Wednesday, July 27, 2016

Macam Tanah Kubur

Masih segar dalam kotak ingatan saya, pada hari Jumaat tatkala kakak 1 dan keluarganya datang ke rumah untuk menyelesaikan projek abang 2. Terngiang-ngiang ditelinga saya, suara anak buah 'ada orang mati, ada orang mati' oleh anak-anak buah saya. Tapi sedikit pun saya tak rasa nak pergi tanya, tak rasa nak pergi jenguk. Hanya sekadar 'orang mati?'. Langsung tidak terlintas di benak fikiran siapa yang mati?

Saya hanya membiarkan bunyi-bunyi suara anak buah saya itu hilang begitu sahaja. Operasi membersihkan bilik ketika itu, saya teruskan. Ketika saya berada di ruang tamu, saya terdengar suara jiran sebelah. Saya kenal suara itu dan fikir saya, tentu dia bercakap dengan anak lelakinya.

Hanya selepas Zohor atau hampir Zohor, saya ke dapur dan ketika itulah persoalan 'orang mati' itu terungkai. Terungkai umpama benang yang kusut dapat dileraikan oleh si tangan yang mahir. 

Terperanjat. Itulah perasaan saya. Rupanya yang meninggal itu ialah anak kepada jiran saya yang kononnya saya dengar tadi. Yang saya beranggapan, beliau bercakap dengan anak lelakinya. Tapi rupanya selang beberapa jam selepas itu, barulah saya tahu bahawa anak lelakinya telah meninggal dunia.

Faham tak perasaan terperanjat tu macam mana? Saya sememangnya begitu pasti jiran saya bercakap dengan anaknya.Namun sangkaan saya jauh meleset malah tersasar entah ke arah mana. 

----

Menziarah

Pada petang Jumaat itu, saya ke rumah jiran untuk menziarah [perempuan tak wajib untuk menziarah, tapi degil nak pergi juga kerana terperanjat. Percaya tak percaya]. Rupanya dia meninggal kerana demam. Pada petang Khamis, kawannya membawa dia ke klinik dan dihantar ke hospital. Sampai kat sana, dia meninggal. Lebih kurang macam tulah ceritanya.

Mak saudara saya sempat melihat jenazahnya, selepas melihat mak saudara saya menangis. 'Comelnya muka, putih bersih'. Saya rasa nak tengok, tapi saya 50/50. Akhirnya tak tengok pun, sebab rasa tak kuat. 

Ketika kami balik menziarah, saya bersama abang 2 dan mak saudara bersembang di bawah rumah Moksu. Kata abang saya 'aku takut nak tengok, tapi biar jelah. Tengok jelah. Bila tengok, bersihnya muka. Putih. Kalau mu tengok kejut'. Mak saudara saya mengiakan apa yang abang 2 saya ceritakan.

3 Minggu Sebelum Itu (Sebelum Ramadan)

Pokok-pokok renek yang dah tumbuh kembali. Semua gambar ini diambil, hampir 2 minggu selepas pemergian anak jiran saya

Masih saya ingat persoalan pada diri saya 'kenapa dia ni rajin sangat ni?'. Ini kerana, setiap kali saya pulang dari kerja, selalunya saya akan buka tingkap bilik untuk memberi ruang udara bilik saya bernafas dan memastikan peredaran udara tidak tersekat selepas seharian tidak dibuka. Namun, kelibat jiran saya ini yang sentiasa membersihkan halaman belakang rumahnya ini telah membataskan saya daripada berbuat demikian.

Disebabkan dia rajin, saya tak boleh nak buka tingkap. Saya tak boleh nak selak langsir. Saya tak boleh nak biarkan angin semulajadi masuk ke dalam bilik saya. Semuanya itu tak boleh dilakukan kerana anak jiran saya ini memang akan membersihkan daun-daun tebu dan juga pokok-pokok renek yang meliar di atas tanah.

Sebenarnya, anak jiran saya ini dah pangkat pakcik kepada saya. Umurnya mungkin menjangkau 55 tahun macam tulah. Namun, tetap tidak betah untuk kita berbuat sesuka hati. Pernah terfikir nak tegur macam arwah mak saya tegur kepadanya, namun saya takut. Yelah, kami tak pernah bercakap dan hanya sekali ketika saya menghantar kuih/daging korban kot ke rumahnya. Dia yang ambil dan ucap terima kasih kepada saya. Itu sahaja.




Beginilah keadaan apabila tingkap saya dibuka. Seluruh kawasan rumah jiran saya, boleh dilihat dengan terang. Itu nasib daun tebu dah tumbuh yang baru. Kalau tidak, tingkap rumah makcik ni memang boleh saya pandang. Tapi selalunya jiran saya ini jarang buka tingkap kecuali anak-anak dia balik kampung.




Apabila saya melihat kawasan belakang jiran saya ini, bermacam-macam yang menerpa di fikiran. 

Ketika petang, saya melihat dia terbongkok-bongkok mencabut pokok renek yang meliar. Apabila dia meninggal, kakak ipar 2 saya cakap pada saya. Macam dia tahu yang dia akan pergi, dia tinggalkan kawasan yang bersih sebersihnya untuk mak dia.

Arwah ini persis cerita tanah kubur. Tidak dipandang ketika hidup kerana dia pernah tersalah langkah. Ingin ditulis, rasanya tidak elok untuk dibaca, bimbang akan disalah tafsir. Cukup saya nyatakan bahawa dia yang menjaga arwah ayahnya ketika sakit. Ini kerana, hanya dia anak lelaki yang tinggal bersama ibunya. Dulu setiap malam saya boleh mendengar suara ayahnya memanggilnya. Tidak pernah dia meninggi suara pada ayahnya walaupun dia boleh melakukannya. Itu apa yang saya dengarlah kan, selebihnya hanya Allah yang tahu. Sudah pasti, kita tidak tahu bagaimana dia hubungan dia dengan Allah

Perginya anak jiran saya ini pada hari Jumaat. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya. Semoga ia menjadi peringatan kepada saya. Sekarang, kalau balik kerja buka tingkap bilik. Saya kadang kala, masih teringat bunyi daun-daun pokok tebu yang diseretnya untuk dikumpul.

Cukuplah kematian sebagai peringatan kepada kita. Jangan kita rasa kita ini baik kerana kita belum tentu baik. Jangan terpesona dengan tipu daya diri sendiri dengan apa jua kebaikan yang kita lakukan. 



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.