Thursday, November 3, 2016

Barang Dapur

Berita kenaikan harga minyak agak mengejutkan. Minyak kereta dan juga minyak masak. Sejak beberapa bulan ini, pembelian barang dapur saya ambil alih kembali daripada abang 2 saya. Sebelum ini saya beli, lepas tu abang 2 ambil alih dan saya banyak ngelat. Haha. Selepas itu, saya mengambil semula tanggungjawab ini dari abang 2.

Pertamanya kerana kasihan kat dia. Dah banyak sangat tanggungjawab dia terutama rumah yang sedang dibinanya.

Dulunya saya hanya membelanjakan sekitar RM200 dan kemudian saya bajetkan RM150 sahaja untuk pembelian barang dapur. Namun sekarang, tidak lagi. Setiap kali membeli barang dapur, apabila cashier mula scan barang, jumlah perbelanjaan biasanya akan mencecah RM100 > RM150 > RM200 > RM300 dan akhirnya akan terhenti pada RM300+.

Ini tidak termasuk pembelian minyak, bawang yang selalu sangat tiada stok dan kalau bawang biasanya tak elok. Juga tidak termasuk  susu, pampers kerana ini memang tidak termaktub dalam pembelian saya. Hehe.

Namun yang saya perhatikan. Nilai mata wang kita semakin mengecil. Barang pula makin mahal. Dengan pelaksanaan GST, saya nampak harga barang yang tak perlu GST pun terkena tempias. Sebagai contoh macam telur asin, telur ayam kampung, sup bunjut atau tepung gandum. Ini semua adalah kadar sifar % GST. Namun adakah ia betul-betul sifar? Pemerhatian saya ialah TIDAK. Kenapa? Biasanya di negara kita. Selalu sangat ada kesan domino. Satu jatuh akan timpa menimpa yang lain. Naik satu dan dalam masa sama semua yang lain akan naik. Kebiasaan yang selalu terjadi di depan mata kita.

Percayalah. Jika GST dihapuskan [dalam mimpi kot], harga barang tetap akan kekal seperti biasa. Tak mungkin harga akan turun. Kita pula dalam keterpaksaan terpaksa menerima keadaan ini dengan ketidakrelaan. Apakah ini adil? Bagi saya, Alhamdulillah. Saya masih mampu namun tetap membuat perbandingan harga. Manakah tempat yang lebih murah. Ketidakadilan ini saya tujukan kepada mereka yang tidak mampu.

Di saat kita membeli harga barang dapur dengan meletakkan bajet RM200 atau RM300 atau berapa pun. Percayalah, masih ramai lagi dikalangan kita meneruskan ikhtiar hidup di zaman ini untuk mencari RM200-RM400 setiap bulan demi kelangsungan hidup mereka. Berapa pula peruntukan yang boleh mereka agihkan untuk perbelanjaan dapur mereka? Di saat kita dapat menghulur wang RM50 tanpa rasa beban, saya percaya masih ramai lagi di luar sana tergigil gigil untuk menggunakan RM50. Betapa bagi mereka RM50 itu umpama RM500. Sudah tentu perkara ini sangat menyebakkan perasaan. Tidakkah kita mampu melihat mereka di dalam keadaan sebegitu? Tidak sanggup!. Sangat tidak sanggup untuk melihatnya.

Apa yang pasti, di zaman ini masih ada lagi pelajar yang memakai kasut yang dah koyak rabak. Berlubang tapaknya! Sedih tak terkata melihat pelajar berkenaan begitu. Perkara ini adalah kisah benar di bekas sekolah menengah saya. Di zaman ini! Bayangkan keperitan yang dilalui oleh sesetengah orang. 

Namun apa daya kita? Kita sendiri dalam keterbatasan untuk menolong. Pernah makan sardin tak? Semasa belajar dulu, pernahlah makan sardin. Mudah nak masak ketika di rumah sewa. Arwah mak saya sendiri pernah cakap 'sesusah kita, tak akan beli sardin'. Kerana kami lebih prefer ikan segar yang dibeli kat pasar. Kat rumah seingat sayalah kan, tak pernah kot arwah mak beli sardin. Ketika itu sardin adalah makanan orang susah. Namun keadaan dah berubah sangat drastik. Sardin untuk 1 tin yang besar harganya dah RM8 lebih. Itu yang dibeli adik 3 saya baru-baru ini. Kata kakak ipar 2 saya, sardin bukan lagi makanan orang susah tetapi makanan orang senang. Bayangkan keadaan ini.

Betapa kita perlu membaiki semula keadaan dengan mengawal kewangan negara. Semua rasuah serta ketirisan perlu dibendung dan diperbaiki segera. Satu-satu jalan keluar yang saya nampak ialah kawalan diperingkat bawah. Mengawal harga barang. Walaupun ia dah menjadi rumit lagi sukar, namun kita perlu lakukan jua.

Barang dapur pula, nak tak nak kita perlu beli. Jimat dah tentu perlu jimat. Benar dan tiada penafian yang boleh diperkatakan bahawa kita berada di zaman yang menggigit!


No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.