Saturday, November 14, 2015

Apa Hobi Kamu?

Tak berani nak cakap ini sebagai 'default' hobi. Ini kerana, saya gemar mengambil gambar dan saya rasakan itulah hobi saya. Kalau nak tahu, hobi lain pula pada sebelum ini, jiwa lebih kepada mengumpul koleksi setem. HEHE. Ya. Antik sangat kan hobi mengumpul setem. Nanti kalau rajin, saya tunjuk koleksi setem yang dah lama tak bertambah dan tak terjaga-jaga itu.

Sejak seminggu dua yang lalu. Hidup ini sedikit meluaskan sayap dengan hobi baru iaitu mewarna. Boleh dikatakan balik dari kerja, saya mewarna. Balik dari kerja saya pergi mencari pensil warna. Bila ada waktu terluang, saya mencari inspirasi baru di dalam internet. Ecewah. HAHA. Rasa macam jengkel pulak mendengar ayat inspirasi tu. Macam ngada-ngada sangat eh mung ni. LOL!

Nak cerita sikit mengenai sejarah hobi baru ni. Sebelum ini saya pernah melihat dalam instagram beberapa orang yang agak terkenal membuat ukiran dan selepas itu dia warnakan. Saya sememangnya tertarik dengan apa yang mereka lakukan tu, namun saya tak pandai nak melukis. Memang tangan bangku kalau bab melukis ni.

Dan selepas masa berlalu dengan sekian lama, saya diperkenalkan dengan adult coloring book! Bermula dari detik itulah, baru saya dapat tahu apa yang pernah saya lihat sebelum ini ialah doodle. OO saya ingatkan doodle tu hanya untuk kartun yang comel-comel tu je. Rupanya ukiran melarik-larik sebegitu pun dipanggil doodle. ps. Betulkan kalau info yang saya baca ni silap.

Teman saya Jan merupakan orang yang bertanggungjawab mengenalkan saya dengan buku mewarna dewasa ini. Thank you Jan! Apabila beliau post gambar di whatsapp group, hati terus tertarik dan saya terus cakap kat dia yang saya pernah lihat di dalam instagram XXXX. Beliau menjawab dengan nada eksyen. Haha. Apa kelas xxxx, ini Johanna Brasford punya adult coloring book. 

Selepas hari tu, saya nekad nak juga buku tu. Semangat yang kupikul membawa daku ke kedai buku. Namun demikian, harapan saya hampa sebab kedai buku kat Kuala Terengganu ni tidak begitu ke depan. Memang buku tersebut tiada di pasaran Kuala Terengganu. Sedih kan?



Saya berhenti di sebuah kedai buku dan apabila bertanyakan kepada penjual, dia menunjukkan buku ini. Ya! Inilah bukunya. Namun bukan keluaran Johanna Brasford. Tapi tak kisahlah. Sebab saya dah tak sabar nak beli, jadinya saya beli ajelah buku versi Korea ni. 

Untuk makluman kalian, buku mewarna ini telah dikeluarkan mengikut pelbagai versi di seluruh negara. Buku ini menjadi trend ikutan di seluruh dunia. Dan ianya adalah kegilaan baru dewasa kini. Kalau kalian buat carian untuk Johanna Brasford, buku dia menjadi pilihan jutaan pembeli. Sekarang dia dah keluarkan edisi baru iaitu Lost Ocean. Antara edisi lain ialah Secret Garden dan Enchanted Forest. Kalau boleh, saya nak kumpulkan semua edisi buku dia. Tapi mana nak dapat eh? Ini tengah kawtim dengan sepupu kot dia boleh tolong belikan kat Kuantan ke. Kalau tak, terpaksa saya minta tolong si Jan belikan. Tapi lambat lagilah saya dapat buku ni. Sobs!



Saya membeli 3 buah buku ni dengan harga yang murah benor! Sebetulnya harga bagi sebuah buku ini ialah RM35 mengikut harga sesebuah kedai tersebut. Mungkin buku yang saya beli ini bukan versi original pun. Haha. Jadi harga dia memang tak berapa nak original lah kan. Salah satu buku yang saya beli ni, lebih kepada poskad versi besar yang both side dia ada lukisan. Jadinya kita boleh gunakan kedua-dua helaian muka dia.



Sebelum ini kan, saya ada cakap yang Afiq mewarna buku dia dan saya mewarna buku saya. Haha. Inilah dia kerja kami seharian. Apabila dia melihat saya asyik mewarna, dia pun turut serta mewarna. Afiq sebetulnya dah banyak buku mewarna, cuma tak berapa bersungguh-sungguh dia mewarna. Mungkin semangat dia tu hanya gigih apabila melihat kesungguhan saya mewarna.



Sesumpah Menipu. Elok sangatlah tu Afiq. Muka singa warna merah dan badan warna coklat. Haha. Dia sebenarnya nak ikut saya warna secara bercampuran, namun tak berapa nak menjadi. Maka jadilah singa muka tanda marah! Haha.



Inilah bunga atau lukisan pertama yang saya selamat warnakan dengan sesuka hati. Masa yang saya ambil adalah dalam setengah jam untuk menyiapkan secara total bagi satu gambar simple macam ni. Yelah, untuk kerja pertama mestilah ambil yang simple aje untuk mencari mood. Tengoklah pada batang bunga ni, mulanya nak warnakan dia dengan coklat gelap, tetiba warna lain saya pilih secara rambang.



Selepas siap bunga matahari tu, saya beralih ke bunga-bungaan di taman bunga seperti rajah di atas. Memang agak turun naik semangat saya apabila mewarnakan bunga yang sebegitu banyak macam tu. Sikit demi sikit saya warnakan dengan rasa yang hampir buntu dengan mainan warna. Kerana itulah, sebelum 1 dan sebelum 2 tak berapa nak nampak sangat perbezaan dia kan? Haha.



