Friday, December 16, 2016

Oh! RELA vs Viral

Baru-baru ini, saya ada terbaca mengenai satu kes viral mengenai seorang anggota Rela yang dikatakan tidak membenarkan seorang peniaga untuk masuk dan kena parking kat luar untuk hantar barang. Post tersebut dishare dengan pantas dan merebak. Ironinya, menggunung pelbagai komen yang sangat negatif. Ya Allah, sangat menyedihkan perasaan.

Komen yang dilontarkan rata-ratanya menyebelahi peniaga perempuan tersebut yang dikatakan ingin  buat program dakwah. Saya sebagai pembaca hanya membaca namun di dalam hati terasa sangat sedih. Rasa sangat jari nak menaip untuk hentikan semua kata-kata negatif yang saya kira terlebih negatif itu. Namun akal mengatakan JANGAN! kerana kita akan terbuai dengan emosi lantaran akan ada balasan demi balasan komen daripada pelbagai jenis pembaca yang pemikiran mereka tidak sama dengan kita. Setiap orang ada pendapat masing-masing. Lebih-lebih lagi di dalam page sebegitu.

Betapa masih ramai orang kita hanya suka mendengar, membaca seterusnya mempercayai bulat-bulat hanya daripada satu pihak. Kita hanya membaca cerita luahan daripada peniaga perempuan ini. Namun kita tidak mendengar penjelasan atau cerita sebenar daripada pakcik Rela tersebut.

Adilkah kita untuk menghukum, menghentam, menghina individu ini yang dia sendiri tidak tahu kisahnya menjadi viral hampir segenap pelusuk media sosial? Keadaan ini membuatkan saya terbayangkan seolah-olah ada seorang pembawa berita membacakan berita tentang si Mangsa. Kita yang menjadi pendengar lantas terus menembak si Mangsa ini yang mana mulutnya ditutup, tangan diikat. Adilkah untuk kita berbuat demikian tanpa memberi ruang dan peluang untuk si Mangsa memberikan penjelasan?

Ya. Itu hanya bayangan saya sahaja. Namun itulah yang berlaku sekarang. Jikalau peniaga itu ingin bercerita mengenai kekesalannya kerana tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam kawasan bagi menghantar barang niaganya. Itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi isunya ialah tergamak beliau meletakkan gambar petugas Rela tersebut tanpa diblurkan. Jika ingin jadikan insiden itu sebagai pengajaran, boleh sahaja peniaga itu tutup sedikit wajah petugas tersebut. Ceritakan kisah yang boleh kita jadikan iktibar. Saya juga pernah meluahkan rasa hati apabila terjadi sesuatu insiden yang mengundang amarah dalam diri. Namun kita perlu menapis mana yang perlu untuk jadikan kisah itu iktibar atau sekadar luahan yang tidak memerlukan komen yang tidak perlu!. Saya yakin mereka yang dah terbiasa dengan kerja dakwah, sudah tentu tahu untuk olah cerita agar dijadikan tauladan bukan untuk menarik pembaca bertukar menjadi penghentam menghentam seseorang itu.

Saya melihat isunya di sini ialah ekoran ketidaktepatan waktu oleh peniaga. Saya tidak pasti apakah perasaannya apabila melihat semua orang menyokong tindakannya dan mengutuk dengan bertubi-tubi petugas Rela tersebut. Amankah rasa hatinya? Lenakah tidurnya? Bagi saya, ia sesuatu yang sangat besar kesannya. Mungkin untuk seketika kita berasa menang. Namun kita mungkin lupa, tidak selamanya kita akan menang. Tanpa sedar kita berdosa dengan orang yang tidak pernah kita kenal ini. Masakan tidak, dengan tulisan kita menghadirkan tentera-tentera penghukum maya yang tanpa simpati mengeluarkan ayat-ayat yang sangat meluluhkan perasaan. 

Tenatnya dunia sekarang. Kita bergaduh tanpa perlu keluar dari rumah. Kita bergaduh menghina orang lain tanpa pernah berjumpa dengannya. Kita bergaduh hanya dihujung jari. Begitulah kita tanpa sedar telah ditarik dengan kuasa media sosial. Hinggakan lupa menjaga diri, menjaga akal, menjaga jari sekaligus menjaga hati daripada berbuat perkara yang tidak perlu. 

Petugas Rela itu hanya tidak membenarkan perempuan itu masuk ke bahagian dalam [khemah]  untuk turunkan barang niaga. Maksudnya perempuan tersebut perlu mengangkat barang dan mungkin agak jauh baginya sementelah dia perempuan dan stafnya tidak ramai. Namun dia kena ingat, puncanya kerana dia sampai satu jam lewat untuk persiapan booth. 

Melihat kepada gaya penceritaan kita dah boleh nampak salah itu puncanya dari mana? 

Yang ini menjaga tugasnya, yang ini mempunyai kepentingannya sendiri. Kita? Kita pula tidak berada di situasi itu, yang hanya membaca. Tak perlu hentam tak perlu menghina tugas Rela. Rasanya tak perlu kot menulis melebih-lebih. Remain silent itu yang terbaik kerana mungkin kita akan tersalah tafsiran.

Tak bolehlah orang tu salah mungkin 3 hal, kita balas dengan beribu komen yang teruk. Memang pakcik tu tak akan menang. Namun tak mengapalah. Siapa yang salah, siapa yang betul. Secara tepatnya kita tidak tahu. Namun tidak salah untuk memohon maaf kepada petugas Rela tu atas isu viral yang tidak mungkin dapat kita padamkan semula. 

Untuk kita pula, Ambillah iktibar. Jaga jari. Mungkin Allah ingin duga kesabaran kita. Tidak berlaku semua ini tanpa izinNya.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.