Tuesday, June 28, 2016

Si Denny Dazzle

Tipulah kalau perempuan tak suka kasut. Cuma bezanya berapa kali dalam setahun kita laburkan duit untuk membeli kasut tu.

Saya selalu kecundang di dalam bab kasut. Selalu tewas selalu kerugian selalu terjerumus ke lembah pembaziran. Paling akhir adalah membeli kasut jenama bata. Dan Alhamdulillah, setakat ini sangat berjasa. Rasanya dengan usia dia yang mungkin dalam tempoh beberapa bulan ni, saya yakin dan pasti menyatakan bahawa kasut ini agak lasak.

Selalunya kasut-kasut saya akan menemui kerosakan dengan cara yang sangat cepat. Entah macam mana saya jaga, saya pun tiada jawapan. Banyak kasut yang telah dibeli namun hingga akhir, tiada. Seolah-olah semua kasut tersebut muncul di dalam mimpi cuma. Realitinya, tiada. Bukankah itu satu mimpi buruk? Memang mimpi buruk kerana kesemua kasut itu kosnya mencecah ribuan ringgit jika dikumpul.

Menyesal? Memang.

Fobia? Sudah semestinya. Haha.

Sampaikan dah naik takut nak beli kasut. Hebat penangan kasut ni kan? 

Tak tahulah nak buat macam mana. Sehinggakan saya ke Mesra Mall sememangnya untuk membeli kasut, namun apabila dah pegang kasut yang berkenan. Selalu dihantui dengan 'kasut ni kan, agaknya berapa lama dia tahan dengan aku?'. Pergilah gangguan ngeri ni. Haha.

Jika saya susun gambar-gambar kasut yang dibeli, dah tentu saya akan terus diselubungi awan kesalan. Oh tidak! Jadi buat masa sekarang, tak payah nak susun sangatlah semua gambar tu.

Ini haa, ada pula berkenan dengan kasut baru. 

Si Denny Dazzle. Ya Allah. Cantiknya! Saje lah kan pergi usha kat Clarks. Apabila melihat kasut ni, saya cuba dan selesa. Oklah untuk dipakai ketika bekerja. Harganya macam biasalah, RM369 macam tulah. Cumanya saya ini masih lagi di dalam kategori rasional di dalam berfikir dan membuat keputusan. Pembetulan. Kadang kala rasional. Hehe.

Saya fikir, takkan nak melabur sejumlah wang untuk kasut ni? Betullah kat Malaysia ni, Clarks umpama barang mewah. Padahal tak pun. Kalau kat luar negara, Clarks umpama kedai kasut-kasut biasa macam kasut Bata. Saya tahulah apabila melihat harga kat website mereka di luar negara. Eceh eceh berlagak. Bukan berlagak, tapi nyatakan perkara yang benar. Bukankah berkata benar itu lebih baik dari berlagak?



Dalam sibuk mencari Denny Dazzle, terjumpa pula dengan si Ella Lorraine. Cantik juga. Rasa nak pergi beli sekarang. Tapi tak bolehlah, jauh sangat. Kena sedar diri. Kita ni kat Malaysia, bukan di sekitar kedai Clarks di luar negara. Saje je sebut dengan kerap ayat luar negara, nak cakap murah weh harganya. Rasa tidak keruan! Rasa geramnya hati ini. Rasa nak beli.



Dah tengok dah harga dia. Kalau convert ke RM masih boleh diterima akal yang waras. RM120 macam tu jika di darab dengan RM4, atau RM160+ jika dibalas dengan RM5+. Masih mampu milik kan? Ala, sesekali membeli sebagai reward kepada diri sendiri selepas sakan berkerja. Tak salah kan? Siapa cakap salah, duit engko. Suka hati engko lah. Eh eh. Bermonolog macam nilah yang saya tak suka ni. 



Harga kasut ini di salah sebuah web kat negara kita. Pitam. Sebenarnya itu hari dah usha. Harga dia RM652. Tengok tadi, eh dah ada harga diskaun. Tapi masih lagi mahalnya! Rasanya tak sanggup nak laburkan duit sebanyak ini. Tak sanggup biar papa asal bergaya. Tak sanggup walaupun mampu namun diturutkan rasa boros itu. Tak sanggup untuk reward kat diri semberono begini. Sebab dah tahu harga dia lagi murah. Kwa kwa. Sebab itulah tak sanggup. Zaman sekarang kena pandai. Tetiba rasa nak bersyarah kat diri sendiri pulak.

