Tuesday, February 23, 2016

Kaunter 8 Barang SAHAJA

Sebetulnya, saya sendiri tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Jadi, saya berfikir dan habis berfikir mengenai perkara ini. Akhirnya, saya ambil keputusan untuk menulis juga mengenai perkara ini.

Saya tidak pasti andai anda pernah ke supermarket atau mana-mana mall dan membeli hanya beberapa barang sahaja di dalam kadar 10-1 barang sahaja. Nak dijadikan cerita, pada cuti Raya Cina yang lalu, saya bersama segerombolan anak-anak buah dan kakak ipar 1 telah keluar ke Giant.

Oleh kerana perut dah terlalu lapar [padahal sebelum tu dah makan], saya membuat keputusan untuk membeli 1 pek roti. Ala-ala roti boy, tapi bukan. Roti ni menjadi pilihan saya lebih-lebih lagi ketika masih panas. Sedap!

Saya ambil 1 pek roti dan terus menghala ke kaunter.

Di depan saya kelihatan beberapa orang beratur di kaunter ekspress 8 barang [sahaja]. Jadi sambil-sambil beratur, saya duk berkira-kira bila giliran saya. Ketika itu, saya perasan 2 wanita di depan saya dengan troli yang separa penuh dengan barang.

Hati dah tak berapa nak sedap. Sebabnya, barang dia tu dah melebih sangat. Ketika kami sedikit demi sedikit berganjak ke depan, saya memberanikan diri untuk bertanya kepada salah seorang wanita tersebut.

Saya : Err kak, rasanya ni kaunter untuk 8 barang je.
Wanita : Barang untuk 2 orang.




Fine! Dia menjawab barangan untuk 2 orang. Jadi saya boleh terima lagi, kerana saya dan sepupu selalu juga share troli dan apabila membayar, kami siap-siap asingkan barangan kami dengan kuantiti yang cukup. Makna kata, kalau 8 kami akan pastikan tak lebih dari 8 bagi setiap diri kami. 

Saya membilang barangan di dalam troli [secara sekali lalu]. Barangan kecil-kecil macam jeli untuk buat dadih agar-agar tu pun dah 2 3 dah. Rasanya lebih dari yang sepatutnya walaupun mereka berdua. Saya menegur lagi beliau:

Saya: Tapi ni kak, lebih ni.
Wanita : Sikit je, sikit je. 

Wanita itu menjawab sambil tangannya terus meletakkan barangan di atas kaunter.

Jikalau mengikut rasa tidak sabar dan geram dengan jawapan beliau. Nak aje saya bertegas dengan adik kaunter tu 'kira sampai 8 aje dik, baki yang lain suruh dia beratur'. Tapi kata-kata tu saya simpan dalam kepala aje.

Saya hanya bertanyakan kepada adik kaunter tu 'dik, kaunter ni untuk 8 barang sahaja ke macam mana?'. Adik tu menjawab '8 barang je kak'. 



Lalu, adik kaunter tu bercakap dengan nada perlahan [mungkin takut] yang kaunter ni untuk 8 barang aje. Bila barang dah melebih, orang akan marah kat saya'. Wanita tu senyap buat tak tahu aje.

Sebetulnya, perasaan geram saya tu akan menurun dengan mendadak sekiranya wanita berkenaan menyatakan permohonan MAAF atau apa-apa. Jika wanita tu cakap 'maaf ya, akak nak cepat ni'. Saya tak kisah. Ini kita dah tegur elok-elok dijawabnya barang berdua. Bila ditanya lagi dijawabnya 'sikit je, sikit je'.

Bukan soal sedikit atau banyak. Namun soalnya adalah ini kaunter 8 barang je. Kalau lebih 1 pun saya tak berkira. Ini kami kat belakang duk menunggu barangan mereka di bayar. Lagi saya bengang saya nak bayar 1 pek roti je. Satuuuuu je. Fuh! Memang sangat menguji kesabaran di waktu perut lapar. Haha.

