Saturday, November 21, 2015

Surirumah. Tiada Lesen. Humaira Meragam. Sangat!

Dewasa kini, lesen kereta dan lesen motorsikal merupakan satu keperluan. Keperluan yang penting bagi saya. Tak kira siapa pun kamu termasuk surirumah sekalipun. Nak dijadikan cerita, kakak ipar 2 saya tidak mempunyai lesen motorsikal mahupun kereta. Sebelum dapat Humaira, dia dah merancang untuk mengambil lesen. Apakan daya, apabila dia mengandung, perancangan tersebut terhenti seketika.

Perbelanjaan untuk mengambil lesen bukanlah sesuatu yang kecil. Sementelah kakak ipar 2 tidak berkerja dan mengharapkan wang daripada abang 2. Jadinya, dia membuat keputusan untuk mendahulukan keperluan untuk si Humaira terlebih dahulu.

Sekarang, Humaira dah berusia 1 tahun 7 bulan. Cukup besar untuk ditinggalkan sementara beliau ke kelas memandu.

2 minggu lepas, beliau dah mendaftar di kelas memandu memandangkan sekarang tengah ada promosi! Yuran pun agak murah berbanding kadar biasa. Minggu lepas dia dah mula kelas bagi mendengar ceramah.

Yang saya nak ceritakan di sini ialah keperluan lesen kepada wanita. Kakak ipar 2 saya bertanyakan kepada saya dan kami berborak santai.

Saya sejujurnya sangat mengalakkan beliau untuk mengambil lesen. Berterus terang maklumkan pada beliau bahawa tiada rugi andainya dia mengambil lesen demi masa depan. Nanti, 2 tahun lagi Afiq akan masuk sekolah. Jika abang 2 saya tak dapat ambil, dah tentu dia mampu untuk mengambil Afiq tanpa mengharapkan kepada abang saya sahaja.

Jikalau emaknya meminta tolong untuk hantar ke hospital atau klinik atau ke mana-mana sahaja, dah tentu dia dapat menolongnya. Saya katakan padanya, lesen bukannya ada susut nilai. Mungkin kita terasa agak membebankan dengan ujian, nak pergi kelas tinggalkan anak-anak. Tapi pada kemudian hari, perkara ini memang sangat berbaloi.

Kakak ipar 2 dah ambil keputusan untuk mengambil kelas kereta manual. Dia tanya pendapat saya bagaimana, okay atau tidak? Saya katakan padanya bahawa memang lebih elok mengambil kelas kereta manual. 

1. Kebiasaannya, pemandu auto tak begitu mahir atau tak pandai langsung nak bawa kereta manual.
2. Pemandu kereta manual sebenarnya mempunyai 1 kredit kerana akan pandai membawa manual dan auto.
3. Dapat menjimatkan yuran kerana kos kereta manual dan auto adalah berbeza.
4. Kereta auto senang aje nak belajar. HEHE. 

-----------------------------------------

Nak dijadikan cerita. Tadi pagi saya hantar beliau ke kelas memandu. Afiq dan Humaira ditinggalkan di rumah dengan pengawasan jiran.

Balik rumah, si Afiq pergi kenduri kahwin dengan adik kakak ipar 2. Adik beliau datang ambil Afiq untuk jangka masa 1 hari.

Oleh kerana kelas pada hari ini memakan masa sehari suntuk, maka saya membuat keputusan untuk membawa Humaira ke Mr. D.I.Y. Namun perancangan itu tak berapa nak menjadi. Saya tukar plan.

Dalam jam 12:00 pm lebih, saya pandu kereta sambil si Humaira diletakkan di seat sebelah. Saya pasangkan seat belt untuk Humaira. Sekali pandang, memang kasihan betul wajah si Humaira ni. Diam membungkam kerana tiada kawan.

Sampai di kelas memandu, saya menantikan kakak ipar 2 di kantin. Apabila waktu rehat, kakak ipar 2 bagi Humaira kenyang dulu. Ini kerana, si Humaira tu tak minum susu botol.

Jam dah menunjukkan 2:40 petang. Saya mengambil keputusan untuk membawa Humaira balik. Ketika itu dia tertidur. Kakak ipar 2 tolong bukakan pintu dan turunkan seat. Selepas itu dia terus berlalu ke kelas. Semasa nak masukkan si Humaira kat dalam kereta. Eh, dia terkejut pula. Mata dah terbuka. Saya peluk dia dengan harapan dia akan kembali lena. Namun harapan itu musnah!

Bermulalah tangisan yang berpanjangan. Saya nak letak dia kat seat sebelah pun dah tak boleh. Langsung tak nak duduk! Saya minta dia duduk di tengah-tengah iaitu dekat hand brake, pun dia tak nak.

Apa lagi daya saya untuk hadapi keadaan yang tidak terurus ni. Akhirnya selepas 10 minit berlalu, saya terpaksa mengambil keputusan untuk membiarkan saja Humaira duduk di riba saya. Ya, satu perlakuan yang sangat MERBAHAYA! Janganlah dibuat perangai macam ni.

Dia menangis dan menangis. Adakala kaki dia menendang-nendang sisi pintu kereta saya. Saya takut betul dia tertendang stereng ke apa. Sangat takut! 

Saya terpaksa memberhentikan kereta beberapa kali di tepi jalan demi menenangkan Humaira. Namun, tidak juga reda. Tunjuk motorsikal tak berhenti menangis, tunjuk lori pun tak berhenti menangis juga. Tunjuk awan, tunjuk burung semua tak jalan.

Akhirnya, saya sambung balik perjalanan dan membuka lampu kecemasan. Memang kecemasan. Tak mahu kereta belakang terganggu dengan pemanduan saya. Hampir 30 minit perjalanan yang saya lalui itu terasa sangat panjang lagi lama. 

Alhamdulillah, selamat sampai. Namun tangisan si Humaira memang tak berhenti. Dia sebetulnya tak pernah berenggang dengan kakak ipar 2 saya dalam masa yang lama. Memang sangat menguji perasaan.

Point di sini ialah, saya tidak tahu bagaimana ibu bapa menangani kerenah anak-anak yang tidak mahu duduk dengan elok-elok, dengan baik dengan tersenyum di seat penumpang. Saya tak sanggup bawa anak buah dalam keadaan begini. Takut! Tadi, saya dah terbayang car seat. Terlintas kat hati nak je beli car seat dan ikat [buckle up] mereka kat dalam tu.

Dan, sebetulnya saya tak pandai mana nak memandu dengan ada penumpang di riba. Namun kerana terpaksa, pelan-pelan bawa kereta pun, dipermudahkan sehingga sampai ke rumah adik 2. Terpaksa berhenti di rumah adik 2. Lama betul Humaira menangis, hampir 1 jam lebih. Semua pujukan memang tak berjaya.

Sebab itulah, kanak-kanak perlu di ajar untuk duduk sendiri di dalam car seat sejak mula baby tu keluar dari hospital! Itu mengikut pembacaan saya di blog-blog luar negara. Mereka sangat mementingkan penjagaan keselamatan untuk anak-anak mereka dan undang-undang mereka sangatlah ketat.

Cukuplah sekali penangan meragam si Humaira ni.




No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.