Saturday, July 23, 2016

Duit Raya

Bercerita mengenai duit raya, memang amat menyeronokkan dikalangan kanak-kanak. Apalah makna raya tanpa diselangi dengan duit raya. Seolah-olah pelengkap raya bagi kanak-kanak. Seolah-olah. Kita yang dewasa ni tak usah duk berangan sangat nak duit raya. Haha. Ehem, saya ada jugalah berangan nak dapat duit raya tahun ni seperti tahun lepas. Namun yang diangankan tidak kunjung tiba. Mungkin zaman dapat duit raya dah hampir menuju garisan penamatnya. Hehe.

Seperti kebiasaan, penukaran duit raya akan dilakukan secara berjemaah dengan kawan-kawan pejabat. Kami akan tulis siap-siap di atas sehelai kertas dan tanda aje nak tukar duit berapa. RM10 nak berapa, RM5, RM1. Ikut bajet masing-masing. Selang beberapa hari atau seminggu sebelum raya, kebanyakkan kami dah bagi duit untuk penukaran dan selang sehari biasanya dah dapat dah. Bau duit baru biasanya lain macam. 

Keriaan memang terpancar kat wajah kami, itu baru dapat tukar duit raya. Namun sedikit mengecewakan apabila mendapat note RM5 buruk. Bukan buruk sampai tak boleh guna, namun kedut-kedutan yang ada dibadan note RM5 tu mengundang rasa tak seronok. Biasalah raya, kalau boleh, kita nak bagi yang terbaik untuk kanak-kanak terutamanya anak-anak buah sendiri.

Tahun ini, dah plan tak nak isi sampul raya last minute. Kerja lain masih banyak menanti, jadi mana kerja kecil-kecilan tu kita kasi habis dulu. Nanti tak kalut dikemudian hari.  




Memang disengajakan membeli sampul kartun-kartun. Tapi ada juga dibelikan sampul yang formal untuk diberi kepada orang dewasa. Takkan nak kasi sampul kartun kan? Pada satu malam tu, dengan gigih dan terus asingkan setiap design sampul mesti digunakan. Asingkan juga note untuk diberi kepada setiap anak-anak buah, anak-anak kawan pejabat, sepupu yang kalau diikutkan memang dah tak ada kerana dah besar-besar dah, dan juga duit standby untuk kanak-kanak yang dirasakan layak untuk menerima duit raya.




Kat tempat kerja, memang ada sampul official. Namun tak cantik dipandangan mata. HAHA. Saya perasan, dah banyak tahun design dia tak menarik berbanding design di agensi lain. Rasa nak tolong kasi idea je untuk memeriahkan sampul raya. Eh! Dia ni.

Sampul-sampul di atas dah berisi duit raya. Nilainya sama namun design sampul adalah berbeza. Ini kerana, anak-anak buah saya mempunyai kesukaan yang pelbagai. Jadinya, saya selaku mak cik yang memahami denyut nadi perasaan anak-anak buah mengambil keputusan untuk mengikut trend sekarang [perasan sangat kan?]. Jika diberi pilihan, saya lebih gemarkan sampul raya yang menunjukkan kehari rayaan. Yang agak hampir adalah macam sampul Upin Ipin 1 dan 2 dari atas sebelah kiri tu. Namun sukar nak jumpa sekarang yang betul-betul ada aura raya, mungkin ada. Tapi saya yang tak perasan.




Tidak dilupa juga untuk menempah bunga api dan membeli mercun bawang [pop-pop]. HAHA. Makcik yang terlebih beria. Sebetulnya, jika ada peluang berjumpa dengan penjual bunga api. Belilah. Lebih jimat. Namun andai tak jumpa dengan tokey penjual mercun atau bunga api, bolehlah dibeli di pasar malam aje. Namun harganya agak mahal sedikit. Macam saya, anak-anak buah ramai. Jadi memang tak boleh beli sikit, nanti akan meletus perang saudara. Lagi mengucar kacirkan keadaan, akan terjadi persengketaan sesama mereka. Makcik dah biasa dah dengan suasana begitu, jadi langkah pencegahan diambil bagi mengelakkan semua itu terjadi. Keharmonian menjelang lebaran amatlah diharapkan. 