Nanti-nantilah kita usha lagi. Sebab dah tengok itu hari kat facebook, direct dari UK harganya RM250. Macam oklah kan? Boleh dikatakan lagi murah compare dengan kat kedai. Namun semua itu, kita pendamkan dulu. 

Ini kerana, pada Sabtu lepas saya temankan Afiq dan Ummi dia pergi cari kasut raya. Nak tahu? Afiq hanya memilih selipar raya bergambar kartun Robocar Poli kot kalau tak silap. Dan paling saya tak silap sekali ialah harganya cuma RM6.90. Saya terpana. Dah suruh Afiq ambil yang mahal sikit sebab nak raya kan. Sesekali beli yang mahal sikit, namun dia tetap berkeras nak selipar kartun tu juga. Dan dia keriangan sangat.

Makcik dia insaf kerana makcik dia makan kfc lagi mahal dari harga selipar Afiq. Faham tak perasaan ni? Rasa nak menangis time tu juga. 




Tuesday, June 21, 2016

Ulser

Dah 2 hari anak buah si Humaira kena ulser. Mulanya saya ingatkan dia demam. Menangis hampir setiap masa. Dengan orang lain, memang dia tak nak. Biasanya orang yang dia cari ketika sakit ialah walid dan ummi dia. Mak sedara dia ni, memang dia nak sekejap-sekejap aje. Normallah kan. Kalau kita sendiri pun, kita nak dengan mak kita.

Ketika awalnya, saya ingat dia demam. Namun semasa ambil untuk dukung dia, mak oi sejuknya badan dia. Kaki sejuk, tangan sejuk, badan sejuk. Saya tanya pada kakak ipar demam ke apa? Kakak ipar 2 bagitahu yang Humaira ni kena ulser. Jadinya memang banyak benda tak boleh nak telan sangat. Mood dia pun meragam.

Makan memang sikit ajelah.
Menangis memang memanjang sampaikan bengkak mata, mata tu jangan cakaplah. Kasihan!

Kawan-kawan cakap, kalau ulser ubatnya ialah suruh budak tu makan aiskrim contoh perisa vanilla ke. Kakak ipar cuba bagi, namun Humaira tolak. Dia ni memang keras! Semangat dia tu. Urmm. Nak kata degil, urmm bukan degil. Tapi macam keras hati sikit.

Malam-malam terpaksa dibawa keluar bersiar-siar sebab nak elak dia menangis. Nak berdukung sepanjang masa. Rasa semakin kurus kakak ipar tu. Letih, kita tengok pun letih. Tapi tak berdaya nak menolong sebabnya Humaira ni tak boleh nak diagak.

Nantilah saya cerita mengenai kisah dia nak wean off dengan umminya. Kasihan sampai tak tahu nak cakap.




Tuesday, June 14, 2016

Motorsikal

Kisah 1
Beberapa minggu yang lepas, semasa saya dalam perjalanan ke pejabat dan ternampak seorang pelajar menaiki motorsikal. Tidak menjadi keluarbiasaan apabila pelajar menunggang motorsikal, namun yang menarik perhatian saya ialah pelajar tersebut berbadan besar.

Kebetulan ketika itu lampu isyarat bertukar merah, dan kami berhenti sementara lampu hijau. Perasaan kasihan tanpa diundang menerpa di dalam jiwa. Kasihan melihatnya membawa motorsikal yang saya rasa macam kecil sangat bagi saiznya. Cukup hanya untuk dia seorang, tak boleh bawa penumpang dah. Motorsikal honda cup itu dah macam, nak terpenyek. Faham tak apa yang saya rasa? Rasa belas hati apabila kita fikirkan bagaimana orang berbadan besar menjalani kehidupan mereka. Persoalan ini spontan menerpa selepas melihat pelajar berkenaan.

Dengan susah payah membawa badan [orang mengandung tak dikira eh]. Nak duduk kat kerusi, nak duduk kat dalam kapal terbang. Saya rasa kasihan. Tidak dinafikan, ada yang berbadan besar sejak dari kecil [semulajadi] dan ada yang berbadan besar apabila meningkat dewasa.

Namun kebanyakkan orang yang berbadan besar, adalah orang yang positif, riang, pandai berkawan, comel. Banyak kelebihan mereka. Ini pandangan saya berdasarkan pergaulan dengan mereka yang bersaiz besar sikitlah dari kita. Contoh paling hampir ialah sepupu saya. Bermacam produk kecantikan, nak kurus nak apa dia beli dan makan. Tapi badan dia agak sukar untuk diturunkan. Dia ramai kawan dan peramah. Cumanya, adalah sebahagian perkara yang menyusahkan diri dia. Contohnya macam nak naik kapal terbang. Haa, kat situ ada sedikit kesulitan namun boleh diatasi. 

