Sunday, October 2, 2016

1 Muharam 1438H

Dalam hidup kita, melalui pengalaman dan pengamatan. Lama kelamaan, kita akan dapat analisiskan apa yang penting dalam hidup kita. Sejujurnya, saya lebih tenang di blog berbanding media sosial yang lain. Di sini, saya lebih mudah untuk huraikan dengan panjang lebar dan tiada mata-mata yang memandang. Bukanlah bermaksud apa-apa. Namun di dalam facebook, kita dah tahu siapa rakan kita. Kita dah agak siapa yang membacanya. Salah? Tak salah. Namun adakala segan dan adakala apa yang kita ingin sampaikan itu tak sampai kerana salah ditafsirkan. Selalunya begitulah, macam kita jugalah, sebagai contoh apabila melihat status kawan-kawan kerana kita sendiri tidak boleh menelah 100% maksud status rakan kita di facebook mereka kan? 

Saya pernah menulis tentang impian hidup saya di dalam buku merangkap diari. Akan tetapi, diari itu telah lama terbiar sepi tanpa coretan dari saya. Dulu sangat rajin menulis, sekarang ni dah lemau. Masuknya tahun baru Islam, saya ingin gerakkan apa yang ada dalam hati saya. Saya ingin padamkan apa yang tidak perlu di dalam diri ini.

Kehidupan kita ini hampir 90% [atau lebih] melibatkan pergaulan dengan manusia. Suka atau tidak, banyak kesalahan yang kita kumpul membabitkan manusia yang lain.

Tempat kerja: pergaulan dengan rakan sekerja. Sebolehnya jika diikutkan hati saya, saya lebih gemar membuat urusan sendiri, membuat kerja sendiri, melepak dengan rakan yang kita senangi dan boleh masuk kepala senang cakap. Saya tidak betah untuk mencari krisis yang tidak berkesudahan. Namun sekarang, saya tahu saya diuji. Diuji kerana mungkin saya berada di posisi yang salah. 

Beberapa hari lepas, saya menaikkan 2 status mengenai hal tempat kerja [tulisan tu dah habis berlapik]. Sebetulnya, saya tiada masalah langsung dalam hal ini kerana saya adalah badan yang berkecuali. Tidak terbabit dengan sesiapa, pegawai Alhamdulillah sangat baik, terlampau baik boleh saya katakan. Rakan sekerja dalam bahagian saya pula ok. Tiada masalah. 

Namun, apabila kita berkawan, masalah kawan adalah masalah kita juga. Mereka memendam emosi, saya tahu kerana mereka berkongsi rasa dengan saya. Namun apa yang boleh saya lakukan sebagai rakan? Sejujurnya, saya adakala letih dan ingin lari daripada permasalahan ini. Sepanjang saya berkerja, saya fikir inilah keadaan yang sangat meletihkan fikiran saya. Ingin saja saya lari dari semua ini. Eceh eceh. Padahal tak perlu fikir pun. Tapi itulah, cubit paha kiri paha kanan pun terasa. Kerana itu saya memang diuji dengan keadaan. Jika mereka yang betul-betul kenal dengan saya, mereka dah tahu saya ini bagaimana. Hal-hal yang remeh sebetulnya bukan keutamaan saya. Masih banyak hal penting yang perlu saya utamakan.

Kamu yang baca tentu penat kan? Maafkan saya. 

Cuma, menurut pemerhatian saya sebagai pemerhati luar ini. Tak kira kita berada di peringkat mana, jangan atau elakkan sikap tidak berpuas hati terhadap rakan sekerja tanpa sebab. Perkara ini agak rumit apabila si Nona Manis boleh lakukan apa sahaja, namun si Ice Blended tidak boleh. Si Ice Blended sentiasa dipantau sedangkan si Nona Manis lepas bebas [saya selalu katakan kepada si Ice Blended bahawa si Nona Manis ini sangat bernasib baik. Allah bagi nikmat yang banyak kepadanya]. Saya yang melihat ketidakadilan kepada si Ice Blended ini dalam beberapa perkara yang terang lagi jelas. Dan yang penting saya melihat dengan mata saya sendiri. Hasrat hati adakala ingin bersuara. Tetapi layakkah saya bersuara? Jika bersuara perkara yang benar, apa pula pandangan rakan-rakan yang lain? Pengkhianat? Pengadu domba? Sibuk hal orang lain? Saya tidak pasti, kerana itu saya hanya mampu meluahkan 2 status di facebook. Itupun secara kiasan. walaupun hati dah geram benar! Tumpang geram. 

Selalu saya katakan pada si Ice Blended, jika saya tidak berkawan dengannya, dah tentu saya tidak perlu memikirkan hal ini. Saya serius mengatakan hal ini kepadanya kerana saya sebenarnya tersepit dan muak. Kalau nak tahu, si Ice Blended ini sangat baik dan dia bukan orang yang aktif di facebook, tiada sesi luahan perasaan di media sosial. Paling teruk, dia akan luahkan kepada kami. Itu sahaja. Kerana itulah, saya tanpa dipinta oleh Ice Blended ini, membuat status kerana hanya itu sahaja yang mampu saya tolong. Tolong luahkan bagi pihak dia.



Saya berharap, dengan kedatangan tahun baru Islam ini, saya tidak lagi terlibat tanpa sengaja di dalam perkara-perkara yang sebenarnya membuang masa kita. Adakala perkara itu sangat remeh dan tidak sesuai untuk kita layan. Di dalam hidup kita, banyak lagi perkara pokok dan besar yang perlu kita beri perhatian. Apa tujuan kita hidup? Apa pengisian kehidupan kita? Pada peringkat umur macam ni, apa yang kita nak buat? 5 atau 10 tahun lagi apa kita nak buat, apa perkara yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan nilai tambah dalam diri kita? Apa yang ingin kita tinggalkan kelak? Masa makin laju meninggalkan kita, kita pula letih memikirkan perkara remeh hingga merugikan. Saya sebolehnya tidak mahu di dalam kamus hidup saya, dihiasi dengan perkara sebegini.

Semua orang tahu, hidup ini bukan setakat di sini sahaja. Bukan setakat memendam rasa dengan rakan sekerja. Tidak. Itu hanya picisan yang saya kira bukan tujuan hidup kita. Namun, dengan keadaan sekarang, kita banyak habiskan masa di pejabat dan tidak boleh tidak, mesti ada sedikit krisis. Sebolehnya, dah tentu kita inginkan suasana yang lebih harmoni. Ah! Saya rindukan akan waktu lalu ketika berada di dalam bilik kecil, buat kerja, makan dan balik kerja.


Setiap orang mempunyai perancangan dalam hidup. Tidak kira perancangan itu berjalan lurus atau tidak, kita tetap perlu merancang. Jika gagal? Tidak mengapa. Ini pendapat saya sahajalah. Bagi saya tidak mengapa jika gagal, namun sekurangnya kita telah merancang dan mungkin perkara itu belum dapat direalisasikan sekarang. Akan datang? Kita tidak tahu kan?



Dalam diri  kita, ada perangai buruk yang kita rasa perlu ditinggalkan seiring dengan usia kita. Saya fikir, suasana yang lebih aman menghiasi diri ketika saya belajar dahulu bersama rakan-rakan teman sebelajar. Sekarang, adakala diri ini terperangkap dengan masalah budak-budak sekolah menengah. Lebih kepada kebudak-budakan. 

Saya selalu berdoa dan yakin, tentu si Ice Blended akan menemui sinar di akhirnya. Sekarang, bertahanlah untuk seketika.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.