Saturday, December 19, 2015

Lawatan ke Kelantan

Saya dan adik ipar 1 berborak kosong. Timbul idea untuk ke Kuantan namun adik ipar 1 tak berapa nak bersetuju. Dia cakap Kuantan dah biasa sangat, almaklumlah rumah kakak dia. Jadi idea berubah untuk ke Kelantan.

Pada pagi hari Rabu, saya menerima mesej daripada adik ipar 1 bertanyakan mengenai perancangan ke Kelantan. Saya memang tak maklumkan pun perancangan kami tu kepada adik 1 saya. Lantas, bila dah baca mesej dia saya terus mesej kepada adik 1 mengenai 'best gok kalau kita gi Kelantan'. Dia balas 'wak nape?'. 'Saje jalan-jalan, kita gi KB Mall lalu', jawab saya. Dia jawab 'baik kita gi Mundok'. Saya ok aje. Tak kisah pun mana-mana janji dapat pergi ke Kelantan.

Pada petang Rabu, adik 1 cakap 'kita gi esok'. Saya jawab 'esok kita kerja'. Rupanya adik 1 ajak pergi selepas kami pulang dari kerja. Bermalam di rumah adik 2 dan pagi tu terus kami ke Mundok.

Khamis petang, saya pulang dari kerja dan kemaskan barang. Saya bersama keluarga adik 1 dan mak mentua terus ke Kelantan. Sampai di Machang dah malam. Masuk kat dalam rumah sekejap dan adik 1 terus ajak pergi ke Wakaf Che Yeh. Saya sebetulnya tak pernah pergi ke sini. Jadi malam tu bolehlah lihat bagaimana keadaan tempat tu. Masa kami ke Kelantan, hujan renyai-renyai dan adakala lebat. Setiba di Wakaf Che Yeh, kami berjalan-jalan disekitar kawasan. Walaupun hujan, ramai juga pengunjung yang datang. Kat sini kami tak membeli sangat pun. Esok kan dah nak ke Mundok, orang cakap barangan kat sana lebih murah. Jadi kami sekadar menjamu mata.

Esok pagi, kami terus bersiap ke Mundok. Perjalanan dari Machang ke Mundok adalah dalam kira-kira 1 jam lebih.



Setibanya di hujung jalan, kami melihat papan tanda di sebelah kiri 'ke Mundok'. Macam tu je rupanya kawasan kami nak ke Mundok. Ada sungai dan di seberang sana itulah Mundok. Kalau tak silap info, Mundok tu adalah sebahagian negara Thailand. Kiranya masuk ke negara Thailand namun kami terhad untuk ke kawasan tertentu. Ini kerana kami masuk tanpa passport. 

Semasa sampai, kami lihat beberapa kereta dah sampai dulu dari kami tapi tak berapa banyak. Lantas kami masuk ke dalam. Kami bercakap sesama kami tentang waktu dibuka untuk ke Mundok. Kami tengok ada sampan di seberang namun mereka tak datang pula ke seberang sini.

Adik 1 turun melihat kawasan, selepas tu dia balik memberitahu kami. 'Mundok ni tutup sebab ada kes rakyat Malaysia kena tembak'. Hampa! Tak ada rezeki kami nak menjelajah dan kenal kawasan Mundok tu. Semasa kami berpatah balik, nampak anggota keselamatan di bawah sebuah rumah menjaga kawasan. 

Terpaksalah ubah rancangan. Kami ke Rantau Panjang. Sempat juga saya beli beberapa biji mangkuk. Tak banyak pun saya beli sebab tak terfikir nak ke Rantau Panjang. 

Sejam kemudian kami beralih ke KB Mall. Sampai di KB Mall, kami meronda kawasan. Tempat yang paling utama kami pergi ialah mencari kasut. Sebetulnya kasut saya dah banyak rosak, memang dah aim nak beli kasut kat sini.