--

Kisah 2
Pada minggu ini, kami perlu ke taklimat. Semasa kami [saya dan kawan sekerja] dalam perjalanan balik ke pejabat. Ada sebuah motorsikal berkuasa tinggi dibelakang kereta saya. Lalu kawan saya bertanya 'dok lenguh ke orang bawa motor gitu? Lengan jadi gini'. Hahaha. Sambil dia gayakan lengan tu.

Saya jawab 'mesti lenguh'. Lalu saya ceritakan kepadanya. Abang ipar 3 saya mempunyai motorsikal kawasaki ninja ke apa entah nama dia. Motor tu memang berat. Dan saya memang gelak jikalau kakak 3 saya cerita pada kami 'wape kali doh tu jatuh'. Hahaha. Betul. Berat motorsikal tu. Nak mengalihkan satu hal. Kalau dijalan berlekuk, memang terhegeh-hegehlah nak tolak ke depan. Saya pernah tengok abang ipar saya tolak motor. Tahan gelak je. Takkan kita nak tolong tolak dari belakang kan? Tak cool ar macam tu.

Itu satu hal. Jika lelaki yang berketinggian biasa-biasa aje. Urmm lelaki jikalau dalam lingkungan 170cm rasanya di dalam golongan rendah kan? Bagi sayalah. Sebab perempuan pun dah 160cm macam tinggi kan? Jadi mereka yang tinggi-tinggi biasa ni akan mengalami permasalahan untuk menongkat kaki. Haha. Saya teringat soalan kakak 2 saya 'doh, sapa dok kaki nok tongkat tu?'.

Saya yakin yang lelaki tentu tak suka apabila lampu isyarat berwarna merah. Mungkin mereka berdoa nak lampu hijau je. Yelah, tak susah mereka nak berhenti. Nak cari divider lagi nak letak kaki. Silap haribulan, terjatuh. Memang benda ni bukan main-main. Kami perempuan ni memang hanya mampu tengok tapi yang menanggung ialah lelaki.

Abang ipar saya pun macam jengket sikitlah kalau nak menongkat motorsikalnya. Bila bawa laju motor tu agak stabil berbanding perlahan [tak tahulah betul ke tak, pandangan peribadi je ni].

--

Kisah 3
Petang semalam semasa saya dalam perjalanan balik ke rumah selepas kerja. Kereta saya dilintasi 2 buah motorsikal besar. Nampak macam budak-budak lagi yang menunggangnya. Maksud saya bukanlah yang umur 40 an atau 50 an macam tu.

Motorsikal tu dibawa agak laju dan saya memang fokus pemanduan saya ke depan dan dapatlah melihat mereka menunggang motor tu. Berdesup laju. Jauh kita ditinggalkan. Makan asap. Haha. Dari jauh saya tengok mereka lalu berfikir [memang selalu fikir secara tetiba nak-nak kalau ketika memandu], patutlah jika motorsikal besar kemalangan. Biasanya ia agak teruk. Ini kerana, kelajuan motorsikal yang ditunggang sangat laju. Jarang sangat motorsikal besar dipandu 80km/j. Jarang dan setakat ini, saya tak pernah jumpa lagi. Tengoklah, kereta pun mereka boleh potong dengan selamba. Yelah, kelajuan mereka macam mana kan?

Dan saya rasa seria melihat mereka kerana ada kereta kat depan, lorong kiri dan kanan. Motorsikal ni nak mencelah namun mungkin tak berapa selamat. Jadi mereka terpaksa brek sedikit. Dan motorsikal kat belakang tu kan laju. Jadi dia pun brek jugalah. Itu sebablah jika berkonvoi ramai-ramai, seorang brek kebiasaannya yang kat belakang sempat atau tak sempat brek. Biasa macam tu [kalau salah, tolong betulkan].

--

Kisah ini saya nukilkan kat sini kerana beberapa menjak ini terserempak dengan pemandangan di atas.



Thursday, June 9, 2016

Puasa dan Kanak-Kanak

Petang semalam, Baihaqi datang ke rumah saya bersama ayah dan ibu dia. Saya saja lah tanya Bai. 'Bai puasa dok hari ni?'. Sambil malu-malu dia jawab dengan yakin 'puasa ar, 6 hari doh puasa'. HAHA. Menipu benor! Saya cakap kat dia, kalau puasa saya akan belanja durian. Tanya lagi, Bai suka durian dok? Dia jawab dia suka. Eh pandai-pandai dia sambung cerita 'ayah ada kebun durian gak'. Saya jawab kalau macam tu, tak jadilah nak belanja durian. Dia sambung, durian dok masak lagi. Lepas raya baru masak. Pulak dah. Malas nak layan Bai, saya bagi kuih bahulu untuk dia dan Adam.

