Sunday, August 28, 2016

Si Pencinta Dedaunan

Pada hari raya ke-4. Di pagi hari selepas kami selesai solat Subuh, kakak 2 meminta satu pertolongan dari adiknya ni. Faham tak, apabila kita ingin bermalasan seketika di pagi hari. Datang undangan yang tidak dipinta untuk menemaninya pergi mengambil anak pokok. Malasnya! Sebab terlalu awal.

HAHAHA! Jahatnya adik dia ni kan? Semalam, dia ajak kakak dia teman ambil satay, tak berkira langsung si kakak terus aje bersetuju.

Saya masih bermalasan, kakak 2 membaca mesej dan bertanyakan lagi soalan kepada saya 'mung teman aku eh gi amik anak pokok tin'. Diceritakan kepada saya bahawa dia mengenali tuan punya pokok ini di dalam group menanam. Saya bertindak sebagai pendengar yang setia sambil mata turut pejam celik pejam celik. 

Sambung ceritanya lagi, tuan punya pokok ini akan balik kampung ke selatan dalam kurang lebih jam 8.30 pagi. Ekoran itu, kami perlu bertindak segera. Saya tahu dia bersemangat waja. Semangat dia menembusi atap rumah kami meroket ke langit tinggi. Sebagai adik yang memahami kakaknya, saya bersetuju. Namun dengan syarat. HAHA!

'Aku nok tidur lu kejap. Kekgi kita gi ar'. Saya menetapkan ingin tidur-tidur ayam selama 10-15 minit sebelum pergi. Terasa satu beban nak memandu di waktu pagi dikala mata masih memohon untuk ditutupi.

Kakak saya terus bersiap manakala saya tidur sambil melihat jam.

Akhirnya masa telah tiba. 'Cepat ar siap', ujar kakak 2. 'Aku nak pakai tudung doh ni, mu nok siap bila?'. Saya memang jenis bersiap cepat [kadang kala]. Saya bangun lantas mengambil tudung dan anak kunci kereta berserta purse. 'Aku siap doh, tunggu mu je nih'. 'Mung nok gi gini?', kakak 2 terkejut. HAHA! 'Hor, aku siap doh'. Kakak 2 saya seolah-olah berkata 'kalau anok aku ni, lama doh kena tinggal'. Haha. Saya ok je, lepas tu kita bagi la  hujah kita, 'doh nak ambil anak pokok je kan?, bukan nak pergi beraya pun'. 

Alah, bukanlah teruk sangat pun, tak pakai baju yang boleh dikategorikan baju raya je. 

Selepas enjin kereta dipanaskan, kami memulakan perjalanan di pagi hari. Dahlah sesat. Guna GPS tapi sampai kat jalan mati. Saya tak pernah ke kampung kawasan sini. Entah nama apa kampung ni eh? Berpandukan kakak 2 saya yang memberi arahan disamping dia mendengar cadangan saya, 'masuk jalan ni kot kan?'. Kami mencuba dan akhirnya kami kebuntuan. 

Kakak 2 bertanyakan kepada orang kampung dan kami berpatah balik. Ketika ini, saya sudah bertukar menjadi semakin bersemangat. Ini ditambah kerana, pagi ini kakak 2 saya dah nak balik ke kampungnya sementelah cuti raya dah habis. Semangat kerana kakak saya tidak jatuh semangat. Saya sayang pada kakak 2 saya sepenuh jiwa saya.

Dengan semangat itu, selepas kakak 2 call kepada tuan pokok. Akhirnya kami menemui sinar di simpang jalan. Tuan pokok sanggup menunggu kami dengan motorsikalnya dan mengarahkan kami mengikutinya.

Kami ikut dan jalan ini tiada dalam GPS pun. HAHA. GPS pun pening nak baca jalan ni macam mana.


Yang melingkari kat atas tu, adalah pokok anggur. Cerewet untuk dijaga katanya.

