Monday, June 29, 2015

Bazir Ramadan

Selamat datang ke bulan pembaziran. Terkejut bukan bilamana saya tulis macam ni.

Tak tahu la kot, saya aje ke yang rasa macam ini. Tadi mengikuti dengan suam-suam kuku [baca tak fokus 100%] perbincangan di astro awani. Perbincangan mengenai pembaziran dan pengkomersilan melampau jejas imej Ramadan!

Memang diakui sangat membazir rakyat Malaysia termasuk saya. Cuba anda bayangkan setiap hari kita membuang makanan beribu-ribu tan. Setiap hari, bukanlah seminggu sekali atau sebulan sekali. 

Tersentak juga apabila pemudahcara rancangan membuat kenyataan pembaziran yang sangat sangat besar berlaku sekarang. Di bulan Ramadan pembaziran meningkat berkali ganda berbanding bulan-bulan biasa.

Itu tidak mustahil kerana kita mudah rambang mata dan nafsu.

1. Bulan Ramadan - telah menjadi trend akan muncul bazar-bazar Ramadan dan juga penjual kecil-kecilan di kiri kanan jalan. Nasib baik rancangan nak berniaga di bulan Ramadan oleh kakak ipar 2 dan jiran tak menjadi kenyataan. Mereka ada plan nak berniaga tau. Kekangan menguruskan keluarga menjadi penghalang kepada mereka berdua. 

Sebenarnya bagus dan tak salah untuk berniaga. Tapi yang salahnya apabila penjual mengambil kesempatan.
  
- naikkan harga makanan. Sebab dah tahu, harga naik atau tidak, akan ada orang yang membeli
- jual makanan yang tak habis semalam pada keesokkan harinya. Ngeri! Bukan apa, takut food poisoning aje.
- cara pembuatan makanan yang tidak mementingkan kebersihan. Seram bila teringat 1 kes benar. Sedang syok makan ternampak seorang brader berambut panjang sambil rokok dibibirnya, asyik mencuci beras. Terbantut selera. Sampai sekarang saya tak pergi kedai tu.

Setakat ini, rumah kami hanya berbuka puasa memang ditahap ala kadar sahaja. Tidak bermewahan. Tiada ayam golek tergolek di atas hamparan tikar mengkuang kecil kami. Tiada lagi setakat ini. HEHE.

Sebenarnya pembaziran itu bergantung kepada diri kita. Kalau kita semua tidak membuat permintaan yang tinggi kepada pembeli bazar. Maka TIADALAH payung-payung yang akan kelihatan memayungi dataran stadium, jalan-jalan dan segenap ruang yang boleh diletakkan payung itu. 

Setakat ini, saya belum menyumbang duit-duit kepada bazar Ramadan. Hanya ayahanda saya saje yang menyumbang duit di bazar. Dia rajin benor melawat bazar di setiap petang. Tapinya kan, adakala bila balik tu, hanya 1 plastik aje makanan. Tak kisah lah, janji dia beli apa yang dia nak.

Saya pula. Seperti kebiasaan, apabila Ramadan tiba. Secara autonya, saya akan menjadi tidak mesra bazar. Rasanya macam dah pernah buat pengakuan ni dalam blog ni. Tak pe, saya tulis lagi sekali. Selalunya, apabila balik kerja. Otak memang teringat rumah. Masak nasi, masak lauk. Tak kira ar menjadi ke tak lauk tu. Janji masak sendiri. hehe.

Jadinya, saya memang tidak pergi menjengah lauk pauk kuih muih aneka rupa di bazar. Rasanya kalau saya ke bazar, mau beli ikut nafsu! 

Yelah, hari tu kan. Pergi supermarket beli storage box aje. Namun kan, tengok maggi pun boleh rambang mata. Jadi otak ligat berfikir, nak perisa kari atau tomyam? Atau kedua-duanya. Padahal dah lama tak beli maggi 1 paket besar macam tu.

Eloklah, lepas beli maggi ada pula keluar kenyataan pasal India haramkan penjualan maggi. Tak ke naya? Baru aje bercambah perasaan nak makan maggi, dah ada kes pulak. Lalu setakat ini, sempat makan 1 plastik aje. Yang lain-lain tu, rasanya kakak ipar dengan abang yang rembat.

Sebenarnya, jika kita masak sendiri. Lagi seronok sebenarnya. Makan apa yang kita masak. Bila tengok makanan yang kita masak tu habisss. Laaaagiiii seronok. Kalau tak habis kan, kita akan rasa macam sedih. Setakat ini, saya dah jadi tukang habiskan makanan. Sebabnya sayang nak buang. Biasanya lauk la, kalau nasi tu memang akan dibuang.

1. Sebab basi.
2. Semut yang kecil-kecil tu masuk kat dalam nasi dan dia panggil geng-geng dia ramai-ramai 1 kampung masuk periuk. 

Selalunya saya akan masak ngam-ngam aje. Tak sanggup juga kalau tiap-tiap hari kita duk membuang makanan aje. Sayang oo. Lainlah kalau hang tak ada perasaan. Humban satu periuk lauk dalam tong pun tak rasa apa.

Semoga 1 hari nanti, sepertimana kita semua berpusu-pusu ke bazar Ramadan. Berasak bersesak sesak ke bazar, seperti itu jugalah kita mengimarahkan masjid surau dengan pengisian Ramadan.

Neh.



Friday, June 19, 2015

Kasih Sayang Allah

KISAH 1

Saya perlu ke Melaka pada malam itu. Akan demikian, terpaksa pulang lambat dari tempat kerja. Dah nekad tak nak angkat lagi call after office hour. HAHA. Saya ditakdirkan rajin untuk mengangkat call selepas waktu kerja. Sekali, ambik kau! Si pemanggil inginkan data pada hari itu juga. Namun saya tak boleh kasi. Satunya sebab perkara itu melibatkan sentuhan orang lain juga. Yang bestnya, orang itu dah balik. Kerja dah tamat. So?

Kedua, saya perlu pulang awal sebab belum kemas baju nak ke Melaka. Wuargh! Ayamak. Nak tak nak terhegeh-hegeh terpaksa ambil laptop office yang ada sistem yang diperlukan. 

Balik rumah. Iron baju selama hampir 1 dekad. Eh tak, hampir 1 jam. Punyalah sukar nak hilangkan kesan kedutan dia tu. Kalau guna serum agak-agak kedutan tu hilang tak? 

Malam tu, terus keluar dari rumah untuk menaiki bas bersama-sama kawan sekerja. Sekali tu. Aiseh, baju pulak TERTINGGAL! Memang sangat frust sebab esok nak pakai baju mana? Dah plan nak pakai baju yang digosok dengan bersungguh-sungguh hati tu.

Dalam bas, saya terfikir. Apa hikmah disebalik kejadian ni? Buat kali pertama, saya macam berlapang dada dan cuba fikir benda yang postif. Saya agak dah tentu saya dapat beli baju baru. YEAYYY! Baju baru ok. Dah terbayang nak baju macam mana. Sempat lagi bayangkan. 

Esok pagi kami sampai KL. Singgah r&r solat Subuh jap. Lepas tu kami teruskan perjalanan. Rupanya Allah dah takdirkan kami sampai lambat dek dikepung kesesakan lalu lintas yang agak teruk. Maka kami tak sempat nak tukar baju. 