Dah buat salah, boleh lagi buat selamba macam tak ada perasaan. Saya ketika itu, sengaja mengeluarkan handphone buat-buat ambil gambar mereka [last, memang saya ambil!]. Namun bukan perangai saya, nak dedahkan wajah mereka kerana bagi saya kita sendiri ada aib kita. Emosi masih dapat dikawal. Haha! Jadi rasanya tak perlu nak dedahkan wajah, yang saya nak fokuskan di sini ialah perangai kita yang selalu ambil ringan mengenai perkara ini. Mungkin kita rasa takpe, namun orang yang beratur kat belakang, kita tak tahu mereka tengah nak cepat ke apa. Yelah, kaunter ekspress biasanya untuk mereka yang membeli dan membayar dalam masa yang terpaling cepat. 

Selepas mereka selesai membayar, adik di kaunter tu bagitahu kepada saya 'dah ada peringatan untuk 8 barang, tapi dok tau ar dok reti baca ke gane. Biasa orang akan marah ke kita'. Saya kasihan juga pada adik tu, cuma mungkin kena lebih tegas di lain masa agar peringatan tu diaplikasikan. Jika tak, dah tentu pengguna yang datang lebih gembira dan senang untuk membeli dan membayar. Tak adalah, tiba-tiba hati mendidih padahal datang nak membeli je pun.

Konklusinya, jangan terlalu pentingkan diri sendiri. Peringatan khidmat komuniti ini untuk saya juga.




Thursday, February 18, 2016

Edisi Dapur : Kebab Ayam

Semester baharu [masih tak pandai nak bezakan antara baru dan baharu] dah dibuka pada minggu ini. Nak cakap sibuk, tak sangat. Biasa-biasa aje berbanding dengan semester-semester yang pernah dilalui.

Pada malam ini, marilah kita sama-sama masuk ke dapur di bulan Januari yang lalu. Oleh sebab perut dah tiada penghuni, maka kelaparan mengambil tempat. Lapar. Melihat semula topik yang perlu saya kongsikan di sini, membuatkan rasa ingin makan lagi dan lagi Kebab Ayam ini.

Tak tahulah apa nama yang sesuai yang patut saya letak pada resepi ini. Bukan resepi sangat pun. Jika kita penggemar kebab, rasanya tak salah kalau kita mencuba resepi ni. Nak beli kat luar mahal. Separuh keping kebab dah RM4. Bayangkan jikalau anda mempunyai rakyat yang ramai. Rakyat saya memang ramai, tak terdaya kalau asyik nak melabur wang kat pasar malam semata-mata kerana kebab.

Sebetulnya, plan dihati nak buat chicken wrap tapi saya tak beli wrap tu. Jadi kita buat kebab ajelah. Panjang pula menulis. Padahal nak buat kebab aje. Bukan kebab betul-betul pun. Ala-ala aje. Resepi ini ringkas lagi cepat!

Bahan-bahan Kebab Ayam:



1. Seperti yang tertera di atas. Saya gunakan sos salad. Boleh aje gunakan mayonis jenis lain.
2. Sos cili [tiada kelihatan di dalam gambar].



3. Saya beli sayur-sayuran campuran. Senang sebab sekaligus, tak adalah yang tertinggal.

Err, ini kita panggil sayur-sayuran ke eh? Soalan ini serius.



4. Ambil sos salad tadi, terus tuang mengikut citarasa kita kat dalam semua sayur ni. Lepas tu gaul sampai sebati.




5. Ini roti pita yang saya gunakan. Yang nampak macam dah terusik tu, sebab saya tak tahan nak menunggu. Sambil-sambil masak, saya 'kekoh' lah sikit-sikit. Lembut roti dia. Sebetulnya, esok roti tu dah nak expired, barulah terhegeh-hegeh nak buat. Kalau expired tahun depan, tak tahulah bila dapat dimasaknya. Beli rajin, buatnya hehehe. Vitamin M.

*Kekoh adalah gigit. #maribelajarbahasaterengganu



6. Goreng tanpa minyak chicken loaf yang dibeli dari Ramly. Tapikan ia agak masin sedikit, padahal kita tak tambah apa-apa pun. Setakat masak macam tu je. Saya fikir, Ramly perlu kurangkan garam. Tak elok untuk kesihatan kerana masinnya tu agak ketara. Tak tahulah kot saya terlebih emosi di dalam merasa.






7. Apabila semua dah siap, dah masak. Silalah ambil pita dan sumbat semua bahan-bahan yang telah kita gaulkan tadi [refer nombor 4]. Kepingan ayam tu, saya potong kecil-kecil. Senang nak makan. Tambah sos, sumbat lagi dan lagi. Siaplah Kebab Ayam ni.  Anggap ajelah, kepingan ayam tu adalah ketulan-ketulan ayam yang besar. Haha.




