Thursday, December 29, 2016

Overtime

Nak tulis di instagram rasa macam tak privacy. Nak tulis di facebook rasa tak best. Macam open sangat. Maka kita tulis kat sini ajelah. Kat MPS ni jugalah saya duk bertenggek. Menumpang privacy. Kat sini kita tak tahu siapa yang baca. Kat blog tak ramai yang menyinggah dan yang penting, mungkin kita tak saling mengenali pun. Itu lagi selesa sikitlah nak menulis.

Agak personal penulisan kali ni. Entah bila tak personal pun, tak tahulah. Keh keh keh! Beberapa hari lalu, sempat ambil kesempatan untuk claim overtime. Sebetulnya, tak sedar langsung ada arahan ot masuk kat dalam emel. Ini dah bulan 12. Arahan adalah untuk bulan 11. Masih sempat nak claim.

Buka bahagian kewangan. Klik mana yang patut, masukkan waktu dan tugasan. Saya tengok pada angka ot yang bakal kita dapat. Wow! Banyaknya. Ehem. Tafsiran banyak bagi saya mungkin tak sama dengan kalian. Bila saya lihat angka tu, saya rasa macam dah kaya giler! HAHA. Rasa macam banyaknya duit. Astaghfirullah. Baru tengok angka, belum lagi pegang duit. Terus keluar $$$! Nasib baik sedar diri. Kalau diikutkan kegirangan kat hati yang tak terperi ni, mahu lupa diri!

Sebetulnya saya baru perasan dan sedar. Selama ni macam tak sedar dan tak ambil berat. Tak pernah
nak cakna dengan sepenuh hati dan jiwa. Nak dijadikan cerita, claim tu untuk 2 hari. Angka yang bakal kita dapat mungkin dalam ratus. Jangan bayangkan RM400-RM500++ dan ke atas. Jangan! Kerana angkanya sikit je tapi banyak bagi gwe. Tak lebih dari 350 ke atas pun. Cukup untuk beli barang dapur secara bijak. Makanya sudah tentu bawah lagi dari angka di atas tu. Adalah seratus dua. Bagi saya dah banyak ni, dah memadai sangat even angka ni macam sikit je bagi sesetengah orang. Yelah, kadang kalau orang tu gaji besar, angka ni macam tak bagi kesan sangatlah pada mereka.

Pada saya, angka ni dah banyak sangat untuk 2 hari. Dan saya terfikir satu perkara. Betapa mudahnya kita untuk dapatkan duit extra. Ya, saya tahu ini memang layak untuk di tuntut oleh kita. Dah kita buat kerja kan? Namun bukan itu soalnya.

Soalnya ialah senangnya nak dapat duit. Faham tak? Kita hanya datang buat kerja dan claim. Dapatlah ot. Ini tak termasuk gaji tetap kita. Ot ni boleh diibaratkan hanya nasi tambah. Kata orang, dah kenyang dengan sepinggan nasi, kalau masih nak tambah tak ada masalah pun. Memang terhidang dan tunggu nak cedok je.

Apa yang membuatkan saya terfikir tentang hal ini ialah kemunculan pakcik-pakcik penarik beca yang menunggu pelanggan. Bayangan ini muncul di minda. Tak suruh muncul pun. Tapi dia muncul sendiri. Saya melihat angka tersebut dan saya tak boleh menepis perasaan ini. Kita mungkin agak mudah untuk mencari sumber kewangan, namun di masa yang sama. Masih ramai orang di luar berkerja keras demi mendapatkan seratus, dua ratus ringgit untuk kelangsungan hidup. Seorang penarik beca mungkin menghabiskan sisa-sisa tenaga mereka dengan peluh yang memercik  di dahi. Letih tubuhnya mengayuh demi mendapatkan imbalan. Mungkin apa yang mereka dapat hanya seratus atau dua ratus dengan memakan masa seminggu. Saya mengambil masa mungkin 2 hari sahaja.

Rasa agak sukar saya jelaskan perasaan ini. Harapnya kalian faham arah tuju dan maksud tulisan ini. Rasanya saya tak tersasar jauh untuk membawa pengertian rasa jiwa ini.

Saya hanya menunggu angka ot masuk di dalam bank. Jika saya teruskan permohonan ot ini hingga akhirlah. Setakat ini tak proceed pun lagi. Manakala pakcik penarik beca, dah tentu mereka akan mengira duit yang mereka dapat itu di tangan mereka.

Pastinya mereka akan mengira helaian demi helaian. Mungkin warna biru lebih banyak dari not hijau. Mungkin not hijau lebih banyak dari not merah. Dan saya pasti jarang sekali not ungu berada di telapak tangan mereka. Saya pasti kerana tambang beca bukannya beratus-ratus ringgit. Dah tentu mereka mengira duit termasuk syiling-syiling untuk mengenapkan sesuatu jumlah.

Kenapa perlu semua ini muncul dalam fikiran eh? Kerana mungkin saya ni selalu lupa. 

Kerana Allah nak ajar saya supaya menghargai dan mensyukuri setiap nikmat yang saya ada. Syukuri apa yang dipinjamkan kepada saya. Untuk menyedarkan hati bahawa masih ramai orang di luar sana memikirkan apa alternatif untuk mendapatkan duit. Mungkin kita tak kisah, namun masih ramai yang kisah!

---
Aku.
Yang dulu juga begitu.




No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.