Dengan erti kata lain. Hey! Tak bawa baju pun tak mengapa. ya ya ya! 

Saya jangka saya akan beli baju baru. Rupanya Allah takdirkan kesesakan lalu lintas menjadi penyelamat kepada duit saya daripada menjadi resit di kedai. lol!

Kisah ini akan saya ingat kerana pada mulanya saya juga agak frust. Rasa macam alaa.. tertinggal.

See. Sikit pun kita tak boleh nak jangka apa endingnya kan?


KISAH 2

Seorang ayah kepada pelajar menelefon saya. Dia mintak pertolongan mengenai surat anaknya. Saya sebenarnya dah maklum pada isterinya, perlu isi borang terlebih dahulu. Walaupun sebenarnya, kita boleh tolong isi borang tu. Namun, tak boleh kerap sangat tolong buat begitu, ini kerana itu tanggungjawab si pemohon. Borang tersebut saya tak terfikir nak emelkan kepada dia. Maka saya rasa, urmm bolehlah tolong beliau isikan borang tu. Borang tu simple bak makan kacang boleh kita isi. Asal tulis kacang pun dah rasa macam nak buat biskut raya ni. Kuat betul dugaan imaginasi di bulan Ramadan ni.

Dan nak tahu, si bapa rasa terharu kot dengan pertolongan saya. Padahal pertolongan tu kecil sangat lah. Si bapa siap nak kasi sedikit tandamata untuk saya. Dan, tak cukup itu. Dia siap pos bagai kat saya. Sekarang masih menanti sebab dia dah whatsapp gambar surat tu. Dah terbalik ni, patutnya dokumen saya perlu sampai dahulu untuk proses selanjutnya.

Saya sendiri terasa malu memandangkan ala encik, pertolongan tu biasa je. Bukan saya melawan raksasa dan selamatkan encik pun. Eh! Err, tapi dalam hati je lah cakap macam tu.

Itulah kan, nama pun kehidupan. Kita tak boleh jangka. 

Saya yang patut berterima kasih pada dia. Mengajar erti hidup adalah untuk memberi. Tak kira lah, memberi pertolongan yang simple ke, atau sedekah, atau apa jua yang kita ada. Memberi sebanyaknya dan jangan mengharap balasan.

Saya yang perlu mengambil nilai kemanusiaan daripada dia memandangkan dia bukan berbangsa Melayu. Dia berbangsa Cina. Jadi, kenapa kita masih sombong untuk menunjukkan akhlak yang baik kepada penganut agama lain. Sekurangnya, apa yang kita lakukan. Cuba diniatkan untuk dakwah. Tunjukkan akhlak dan tauladan yang baik kepada bukan Islam. Itu juga dakwah walaupun kecil. Rasa macam kena hempuk dengan bantal. 

Besar sangat pengajaran dari kisah ini. Sekurangnya boleh dijadikan titik permulaan untuk membaiki diri. Yaa, baiki diri itu perlu dilakukan sentiasa. Tiada expired date pun.


KISAH 3

Pada bulan ini, saya agak ketidaksempatan wang. Maksud saya gaji saya dan bukan saving saya. Bukan kerana boros membazir ke apa benda. Bukan. Namun kerana ada perkara yang saya perlu langsaikan. Bukan hutang. Namun sedikit projek kecil saya. 

Jadi saya sebolehnya mengelakkan menggunakan saving untuk future saya atau yang emergency punya. Sebolehnya saya elakkan. Baru-baru ini, apabila gaji. Saya terus asingkan gaji pada bulan ini untuk A, untuk B, dan juga untuk C.

Hasil daripada asingan tersebut, saya merempat di rumah sendiri. haha. Merempat maksudnya, bulan ini agak sukar bagi saya. Alhamdulillah masih ada belanja, namun ngam-ngam untuk saya beli minyak, makan di pejabat. 

Dan pada hari ini. Saya sebenarnya nak top up telefon saya. Teringat akan baki dalam bank. Rasanya macam sempat, macam tak sempat kot untuk top up. Saya buka online banking. Log in lalu..
.

.

.

.

.

.

laju-laju cek baki. HAHHH????

Nak tahu. Alangkah terkejutnya saya apabila baki itu menunjukkan angka RM104.xx. HAHA. Kan saya dah cakap, bulan ini saya agak terhoyong hayang tidak bertepian. Makanya, jangan terperanjat atau terkedu atau putus asa melihat baki yang sebegitu tinggi menggunung. haha. Harapnya bulan ini sahaja sebegitu, bulan depan. Jangan kau berani begini lagi. Bajet raya dan dan je melintas diingatan. Hey! Sila main jauh-jauh bajet.

Saya terkejut melihat balance yang agak banyak untuk saya. Ya, apabila dah terdesak. RM50 pun kita akan rasa seumpama RM5,000. Apatah lagi RM100. Anggap aje saya ini jutawan baru.

Saya menyemak dari mana datangnya duit itu. Saya cek dari Takaful. 

Berterima kasih pada Allah. Rezeki yang kita tak pinta, datang kepada kita di waktu yang tepat. Terkejut sudah tentulah. 

InsyaAllah, duit ini cukuplah sampai gaji bulan ni. Katanya hari Khamis depan dah dapat gaji. Happy face! 

Kesimpulan di sini, hanya wajib yakin kasih sayang Allah mendahului kemurkaannya. Yakin sentiasa, rezeki tu datang dari Allah melalui pelbagai cara.

Jika anda orang baik, bersih suci. Mungkin semua ini biasa bagi anda. Namun bagi saya, bukan orang yang baik, hanya manusia biasa. Hadiah kasih sayang ini semuanya amat bererti. Sangat bermakna dalam diri ini. 

Nikmat Allah manakah yang hendak kau dustakan.

Ramadan Kareem!

***

2 Ramadan 1436H / Jumaat

Publish! 

Monday, June 15, 2015

Kesinambungannya

Sebetulnya, tidak terlintas akan ada kesinambungan untuk kisah 6 tahun yang lampau. Namun malam tadi, aku cukup penat menulis dan ceritera itu menjadi terlalu panjang. Panjang macam usus.

Hospital 
Kami tiba di hospital Tengku Anis dan terus di bawa ke wad kecemasan. Alhamdulillah. Aku tiada kecederaan yang serius melainkan hanya luka di dahi. Mungkin akibat percikan kaca dari cermin depan kereta. Ayahandaku pula hanya mengalami luka ringan. Katanya, dada dia sedikit sakit. Mungkin kerana terpempam di dashboard. 

Aku disuruh baring di atas katil. Semasa itu lah baru airmataku mengalir. Antara sedih dan takut. Satu perasaan yang sukar untuk dimuntahkan di hujung jariku ini. Antara ayat yang aku ingat sampai ke hari ini ialah 1 ayat yang aku ulang kerana kebuntuan. Ya, kerana apabila berada di situasi sebegitu. Kita akan keliru. Bertali arus aku didatangi rasa kesal. Kenapa begini, kenapa begitu. Sudahnya, air mata mengalir tanpa henti. Jika di tempat kejadian, mental aku begitu kuat memikirkan itu ini. Namun selepas semuanya selesai diuruskan, yakni bomba datang, ambulan pun datang. Aku dihantar ke hospital. Aku mula lemah. Allah pinjamkan kekuatan untuk seketika sebelum aku lesu dibaluti kesedihan.