----

Malam tadi Afiq duk sembang-sembang dengan walid dia. Saya dan kakak ipar hanya mendengar. Saya mengambil pendekatan untuk mendengar apa yang dia cakap.

'Walid walid. Afiq nak puasa'
'Afiq kena sembahyang penuh dulu baru puasa. Kalau Afiq sembahyang dok tinggal, bolehlah ar puasa'.

'Bila kita nak sembahyang lama-lama tu lid?'
'Hok tu kita sembahyang masa malam je, tu sembahyang tarawih'.

Lepas tu, Afiq duk mengajar Humaira mengaji. Tapi Humaira macam malas nak layan sangat. Tak boleh ikuti lama-lama sangat sebabnya, Afiq tunjuk huruf Alif, dia pergi tunjuk Ba. Lama kelamaan, mereka bertukar arah.

Saya masuk bilik.

Keluar balik. Nampak Afiq tengah solat. Bacaan solat dia Al-Fatihah, Al-Ikhlas. Paling tak tahan apabila surah Al-Ikhlas dibacakan. Mesti huruf Dal tu macam 'Ahad - ded', 'Somad - ded'. Penekanan pada DED tu memang sebijik-sebijik. Macam bunyi ded tu, huruf lain selain Dal. Macam mana entah nak explain. Hehe.

Saya sempat ambil video masa dia solat. Bacaan-bacaan lain oklah untuk umur 5 tahun macam Afiq tu. Cuma yang tak boleh tahan tu, saya rasa nak gelak, tapi tahan ajelah. Humaira duk berlegar kat tepi Afiq masa dia tengah solat. Tangan Humaira ni duk bawa seplastik biskut. Biskut bantal. Kami panggil biskut bantal. Korang panggil apa, saya tak tahu. Hehe. Ada sekeping biskut jatuh, masa nak sujud sempat Afiq ambil biskut tu dan makan. HAHA.

Makan sambil solat. Saya tak tegurlah si Afiq ni sebab tak nak mengganggu dia. Dan paling penting, tak nak dia tahu saya tengah rakam video.

Saya perhatikan anak-anak buah saya, memang tidak dititik beratkan dengan puasa seawal usia 5 atau 6 tahun. Dah masuk sekolah rendah pun masih boleh puasa separuh hari. Macam anak buah saya berumur 8 tahun. Ada hari puasa penuh, ada hari memang puasa separuh hari je. Yang paling penting ialah solat. Saya sendiri setuju jikalau, solat lebih diutamakan berbanding puasa. Err bagi budak-budak yang masih berumur 9 tahun ke bawah dan TIDAK TERPAKAI BAGI YANG DAH 10 TAHUN LEBIH. Perkara ini masih boleh diterima bagi saya. Ini kerana saya adakala kasihan melihat kanak-kanak lapar, tersadai kat lantai ketiduran akibat lapar. Kena puasa. Kasihan, sedangkan ada benda penting lain yang kita abaikan.

Cuma ia terpulang kepada ajaran dan budaya di sesebuah keluarga. Saya tak bangkang namun saya ada pendapat tersendiri dan hanya diluahkan kepada mereka yang rapat dengan saya. Kita tak boleh nak bangkang cara orang lain sesuka hati. Lain orang, lain cara dia. Tak sependapat, tak semestinya kita perlu berseteru dan hanya berasakan kita seorang yang betul. Tidak!



Wednesday, June 8, 2016

Orang Kita [Termasuk Saya]

Saya terfikir perkara ini semenjak lagu Kun Anta nyanyian Humood Alkhuder menjadi siulan orang kita termasuk saya. Seronok juga melayan lagu Kun Anta tu sekali sekala. Sampaikan ramai orang kita meniru atau membuat video menyanyikan lagu tu. Memang menjadi kegilaan orang ramai seketika. Sekarang dah senyap kan?

Selepas itu kejadian k-pop tu dengan peminat fanatik sampaikan menjadi viral. Betapa fanatiknya remaja perempuan kepada kumpulan-kumpulan berwajah jambu dan berkulit putih berbibir merah angkara lipstik atau semulajadi kot. Adakala kita terkeliru 'dia ni lelaki atau perempuan?' jika melihat secara sepintas lalu. Terpaksa tengok betul-betul. Saya dah beberapa kali alami persoalan macam ni. Wajah mereka comel sangat hingga keliru jantinanya.

