Wednesday, August 3, 2016

Kisah Syawal

Seperti kebanyakan tahun-tahun yang lalu, saya sememangnya akan bercuti lebih awal untuk sambutan hari raya. Pertamanya kerana persiapan raya. Keduanya, nak raya tulah bermacam perkara yang nak dibuat. Kemas rumah, basuh pinggan mangkuk yang nak digunakan, basuh lantai di luar rumah. Banyak sangat sampai terasa setaraf dengan buruh kasar. Penat kerana tenaga perempuan berapalah sangat kan?

Tapi berbekalkan semangat nak raya serta pertolongan dari adik 3 dan isterinya, kami berjaya juga menamatkan cabaran untuk beraya. Alhamdulillah. 

Kenapa perlu bersungguh untuk semua itu? Hal ini saya bincangkan dengan jiran di depan rumah ketika menziarahinya ketika hari raya ke... [entah ke berapa]. Memang perempuan ini unik. Kemas rumah, tukar langsir, beli karpet baru, beli tupperware baru, beli itu beli ini. Untuk ditunjuk kepada siapa? 'Padahal adok orang tengok pun kan?. Pesen perangai orang puan ork?', ujar jiran saya. Apalagi, teruslah saya mengiyakan. 'Betul Kak Yah, memang doh kita ni gitu kan? Padahal adok pun orang gi belek kain langsir ke apa'. Sebetulnya ini adalah satu kepuasan. Normal bagi mereka bergelar perempuan. Seolah-olah nak semua baru. Erk, tapi tak adalah semua baru. Mana-mana yang perlu.

Cuti yang saya ambil adalah 12 hari. HAHA! Memang berbaloi dan sakan tahap maksimum saya bedal cuti. Padahal bukan balik kampung pun, bukan tinggal jauh dari tempat kerja pun. Memang dah satu tradisi raya [tetiba claim tradisi raya. Hehe].

Beberapa hari sebelum raya. Jumaat, Sabtu, saya lepak-lepak aje membazirkan cuti pada siangnya. Pada hari Ahad, saya lepak namun sambil buat kerja. Buat kerja lepak, lepas tu sambung balik buat kerja. Nak dijadikan cerita, disebabkan jiran rumah saya ni dekat dengan rumah kami. Dia tumpang bersemangat nak cuci pinggan untuk hari raya. Semua pinggan dikeluarkan dari almari yang tak pernah dia keluarkan selama dia tinggal kat sini. Urm, hampir 3 atau 4 tahun kot mereka menyewa di sebelah rumah kami. Selama itu tak pernah langsung dia keluarkan kesemua pinggannya untuk dibasuh.

Kami sama-sama mencuci peralatan dapur masing-masing sambil berbual dan bertanyakan progress di setiap aktiviti kami. Padahal bukan dapat apa pun. Eh dapat lah. Dapat semangat. Hehe.

Apabila Isnin dan Selasa menjelma, lagi banyak kerja yang saya pulun. Itulah, cuti awal tapi dia pergi melepak jer. Tak pasal-pasal terpaksa kerah keringat lebih daripada Bangla untuk berkerja. Bangla dah rehat makan daging kambing dah, saya masih berkerja kat rumah. 



Kami dah plan nak masak nasi kuning. Saya rasa inilah resepi yang paling mudah untuk kami laksanakan di pagi raya. Tak nak masak masakan bombastik sangat, sebab tak pandai satu hal. Satu lagi takut tak terjaga nak masak di pagi buta. Jadi kami mengambil langkah keselamatan.

Kakak 3 saya membuat acar disamping rendang dan nasi himpit. Kakak ipar 2 membuat gulai ikan dan saya pula memasak nasi. Saya bukanlah seorang yang terer masak, nasi pun kuning dia tak sekata. Tapi tak mengapalah, hentam ajelah.




Alhamdulillah, nasi semuanya habis walaupun pada awalnya, rasa gusar juga melihat nasi begitu banyak dalam periuk. Habis ke tak ni? Gulai pada kali ini agak berbeza. Rasanya pada pagi itu, kakak ipar saya hilang skill secara tiba-tiba atau ada masalah teknikal. Gulai ikannya tidak seperti kebiasaan. Biasanya kan, dia memang pandai memasak gulai. Namun biasalah kan, mungkin kepenatan kerana melayan kerenah Humaira. Kalau boleh nampak, nasi saya pudar kuningnya. Warna tak sekata sampai ke bawah. Haha. Masaklah kau!

Selepas solat hari raya, kami semua makan-makan. Bersalam-salaman lepas tu terus memulakan acara ziarah menziarahi secara berkonvoi.

Alhamdulillah, semua rumah saudara mara dapat kami pergi dan sangat berpuas hati dengan pencapaian ini. Mungkin boleh dikekalkan pada tahun hadapan kerana kami memperuntukkan 2 hari untuk menziarah mak/pak saudara. Yelah, kebanyakan mereka dah uzur. Jadi kita yang muda inilah yang kena memulakan langkah. Semasa kami kecil-kecil dahulu, mereka senantiasa datang kat rumah kami. Kini, giliran kami pula. Hidup umpama roda.



Hanya kiriman gambar dari adik 2 dari Kelantan. Nak buat macam mana, tahun ni giliran kampung isterinya. Jadi hanya gambar inilah yang dapat kami tatap si Baihaqi dan Adam. Adik mereka Faezah tiada dalam gambar.



Anak-anak kakak 2. Oleh kerana abang ipar 2 bertugas di pagi raya, mereka hanya dapat pulang ke kampung pada petang hari raya pertama. Ini barisan tentera kakak 2. Pasukan inilah yang biasanya dinanti kepulangan mereka. 

1. Adik-beradik mereka ramai.
2. Riuh dengan pelbagai persengketaan terutamanya si tudung merah.
3. Selalu terjadi tangisan raungan kerana tidak mendapat apa yang dihajati. 

Namun sekarang, dah bertambah baik prestasinya. Yelah, dah besar, jadi perasaan malu untuk membuat onar menurun sedikit. 



Kakak 3 bersama anak-anak dan anak-anak buah. Kepesatan bilangan anak-anak buah telah menjangkau 23 orang dan akan bertambah lagi pada tahun ini. InsyaAllah. Jadi memang tak menang tangan untuk membuat aktiviti atau melayan semua kerenah mereka.



Pada hari raya ke 2, kami pergi menziarah kakak 1 secara berkonvoi. Balik dari rumahnya, kami melalui Lebuhraya Pantai Timur. Memang sesak, sesak kerana tol. Seronok juga sebenarnya, dapatlah merasa konon-konon macam balik kampung. 

Dari pagi sampai petang kami pergi sebuah demi sebuah rumah. Ini juga perkara rutin kami. Maklumlah, antara ramai-ramai adik beradik mak, kamilah yang paling ramai adik beradik. Dahlah tu, paling ramai kot anak-anak buah yang masih kecil. Memang penuh sekali kami pergi serang. Memang terkesima tuan rumah. Tapi tuan rumah yang dah biasa dengan kedatangan kami tu, urrmm mereka dah tahu dah. Dan akan tertanya-tanya jika kami tak datang.

Alhamdulillah moga dapat dikekalkan seperti ini untuk tahun seterusnya. Dan yang penting, semoga kami dapat perbaiki mana yang kurang.

Bukankah, perjalanan yang paling baik adalah perjalanan untuk menyambung silaturrahim.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.