Tidak lama kemudian, ibu saudaraku sampai bersama-sama adik 1 dan juga adik 3. Dia menenangkan aku. Tampak jelas di wajahnya kesedihan hatinya. Aku bimbangi keretanya yang telah remuk tersadai di depan gerai. Dia hanya memberi isyarat supaya diam, jangan fikir apa-apa, banyakkan berselawat. Dibibirnya terkumat kamit membaca ayat suci aku jangkakan. Manakala aku pula, berselang seli antara lemah dan mengharapkan sumber kekuatan.

Urusan Jenazah
Jenazah sampai ke bilik mayat di hospital. Adik-adik bersedia menolong apa yang patut. Kebetulan saudara kakak ipar 1 ada tinggal di sekitar Kota Bharu. Dan kebetulan lagi, anaknya pula ada pulang bercuti dari Mesir jika tak silap aku. Dia turut menolong menguruskan jenazah ibuku. Kebetulan dia mengambil jurusan perubatan andai tidak silap aku. Urusan memandikan sehinggalah jenazah bersedia untuk di bawa balik ke Kuala Terengganu pada tengah hari.

Aku dibawa balik dengan van bapa saudaraku, manakala adik lelaki pula balik bersama van jenazah. Sampai di rumah, khemah telah didirikan. Orang agak ramai. Aku di bawa naik ke atas rumah ibu saudaraku. Mungkin sukar untuk aku ceritakan semuanya secara details. Pertamanya kerana ianya kisah panjang. Maka aku cuba ceritakan mana yang penting sahaja.

Hari-hari Terakhir
Tak pernah aku ceritakan kepada mereka yang dekat dengan diri aku, bahawa ibuku menggerakkan aku di setiap pagi. Ya, hampir setiap pagi dia kejutkan aku untuk ke tempat kerja. Dipanggilnya aku, yang..bangun. Maksudnya sayang bangun. Dan ya, perkara ini TIDAK PERNAH aku ceritakan kepada sesiapa pun sehingga ke hari ini, melainkan di sini. Tidak aku ceritakan kerana tidak perlu untuk aku hebahkan semuanya. Tidak perlu kerana aku rasa berbagai rasa. Dan aku kira, inilah kali akhir aku bercerita mengenai rasa memilukan ini. 

Ketahuikah dikau, di saat pagi. Telinga ini selalu diingatkan bangun, solat Subuh. Bangun pergi kerja. Sudah dapat aku hafal ayat-ayat biasa yang terpacul dari mulut ibuku. 

Masih terbayang pada hari sebelum itu, ibuku dan ayahandaku berada di bawah rumah. Bersembang. Sehingga sekarang, aku nak sangat tahu. Apa yang ayahandaku sembangkan di hari akhir itu. Namun aku takut. Dan biarlah persoalan itu tinggal persoalan. 

Wajah Kali Akhir
Aku tidak lihat wajah ibuku untuk kali akhir. Cukup semasa tolehan aku semasa berada di atas gerai. Melihat tubuh yang dibaluti dengan plastik hitam. Semasa itu, Allah telah hadirkan aku satu lintasan ini kali akhir aku tengok. Allah lebih tahu apa kekuatan kita. Terima aje.



Gambar tahun lepas yang dikirimkan adik 3. Inilah transit sementara ibuku sebelum di bawa balik ke rumah. 

Semalam
Semalam adalah 27 Syaaban 1436H. Tarikh yang senantiasa berada di ingatan kami adik beradik. Begitulah putaran masa, setiap kali Ramadan akan tiba. Kami akan melalui 27 Syaaban yang amat bermakna pada hidup kami. 3 hari sebelum Ramadan. Satu tarikh yang mudah diingati. Itulah detik pahit yang terlakar dalam sejarah. Gentar atau tidak, setiap orang perlu melalui kematian. 




Sunday, June 14, 2015

Subuh Pemisah Kami

Monolog
6 tahun berlalu. Sekejap benar dirasakan masa berlalu. Apabila disedari angka 6 tahun telah mencecah, termenung memikirkan masa-masa yang telah berlalu pergi dan tidak kembali lagi. Bukan setahun 2, namun hampir mencecah 10 tahun. Hampir 10 tahun. Fuh! Lama betul.

Subuh Perjalanan Kami
6 tahun lalu, pada jam 4 pagi. Kami bersiap-siap untuk menghadiri majlis konvokesyen adik 3. Tiada di benak fikiran bila masa aku berbincang dengan ibu saudaraku untuk meminjam keretanya. Adakah pada petang sehari sebelum kejadian? Adakah on the spot terus cakap nak pinjam? Urmm, semua itu tiada dimemoriku. Nyatanya, pada pagi 18 Ogos 2009 Selasa, kami bertiga menaiki kereta merah tersebut terus menuju ke Politeknik Kota Bharu [PKB].

Suasana gelap di sepanjang laluan jalan yang aku lalui. Walaupun jam semakin menginjak ke arah pagi yang hening, namun suasana masih kelam. Sedang ketika masih di dalam daerah negeriku, aku menyuruh ibuku mengambil peta untuk ke PKB. Sejujurnya aku tidak begitu familiar dengan jalan negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Hanya mengikut keberanian hati dan juga berpandukan peta yang telah aku siapkan sebelum kami ke sini. 

Masih aku ingat, pada malamnya. Aku gigih berdepan dengan laptop mencari arah tuju mana jalan yang perlu aku lalui selepas melepasi Jerteh. Sehingga kini, peta itu masih tersimpan di dalam simpananku. Cumanya tidak pasti berada di dalam portable hard disk atau di dalam komputer mana.

Laptop
Semasa kami berada di penghujung daerah Kuala Terengganu pada agakan aku, ibuku bertanya nak letak tidur ke gane laptop ni? Aku hanya membalas letak baring ar. Selepas itu kami bertiga diam membisu. Aku sibuk melayan bermacam-macam perkara di benak kepala. Sehingga kini aku masih ingat apa yang aku fikirkan. Cukuplah Allah tahu apa yang aku fikirkan. Selebihnya aku sendiri tidak mahu mengingati perkara itu kerana ianya sememangnya sangat tidak penting aku fikirkan. Dustbin tempat selayaknya.

Kereta yang aku pandu melalui jalan yang masih di dalam pembaikan. Selekoh demi selekoh aku layani.

Wangian 
Semasa asyik memandu, di pertengahan jalan. Aku terhidu satu bau yang wangi. Sangat wangi menusuk hidung. Aku sempat menghirup udara wangi tersebut. Ku toleh wajahku ke kiri memandang ayahku. Dipemikiranku bau nape eh? Akan begitu, aku takut nak bertanyakan ayahandaku di sebelah. Takut sebab gelap. Macam-macam hal aku fikir. Seram. Sebab tu aku diam je.

Bau itu hilang dan aku meneruskan pemanduan tanpa memikirkan apa-apa. Suasana sunyi sepi. Sedikit pun kami tidak bersembang sepanjang jalan selepas soalan akhir mengenai beg laptop aku tadi. Mulut kami seolah-olah dikunci. Ibuku tidur sedari tadi lagi. Hanya ayahandaku yang setia menemaniku memandu.

