada yang masih elok, ada yang hitam disebabkan sulfur. Encik F sendiri hampir 2 tahun tidak menjamah ikan disebabkan di dalam ikan terjumpanya mata, jari dan beberapa anggota manusia yang lain. Terkedu juga kami mendengarnya. Tak dapat dibayangkan macam mana keadaan mereka. 

Sebetulnya banyak lagi kisah yang diceritakan Encik F kepada kami. Bila mendengar terasa seperti satu mimpi ngeri. Encik F berkata ombak tsunami itu seperti cobra yang mencari mangsanya. Selepas selesai 'tugasan mereka', air ombak itu kembali ke laut dan meninggalkan sisa sisa kotoran yang dibawa oleh air sungai.



Selepas itu, kami beransur untuk beredar. Beredar dengan kisah yang sangat menyayat hati. Cukuplah kisah kematian menjadi peringatan kepada kita bahawa hidup ini sementara. Kalau tak dapat semua pengajaran, dapat pegang 1 2 pun dah memadai daripada tiada apa. Kosong. Kita sama sama pelan pelan kayuh. 

Ketika kami nak beransur, Encik F ada menyatakan jikalau ada sumbangan yang hendak diberikan kepada anak beliau atau tempat ini. Kami cepat cepat memberi sumbangan yang tak banyak pun kat dia. Dah tertulis sumbangan itu menjadi rezeki Encik F. Padahal kami sebetulnya ingin memberikan kepada tabung di sini. Nampak tak perancangan Allah. Rezeki Encik F melalui kami. Bila fikir, benda sebegini pun jikalau kita ambil iktibar, cukup membuatkan kita yakin dengan rezeki Allah. 

Kami beredar selepas berterima kasih bagai dengan Encik F. Kami sebetulnya rasa bersyukur sangat sangat kerana dipertemukan dengan Encik F yang sanggup berkongsi kisah dan menemani kami sepanjang kami berada di sini. Nikmat Allah mana yang hendak kita dustakan. 

Kami beransur untuk ke Masjid Raya Baiturrahman memandangkan kami belum solat lagi. Lantas bergeraklah kami ke sana dengan harapan baru. 



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.