Kami ke Popular, kedai buku ni tak ada kat Kuala Terengganu. Masuk aje kat sini, saya lihat 1 keadaan yang sangat menyenangkan pandangan. Saya tak pernah melihat keadaan sebegini di kedai buku di Terengganu tapi pemandangan ini pernah saya lihat di MPH di bandar-bandar besar. Di Kuala Terengganu, tak ada lagi pengunjung lepak-lepak membaca bahan bacaan di dalam kedai buku. Tapi di sini, saya lihat Melayu dan Cina selamba aje lepak membaca. Seronok  melihat suasana yang harmoni sebegini. Pengunjung kat Popular ramai sangat, macam ada pesta buku lagaknya. 



Sempat mencari buku mewarna untuk dewasa, tapi buku yang saya nak tu tak ada. Ada versi lain aje. Terpaksa bertahan untuk dapatkan semua siri buku-buku ni. 



Selepas itu, kami singgah untuk makan sekejap. Saya order aiskrim kelapa. Saje je lah order benda baru. Tak pernah nak mencuba. Oklah not bad. 

Sempat ke Stesen Keretapi Wakaf Bharu. Dulu, selalu pasang impian nak naik keretapi. Kali ni, impian tu datang lagi apabila sampai kat stesen ni.




Rasa seperti zaman dulu kala. Macam nostalgia sangat apabila melihat landasan ni, walhal tak pernah naik pun keretapi.


Saya selalu berasakan naik keretapi ini sesuatu yang menyeronokkan. Melalui kawasan kampung, makan roti cicah air kopi. Berangan macam ni sebab pernah lihat dalam tv dokumentari pasal keretapi yang last sekali stesen dia kat Johor tu. 



Kami ke sini disebabkan abang Rayyan nak datang lihat landasan keretapi. Eh, bila dah sampai kat sini. Dia nak pergi jalan sepanjang landasan ni pula. Mana boleh, kami bukan nak berlama-lama kat sini. 



Ambil gambar bukan sebarangan ambil gambar. Saya dah pasang plan nak naik keretapi 1 hari nanti. Tak tahulah bila jadi kenyataan. Hahaha. Bajet nak naik dari KL Sentral terus ke Utara. Kononnya. Kalau nak cuba, kena plan bebetul ni.

Selepas ke sini, kami ke Tesco dan terus balik ke Terengganu.

Sedikit info dan persepsi mengenai Kelantan. 

Saya selalu mendengar orang cakap Kelantan ni mundurlah, apalah. Perkara-perkara negatif. Bagi saya sepanjang saya berada di Kelantan [bukan kali pertama datang ke sini], saya tak nafikan adalah beberapa perkara yang perlu ditambahbaik. Tapi saya tak nak 'up'kan info tu.

Terengganu dan Kelantan sama-sama Pantai Timur. Namun dari segi kuasa beli rakyatnya, Kelantan agak terkedepan berbanding negeri saya. Mereka rakyat Kelantan tak perlu bersusah payah nak datang ke Terengganu sekiranya nak membeli barangan contoh barangan peribadi. Tapi kami rakyat Terengganu, biasanya akan membuat pilihan membeli di Kuala Lumpur, Kuantan atau Kota Bharu. Kerana di Terengganu tiada shopping mall yang menawarkan barangan yang kami ingini. Oh ya, kami ada Mesra Mall namun tak banyak barangan yang ada kat situ. Biasanya kalau alang-alang nak membeli, memang kami akan ke tempat lain yang lebih banyak pilihan.

Saya hanya menulis perihal negeri Pantai Timur, bandingkan dengan negeri yang dikatakan mundur. Kalau bandingkan dengan negeri besar, kan bunyinya macam eksyen pula. Patut ubah mentaliti orang-orang kita. Kalau mundur, kami tak datang ke Kelantan. Mak mentua adik 1 saya siap cakap semasa kami di KB Mall 'macam kat Kuala Lumpur rasa'. Ini pandangan orang tua ni, bukan orang muda macam kita. Sekurangnya kat Kelantan mereka ada Manhattan Fish Market. Sebelum ni semasa datang kat sini, tak perasan pula adanya restoran ni.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.