Sehingga lah di satu tempat. Aku kira masih di dalam negeriku namun daerah lain. Ternampak seekor binatang melintas laju di depan kereta. Binatang itu tidak aku cam apakah dia. Musang? Kucing? Mungkin musang kerana badannya agak besar sedikit jika dibandingkan dengan kucing.

Binatang itu laju melintas dan terdetik di hatiku. Lajunya mung nintas [melintas].Memang betul-betul di depan kereta. Jarak binatang itu dengan kereta mungkin kira-kira selang 2 buah kereta.

Perancangan Terhenti
Perjalanan diteruskan tanpa aku memikirkan apa-apa. Setibanya di Pasir Puteh, aku mula berkira-kira untuk berhenti solat Subuh. Selalunya sekiranya kami bermusafir bertiga menaiki kenderaan. Mulut aku biasanya ringan memberitahu akan berhenti di situ atau di sini bla bla bla. Pada pagi itu, hanya aku berkira-kira dengan hati aku sendiri.

Hati masih lagi membayangkan perancanganku. Berhenti solat Subuh dan akan sempat berjumpa dengan adikku sebelum dia masuk ke dewan konvokesyen pada jam 7.30 pagi. Sejujurnya, aku sendiri tidak pasti berapa lama lagi jarak untuk aku sampai ke PKB.

Semasa sedang berkira 2 perkara tersebut. Pandangan tertumpu pada signage selekoh. Terus aku pusingkan stereng kereta ke kanan dan di situlah segala-galanya terjadi dan ternoktah. Selekoh terakhir yang perlu aku layani ini rupanya menjadi saksi bisu akan tragedi di subuh hari itu.

Kami terbabas. Jelas dipendengaranku bunyi sreh sreh mungkin akibat geseran tayar pada jalan raya. Ayahandaku bertanya bakpe Daa?? Aku ingat, aku hanya diam mengawal stereng keretaku. Sejurus aku membuka mata. Ya. Sekelip mata sahaja kejadian itu. Pantas dan Allah telah kosongkan pemikiran dan ingatanku pada ketika itu. Semasa aku mengangkat wajahku. Kereta telah terhenti dan menghala ke arah Kuala Terengganu. Sedangkan tadi, kami sedang menghala ke Pasir Puteh.

Dalam keadaan yang seolah-olah dalam mimpi itu, aku arahkan ayahadanku keluar dari kereta. Sejujurnya dalam pemikiranku. Aku takut kereta meletup. Aku berpaling ke tempat duduk belakang. Aku gerakkan ibuku. Namun tiada respon. Aku pandang pada sekujur badan ibuku yang mana wajahnya telah tertutup dengan tudung yang dipakainya. Aku rasai denyut nadi ibuku. TIADA denyutan yang aku jumpai.  Aku tahu ibuku telah meninggalkan kami semua. Aku yakin dengan kata hati aku. Allah tanam keyakinan pada diriku bahawa ibuku telah tiada. Sungguh aku tidak panik pada ketika itu. Aku tahu yang kami kemalangan. Aku sedar ini bukan mimpi. Aku dapat bayangkan namaku meniti di bibir di semua kawan-kawan. Sungguh! Selama ini mungkin tidak pernah aku ceritakan pada sesiapa tentang apa yang aku rasakan melainkan hanya DIA. DIA yang tahu melebihi aku sendiri. Allahuakbar.

Pertolongan 
Aku tinggalkan ibuku di dalam kereta. Ayahku keluar dari kereta dan duduk di atas gerai yang betul-betul di depan kereta kami terhenti. Pada ketika itulah kelihatan seorang lelaki berlari ke arah keretaku. Orang kampung bertelekung solat datang ke arah kami. Lelaki itulah yang memberi aku pinjam telefon bimbitnya untuk menelefon abang 1 aku. Ini kerana telefon bimbitku berada di dalam handbag dan aku tidak sanggup untuk menolak tubuh ibuku semata-mata ingin mengambil telefonku. Telefon bimbit lelaki tersebut aku ambil. Nombor aku dial. Aku ingat dengan jelas nombor abang 1 ku. Namun semasa ingin aku dail kali kedua ketiga. Aku seolah-olah terkeliru dengan susunan nombornya. Seingat aku, telefon diangkat oleh kakak ipar 1. Aku masih ingat bahawa aku maklumkan kami kemalangan dan ibuku telah meninggal. Kakak ipar fikirkan aku panik dan sewaktu dengannya. Sebenarnya TIDAK. Aku yakin pada saat itu.

Orang semakin ramai datang mengerumuni kami. Aku masih ingat satu pertanyaan daripada seorang lelaki mari dari mana ni? Aku jawab dari Kuala Terengganu. Dimulutnya hanya terpacul ayat Allahuakbar. Sedikit pun aku tidak menangis di tika itu. Dibenak pemikiran aku. Hey, mak aku dah meninggal? Berat sangat kenyataan itu untuk aku hadam di hati.

Bomba datang. Aku ditenangkan oleh seorang lelaki. Dia datang ke arahku. Tika itu aku duduk di atas gerai sepertimana ayahandaku. Cuma aku mengadap di tepi jalan, manakala ayahandaku mengadap di depan jalan. Bomba itu datang dengan penuh hikmah memujuk dalam dialek Kelantan. Mok awak dok kabba [sedar] je tu. Ye pengsan je tu. Sedangkan hati aku yakin, teramat yakin bahawa ibuku sudah habis pinjaman nyawanya. Namun aku diamkan sahaja. Ketika itu, bomba itu memujukku. Disoalnya nak pergi mana? Lantas aku menjawab nak gi konvo adik. Dia memujuk lagi telefon ar ke adik. Tapi aku enggan. Enggan mengganggu perasaan gembiranya di tika itu. Namun bomba itu pujuk dan pujuk lagi lalu dia berkata biar saya cakap dengan adik awak. Bomba itulah yang menelefon adik 3 aku. Dia la yang mengatur bicara dengan cermat mengkhabarkan berita sedih itu. Terima kasih tuan bomba. Jasa anda hanya Allah yang layak membalasnya.

Lelaki bomba itu jugalah yang menegah membawa mayat ibuku ke luar dari kereta. Katanya biarlah mok awak duduk dalam tu dulu. Kalau kita bawa keluar, kekgi semua orang pakat nak tengok. Dia sibuk memujuk aku dengan kata-kata semangat. Allah lebih sayang mok awak. Haa. Tengok. Tadi, dia juga yang cakap mak aku pengsan, ini dia sendiri yang cakap Allah lebih sayang mak aku. Mungkin bomba ini maklum akan keadaan ibuku namun sebagai anggota bomba yang mempunyai pengalaman, beliau cuba bagi aku semangat. Terima kasih sangat sangat.

Seingat aku, ambulan datang dan membawa aku dan ayahandaku ke hospital. Bila aku bertanya bagaimana dengan ibuku. Mereka menjawab tak po, awak gi dulu dengan ayah. Baru aku faham, apabila melibatkan kematian, beberapa prosedur perlu dilalui. Mereka menunggu polis datang mengambil gambar tempat kejadian. Aku tinggalkan tempat itu dan di bawa ke hospital.

