Saturday, September 3, 2016

Lembaran Baru

Minggu lepas adalah hari pendaftaran pelajar baharu bagi sesi akademik baru. Ketika bertugas di tempat pendaftaran, banyak sangat gelagat yang boleh kita lihat. Saya dapat rasakan bahawa semua adik-adik yang datang mendaftar ini, datang dengan semangat yang berkobar-kobar.

Pertamanya, jauh disudut hati saya, mengharapkan mereka cekal menghadapi perjuangan untuk menuntut ilmu ketika di universiti. Seronok belajar di universiti, dah tentu tidak dapat disangkal. Namun, mungkin adik-adik pelajar baharu masih belum jelas dengan cabaran yang akan mendatang. Cabaran yang bakal ditempuhi itu, anggap ajelah sebagai sebahagian pemacu untuk kematangan.

Sepanjang berada di sini [bahagian ini], saya melihat ada pelajar yang tidak berupaya untuk menghabiskan pembelajaran mereka. Kami tumpang sedih. Para pelajar apatah lagi kan? Kerana itulah, apabila melihat keputusan peperiksaan pelajar, saya paling tidak gemar melihat keputusan mereka yang di bawah 2.00 pointer. Kasihan. Terutama yang datang dari keluarga susah.

Melihat wajah-wajah gembira ahli keluarga, kami tumpang gembira. Melihat ibu bapa yang bersemangat dan takut-takut nak masuk ke dalam dewan, adakala mengundang belas. Hinggakan ada mak ayah yang bertanya 'boleh masuk ke?' [ikut anak-anak mengambil beg/anak kunci]. Kami mengiyakan dan mengalu-alukan untuk mereka masuk ke dewan. Memang tiada halangan pun untuk ibu bapa masuk ke dewan.

Kerana itu, wahai adik-adik sekalian. Gunakanlah peluang yang ada sekarang ini untuk membaiki diri. Belajar betul-betul, jangan hampakan harapan mak ayah. Perjuangan kamu masih jauh, namun ketahuilah ini adalah permulaan yang sangat baik untuk kamu semua.

Dan sekarang, saya berserta kawan masih gigih lagi menyemak apa yang patut untuk semester baharu esok hari. Tadi, saya melihat keputusan seorang pelajar perempuan. Wow! Keputusan peperiksaannya sangat sangat bagus. 4.00 pointer untuk 2 semester secara berturut-turut. Dan boleh saya katakan, keputusannya sangat mengagumkan bagi saya. Semoga ilmu yang pelajar ini ada, dapat dikongsi kepada rakan-rakannya yang lain.

Oklah, perlu sambung semula kerja kami. Ini entry santai-santai je. Heheh.




No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.