Ya, saya tahu menu ni simple sangat-sangat. Tapi jika tiada kemahuan, tidak akan terhasil menu ini. Nak kongsi resepi Nasi Dagang, kita ni tak pandai. Setakat share resepi kanak-kanak riang macam ni, mampulah. Haha.

Gelak-gelak juga. Resepi ni berkhasiat tau. Sayur, karbohidrat cukup lengkap. Kalau tak masin, memang dah sempurna! Daripada kita duk kasi anak-anak buah kita makan jajan, adalah lebih berpekerti mulia andainya kita hidangkan mereka dengan Kebab Ayam. Tak pun sebagai bekalan untuk ke sekolah. Haa, tak adalah sengsara sangat mereka duk membeli makanan entah apa-apa kat kawasan sekolah. 

Yang pasti. Sedap! Kalau tak puji, siapa lagi nak puji. Hehe.



Thursday, February 11, 2016

Random

1. Patutlah sebelum ini beria cerita pasal basikal Afiq. Rupanya, beberapa hari yang lepas adalah hayat terakhir basikal biru itu sebelum musnah dilanggar oleh kereta saya. Sungguh tak perasan basikal tu berada di laluan saya. Sungguh! Semasa tayar melenyek sesuatu, bunyinya agak keras! Namun masih tidak dapat menduga apakah benda yang saya langgar.

Sekilas pandangan, sikit aje. Langgar tayar basikal je. Rupanya, habis patah komponen penting di tengah-tengah tayar. Sedih dan rasa bersalah pun ada. Basikal tu adalah pengangkutan utama Afiq untuk pergi mengaji.

Mana mungkin saya ganti basikal baru, dia dah ada yang baru. Kasihan betul kalau fikir secara mendalam. Huhu. Tiada lagi kenangan basikalnya semasa kecil. Haish!

Nantilah saya upload gambar tu. Yang paling sedih bilamana Afiq bagitahu saya, basikal Afiq rosok doh. Saya jawab boleh naik lagi, boleh baiki lagi. Dia jawab dokleh doh. Afiq sambung lagi dakpe ar, Afiq ada basikal baru doh.

Dia tak tahu mak saudara dia yang melenyek basikal dia. Maaf!

2. Kalau sesiapa yang follow IIUM CONFESSIONS, tak tahulah jadi macam saya ke tak. Saya memang pengikut page tu. Dah jadi rutin setiap malam sebelum tidur, saya akan baca pengakuan mana yang menarik hati. Mana-mana pengakuan yang biasa saya akan skip [mengikut persepsi saya]. Biasanya saya suka membaca pengalaman, benda-benda yang saya rasa menarik. 

Jika cerita mistik, memang saya akan skip. Haha. Biasanya akan dibaca pada siang hari. Pernah sekali tu, banyak sangat cerita mistik, cerita kawan-kawan psiko. Kita yang pernah tinggal di kolej ni, memang terdetik lah 'pelik juga rupanya ragam kawan-kawan sebilik ni eh. Alhamdulillah masa belajar dulu tak ada kawan macam ni semua'. Bukan apa, takut. Hehe.

Banyak juga pengajaran yang kita dapat ambil dari pengakuan mereka tu. Kebanyakan mereka adalah pelajar UIA atau UA lain. Dan ada juga bukan pelajar yang confess kat situ. Malam tadi, terbaca pasal seseorang ni yang kehilangan ayah dia. Sedih. Menangis juga bacanya. Cumanya apabila baca komen, cakap macam drama. Haha. Saya rasa biarlah kalau dia drama pun. Yang pasti cerita dia berjaya menyedihkan dan memberi insaf kat saya. 

Bila kita baca pengakuan mereka kan, rupanya banyak lagi mereka yang menghadapi masalah yang bermacam ragam. Sebab itulah kalau kita rasa kita ada masalah, yakinlah ramai lagi orang di luar sana ada masalah seperti kita. 




Thursday, February 4, 2016

Pelumba Basikal Junior

Melihat memori semalam cukup membuatkan kita tersenyum. Melihat apa yang ada di depan kita sekarang ni, laaagiii buat kita tersenyum. Okay, 2 entry cerita pasal susah payah Afiq belajar basikal semasa dia kecil.