Ah, panjang kiranya kisah ini. Sekiranya aku tulis satu persatu. Entah sampai berkajang-kajang kertas A4.




Saturday, June 13, 2015

Mencelup Tepungkan Diri

Kisah ini adalah kisah lampau yang telah kami harungi pada cuti sekolah di bulan Mac yang lepas. Namun demikian, ha ha. Nak kasi alasan lah tu. Ye, saya beralasan menceritakan kisahdrama di Vietnam terlebih dahulu sebelum kisah-kisah lain saya bongkari di sini.

Pada satu siang hari, selepas kami semuanya dah ketepuan berehat di rumah menghabiskan cuti persekolahan. Bukan senang kakak 3 nak balik kampung, maklumlah anak-anak dia semuanya bersekolah. Maka saya dan kakak 3 dan anak-anaknya berpakat untuk mengunjungi warung Pok Nong. Sekiranya kalian adalah rakyat Terengganu di sebelah kawasan di sini, tentu akan kenal dengan warung beliau. Dulu kan, warung dia kecil namun sekarang dah ada perubahan. Boleh tahan la dia besarkan warung dia berbanding pada zaman dahulu. 

Kami turun dari rumah pada jam 2.45 petang. Dah set time untuk sampai ke sini dalam jam 3.00 petang. Ini memandangkan cuti sekolah dan tidak mustahil manusia akan berpusu-pusu umpama ikan diberi makan umpan datang ke sini. Kami sebahagian ikan yang telah termakan umpan. Lantas bergeraklah kami ke destinasi yang telah diset dalam hati tu. 

Perjalanan ke sini hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit. Semakin hampir kami ke warung beliau, semakin kami dihiasi dengan pandangan pohon nyiur yang meliuk lintuk ditiup angin pantai. Kiri kanan terdapat kambing sebagai penyambut tetamu. Toleh ke kanan kita akan nampak pantai yang membiru sepanjang jalan. Tenang di sapu angin aircond kereta. Eh, korang masih ada di sini atau dah ada kat pantai nih? haha.

Bangun bangun, basuh muka jangan kasi tidur. Tak perlu imagine jauh sangat. Cukuplah kamu bayangkan suasana kampung. Dah cukup dah.

Sampainya kami di warung beliau. Dah nampak dah orang mula beratur. Walaupun tak berapa nak panjang lagi, namun hati kami dah gusar. HAHA. Malas weh nak beratur pepanjang macam kereta api. Beratur malas, tapi kalau bab makan kami rajin. Rindu juga zaman berebut-rebut dulu di warung ni. Yelah, dulu tak ada peraturan. Sotong diangkat, kami terus berebut letak dalam pinggan. Sekarang dah maju ke puncak jaya. Dah kena beratur. hikhik.




Hampir setengah jam beratur. Kami akhirnya berjaya mendapatkan hidupan laut yang telah disaluti tepung bukan qu putih qu putih barulah putih. Bukan. Ini tepung lain, ini tepung beras di campur dengan air sama itu telur sama itu kunyit.

Hai, dah lama tak buat sendiri ramuan untuk menggoreng sotong atau ikan celup tepung. Harapnya nanti dapat buat sendiri pula. Dah lama sangat tinggalkan skil yang suam-suam kuku ingat tak ingat ramuan dia.




Afiq dan Fiya sedang ralit melayani  kesemua hidupan laut yang telah dicelup tepungkan. Mungkin mereka berasa takjub melihat betapa kreatifnya manusia untuk menterjemahkan ikan dan sotong sebegitu rupa. Maksudnya, tak adalah asyik sotong masak kicap, ikan goreng kunyit aje. Sotong celup tepung merupakan menu di luar pemikiran mereka sebagai kanak-kanak yang baru mengenali dunia.




Tip untuk kalian yang tinggal di luar Terengganu. Yang datang dari negeri lain. Di Kuala Terengganu terdapat puluhan gerai yang menjual ikan atau sotong celup tepung. Sekiranya kita lihat dengan sekali lalu, kesemuanya tampak hampir sama. Tiada beza. Mereka tetap sotong atau ikan yang disalut tepung. Namun tahukah anda semua, ianya tetap berbeza.

Di gerai A sebagai contoh, mereka menjual sotong yang telah siap dipotong dengan harga RM5 satu pinggan. Dalam pinggan tersebut, mungkin tak sampai seekor pun sotong tu. Mungkin setengah, mungkin lebih atau kurang. Terpulang kepada tangan penjual tersebut.

Akan demikian, sekiranya kita ke sini. Pok Nong akan meletakkan sotong seekor-2 ekor-3 ekor di dalam pinggan. Kita sendiri lah yang perlu memotong ke semua sotong tersebut. Oleh itu, jika anda berbajet rendah, pilih aje sotong yang kecil. Jika anda berbajet sebesar gudang, maka pilihlah sotong yang sihat lagi walafiat. Biasanya harga untuk 3 ekor sotong yang sederhana sizenya adalah dalam RM27-29 mengikut tahap tumbesaran sotong tersebut.

Point di sini, makin gebu lagi sihat sotong itu, maka harganya juga semakin meningkat. Terpulang kepada kalian. Secara peribadinya, ini warung yang menjadi pilihan kami sekeluarga walaupun Pantai Airport/Seberang Takir hampir dengan kediaman. Nun jauh di sana yakni pantai Batu Rakit juga menjadi pilihan hati kami.

Sebab itulah, andai kata anda datang ke sini. Lebih elok datang berkunjung ke sini. Lokasi warung ni tak adalah susah mana. Warungnya terletak di pantai Batu Rakit dan di sebelah kiri jalan sahaja. Kalau nak lagi mudah, gunalah waze. Err, itupun andai kata lokasi warung ni ada kat dalam waze. 



Saya sendiri terfikir. Milik siapakah idea menyaluti sotong dengan tepung? Orang-orang dulu memang hebat kan dalam menggunakan daya kekreatifan mereka. Satu persoalan, kenapa tidak disaluti dengan coklat? Tidak juga dengan cheese? Rasanya setakat ini kan, belum ada lagi orang yang berani menongkah arus membuat kelainan dengan menyaluti sotong atau ikan dengan anasir-anasir perasa yang lain. Belum ada lagi untuk sotong atau ikan setahu saya. Lainlah kalau keropok. Dah ada keropok cheese, urmm rasanya tak adalah sedap mana. Eh, kalian berani ke nak cuba sotong cheese meleleh? Kalau berani, cubalah di rumah. hehe. Gurau jelah. 




Tengoklah Fiya. Bersungguh benor makan. Nama pun makan kan? Habis licin kami sapu sotong dalam pinggan. Kalau tulang sotong tu boleh dimakan, harus tak tinggal apa-apa.

Selepas kami kekenyangan. Perjalanan kami diteruskan ke kampung sebelah. Kami bukan ke shopping complex. Bukan. Ini cerita orang kampung aje. Jadinya, marilah saya membawa anda semua ke pantai satu lagi. 

Ini pantai yang terletak bersebelahan dengan airport. Namun di sini tidak banyak yang menjual makanan. Pantai di sini insyaAllah selamat untuk dimandi.