Bunga api yang dibeli ini berharga RM16 dan mempunyai 100 batang. Saya dah kira siap-siap berapa batang yang boleh dibagi-bagikan kepada setiap anak buah. Itupun masih lagi terdapat pertikaian. 'Cuda kedekut'. Kurang asam punya anak buah. Bagi 5 nak 10 batang. Mana boleh! Saya selaku Menteri Pertahanan bagi bunga api memang membantah. Itu namanya tamak. Nasib makcik ni dah biasa dengan lontaran suara ketidakpuasan hati anak-anak buah. Jadi kita buat derk je. Nanti dia akan datang semula kat kita. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua pabila anak-anak buah datang minta mercun pop pop pula. Eleh!




Ini adalah sebahagian sampul-sampul raya yang ditemui pada tahun ini. Menarik juga design dia kan? Paling saya suka ialah sampul Upin Ipin warna biru tu dan juga sampul Angkasa. Nampak lebih dekat pada diri saya. 

Bercakap pasal duit raya. Dulu, semasa kecil saya selalu menjelajah rumah ke rumah untuk mendapatkan duit raya. Ya, memang pergi rumah orang untuk dapatkan duit raya. Tak tipu. HAHA. Pengakuan jujur dari hati. 

ERTI DUIT RAYA
Apabila dah besar, dah tiba giliran kita untuk berkongsi rezeki kepada mereka yang lain. Saya memilih untuk memberi duit raya pada bulan Ramadan, biasanya pada hari akhir berkerja. Kan orang cakap, kalau memberi pada bulan Ramadan, lagi banyak pahala. Jadinya saya berharap, diterimalah pemberian saya itu. InsyaAllah. Sebahagian yang lain, memang diberi pada hari rayalah. 

Bagi saya, nilai yang kita beri kepada sesiapa sahaja bukan menggambarkan seseorang itu kedekut atau apa sahaja. Ini kerana, saya tahu apabila tibanya Syawal. Kebanyakkan ibu bapa atau mereka yang berpendapatan kecil dan sederhana, banyak menggunakan wang. Nak beli itu ini. Ditambah lagi bagi mereka yang telah berkeluarga. Saya sendiri rasa tidak sampai hati melihat ada sesetengah orang yang hanya mampu memberi RM1 kepada kanak-kanak. Ini bukan kes budak yang tak kenal, kita kasi RM1. Bukan. Ini adalah bagi mereka yang tak mampu nak sediakan wang yang lebih nilainya untuk kanak-kanak.

Kerana itulah saya selalu ingatkan diri saya, nilai yang kita beri kepada kanak-kanak atau sesiapa sahaja adalah untuk berkongsi rezeki. Tidak perlu MALU atau segan jika kita hanya memberi RM1, 50 sen jika itu yang kita mampu. Tak perlu mengikut kata orang sekiranya ia membebankan kewangan kita. Memberilah mengikut kemampuan diri sendiri. 

Dan sebagai ibu bapa atau orang yang lebih besar, mainkan peranan kita. Ingatkan kepada anak-anak kecil ini bahawa duit yang diberi, tak kira berapa. Ucapkan TERIMA KASIH. Jika boleh, elakkan daripada membuka sampul didepan si pemberi duit raya. Bukan apa, takut terjadi dialog macam ni 'haa?? seringgit aje? Kedekutnya!'. Kalau suara tu bervolumekan 1 atau 2 tak apa lah juga. Ini tidak. Nada suara memang memecah sunyi. Hai, rasa nak debik mulut tu. Perkara ini pernah juga terjadi dikalangan anak-anak buah saya sendiri. Bila dah ramai, memang akan ada yang jenis suka membuka sampul depan-depan. Perkara ni memang tidak digemari oleh kebanyakkan orang. Namun adakala, terpaksa dimaafkan jikalau yang terlibat itu anak-anak kecil yang memang walaupun berbuih kita pesan, masih lakukan juga benda ni. Haish!

Apapun, semua perkara akan dinilai olehNya. Tak guna bagi duit note besar-besar sekadar untuk pujian, dan tak guna juga jika berkemampuan namun kedekut untuk berkongsi rezeki. Yang penting, pilihlah yang terbaik berpadanan dengan diri kita. Semoga amalan dan pemberian kita diterima oleh Allah. Ini yang paling penting.




No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.