Satu hari tu, kebetulan saya cuti. Kakak ipar 2 ada kat rumah. Saya mengekori Afiq dari belakang. Dah menjadi kebiasaan Afiq pergi mengaji ke rumah jiran belakang rumah. Kalau naik basikal dalam 5-7 minit bergantung kepada basikal Afiq. 

Basikal yang dinaikinya dari kecil ni kan, sebenarnya ada mengalami kerosakan. Adalah menjadi kebiasaan apabila basikal ini dikayuh, ia akan terhenti/tersekat secara tiba-tiba. Namun disebabkan Afiq dah biasa dengan basikal ni. Dia akan berhenti dan undur ke belakang sebelum memulakan perjalanan semula.

Apabila saya mengekori dia pergi mengaji, nampak susah payah dia mengayuh. Haha. Sekali tengok kesian, sekali tengok. Biarlah dia rasa susah. Kakak ipar 2 cakap, mereka sebenarnya dah merancang untuk membeli basikal baru kepada Afiq. Cuma masih belum masanya. 



Ketika saya dah sampai selang sebuah rumah tempat yang ajar mengaji tu, saya diminta untuk tunggu dia. Jadinya, saya tunggu Afiq di bawah pokok. Tunggu ajelah melangut. Selang 10-15 minit selepas tu, dah siap mengaji maka Afiq sambung mengayuh lagi.

----------

Semasa bulan Disember lalu, abang 2 saya mengambil keputusan untuk belikan basikal baru untuk Afiq. Sekarang, Afiq dah besar. Dah 4 tahun 9 bulan. Bulan 5 nanti genap 5 tahun.





Nah, video terkini Afiq. Video ini diambil oleh abang 2 saya ketika mereka berada di rumah mak saudara Afiq [adik kepada kakak ipar 2]. Dah tiada kayuhan separuh, dah tiada kayuhan arah belakang [apa kes kayuh belakang Afiq? Haha], dah tiada kayuh pelan-pelan. Sekarang kayuhan dah laju. Sentiasa berlatih dengan walidnya di waktu petang.

Basikal kecil warna biru masih menjadi pilihan hati. Setakat main untuk lasak-lasak, sementara basikal baru setakat ini memang dijaga dengan baik. Hanya dibenarkan naik ketika mereka pusing di waktu petang dekat stadium, berlatih ke rumah Baihaqi atau berlatih di hujung kampung. Selepas habis bermain, basikal baru akan dibawa masuk dalam rumah. Hehe.

Kerana itulah bagi saya, basikal biru ini mempunyai sentimental value tersendiri buat Afiq dan bagi kami.



Tuesday, February 2, 2016

Latihan Kayuhan Basikal

Sebelum ini saya banyak bercerita di dalam bentuk tulisan. Dah lama nak letak visual agar lebih real apabila dibaca dan dilihat. Pada beberapa malam sebelum ini, keberanian akhirnya menjelma. Haha. Tak berani nak upload berkongsi video di youtube. Jika yang kenal rapat dengan saya, dia akan tahu bagaimana tapisan saya.

Yelah, sekarang ni kan kita perlu berhati-hati. Batas sempadan media sosial, perlu kita gunakan dengan bijak. Jangan sampai semua benda kita cerita hingga melucutkan perasaan malu. Bercerita, berkongsi boleh. Tak salah, namun dengan kadar dan selari dengan norma-norma kehidupan kita yang bermasyarakat.

Akhirnya, selepas ditapis. Terimalah video kedua ini.



Abang 2 gigih memberi latihan kepada Afiq agar dapat melakukan kayuhan sempurna. Padahal bukan nak masuk olimpik pun. Tapi lebih kepada geram kerana bagi kita orang dewasa 'kayuh je lah'. Bagi budak kecil, nak kayuh pun tak pandai walaupun kita dah bagi sepenuh arahan. Hehe.

Dalam pada itu, sempat juga Afiq tunjuk peace. Rasanya dengan umur Humaira sekarang, dia tak berapa suka bergambar. Tak berapa sangat dengan video. Ambil gambar tetap ambil, cuma Humaira berbeza sikit dengan Afiq. 

Jom nonton!