Kami sampai ke rumah tuan punya pokok. Uish 7.40 pagi dah ada depan rumah orang. Haha. Kakak 2 saya bagitahu, encik ini telah bermurah hati untuk memberikan pokok tin kepada sesiapa yang berminat. Kakak 2 saya umpama orang mengantuk disuruh tidur. Memanglah dia nak. Tambahan pula, kebetulan dia akan balik kampung untuk beraya. 

Ketika kakak 2 saya berada di dunia dia. Saya mengekorinya sambil mengambil gambar curi. Biarlah dia seronok dengan apa yang dia minati. Saya tak berapa minat sangat dengan pokok-pokok macam ni. Saya lebih berminat untuk merakam foto.




Hampir 70 jenis kot pokok yang encik ini kumpul. Sangat banyak dan menyegarkan pandangan mata. Saya agak, kalau kita ada masalah rabun kan, eloklah setiap pagi kita melihat daun-daun hijau ni. Pelbagai jenis pokok tin yang ada.

Kakak 2 saya bertanyakan itu ini, kenapa dia tanam matilah, kenapa tak tumbuh, baja itu, baja ini, jenis itu jenis ini. Saya hanya dengar.

Jenis yang saya paling ingat ialah Purple Jordan. Nama cantik ini nyaman didengari oleh pendengaran saya. Cantik juga kalau kita bagi nama ni kat  kucing ke, kat ikan ke. Kan?




Macam tak percaya, saya boleh melihat dengan mata saya sendiri dengan izinNya, inilah pokok tin. Dulu, saya ingat kita hanya dapat makan buah tin yang dikeringkan oleh jemaah-jemaah haji/umrah yang balik ke Malaysia aje. Masa pergi melawat orang balik Mekah tu lah, baru dapat merasa buah tin. Sekarang dah banyak tempat jual buah tin kering ni. Pilih aje nak beli kat mana.




Proses tut anak pokok. Err, betul ke pernyataan saya ini? Melihat dedaunan ini, saya teringat kepada proses fotosintesis.




Dahla dapat melihat berpuluhan jenis pokok yang ditanam, encik tuan tanah ini bermurah hati melihat dari satu pokok ke satu pokok, mana buah yang dah masak. Dia jumpa satu! Yeay! Lalu diberikan kepada kakak 2 untuk rasa. 

Bolehlah kita rasa makan buah tin yang segar. Dia cakap, masa raya itu hari, dah ramai orang datang petik. Sebab itulah dah tak banyak buah.

Kami berada di sini hampir 1 jam. Melihat jam yang telah menghampiri 8.30 pagi. Kami mengambil keputusan untuk balik. Yelah, encik dan keluarga dia dah nak bertolak tak lama lagi. Macam tak bestlah kalau kami ambil masa mereka terlalu lama. Kakak 2 pun dah mengambil anak pokok tin yang telah di jaga dari kecik sampai dia dah stabil. Tak tahu nak sebut apa, nak kata tut bukan, nak kata semai pun bukan. Nak cakap dipacak, urmm lebih kuranglah. Encik ni dia potong batang anak pokok tin kepada beberapa bahagian lalu dia tanam semula kat dalam plastic bag. Anak pokok itulah yang diberinya kepada kakak.

Selepas bersembang dengan isteri encik ini, kami memang perlu beransur kerana kami pun ada kerja. Bukan kerja sangatlah. Nak pergi beraya kat rumah adik 2 je. Hehe. 




Dalam kereta, saya memuji keluarga encik ini kerana ramah dan tidak sombong. Tak adalah kita segan sangat datang pepagi kat rumah orang. Hehe. Dah sampai kat rumah, saya terus memotong buah tin ini kepada beberapa bahagian. Nak kasi semua orang rasa macam mana.

Bila kita makan, sedap. Lemak. Itulah untungnya kepada mereka yang berbudi kepada tanah. Dapat merasa apa yang mereka tanam. 

Ada orang pencinta bunga, ada orang pencinta haiwan, ada orang pencinta kedamaian, ada orang pencinta animasi. Dan kakak saya, pencinta dedaunan hijau, bunga pun dia minat dan tanam. Kalau saya, saya lebih suka bunga berbanding tanam benda daun-daun ni. Suka ajelah bunga, tanamnya tidak! Hehe.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.