Saturday, February 14, 2015

Rehat Yang Abadi

P.S :: Catatan dan gambar ini lebih kepada kenangan untuk diri sendiri. Dan saya kongsikan dengan kalian semua sebagai renungan kita bersama.

Malam Jumaat yang lalu, saya berwhatsapp dengan kawan-kawan sekolah. Tiba-tiba seorang kawan bertanya 'betul ke TGNA dah meninggal?'. Saya terkejut dengan soalan dia dan jari terus bergerak ke fb. 

Sampainya di fb, saya lihat status pengesahan berita itu daripada banyak pihak. Sedih. Masa itu tiba jua akhirnya. Saya maklumkan kepada ayahanda saya. Dia terkejut sepertimana dia terkejut apabila melihat berita mengenai pemergian Haji Hasbullah Awang ketika menonton berita jam 8 malam tadi. 

Saya sejujurnya tidak mengenali TGNA dengan lebih dekat. Namun banyak mengikuti kisahnya di dalam media massa dan juga media sosial. Tidak dinafikan beliau insan yang sangat dikagumi oleh saya. Dan saya kira bukan saya seorang yang begini, malah puluhan ribu lagi yang mengagumi beliau. Seronok melihat kata-kata beliau. Pendek kata sosok peribadi beliau sangat menyenangkan.

Pada malam itu, saya bermesej dengan sepupu saya. Kami entah bagaimana pada jam 12 malam kot, akhirnya bersetuju untuk pergi ke Pulau Melaka, Kota Bharu.

Sebelum keputusan ini dilakukan, banyak perkara yang saya fikirkan. Banyak kata-kata pesanan yang berlegar di minda kerana memikirkan kami ni perempuan. Selepas banyak timbangan dilakukan, akhirnya kami ON.

Kami merancang untuk bergerak selepas Subuh. Pada jam 4 pagi lebih-lebih, saya terkejut dari tidur. Melihat handphone, saya berfikir lagi. Banyak perancangan dalam minda yang digarapkan. Lantas apabila melihat info mengenai waktu Subuh, saya mencadangkan kepada sepupu agar bergerak sebelum Subuh.

Kami pergi hanya berdua sahaja. Sepupu takut dimarahi ayahnya, namun apabila dia maklumkan pada pagi tu. Ayahnya ok je. Manakala saya pula, tidak memaklumkan kepada ayahanda langsung. Mempelawanya pun tidak. Sebetulnya saya takut untuk mempelawa kerana teringat peristiwa pada tahun 2009. Maka saya tidak berani mengambil risiko.

Pagi itu kami bersiap lalu saya pergi mengambil sepupu. Perjalanan di pagi yang hening itu kami tempuhi. Sejujurnya pemanduan saya adalah bawah 100km/j dan kami gelak apabila saya menyatakan bahawa saya ni lambat dan boleh sebabkan orang sebelah tertidur. 

Sepanjang perjalanan, kami berjumpa dengan beberapa konvoi yang mempunyai tujuan yang sama dengan kami.



Gambar akhir beliau saya simpan pada 21 Januari 2015 yang lalu

Ketepikan soal politik. Saya sememangnya gemar menyimpan video, gambar, gambar yang ada kata-kata beliau di dalam handphone dan sesekali akan dikongsikan di dalam facebook saya. Simpan kerana banyak peringatan yang beliau titipkan untuk kita. Tak boleh dinafikan, kata-kata beliau memang bermakna dan tidak sia-sia untuk kita renungi.

Saya perlukan pesanan dan peringatan sebegini rupa. Maklumlah, saya ni kan bukan baik sangat, bukan bagus sangat. Jadi kena ketuk sokmo! hehehe.

Namun yang saya ingati ialah sajak oleh Oki Setiana Dewi untuk beliau. Sangat menitiskan airmata apabila mendengarnya.

Jam 4.45 pagi kami bertolak. Pada jam 8.45 pagi kami sampai di Kota Bharu. Namun disebabkan saya ni kurang arif mengenai jalan kat sini, akhirnya kami terlajak ke depan dan terpaksa patah balik apabila kami dah rasa 'eh macam salah jalan je ni'. Kawan kepada sepupu saya dah selamat sampai pada jam 3 pagi tadi. Dia berkesempatan untuk melihat jenazah Tok Guru Nik Aziz. 

Selepas beberapa puluh minit, akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju. Alhamdulillah, sebenarnya kami main redah je dan ikut aje mana-mana signboard. Pada hari itu, memang ramai yang datang menziarah. Jadi mudah kami ikuti kenderaan yang pemandu atau orang kat dalam kereta tu nampak pakai kopiah.

Kami pada mulanya berpakat nak naik bas dari stadium namun apabila ada info yang menyatakan boleh je datang terus, akhirnya saya buat keputusan tidak menaiki bas. Sebenarnya, saya tidak tahu di mana terletaknya stadium.

Kami mencari tempat meletak kereta. Alhamdulillah, dalam kesesakan yang teruk tu, kami dapat 1 ruang kosong di belakang sebuah bangunan. Syukur sangat. Semasa kami keluar dari kenderaan, ada seorang lelaki yang menyuruh kami lalui sebuah lorong di depan. Katanya itu jalan pintas. Syukur sekali lagi.

Kami berjalan mengikut arah orang ramai. Kami melalui sebuah lorong di depan rumah-rumah penduduk di situ. Semasa sampai di persimpangan, saya ternampak sepasang suami isteri [makcik dan pakcik] di depan. Makcik tersebut berpaling kali pertama dan dia berpaling kali kedua sambil tersenyum. Pada masa dia berpaling kali kedua tu, saya menyatakan hasrat saya untuk mengikutinya. Alhamdulillah, kami mengikuti mereka dan dibawanya melalui jalan pintas.

Semasa kami berjalan. Suasana tenang dan orang terlalu ramai. Sangat-sangat dan sangat ramai! Makcik itu bercerita tanpa dipinta, dia menyatakan 2 orang cucunya sempat ditahnik oleh Tok Guru Nik Aziz. Sambil bercerita, dia menyeka matanya dengan tudung labuhnya. Saya sebak dan tumpang seronok mendengar ceritanya. Beruntungnya dia dan cucu-cucunya.