Gambar kat atas dah siap. Yayy! Yay juga, sebelum yay ni kan, saya dah habis daya berhempas pulas dengan memikirkan pilihan warna yang sesuai. Sambil-sambil bunga tu nak siap kan, saya mencuri mewarna lukisan di versi kad tu. Haa, yang itu best sangat kita nak warna. Ini kerana, kita boleh gunakan magic color sahaja. Kesan dia pun tak berbekas di belakang kertas kerana kertas dia ni tebal.




Si Afiq peneman setia kala saya mewarna. Dia bersungguh dengan buku dia. Tapi sekejap aje lah, sebab dia cepat bosan. Biasalah budak-budak kan.



Gambar ketiga yang saya warnakan. Ini memang dah buntu juga. Main hentam keromo aje warnanya. Sebetulnya, mewarna boleh dijadikan satu terapi untuk hilangkan stress, cari ilham, santai-santai. Tapinya, ia boleh membuatkan kita bertambah stress disebabkan tak tahu nak warnakan dengan warna apa? Haha.

ps. Kawan saya cakap, orang lain terapi hilangkan stress dengan membaca Al-Quran. Kita pula sibuk mewarna. Haha. Urmm, membaca Al-Quran adalah benda wajib yang perlu dibaca oleh kita setiap hari. Tiada perkara yang boleh mengatasi terapi wajib itu. Tak semua benda orang suka share lebih-lebih lagi dalam perkara peribadi sebegitu dengan terbuka.



Ini antara gambar yang saya hampir berputus asa nak warnakan dia. Jika lihat dengan teliti, nampak sangat saya warnakan ia dengan separuh perasaan. Sebelah kiri, saya sempat warnakan backgroundnya dengan warna kelabu secara hilang arah. Haha. Memang hilang arah betul kan? Sebelah kanan pula, saya sengaja tinggalkan tidak berwarna sebab saya malas dengan tetiba!



Gambar ini saya warnakan setakat ini sahaja dan tidak terusik sejak 3 atau 4 hari yang lepas. Saya dah mula merudum semangat dan jiwa dah tak sabar nak dapatkan buku original daripada Johanna Brasford. Buku ini semua untuk dapatkan mood tapi saya dah berpatah arang dengan mood ni. Apa kes ni dengan hobi baru? Haha. Sebab itulah saya cakap, tak berani nak cakap ini 'default' hobi saya. Maklumlah, melihat pada trend kesungguhan pada jiwa, saya rasa macam yo-yo. Alapadan dohla. Haha. Harapnya, cepatlah dapat buku versi JB tu sebelum pensil warna saya menjadi gajah putih di dalam kotak mereka.



1 Color Pen [Magic Color] | 2 Colores - New Elite | 3 Colour Pencil - Teacher Ding | 4 Colour Pencil - Ben 10 | 5 Colour Pens - Faber Castell | 6 Pen Warna Glitter | 7 Pen Warna 

Sekadar perkongsian aje tu kat atas. Untuk sekalian pembacaku, melalui eksprimen yang saya lakukan ketika mewarna. Untuk kertas biasa, agak tak sesuai untuk kita gunakan magic color disebabkan dia akan berbekas pada helaian di belakang, Sangat tidak cantik dan menyakitkan mata yang memandang.

Setakat ini saya selesa menggunakan pensil warna biasa kerana ianya tidak terbatas. Walaupun pensil warna biasa ni agak konvensional namun apa yang penting ialah kepuasan hati. Colour pens pula sangat sesuai untuk digunakan pada kertas yang tebal seperti poskad. Kita bebas mewarna tanpa bimbang kerana ianya tidak berbekas. 

Manakala pen warna pula, sesuai digunakan untuk kertas biasa dan kertas tebal. Sangat berpuas hati walaupun harga pen ini tidak begitu mahal. Saya memilih membeli semua kit mewarna ini mengikut keperluan diri dan bukan hanya tertumpu pada yang berjenama sahaja. 

Sebagai contoh, pensil warna New Elite tu kan, tak glamour pun, akan tetapi warna dia terang setanding dengan Luna si Afiq. Harga pensil warna ni murah giler. Dalam masa sama, saya juga bercadang nak membeli pensil warna Luna atau Faber Castell untuk pilihan 48 warna. Apabila kita dah mewarna, kita tak dapat lari untuk bermain dengan warna yang pelbagai. Masa tu, kita akan nak warna itulah, warna inilah. Macam-macam hal. 

Kalau Ben 10 tu, urmm ke sawah hasil dia. Haha. Saya berani beli disebabkan sebelum ini saya pernah membeli color pen Ben 10 dan ianya ok. Namun rupanya untuk pensil warna, hasilnya sangat tidak memuaskan!

Yang paling seronok. Kita bebas mewarna tanpa adanya salah atau silap. Maksud saya, kita bebas untuk bermain dengan warna dan terus bereksperimen mengikut kata hati.

Percayalah, adult coloring books ini akan menjadi trend di Malaysia sikit masa lagi. Kalau kat luar negara, memang dah trending pun.

Buat masa ini, saya berehat seketika daripada mewarna. Tunggu mood kembali walafiat atau tunggu dapat buku yang diidamkan. Hehe. Baik punya alasan kan?



1 comment:

  1. Hi boleh contact saya untuk Adult Coloring Book
    Visit FB: Dream Doodles / IG: dream_doodles
    Watssapp : 012-9895 401

    ReplyDelete

Terima kasih atas pandangan.