Alhamdulillah tinggal di kampung. Jadinya tak susah sangat nak datang ke pantai. Pilih aje nak pantai mana, nak suasana macam mana. InsyaAllah akan sampai. Itu pun bergantung kepada tahap kerajinan nak pergi lah.





Jamahlah, peganglah pasir pantai Humaira. Itu lebih baik dari kamu menggengam lantas menggerakkan jemarimu di muka smartphone. Rasailah dunia sebetulnya untuk kamu lebih dekat dengan alam. Dan tidak hanya berlegar di alam maya. Eh. Kiranya saya sedang berlegar ke apa ni di alam maya? Harapnya tidak termasuk dalam kategori berlegar-legar. Macam tiada arah tuju pulak bunyinya kan?






Biarkan gambar menenangkan anda semua. Tatapilah gambar ini secara percuma. Saya tahu agak sukar untuk kalian sampai ke sini. Maka saya sajikan panorama ini untuk anda. Err, jika saya tulis banyak-banyak, kamu dah tak tenang. Dah tentu kalian naik pening. haha!



Friday, June 12, 2015

Hari Akhir di Bumi Saigon

Setelah sekian lama terhenti travelog di Vietnam. Di petang hari yang dihiasi hujan rintik-rintik ini, ku hidangkan untuk kalian semua akan entry terakhir ku di Saigon. Ayat macam syahdu, tapi hakikatnya tak syahdu sangat pun. Akan ku ayatkan segala penulisanku mengenai kebekengan imigresen di airport sana. Bila diingat, rasa nak saletep mulut dia!

Eh, tapi sebelum itu marilah kita menjelajah hari-hari akhirku di sana. Apa yang best, apa yang tak best. Kira selongkar aje lah. Tulisan telus dari jiwa katanya. HEHE.

Pada pagi akhir kami di sana, kami berkira-kira nak menyumbangkan duit di kedai makan mana? Kedai Hajah Basiroh dah biasa sangat. Haa, baru ingat nama kedai. Bulan April lalu, saya langsung tak ingat nama kedai yang kami makan. Hajah Basiroh rupanya. Padahal kami sempat berjumpa, bergambar dan bersembang dengan Hajah Basiroh ni. Sempoi aje dia. Tapi kaya. Ops!

P.S: Kisah kali ini agak panjang. Gambar pun banyak. Maka kalau hati tak keras, kalian akan terus skip. haha




Dah cakap, saya jenis manusia yang susah nak terima pembaharuan makanan. Maka roti canai kosong garing menjadi pilihan. Bolehlah. Rasa dia ok, cukup untuk dijadikan alas perut. Kami makan di restoran Haji Osman. Manakala air pula, setelah sekian lama tak memesan milo. Pada pagi itu, hatiku dengan terpaksa memesan milo. Dah tak tahu nak pesan air apa. Maka kita bantai aje lah. Dah tak minum milo. Boikot. Ye, saya boikot sejak pembedilan ke atas Palestin tahun lepas.

Boikot atau tidak, terpulang kepada diri kita. Bagi saya, boikot bukan bermakna kamu sangat bagus. Terpulang. Ianya lebih bersifat kemanusiaan dan sedar diri dan sedar jiwa. Parok!

Selepas makan, kami berjalan-jalan dan plan nak membeli untuk hari akhir. Ini sebab kami dah nak balik pada petang nanti. Jadi, mana-mana yang masih belum kami beli, kami dah aim siap-siap nak beli kat mana.




Di sini ku berdiri mencari akses internet. Kat hotel macam siput, kat sini agak berdesup juga. Kami gunakan password kedai seberang. Sepanjang saya di sini, tak adalah nak guna semua rangkaian media sosial. Memang tak fokus! Fokus saya lebih kepada pembelian. HAHA. Cuma, akses untuk whatsapp penting tatkala ingin mengetahui apakah barang atau warna yang diingini orang kat Malaysia. Cewah. Bajet macam pergi Turki pulak. Eh, apa kena mengena dengan Turki? Turki itu negara idaman gwe untuk dijelajahi. Gwe tak simpang ongkos untuk ke sana. Sekadar berangan dalam hati, dah kira sampai Turki. HEHE.





Beli baju sekadar di pinggiran jalanan. Banyak pilihan dan harganya agak rasional dan tidak giler babi mahalnya. Oh ya, ayat giler babi ini sebenarnya apabila di ucapkan secara realiti, ianya tidak bermaksud kasar atau berbunyi macam kita sedang maki. Tidak! Ianya lebih kepada menunjukkan mahal yang teramat. Ish, bahasa Terengganu adakala sukar untuk saya terangkan dengan jelas dan diterima akal. Ok ok, saya kasi lagi satu ayat yang menunjukkan mahal. Tapi saya tak gunakannya sangat. Lain kampung, lain penggunaannya. 

Mahal ge bedil. Maksudnya mahal yang teramat.

Ah sudah. Ini kelas bahasa ke apa eh? Berat nanang, penulisan lari terus dari tajuk. Paculah entry ini ke jalan asal aida. 

Ok ok. 

Saya sempat beli beberapa helai t-shirt untuk anak-anak buah. Lain kali insyaAllah nak beli untuk diri sendiri juga. hehe.



Kedai ini glamour dikalangan orang Malaysia. Masa saya cari maklumat kat merata-rata blog, mengenai pembelian kain cotton kat kedai mana, kedai mana yang best untuk beli kain pasang. Ini haa kedai yang dicadangkan. Namun demikian, apabila membeli kat sana. Kita pula yang kena marah. Kita pula yang kena nasihat. 

Kisah 1: Saya beli kain pasang kat sini banyak giler. Untuk diri sendiri, untuk saudara mara, untuk kawan, untuk keluarga. Memang banyak. Hampir setengah ribu. Eh, tak tak. Maksud saya hampir RM500 saya laburkan duit di sini. HAHA. Ribu tu macam melampau sangat.

Saya tunjuk nak kain itu, nak kain ini. Mereka berdua sibuk memotong. Ada baki yang masih tak dipotong, lalu saya bagitahu untuk kali kedua. Mereka agak marah. Laa, saya kasitau aje sebab mereka macam tak ingat aje nak potong apa yang diingini oleh diri ini. 

Salah sorang pekerja perempuan ni pergi ambil kain entah untuk siapa. Apabila kami cakap, kami tak nak warna tu, tak ada orang pun yang memesan kain yang diambilnya tu. Aih, dia nak marah juga. Hey! Orang sana memang kasar-kasar eh? Kami ni bukan nak minta free kain tu semua. Kami bayar. Namun jangan harap la anda dilayan dengan baik.

Serius! Hati saya teringat sangat akan Bandung. Orang kat sana sangat berbeza dengan orang di sini. InsyaAllah semoga kerinduan angin Bandung akan membawa saya ke sana lagi. Amin. Err, saya sendiri tak jelas untuk ke Bandung buat apa? Yang saya tahu, saya rindu suasana kat sana. Kakak ipar 1 ajak join dia pergi sana nanti. Namun saya rasa tak sempat. Bajet saya tercungap-cungap sudah untuk tahun ini. Lain kalilah andai ada rezeki.