Makcik tu juga berkata 'sekali ni je kita mari, susah dah nak dapat peluang gini. Takdok doh lepas ni'. Sekali lagi dia menyeka airmata. Sebak.

Ketika melalui jambatan, kelihatan ramai orang mengambil gambar sebagai kenangan. Saya pada masa itu, tidak terasa nak mengambil gambar namun lebih mengamati suasana di situ.

Makcik tersebut bercerita lagi, di sana itulah tanah perkuburan. Rumah TGNA tidak jauh dari masjidnya dan bermacam-macam cerita lagi. Saya setia mendengar. Ketika itu, sepupu berjalan agak di belakang kerana dia berjalan agak perlahan. Namun saya sentiasa ada di tepi makcik tu mengikut rentak langkah beliau, takut tertinggal sebab saya segan.




Apabila sampai di sini, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk mengambil gambar ini. Itu pun guna mode: silent. Angkat sekali aje handphone, memang sangat segan nak ambil gambar walaupun saya ni sebenarnya agak tegar kalau bab mengambil gambar.




Makcik dan pakcik ni bawa kami melalui 1 lorong. Katanya ini jalan belakang. Kami yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sini tidak dapat membayangkan di mana jalan depan rumah TGNA. Ketika ini, saya mengambil gambar secepat yang boleh. Segan.




Kami sampai di halaman sebuah rumah 2 tingkat. Dengarnya ini rumah anak TGNA. Entahlah, saya tidak pasti tentang perkara ini. Namun yang penting ialah melihat kesesakan orang ramai yang datang untuk solat jenazah bagi TGNA. Semasa kami di sini, pakcik tu terus masuk ke dalam pintu pagar di depan manakala makcik tu ditinggalkan bersama kami. 

Pakcik tu tak bercakap walau sepatah pun dengan kami. Saya tak berani nak buka mulut melainkan dengan makcik tu sahaja. Kalau kalian nampak, orang sangat ramai. Namun ketahuilah kami yang berada di tepi tembok tidak diendahkan sangat. Ini kerana mereka mempunyai agenda yang lebih penting. Maka kami yang berada di situ tidaklah berasa segan sangat.

Ketika ini makcik itu bercerita mengenai kisah tahajjud TGNA. Dia menyeka airmata dan saya pula dah menitiskan airmata. Cerita itu sebenarnya saya dah baca di dalam fb, namun apabila mendengar dari mulut penduduk, terasa sangat menyentuh. Saya hanya mampu mengangguk dan berkata sepatah dua sahaja kerana sebak.

Semasa dia menyuruh saya turut duduk di lantai, makcik tu sempat berkata 'cemar la sikit kalau duduk ni'. Maksud dia, baju yang saya pakai akan kotor sebab duduk kat situ. Saya tak kisah pun. Memang terasa macam kita ni anak dia. Baiknya makcik nih.




Selepas semua kaum lelaki masuk ke masjid dan berada di depan sana, kami melihat semua perempuan masuk ke pintu depan tadi. Lalu kami turut bangun dan rupanya kami boleh berjumpa dengan isteri TGNA. Alhamdulillah, impian tercapai selepas saya tahu impian yang 1 lagi tidak tercapai. Syukur.

Kami beratur dan dikawal oleh muslimah-muslimah dari unit mana pun saya tak pasti. Dari tangga di depan pintu masuk sampai ke pintu keluar, semua dijaga oleh mereka. Sepupu dan makcik tu masuk terlebih dahulu manakala saya disekat di depan pintu. Semasa sebelum masuk, kami dinasihatkan agar bersalam sahaja memandangkan kesihatan isterinya yang mungkin keletihan. Kami dikhabarkan dia tidak berapa sihat.

Dari jauh saya boleh nampak beliau duduk di sebuah kerusi ditemani beberapa orang disebelah. Apabila giliran saya tiba, saya dipesan sekali lagi. Bertemu mata dan melihat sendiri raut wajah isteri TGNA. Ya Allah, wajahnya putih bersih. Manis lagi tenang sangat. Wajahnya tidak membayangkan usianya. Terasa malu melihatnya, yelah sebab saya bukan orang baik namun Alhamdulillah dapat peluang untuk berjumpa dengannya.

Ketika ingin keluar, saya bertanyakan kepada petugas sama ada boleh mengambil gambar isteri TGNA atau tidak? Petugas tidak membenarkan pada mulanya kerana disangkakan saya ingin bergambar berdua. Namun apabila menjelaskan, petugas tersebut memberi handphone saya kepada petugas yang lain untuk mengambilnya. Saya menunggu seketika di situ. Ya Allah, baik sangat layanan daripada mereka semua.

Gambar ketika sepupu menunggu giliran dan gambar isteri TGNA tersebut ada di dalam simpanan saya. Namun saya tidak berniat untuk berkongsi di sini melainkan di fb sahaja.

Kami terus keluar dari rumah TGNA dan kembali di tepi tembok tadi.

--------------------------------------------------------------------------------------

Selepas selesai solat jenazah. Saya menemani makcik tu menunggu pakcik keluar dari perkarangan depan masjid sana. Alhamdulillah, kami bertuah sebab makcik dan pakcik ni mempunyai semangat yang saya rasa Subhanallah. Cergasnya mereka.

Kami dibawa keluar dari lorong dan melalui celahan-celahan orang ramai dengan laju. Saya memegang tangan makcik tu, manakala sepupu saya memegang saya. Dalam ramai-ramai manusia ketika itu, kami berjaya lalui dengan baik.

Semasa sebuah kereta melalui jalan, kami sama-sama pandang. Rupanya Dato' Najib dan juga Tengku Razaleigh. Kereta dapat bergerak dengan perlahan aje disebabkan orang terlalu ramai kat jalan. Ya Allah, peluang yang langsung saya tak jangka. Berpakaian putih mereka berdua. 

