Tuesday, February 23, 2016

Kaunter 8 Barang SAHAJA

Sebetulnya, saya sendiri tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Jadi, saya berfikir dan habis berfikir mengenai perkara ini. Akhirnya, saya ambil keputusan untuk menulis juga mengenai perkara ini.

Saya tidak pasti andai anda pernah ke supermarket atau mana-mana mall dan membeli hanya beberapa barang sahaja di dalam kadar 10-1 barang sahaja. Nak dijadikan cerita, pada cuti Raya Cina yang lalu, saya bersama segerombolan anak-anak buah dan kakak ipar 1 telah keluar ke Giant.

Oleh kerana perut dah terlalu lapar [padahal sebelum tu dah makan], saya membuat keputusan untuk membeli 1 pek roti. Ala-ala roti boy, tapi bukan. Roti ni menjadi pilihan saya lebih-lebih lagi ketika masih panas. Sedap!

Saya ambil 1 pek roti dan terus menghala ke kaunter.

Di depan saya kelihatan beberapa orang beratur di kaunter ekspress 8 barang [sahaja]. Jadi sambil-sambil beratur, saya duk berkira-kira bila giliran saya. Ketika itu, saya perasan 2 wanita di depan saya dengan troli yang separa penuh dengan barang.

Hati dah tak berapa nak sedap. Sebabnya, barang dia tu dah melebih sangat. Ketika kami sedikit demi sedikit berganjak ke depan, saya memberanikan diri untuk bertanya kepada salah seorang wanita tersebut.

Saya : Err kak, rasanya ni kaunter untuk 8 barang je.
Wanita : Barang untuk 2 orang.




Fine! Dia menjawab barangan untuk 2 orang. Jadi saya boleh terima lagi, kerana saya dan sepupu selalu juga share troli dan apabila membayar, kami siap-siap asingkan barangan kami dengan kuantiti yang cukup. Makna kata, kalau 8 kami akan pastikan tak lebih dari 8 bagi setiap diri kami. 

Saya membilang barangan di dalam troli [secara sekali lalu]. Barangan kecil-kecil macam jeli untuk buat dadih agar-agar tu pun dah 2 3 dah. Rasanya lebih dari yang sepatutnya walaupun mereka berdua. Saya menegur lagi beliau:

Saya: Tapi ni kak, lebih ni.
Wanita : Sikit je, sikit je. 

Wanita itu menjawab sambil tangannya terus meletakkan barangan di atas kaunter.

Jikalau mengikut rasa tidak sabar dan geram dengan jawapan beliau. Nak aje saya bertegas dengan adik kaunter tu 'kira sampai 8 aje dik, baki yang lain suruh dia beratur'. Tapi kata-kata tu saya simpan dalam kepala aje.

Saya hanya bertanyakan kepada adik kaunter tu 'dik, kaunter ni untuk 8 barang sahaja ke macam mana?'. Adik tu menjawab '8 barang je kak'. 



Lalu, adik kaunter tu bercakap dengan nada perlahan [mungkin takut] yang kaunter ni untuk 8 barang aje. Bila barang dah melebih, orang akan marah kat saya'. Wanita tu senyap buat tak tahu aje.

Sebetulnya, perasaan geram saya tu akan menurun dengan mendadak sekiranya wanita berkenaan menyatakan permohonan MAAF atau apa-apa. Jika wanita tu cakap 'maaf ya, akak nak cepat ni'. Saya tak kisah. Ini kita dah tegur elok-elok dijawabnya barang berdua. Bila ditanya lagi dijawabnya 'sikit je, sikit je'.

Bukan soal sedikit atau banyak. Namun soalnya adalah ini kaunter 8 barang je. Kalau lebih 1 pun saya tak berkira. Ini kami kat belakang duk menunggu barangan mereka di bayar. Lagi saya bengang saya nak bayar 1 pek roti je. Satuuuuu je. Fuh! Memang sangat menguji kesabaran di waktu perut lapar. Haha.

Dah buat salah, boleh lagi buat selamba macam tak ada perasaan. Saya ketika itu, sengaja mengeluarkan handphone buat-buat ambil gambar mereka [last, memang saya ambil!]. Namun bukan perangai saya, nak dedahkan wajah mereka kerana bagi saya kita sendiri ada aib kita. Emosi masih dapat dikawal. Haha! Jadi rasanya tak perlu nak dedahkan wajah, yang saya nak fokuskan di sini ialah perangai kita yang selalu ambil ringan mengenai perkara ini. Mungkin kita rasa takpe, namun orang yang beratur kat belakang, kita tak tahu mereka tengah nak cepat ke apa. Yelah, kaunter ekspress biasanya untuk mereka yang membeli dan membayar dalam masa yang terpaling cepat. 

Selepas mereka selesai membayar, adik di kaunter tu bagitahu kepada saya 'dah ada peringatan untuk 8 barang, tapi dok tau ar dok reti baca ke gane. Biasa orang akan marah ke kita'. Saya kasihan juga pada adik tu, cuma mungkin kena lebih tegas di lain masa agar peringatan tu diaplikasikan. Jika tak, dah tentu pengguna yang datang lebih gembira dan senang untuk membeli dan membayar. Tak adalah, tiba-tiba hati mendidih padahal datang nak membeli je pun.

Konklusinya, jangan terlalu pentingkan diri sendiri. Peringatan khidmat komuniti ini untuk saya juga.




No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.