Kisah 2 : Sementara menunggu kain dipotong, saya meninjau-ninjau di kedai kain yang lain. Eh, dia terus nasihatkan kita. Jangan pergi katanya, nanti kalau kita tak beli. Mereka akan marah-marah. Padahal tak ada la macam tu pun. Kalau nak tahu, masih ada kedai-kedai lain yang harganya agak murah dan lebih mesra pelanggan. Patutlah dorang tak kasi kami ke kedai lain. 

Sebenarnya kalau kita kat sini, perbezaan bahasa sebenarnya adakala menjadi keseronokan juga terutamanya apabila kita dimarahi atau dimaki. Kalau dalam bahasa dia lah, kalau dia maki dalam bahasa kita, dah tentu hati jadi panas aje.

Ini kerana, kamu tak faham apa yang mereka maki, jadi hati kamu sikit pun tak sakit atau nak naik berang ke apa. Kamu boleh senyum lagi sementelah kamu tak faham bahasa mereka. Cuma, kita mungkin boleh agak mereka marah melalui nada percakapan mereka atau reaksi wajah mereka.






Abang membawa kami ke kedai menjual kopi. Mewangi semerbak aroma kopi. Saya tak membeli apa-apa di sini. Sekadar duduk memerhati kedai dan juga kopi-kopi ni. Butiran kopi yang akan dikisar diamati sambil baunya menusuk rongga hidung. 

Wangi menyegarkan. Lain kali, insyaAllah saya rancang nak beli kopi di sini walaupun saya bukanlah pencinta kopi.




Antara barangan cenderahati yang saya beli. Keychain. Harganya tak adalah mahal mana, namun saya tertarik dengan kepelbagaian corak keychain ni. Selain keychain, saya turut membeli coin purse, bag untuk telekung. fridge magnet untuk diri sendiri. hehe.



Pada malam akhir, kami selerakkan semua barangan yang dibeli. Hati rasa sikit gentar mengenangkan kastam di sini dan di KLIA2 nanti. Takut kena tahan. huhu. Semua plastik kami buang kecuali yang nampak ok kami simpan. Ini untuk mengurangkan beban.



Selerak tidak selamanya selerak. Bilik kami akhirnya kembali kepada asal. Semua barangan sudah berjaya dimasukkan ke dalam beg. Datang dengan 1 beg, balik dengan 3 beg. Kali ini saya tak bawa langsung luggage bag, konon nak jimatkan kg. Selepas semuanya ditimbang, Alhamdulillah. Ngam-ngam 20 kilogram. Untuk hand carry adalah mencecah 6 kg. Sepatutnya kena kurangkan lagi beratnya. Saya sebolehnya nak elakkan menggalas beban dibahu. 




Malam akhir, selepas berkemas-kemas dan berehat. Teman sebilik menawarkan untuk memasak maggi. Katanya tak nak bawa balik baki maggi yang dibelinya. Usai kami bersiap, terus ambil maggi dan menyantap. Sedap sangat! Saya tak pasti apakah jenis maggi ini, yang pasti bukan tomyam.

Terima kasih Sya sebab tolong masakkan maggi nih. 

Sorotan ketika di Vietnam.




Makan nasi goreng. HAHA. Nasi juga yang menjadi pilihan. Mee pho hanya saya makan ketika di hari pertama sampai di Vietnam. Hari-hari lain, makanan lain yang menjadi pilihan selera. Cuma kan, carikan ayam dia kurang saya berkenan. Entah kenapa saya rasa pelik dan sukar untuk ditelan. Janganlah dicarik-carik ayam tu, apakata kalian potong kiub. Rasa agak berselera nak menjamahnya. haha. Datang kat negara orang, namun hati selalu nak makan macam kat kampung sendiri.




Kalau datang sini, tolonglah beli buah mereka. Sedap! Rasa menyesal tak beli ciku, tak beli mangga, tak beli jambu batu, tak beli... Hei! Jangan dikesali barang yang lepas. Maksud saya, bukan beli berlonggok-longgok berkilo-kilo. Sekadar beli sebiji dua je. Kat sini harganya tak adalah mahal mana. HEHE. Memanglah tak mahal, sebab bukan saya yang beli. Dahlah isi dia elok, makan pun bersemangat. Kami tumpang makan di restoran, pinjam pisau pun kat restoran. Seronok layan makan buah ni.




Hai, saya lah akak yang jual kopi. Biasalah budak aida ni. Ada ke patut dia letak gambar akak kat bawah ni. Patutnya letak lah sekali dengan kopi-kopi yang akak jual. Kalau nak try beli kopi, datanglah ke kedai ahkak ye adik-adik sekalian. Tolong tengok nombor kedai akak sekarang. 




Ini air yang menjadi pilihan hati. Air sirap katanya. Namun saya rasa ini bukan air sirap, lebih kepada air bercampuran. Sedap! Sampaikan kami sempat tapau air ni, penghilang dahaga. Air kopi glamer yang diwar-warkan tidak berada di takhta teratas carta hati saya. Maafkan daku kopi.




Kami akhirnya perlu pulang. Kalau tidak dah jadi pelarian di negara orang. Ini keadaan lapangan terbang mereka. Nak cakap besar sangat, tak adalah besar sangat. Nak cakap kecil, tak ar kecil sangat. Bolehlah. Tak penting sangat pun airport mereka besar atau kecil. Yang penting kami nak balik!



Ketahuikah kalian? Panorama ini dirakamkan selepas daku melalui pengalaman ditengking oleh staf kastam di airport sini. Nak dijadikan cerita, ditangan saya ada ic, boarding pass dan juga passport. Boarding pass saya tak kasi pada kastam tu, tapi diberi ic dan passport aje. Lalu macam singa dicucuk besi panas kastam tu menjerit. *cop! saya confuse di sini, adakah dia pegawai imigresen?

Boardingggg passss!

Serius sangat kuat dia jerit. 

Saya terkedu sekejap. Weh, aku kena marah. Tadi semasa kat kaunter tiket, staf kat sana minta ic juga. Itu sebab ketiga-tiga dokumen tu berada di tangan saya. 

Selepas kena tengking, saya masih sempat tersenyum-senyum sambil memandang kepada kakak ipar yang sedang beratur di sana. Semua mata-mata manusia yang sedang beratur memandang saya. Terasa saya ini seperti alien yang sedang mendarat di bumi. Dalam masa yang sama, saya mendengar kastam ni membebel. Tapi saya tak faham. Jadi saya tak hiraukan. Tak melekat kat hati pun sebab saya memang tak faham bahasa dia.

Selesai dia cop passport, terus secara spontan saya mengambil passport dengan cara keras. Mungkin tapak tangan saya berlaga pada meja kastam tu, jadi nampak kasar lah. Dia pandang tajam pada saya dan saya hanya mampu membalas pandangan dia dengan tajam juga.

Mata saya memberi isyarat 'berat nanang mung ni. Mintok ar molek-molek'. Kalau kat Malaysia, harus dah jadi viral nih. Jadi kalau kastam Malaysia bersikap acuh tak acuh, kiranya boleh dimaafkan lah jika nak dibandingkan dengan kastam Vietnam. Memang sangat kurang ajar cara mereka. Mungkin tak semua, namun memang menjengkelkan hati.