Kami teruskan perjalanan, nak tahu. Pakcik ni cari jalan pintas dan kami berjaya lalui. Semangat nya mereka




Kami akhirnya berdiri di sini selepas semua kawasan dah penuh. Pakcik tu sebenarnya masih berusaha mencari ruang yang sesuai namun tidak ada. Selang beberapa ketika jenazah di bawa lalu di sini menuju ke tanah perkuburan. Jelas di mata akan kain kafan yang diletakkan di keranda. Ianya bukan keranda kayu sebagaimana biasa. Ketika jenazah di usung itu lalu di depan kami, bayangkan suasana yang sangat gamat. Mereka sepenuh hati melaungkan kalimah Agungلا اله الا الله  د

Suasana sangat hiba ketika ini. Bayangkan orang lelaki boleh menitiskan airmata, perempuan apatah lagi. Beliau dah pun berehat. Rehat Yang Abadi. Selama di dunia, beliau dah penat berlelah. Kita ni pulak?

Selepas jenazah lalu pakcik dan makcik ni dan orang ramai mula bergerak ke tempat lain di depan sana. Saya mengekori beliau, namun semasa saya berpaling melihatkan sepupu saya di belakang. Saya melepaskan tangan saya dari lengan makcik ni. Ini kerana, seandainya saya terus pegang maka saya dan sepupu akan terpisah. Apabila melihat sepupu melilau mencari saya, saya memanggilnya manakala kelibat makcik dan pakcik tu telah hilang ke depan bersama-sama orang yang ramai.

Saya tidak sempat bertanya nama beliau. Rugi kan? Kelemahan diri saya.

Saya dan sepupu terus ke jalan depan.



Kami berada di sini menunggu jalan kat atas jambatan sana boleh dilalui oleh kami. Maknanya kami agak-agak wanita boleh celah di dalam kesesakan orang ramai, barulah kami nak bergerak.




Semasa dalam perjalanan pulang melalui jambatan. Saya berhenti sekejap untuk mengambil gambar. Kelihatan orang ramai di perkuburan sana. Ya Allah, damailah Tok Guru di sana.



Selautan manusia. Saya terfikir, bagaimana ketika kita di padang mahsyar nanti. Macam mana nak cari orang yang pernah kita buat jahat dengan mereka? Nak cari ahli keluarga kita? Ya Allah sedih bilamana ingat perkara ni. 

Pengajaran di perjalanan kami:

1. Kalau kita lihat pada selautan manusia yang datang menziarah di media sosial, terasa mustahil nak dapat berjalan dengan baik. Tentu berhimpit-himpit lelaki dan perempuan. Namun ketahuilah, apabila kita berada di situ. Allah buka jalan untuk kita. Kami diberi laluan oleh pemuda-pemuda sana 'tepi sikit tepi sikit, ore tino nok lalu ni'. Maksudnya ketepi sikit, orang perempuan nak lalu. Ada yang meletakkan tangan mereka di bahu kawan, atau meletakkan kedua belah tangan mereka di depan. 

2. Tiada kejadian yang tidak diingini. Macam lucu je ayat ni kan? Tapi saya fikir sebaliknya, kalau dikonsert atau tempat-tempat awam yang lain. Ada je kejadian ambil kesempatan ke apa. Kat sini walaupun ramai, namun percayalah yang datang ni semuanya baik-baik. Sebab itulah kami selamat akhirnya. Alhamdulillah. Mereka memang bersatu. Saya tak pernah tengok sebegini suasananya. Kuat betul klik orang Kelantan ni.

3. Memberi kita pengajaran, kalau berbuat baik di dunia. Allah akan menaikkan darjat kita. Ya Allah, betapa Allah memuliakan pengakhiran TGNA. Kerdilnya kita nih.

4. Ada beberapa isu yang saya baca di dada fb. Bagi saya menyanjung, mengagumi tidak perlu sampai kepada taksub. Kagumi dan ambil contoh tauladan yang baik untuk kita sama-sama baiki diri kita ke arah yang lebih baik. Melihat selautan manusia yang datang menziarahi beliau, terfikir kita ini berapa kerat yang datang menziarah. Apa kebaikan yang kita boleh tinggalkan? Apa bekalan untuk ke sana? Macam-macam sebenarnya boleh disoal kepada diri.

5. Untuk ke tempat sebegini, saya lebih suka datang berteman dengan orang tua. Itu lebih manis memandangkan tempat-tempat begini kebiasaannya ramai lelaki yang hadir. Perkara ini saya khabarkan kepada sepupu saya. Ini bagi mengelakkan fitnah dan sekaligus dapat menjaga maruah dan diri kita. Sebab itulah saya mengekori makcik dan pakcik semasa kami pergi dan akhirnya terpisah semasa kami ingin bergerak ke depan. Semasa kami balik, saya berjalan di kalangan kaum wanita yang lain agar lebih selesa.

6. Percaya tak, betapa ramainya orang yang sayang pada TGNA. Pelbagai lapisan manusia yang datang. Ada India, ada yang rockers, ada yang dah tua sangat [saya masih ingat pakcik yang lalu depan saya. Dah tua namun masih kuat melangkah], ada yang sedikit uzur namun semangat mereka sangat saya kagumi. Semoga Allah mengampuni mereka-mereka yang pernah menghina/apa-apalah kepada TGNA. Amin.

7. Kejadian saya terpisah dengan makcik tu dan sepupu saya terpisah dengan saya, membuatkan saya terfikir. Apabila di akhirat nanti. Kita tentu sibuk dengan urusan kita. Tak sempat nak fikir pasal orang lain. Ini baru di dunia, baru di Pulau Melaka. Itu pun dah terpisah, melilau-lilau. Kat sana nanti tentu lebih hebat. Takut nak fikir.

8. Saya bukan ahli Pas. Namun kali ini, saya melihat dengan mata saya sendiri betapa gigihnya Unit Amal menjalankan tugas mereka. Mengawal laluan sampai berpeluh-peluh, mereka terdiri dari yang dah berusia dan muda, mereka laksanakan dengan sehabis baik. Salute kat mereka!

9. Nak ambil gambar kat sini, terasa macam nak mencuri. Betul. Saya curi-curi ambil je. Segan sangat. Dan biasanya gambar diambil dengan cepat. Nasiblah kalau gambar senget ke tak jadi ke, itu lain cerita.

10. Nak jumpa orang baik, berkawanlah dengan orang baik. Itu yang saya nampak. Terima kasih kepada makcik pakcik yang telah tolong kami. Hanya Allah yang mampu membalasnya. 

Semoga Allah mengampuni Allahyarham TGNA, memberi rahmat dan menempatkan beliau dikalangan orang-orang yang soleh. Amin.


Wednesday, February 11, 2015

Luaran Bagus dan Dalaman Sihat

Telefon di atas meja memekik nyaring. Belum sempat bunyi kedua terpekik, saya terus mengangkat ganggang dan dihala ke telinga. Eh bukan, bukan. Haish, terbiasa tidak membiarkan telefon memekik lama dan selalunya menerima panggilan telefon sebegitu rupa, maka lupa yang tadi saya yang memulakan menelefon.

Pada jam 8 lebih, kerja baru siap beberapa % terdengar kawan melaung dari sebelah depan. Ditanyanya tiada ke orang nak keluar makan? Saya menyahut menyatakan ingin makan awal dan kereta juga perlu diberi minum iaitu minyak bagi menjalani kehidupan dia sebagai kereta.

Sambil-sambil itu, saya mengangkat ganggang telefon dan mendail nombor rakan di jabatan lain untuk memaklumkan 1 perkara kepadanya. Talian orang sana diangkat selepas beberapa saat menunggu. Bila ditanya, orang yang nak saya maklumkan tu tiada. Maka suara di sana bertanya kepada saya, siapa ni? Saya menjawab. Lantas ditanya kepada saya lagi. Tak kenal ke? Saya pantas menjawab tanpa ada talian hayat. Salmah kan? Nampak sangat Salmah bukan nama sebenar. Terima aje lah nama tu, sebab nama tu je yang muncul dalam kepala.

Dia bertanya kepada saya, rindu nak berkursus sama-sama macam dulu. Laju saya katakan padanya yang saya tidak lagi betah untuk hadiri kursus. Saya mempunyai alasan yang sangat kukuh dan saya tidak berniat untuk berkongsi dengan anda apatah lagi dengan Salmah. Saya tuturkan kepadanya, saya lebih selesa menghadiri mana-mana target kami yang perlu kami penuhi yang tidak melibatkan terpaksa tidur di hotel atau perlu hadir selama 2 atau 3 hari bermalam. Dan ternyata kami sama. High 10!! Err, macam bocor rahsia pula. HAHAHA!

Sebenarnya, saya pun rindu banyak-banyak untuk ulangi masa lalu namun bukan dalam hal pemakaian. Serius sangat rindu dan kenangan itu sangat menggirangkan hati kami. Macam tak perlu fikir berat-berat dan ianya boleh dikatakan percutian yang berilmu. Cuti dari kerja tapi dapat ilmu dari berkursus.

Sedangkan banjir pun berubah, dulu banjir sinonim dengan Pantai Timur. Sekarang, semua negeri dah rasai banjir. Begitu juga dengan kami. 

Tidak dijangka ianya akan menjadi perbualan yang panjang dan sangat bermakna. Sangat memberi inspirasi dan mengerdilkan diri ini.

PAUSE!

Dalam pada kami tidak berhubung, banyak sangat cerita yang telah dilalui olehnya. Bukannya kat hati saya tiada nama-nama rakan-rakan yang saya pernah kenal, saya kenali, saya pernah rapat. Bukannya tak ada, namun keadaan sudah tidak sama macam dulu lagi. Sukar untuk saya coretkan perihal ini. Saya berdoa agar rancangan-rancangan saya dipermudahkanNya untuk direalisasikan dan dilunaskan hutang. Bukan hutang duit, namun hutang nak menziarah anak-anak kecil mereka. Dah banyak terlepas nak menyaksikan dan hidu bau bayi yang mewangi.

Berbalik kepada ceritanya, dia bercerita banyak hal. Dan dalam ceritanya sangat menginsafkan dan memberi saya seribu satu pengajaran. Dulu, beliau seperti kebanyakkan kami. Pakai baju kebaya, maksud saya, memang la kita ni pakai baju, namun tak adalah sampai nak menitik beratkan apa yang boleh, apa yang tak boleh. Lengan pendek tu biasa. Tudung memanglah dipakai. Tetapi tatacara berpakaian agak rapuh ditika itu. Aurat tak berapa dijaga. Namun, siapa sangka. Allah itu Maha Penyayang. Hidayah Allah itu luas. Sesiapa yang beruntung tentu dia berjaya temui. Dan dia adalah seorang daripadanya. Ya Allah, dihati saya masih terngiang-ngiang ceritanya. Sangat mengujakan setiap ceritanya.

Beliau telah berkahwin agak lama. Saya hadiri majlis beliau dan kami bergambar bagai nak pecah kamera. haha. Sungguh, memang seronok sangat masa tu. Namun kita tidak dapat menduga masa depan. Sehingga sekarang dia masih berdua dan masih belum memperolehi zuriat yang menjadi idaman setiap pasangan.

Dugaan Allah itu berbeza-beza. Dikhabarkan kepada saya, hampir 2 tahun dia sakit dan menderita, Sudah puas dia menjelajah mencari penawar, namun penawar itu belum tiba lagi. Sampai satu tahap mereka mengerjakan umrah. Alhamdulillah, pasangannya adalah seorang yang 'satu jalan' dengannya. Maksud saya, suaminya juga orang yang sentiasa mencari dan mengisi rohani. Maka, mudah bagi mereka untuk berjuang dalam kehidupan mereka bagi mencari penawar.

Sungguh, walaupun telah beberapa kali hamil. Namun kandungannya tidak pernah lekat. Allahu. Saya terpempam dengan ceritanya. Dan, saya tak pernah tahu dia pernah hamil. 