Bumi Vietnam kami tinggalkan dengan beberapa pengajaran yang saya dapat.

1. Tak perlu nak bersopan santun kat sini. Namun kita dah biasa dengan terima kasih, maaf bla bla. Err sebenarnya agak susah nak buat hati kering apabila di sini.

2. Kalau nak menawar, tawar harga yang betul-betul rendah. Sebelum nak tawar, pastikan dalam RM atau Dong. Nanti kan salah faham pula antara kita dan peniaga.

3. Kat sini mereka memang slumber badak aje menarik tangan. Nasib baik saya ditarik oleh peniaga wanita. Namun adakala mereka ni tak mengira jantina. Main tarik aje tangan abang 1 saya. Memang agak tidak selesa kerana sebolehnya kita nak membeli dengan keadaan yang aman dan damai.

4. Kena tahan telinga sekiranya berlaku insiden sebegini. 'How much?'. 'No buy, no ask'. HAHAHA! Serius kami terkejut. Hamboi, macam itu sekali noo. Tanya harga je pun, bukan luak apa-apa pun. Tapi itulah, dah cara mereka sebegitu. Nak tak nak terima ajelah. Kalian berlalu lah pergi ke kedai lain. Tak rugi pun, malahan ada lagi kedai yang ok.

5. Sekiranya dimarah atau dimaki dalam bahasa mereka. Buat tak tahu pun. Anda bukan faham pun apa yang mereka cakap. Taaapiii, kalau mereka marah dalam bahasa Inggeris, haa. Terasa lah juga. HUHU.

6. Tukar Dong sikit aje dah cukup. Sekadar untuk bayar makanan dan tambang bas je. Masa kat sana, saya banyak guna RM. Lebih mudah nak berurusan. 

7. Ada juga peniaga yang kami temui baik-baik. Seronok dan macam tak percaya aje. Siap boleh gurau-gurau dan minta tawar semaksimum mungkin. 

8. Ada seorang peniaga ni, dia OKU. Dulu dia berniaga di ruang pasar Ben Thanh. Namun sekarang dia berniaga di depan hotel aje pada malam hari. Saya baru kenal beliau selepas diceritakan dan dikenalkan oleh abang dan kakak ipar. Mereka dah kenal dengan perempuan ni selepas mereka pergi ke Vietnam beberapa tahun yang lalu. Bila jumpa dengan perempuan ni, alahai baik orangnya. Kalau korang rasa nak membeli, cubalah beli dengan dia. Orangnya kurus-kurus dan ketinggian sederhana. Dia tak pakai selipar. Kesian sebab kaki dia sakit.

9. Rasanya dah tak ada kot.

Dah habis sudah kisah di Vietnam. Nanti kita cerita pasal hal lain pulak eh.

Publish!



Astro

Semalam buat kali pertamanya, balik dari kerja terus melangut depan televisyen. Dah jaaaraaanggg sangat dapat berbuat demikian. Terasa kembali ke bulan sebelum April menjelma. Tak faham? Untuk lebih faham, sejak April sehinggalah akhir bulan Mei, rumah kecil ini tiada astro. Pada minggu akhir Mei barulah rumah ini kembali berastroria. Sebelum ini, kami hanya melihat siaran basic sahaja. Bukan astro kami potong, namun tidak dipasang piring astro tu. Rupa dia dah macam penadah umpama kuali nak menggoreng tu.

Sejak itu juga, dah banyak cerita-cerita yang perlu disejarahkan di MPS ni, terhenti sejenak. Maka sekarang, keadaan dah normal balik. Bersedialah kamu dengan kisahdrama saya. 

Ok, berbalik pada kisah tadi.

Balik dari kerja, tekan siaran Little people, big world! Memang best! Dah banyak ketinggalan pasal dokumentari pasal keluarga ini - Matt dan Amy. Nanti saya tulis dalam entry lain eh. Kalau nak tahu, cubalah tonton kisah mereka. Jangan asyik layan drama melayu aje. Betul, drama melayu yang ok, layanlah. Kalau yang gitu-gitu aje, baik kalian cari alternatif untuk perkembangan hidup kalian. 

Nak cerita pasal astro. Apabila piring dia kami tanggalkan dari rumah dan letakkan di dalam rumah. Maka terputuslah kami dengan dunia luar iaitu AFC, Diva, TLC dan lain-lain.

Hari berlalu dan masa silih berganti. Piring astro masih melangut di dalam rumah. Abang 2 tak cuba untuk memasang. Pada hemat saya, bukan susah sangat untuk memasang piring ni. Namun, oleh kerana ini bukan kerjaan saya, maka saya diam. Abang 2 bertanggungjawab atas astro kerana yuran langganan dia yang bayar. 

Satu hari, dia dan kakak ipar ke pejabat astro. Mereka berbincangan mengenai pemasangan piring dan bla bla bla. Maka Astro menyatakan caj yang perlu dibayar ialah RM100. RM100 ok. Itu upah pemasangan disebabkan piring dia tu, kami tanggalkan [sebenarnya bukan kami yang tanggalkan, tapi nak senang cerita, anggap aje kami yang tanggalkan].

Abang 2 dapat resit dan sepatutnya dia kena call semula pihak astro. Namun resit tersebut hilang ditelan zaman. 

Maka terpaksalah kerja pemasangan ditangguh lagi.

Pada satu malam, terdengar di luar rumah seperti orang sibuk lalu lalang. Siapakah dia?

Rupanya abang 2 sibuk dengan tangga, bawa tukul untuk menukang. Uh! Untuk apakah semua peralatan tu? Kakak ipar 2 cakap, nak pasang astro. Pada masa tu, kami tengah sibuk dengan urusan goodies bag untuk kenduri adik 4.

Apabila abang 2 nak piring astro, cepat-cepat kami bagi kat dia. Almaklumlah, dia tengah bersemangat nak pasang, jadi jangan cuba-cuba menentang arus semangatnya. Nanti semangat padam, astro terendam kat dalam rumah. 

Berpeluh-peluh juga dia pasang. Akhirnya. Alhamdulillah. YES!! Dapat juga siaran astro.

Hallo astro. Kamu nak caj RM100. Kami dengan eksyennya terus berborak. Nanti kalau call atau pergi kat astro, kena bagitahu 'kami pasang sendiri aje piring astro'. HAHA. Evil laugh! Eksyen kemain noo.

Tak adalah, sebenarnya masa tu agak bengang juga dengan caj yang nak dikenakan oleh astro. RM100 tu. Sedangkan tak adalah susah mana nak pasangnya.

Kat sini kami dah jimat RM100. Jadi untuk kalian semua, kalau boleh pasang sendiri. Adalah lebih baik pasang sendiri. Nanti kena caj itu, kena caj ini. Aish! Nak buat macam mana, ini kan zaman toilet berbayar.

Dapat tengok kembali rancangan masakan yang digemariku. Seronok benor rasanya.



Thursday, June 11, 2015

Sekejap

Sekejap. Nak delete gambar yang tidak perlu wujud di dalam handphoneku.
Sekejap. Nak sort gambar mengikut empunya diri. Hai, adik beradik ramai. Maka terpaksa create banyak folder.
Sekejap. Mata dah berpinar keletihan.
Sekejap. Sekejap lagi siaplah.
Sekejap je.