Akhirnya beliau menemui dengan jalan yang indah. Mungkin penawarnya masih belum tiba kepadanya, namun Allah gantikan dia dengan ketenangan dan kebahagiaan yang hanya dia dapat rasai. Dia katakan pada saya, betapa malunya dulu memakai macam tu macam ni. Ah, bagi saya. Itu dulu, sekarang dia sangat berbeza. Dia nyatakan agar dapat istiqamah untuk melakukan apa yang Allah suka.

Nangis!

Bukan dia yang nangis, tapi saya yang nangis dengar cerita yang manis sebegini. Lebih manis dari Manisnya Cinta di Cappadocia! Walaupun hanya pernah tengok iklan cerita tu, tapi rasanya cerita Salmah lebih melekat di hati.

Ceritanya buatkan saya berfikir.

Semua orang boleh pakai jubah. Semua orang boleh pakai tudung labuh. Semua orang boleh memakai pakaian yang menutup aurat. Namun, tak semua orang boleh mengisi rohani mereka dengan baik dan istiqamah. Boleh ke kita kekalkan 5 waktu di masjid? Tahajjud pada malam hari? Tahu ke kita pada setiap hari bagaimana dia menjaga solatnya? Bagaimana dia menjaga dirinya? Tak semua orang mampu dan kuat hadapi semua ini. Ini kerana iman kita adakala macam bateri yang hampir full, adakala macam sipi-sipi lagi nak mati. Manusia.

Rakan-rakan sebeginilah yang sangat berinspirasi untuk saya ikuti. Sebagai jentikan hati untuk diri ini yang selalu alpa. Macam langit ke 7 dengan tanah.

Kalaulah saya boleh menulis semua ceritanya jelas satu persatu tanpa selindung-selindung. Urmm alangkah baiknya. Namun harapnya, ini sudah memadai untuk kalian semua membaca pengalaman orang-orang disekeliling saya. 

Kami menamatkan perbualan disebabkan orang yang saya ingin bercakap pada mulanya tadi dah muncul. 

Dan sungguh, sehingga sekarang. Saya berharap yang macam-macam kat hati ini. Biarlah sebaik dan sebagus dia!



Monday, February 9, 2015

Aiskrim & Pasu Bersatu Menjadi 1

Siapa sangka, aiskrim dan pasu itu berjodoh. Tidak terlintas di fikiran akan terjadinya fenomena sebegini rupa. Apa itu aiskrim? Apa itu pasu? Mulanya agak pelik mendengarnya. Ah, tak berapa nak faham kekdahnya bila masa pertama kali mendengar dan melihatnya.

Fenomena ini menjadi sangat pantas di media baru. Sejujurnya, bukan tahu sangat kedai mana yang jual menu aneh sebegini. Lantas, pelawaan sepupu untuk mencuba diterima baik oleh saya. Ulam tak dicita tapi ianya tetap mendatang. Jadi rezeki yang terhidang tidak patut ditolak. 

Malam itu yang telah berlalu agak lama telah menjadi saksi bagi kami. Kami sampai di kedai tersebut selang beberapa minit kami menaiki kereta. Kedainya tidak berapa jauh daripada rumah saya. Alhamdulillah, mungkin kerana kampung saya terletak di segitiga emas. Rumah saya bukan emas, namun kawasan kampung saya agak ber'emas'. Dekat dengan bandar, dekat dengan bandar baru, tak berapa nak jauh dengan tempat kerja. Kedudukannya sedang-sedang elok. Panjatkan rasa syukur akan hal ini. 

Sepupu mengkhabarkan bahawa kedai ini mulai dibuka pada petang hari hingga malam. Sampai sahaja kami di sana, orang dah ada beberapa meja. Boleh dikatakan agak memberangsangkan sambutan yang diterima oleh pemilik kedai. Ditambah lagi dengan kehadiran kami yang menambah keramaian orang di kedai tu.

Teruja! Namun simpan kemas-kemas kat dalam hati. Mata melilau melihat keadaan kedai. Not badlah decoration dia. Cantik dan ada sentuhan jiwa seni.

Kami mula memesan makanan. Apakah yang menjadi mangsa kami pada malam tersebut?



Beginilah aiskrim pasu yang telah kami pesan. 1 bekas plastik kecil. Harganya tidak mencecah RM30.50 tetapi RM5.90 sahaja. Sahaja? Tidak boleh digunakan sahaja bagi harga ini. Kerana ianya tidak terlalu murah bagi mereka yang mempunyai anak seramai 5 orang, atau 6 orang atau 8 orang. Ini kataku, kata anda tentu lain pula kan?.




Saya mengambil keputusan tanpa berbincang dengan anak buah dengan memesan hanya 1 aiskrim pasu. Afiq tak mampu nak habiskan semua aiskrim ni. Ini yang saya fikir. Dengan merujuk gambar, adalah dimaklumkan bahawa biskut oreo mungkin, yang telah dihancurkan menjadi 'tanah' bersepah-sepah dikerjakan si Afiq. Sudu pertama telah terpatah. Lalu kami meminta sudu yang lain. Aiskrim agak beku dan masih keras lagi. Jadi perlu berhati-hati apabila menyodok tanah tu. Andai anda si dewasa, tentu insiden sudu patah ketika memakan aiskrim pasu agak memalukan sedikit. HAHA. Ini mungkin boleh dipanggil kesungguhan dan bukannya kegelojohan. Namun, andai anda si kecil. Ala, nampak comel jer dengan muka terkejut 'alamak! sudu patah'.





Meatball turut dipesan oleh kami. Saje nak try macam mana rasa dia. Saya rasa, meatball ni dorang beli yang paket, lepas tu goreng. French fries pula urmmm agak kerumahan sekali. Maksud saya, ianya seolah-olah kentang jejari yang digoreng kat rumah-rumah kita je. Tidak menonjolkan ianya dihidangkan di sebuah kedai. Ini pendapat orang yang tak pandai masak, namun ketahuilah kalian. InsyaAllah saya pandai goreng french fries dengan baik dan penuh dengan kasih sayang yang murni! haha.

Kesimpulannya : saya tak pasti adakah aiskrim yang digunakan mereka adalah homemade atau jenama apakah? Sebagai peminat aiskrim, saya tidak dapat memadankan aiskrim ini dengan mana-mana jenama yang pernah saya beli. Pada mula memesannya, saya sangkakan ianya akan habis. Yelah, saya kan share dengan si Afiq. Rupanya hanya sepupu saya sahaja yang menemui jalan penamat manakala saya pula membawa pulang lebihan aiskrim tu. 

Bagi yang mempunyai keluarga yang besar, disarankan anda membuat sendiri kat rumah. Apa susah. Beli pasu atau guna aje pasu bersih yang ada kat rumah. Lepas tu, beli biskut coklat kisar sampai hancur. Beli aiskrim yang best mengikut citarasa kalian. Buat lah nak buat apa pun dengan kesemua bahan tu. Janji boleh dipanggil aiskrim pasu.

Oleh kerana, ianya tidak begitu menarik, saya awal-awal lagi memang tak akan maklumkan nama kedai tu kat sini. Citarasa saya mungkin tidak sama dengan kalian semua. Bisa kan?

Dan saya sememangnya tidak begitu up to date kot. haha. Apabila aiskrim ini diletakkan di dalam pasu, urmmm bolehlah diterima lagi walaupun ianya nampak terkeluar daripada norma pemakanan saya seharian. NAMUN YANG TAK BOLEH DITERIMA IALAH apabila melihat gambar yang dikirimkan kat dalam whatsapp, aiskrim ini diletakkan kat dalam kasut/boot, lesung ok la lagi atau mana-mana bekas yang saya rasa sangat mengarut. Mungkin dorang edit gambar kot. Bagi saya kreatif tu memang tak salah dan setiap orang penerimaannya berbeza. Namun jikalau keterlaluan, saya lebih suka berbalik kepada yang tradisional. 




Tinggalkan seketika cerita aiskrim pasu. Selepas selesai makan-makan, dengan berbekalkan perut yang kenyang kami menjelajah pula ke Mydin yang baru dibuka beberapa bulan yang lalu. Sebenarnya, tiada apa-apa yang nak dibeli di sini melainkan ingin melihat beberapa barang sebagai info kepada diri.




Kebetulan lalu di bahagian belakang dan ternampak pasu yang besar gedabak! Haa, siapa yang ketagih aiskrim sangat tu, boleh la try guna pasu ni. hahah. Epic weh.






Hanya menjamu mata dan menemani sepupu membeli sushi. Saya bukan seorang peminat sushi. Pemakanan saya tidak begitu bervariasi dan berwarna-warni. Statik dan tidak berapa menarik. haha. Kecomelan sushi-sushian ini menggamit pandangan untuk diabadikan di dalam galery handphone. Uish, rajinnya nak membalut satu satu sushi nih. Teliti hati-hati sungguh. Terbayang mereka pakai kimono, jalan tersiput-siput membawa payung merah. Kena dengan ketertiban orang Jepung. 

Ya?? Oo salah eh. Bukan Jepung tapi Jepun eh? Memanglah saya tulis Jepung sebab memang sebut pun Jepung. Nama pun orang Terengganu. haha.



Monday, February 2, 2015

Kisah Lagu

Berada di dalam kereta selama hampir 30 minit bagi kanak-kanak adakala membosankan. Mungkin tidak begitu membosankan sekiranya mereka bercakap dan bergurau sepanjang jalan. Tentu tidak juga timbul suasana kelam lagi sunyi umpama duduk di perpustakaan sekiranya mood mereka baik. 

Sepanjang perjalanan menghantar 2 anak-anak kecil itu membuatkan saya berfikir untuk sesuatu yang lebih bermanfaat. Di dalam kereta biasanya memang akan terpasang cd. Memang saya bukan jenis yang memandu tanpa music atau apa jua alunan sebagai halwa telinga. Itu satu kemestian.

Adakala cd yang saya pasang tidak berapa memenuhi jiwa anak-anak buah saya. Pernah satu pagi, si Afiq cakap. 'Mana yang astaghfirullah'. Saya mulanya agak blur tak dapat tangkap apa maksud dia. Lepas tu barulah teringat kat si Hafiz Hamidun. Ooo cd zikir tu. Maka saya ambil dan si Afiq biasanya yang nak letak sendiri kat tempat cd. Biasanya itu dah macam tugas dia tanpa disuruh. Memang sukarela buat kerja tu. 

Dia akan kuatkan volume. Kadangkala dia putar salah arah, maka memang pelan sangat ar bunyi tu. Lepas tu, kita nak kuatkan dengan pantas dia akan buat sendiri. Maka terjadilah perebutan nak kuatkan volume. Tapi biasanya memang kasi dia yang pulas tombol volume tu.

*Dan sebenarnya, Afiq dah banyak boleh ikuti zikir di dalam cd Hafiz Hamidun ni. Kiranya banyak pahala Hafiz Hamidun hasilkan cd sebegini. 

Baihaqi biasanya tak berapa nak tahu sangat nak dengar apa. Dia mengikut aje. Cuma tang nak memulas tu, memang dia suka. Dia tu main taram je. Pusing ke kiri kanan ikut suka sambil sengih-sengih. Nasib baik senyuman ada manis ya adik. HAHA. Sungguh benar, senyuman dia memang manis. Kalau saya tak cakap pun, orang yang tengok boleh nampak.

Selepas adanya hasil daripada pemerhatian dan selepas fikir dan fikir. Maka semalam, saya gigih mencari lagu kanak-kanak. Kononnya sebagai pengubat kesunyian mereka. Yelah, kalau sebelum ini. Selain kami dengar cd, kami turut berkomunikasi tentang hal-hal biasa. Biasanya 2 orang ni bercakap memang hentam keromo je. Tapi menarik juga perbualan kanak-kanak ni.

Lalu depan kandang lembu. 

Baihaqi : lembu pik [Afiq]. tu pale lembu. tu ekor lembu. ***** lembu. HAHAHA.
Saya : terkejut. haha
Afiq : bukan ****. tu *****.
Saya : hahaha. 

Ayat Afiq lebih sopan berbanding Baihaqi.

Masuk ke dalam kampus.

Baihaqi : wohh, jalan baru siap doh..
Saya : aa.. jalan ni siap doh..

Betapa Afiq dalam menangis dia tu, rupanya dia perasan yang jalan masuk ke kampus saya dah siap berturap. Sebelum ni baru diturap separuh dan sekarang dah selesai. Tak sangka sangat dia perasan semua ni.

Sebenarnya banyak sangat dialog mereka yang super duper lawak. Kalau peserta Maharaja Lawak dengar, tentu boleh dapat idea.

Ok. Berbalik kepada pencarian lagu. Semalam, saya sibuk mencari lagu di alam maya. Saya cari lagu kanak-kanak. Banyak rupanya lagu kanak-kanak yang ada. Fokus saya nak download mp3 punya. Haiyo, dah lama sangat tak download lagu. Memang terkial-kial nak buat macam mana. Dulu saya pernah guna 4shared. Tapi semalam saya cari, tak jumpa untuk lagu kanak-kanak. Memang saya dah sangat outdated nih.

Berbelas-belas lagu saya berjaya download. Masa dalam kereta nak balik ke rumah, saya cucuk pendrive kat usb. Bajet nak dengar mana lagu yang menarik. Hasilnya, kebanyakkan lagu macam tak habis download je.

Lagu yang saya download memang buatkan saya tergelak sensorang. Entah apa-apa. Bukan lagu tu tak bagus. Lagu tu bagus, namun cara nyanyian dia memang kelakar bagi saya. Kurang menarik.

Saya mainkan lagu secara random. Jambatan tamparuli. Kucing. Jom pergi pasar. Angin. Mak Lodeh ke apa eh tajuk dia. Banyak lagi lah tajuk dia. Keputusan dia, kesemua lagu ni tak berapa nak menarik dan sesuai dengan suasana memujuk sekiranya ada adengan tangis menangis. Mana budak-budak ni nak layan lagu Jambatan Tamparuli. haha. Pagi tadi, sempat pasang dan si Afiq mudah mengikuti lirik lagu kucing. Tapi secara dasarnya, saya tak berpuas hati sangat dengan kesemua lagu ni. Jadinya, masa kat pejabat tadi.. saya dah buang kesemua lagu tu. Maka saya cari lagi lagu lain.

Lagu yang terbaru yang saya cari tadi, hasilnya adalah lebih baik daripada semalam. Semasa tengah hari tadi, saya sempat mendengar terlebih dahulu apa yang telah saya download.

Eh, dalam banyak-banyak lagu yang saya download tu. Ada juga lagu versi indonesia. HAHA. 

Lagu pada kali ni, saya rasa ianya lebih sesuai dengan mereka. Kebanyakkan lagu yang saya download lebih berfaedah. Maknanya tidaklah sekadar menyanyi aje, tapi mereka boleh menghafal doa.

Lagu yang saya dah buat pra dengar tadi, lagu Erti Al-Fatihah, Doa nak keluar rumah, AEIOU. Alif Ba Ta dan beberapa lagu lagi. Kiranya kalau mereka dengar. Berhibur dapat, ilmu pun dapat.

Dan tadi, saya tergelak sensorang apabila terpop up ayat 'dah macam tadika kereta aku ni'. haha. Mungkin kompilasi lagu tu perlu saya kemaskini lagi dan perlu ditambah lagi.

Cuma tak sabar nak tunggu esok. Nak tengok macam mana reaksi dorang. Dan saya perlu bersiap mental fizikal mendengar lagu ini setiap hari. HAHA. Pusing kepala!




Sunday, February 1, 2015

Lagu Kanak-Kanak

Sudah sepurnama dayang aida menjalankan tugas menghantar anak-anak raja ke sekolah tadika. Kerenah anak-anak raja ini bukanlah sikit-sikit cabarannya. Besar dan banyak rintangan. Bagi Tuan Muda Afiq, apabila bangun dan mata dipaksa celik akan meragamlah dia. Jikalau tiba-tiba mood bertukar nyaman, maka eloklah dia. Ragam Tuan Muda Afiq ini tidak boleh dijangka. 

Pertuturan dia amatlah manis sekali. Di siang hari dia akan berjanji macam-macam. Esok nak pergi sekolah. Esok tak nak menangis. Namun janji itu hanyalah kata-kata manis ditelan masa sahaja.

Onarnya pada pagi, hai adakala mengundang amarah. Namun nasib baik bondanya bijak memainkan peranan. Dipujuk dengan penuh sabar. Di ayat dengan cukup baik tanpa ada herdikan atau suara di tinggikan volume semaksimum mungkin. Tiada. Dan jika ada, tentu saya selaku dayang amat-amat terkejut. Itu tentu sungguh luar biasa.

Di pagi hari, banyak penyakit yang akan melanda Tuan Muda Afiq. Sakit kaki, sakit kepala, tak nak air suam sebab sejuk. Aih, terbalik pula? Yang paling jujur, Afiq nak tidurrrrrrrrrrr! HAHA. Ini yang paling benar sekali. Memang dia masih berusaha untuk menyesuaikan diri untuk menjadi morning person. Selalunya, Tuan Muda Afiq bangun tidak mengira waktu. Nama pun Tuan Muda Afiq. Kami biasanya akan minta dia tidur awal. Tapi walaupun dah tidur cukup, aih masih ada kerenah lagi. Tak tentu cuaca mood dia ni.

Bagi Tuan Muda Baihaqi. Alhamdulillah. Tidak banyak kerenah malahan sangat mudah untuk mengurusnya. Sangat mudah. Tuan Muda Baihaqi dikenali seantero keluarga kami sebagai seorang yang tiada masalah untuk bangun pagi. Bersekolah atau tidak. Waktu bangunnya tetap macam biasa. Jam 6 pagi sudah mencelikkan mata. Ah, bangun pagi umpama disuruh makan gula-gula. Enteng aja!

Tuan Muda Baihaqi memang sentiasa bersemarak jiwanya dengan sekolah. Hinggakan hujung minggu pun dia akan bangun seperti biasa. Nak ke sekolah katanya. Ayahanda nya pula yang pusing kepala kerana jam baru menujukkan hampir 5 pagi. Nak ke sekolah apa ke benda masa ni?? Semangat waja itu terpaksa dipudarkan sedikit agar Tuan Muda Baihaqi dapat bezakan hari cuti dan hari sekolah.

Pernah 1 ketika, Tuan Muda Afiq buat pasal tak nak ke sekolah. Tuan Muda Baihaqi dengan penuh gaya ke sekolah berseorangan. Sungguh dia tidak peduli sama ada Tuan Muda Afiq ada ataupun tidak. Yang penting, dia dapat ke sekolah. 

Mungkin yang tidak tahu. Selain tanggungjawab kerja yang akan bertambah. Tanggungjawab dayang aida di pagi hari turut bertambah. Sila baca permulaan ayat di perenggan 1. 

Dayang aida bertanggungjawab menghantar dan adakala mengambil kedua-dua anak raja ini.

Rutin Kami 

7.30 pagi : bersiap-siap. Panaskan enjin kereta. Dalam masa yang sama, Tuan Muda Afiq juga sedang membuat perangai. Kebiasaan dia macam tu la. Manakala Tuan Muda Baihaqi memang akan mengekori dayang aida ke kereta. Berjalan dengan membawa semangat di samping membawa beg sekolah.

7.35 pagi : Kami akan bertolak dari rumah. Pada masa ini, Tuan Muda Afiq biasanya menangis sambil menerajang dashboard [sekiranya berada di tempat duduk di hadapan]. Adakala dia cuba membuka pintu kereta. Biasanya dayang aida akan memarahi dan mengugut kerana lebih bimbangkan kereta. haha. 'Rosak wak gitu. Wak ar, Afiq turun sini'. Namapun dayang, tentulah risau dengan kereta. Kalau tercabut memang susah nak berganti. Tuan Muda Baihaqi pula rileks je.

8.55 pagi : Kami sampai ke pejabat saya terlebih dahulu. Log in kerja. Selepas itu, saya keluar dengan 2 tujuan. Membeli makanan dan menghantar 2 anak-anak raja ni ke tadika. Kebiasaannya mood Tuan Muda Afiq dah elok sikit lah dari tadi.




Ini warung kegemaran saya. Nasi minyak daging 3. Nama ni saya yang pandai-pandai kasi. Sebab nasi minyak dia sedap. Kena dengan selera saya. Namun, nasi dia agak sedikit. Daging yang diberi biasanya 3 ketul. Memang tak lebih. HAHA. Selepas itu, saya memang membuat pesanan 'nak nasi lebih'. Maka dapatlah daging 4. haha. Kawan-kawan cakap 'ni kedai mokcik aida nih'. Kami memang sangat tahu cara dia meletakkan nasi kat dalam pinggan pelanggan. Walaupun nasi tu sikit, kami tetap juga datang kat sini. Nasi dia sedap. Kuah dia macam mak-mak punya kuah. Biasalah, orang lama berniaga. Tapi not bad lah. Lagipun warung ni macam privacy gitu. Tak ramai orang. Itu yang best.

Ok, berbalik kepada rutin.

8.30 pagi : Dah sampai sekolah tadika. Maka saya akan tinggalkan mereka di sini. Sebelum masuk kelas, kena kasi dorang main buaian dulu. Main kuda dulu. Main papan gelongsor dulu. Haa, lepas tu barulah mereka masuk kelas. Tapi kadangkala, kalau permainan tu masih berembun. Saya akan suruh mereka masuk kelas je.

8.50 pagi : Saya masuk pejabat semula.

Begitulah putarannya setiap hari.

Pada jam 12.30 tengah hari atau 5 minit sebelum jam 1 tengah hari : Saya akan keluar mengambil mereka dan terus hantar ke rumah. Adakala kalau ayahanda Tuan Muda Baihaqi datang ambil, maka saya akan keluar rehat bersama-sama kawan.

PENGALAMAN

Pengalaman sendiri ini membuatkan saya dapat rasa apa yang ibu bapa rasa:

1. Sebenarnya kita akan berasa segan setiap kali keluar daripada pejabat pada waktu pejabat. Contoh pada jam 8 pagi, sepatutnya kita memulakan kerja. Namun kita dah ambil masa tu pergi ke tempat anak-anak. Serius! Saya sebagai mak saudara sangat-sangat segan akan hal ini. Mungkin sebab saya seorang yang skema kalau bab-bab nak keluar pejabat. HAHA. Saya bukan seorang yang pandai mengulor sesuka hati. Bukan nak memuji diri sendiri. Tapi ini adalah kelemahan diri. Saya tak reti. Memang bukan calon pilihan nak ajak cilok sekejap dari pejabat. 

2. Sebolehnya, kita hantar anak-anak sebelum ke tempat kerja. Ini benda yang paling bagus. Tapi memandangkan perangai yang tak berapa nak cantik. Terpaksalah ajak ke tempat kerja dulu, lepas tu barulah pergi hantar ke tadika.

3. Keluar dan balik cepat-cepat ke pejabat. Bungkus makanan, makan kat pejabat.

4. Gunakan masa dengan sebaik mungkin. Sebab dah tahu kita berhutang masa tadi. Jadi pandai-pandailah top up balik kerja tu.

5. Cuba buat yang terbaik pada setiap hari. Pandai-pandailah susun masa macam mana. Sebab hari semalam tak akan sama dengan hari ini. Hari esok tak akan sama dengan 2 hari lepas. Nama pun perangai budak-budak.

Eh, Ya Allah. Saya sebenarnya nak cerita pasal lagu kanak-kanak tadi. Astaghfirullah..langsung lupa. Nak tekan publish baru perasan.

Dah panjang macam ni pasal cerita lain, urmm lain kali ar saya cerita pasal lagu tu.