Itu belum dikira dengan filem-filem atau pelakon-pelakon luar contohnya dari Indonesia. Cepat aje kita suka lagu mereka kan? Saya tak terkecuali kalau bab lagu. Cuma sekarang dah slow sikit ikuti lagu-lagu ni.

Apabila melihat insiden sebegitu, tidak dinafikan kita orang Malaysia cepat menerima kemasukan lagu atau orang luar. Kita mudah tersuka dengan lagu, mudah menerima tanpa banyak persepsi atau prasangka kepada orang luar. Mungkin tak semua, tapi ramai jugalah kan yang dapat terima kalau tak, takkan ada Digi untuk Bangladesh. Hahaha. Saya baru tahu selepas tukar dari Maxis kepada Digi. Hebat!

Urmm.

Contohnya, kita tentu biasa melihat orang Bangla pergi membeli belah di pasaraya, melihat orang-orang luar yang menjadi pengawal keselamatan atau apa jua perkerjaan yang mereka lakukan. Kita tidak akan pertikaikan atau pergi melalukakan serangan jenayah atau apa. Kalau ada itu mungkin mereka-mereka yang terkecuali atau ada agenda mereka sendiri seperti hendak merompak atau apa-apalah kan. Selalunya, mereka tetap aman mencari makan di bumi Malaysia.

Dan baru-baru ini, minggu lepas kot. Saya terbaca tajuk mengenai Bangla menyanyi lagu Sudah Ku Tahu dan baca pelbagai komen di facebook dekat satu page ni. Sejujurnya, saya tak tahu bagaimana lagu Sudah Ku Tahu ni sebab belum pernah dengar secara jelas versi penuh. Saya dengan gigih download video pendek tu kat dalam handphone. Sebab nak tahu macam mana dia nyanyi.

Mula-mula tak dapat tangkap langsung apa Bangla ni nyanyi. Lagu apa ni? Selepas tu apabila tiba part 'aku terlupa ke aku terluka tu' barulah teringat akan lagu yang pernah kawan saya pasang kat komputer dia.

Lawak pula apabila video ni saya sharekan dalam whatsapp group kami Love Supermoon!







Bila tanya kat dalam group tu, macam mana lagu ni sebenarnya? Sebab tak pernah dengar lagu penuh dia. Dan saya tak tahu pun siapa penyanyi lagu ni. Ingatkan band Indonesia. Rupanya band Malaysia je. Kawan saya susah-payah hantar lagu tu untuk saya dengar. Tapi bukan versi Bangla. Haha. Versi originallah. Cuma sampai sekarang tak dengar-dengar lagi. Nantilah kita dengar.

Video versi Bangla ni memang kelakar terutamanya gaya tangan dia tu [bagi sayalah]. LOL! Tengoklah, orang Bangla datang sini pun terer pasal lagu kat Malaysia ni. Maknanya, bahasa Melayu mudah untuk diikuti sepertimana orang-orang Malaysia yang mudah menerima orang luar.



Tuesday, June 7, 2016

1 Ramadan 1437H

Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar.

Dah masuk bulan Ramadan kan? Dah hampir separuh hari melepasi Ramadan. Tak tahu nak cakap macam mana. Setiap kali Ramadan, dah tentu setiap orang akan berazam untuk rebut banyak-banyak ruang dan peluang untuk berbuat kebaikan walau sekecil cuma.

Begitu juga dengan diri ini. Cuma tak tahu nak tulis macam mana. Malu juga nak tulis terang-terangan. Saya kan pemalu. Hehe. Betul, dalam sesuatu perkara yang saya rasa tak semua perkara kita perlu tulis nak gebang satu dunia. Pandai-pandailah tapis cerita sendiri.

Apa yang boleh saya cakap, memang niat kat hati nak buat juga sesuatu tu walaupun macam ek eleh sangat. Hehe. Tapi orang cakap, istiqamah itu penting.

Dan sebagai contoh. Bersedekah. Adakala dah macam kebiasaan kita. Hari ini, pada bulan Mei [contoh] kita sedekah RM5. Selepas tu, apabila ada orang datang minta sedekah atau kita terbaca sebarang berita yang menyatakan perlukan dana, sumbangan atau apa-apa. Terus kat kepala kita 'urmm, tak payahlah. Hari tu aku dah bersedekah'. Setang ar ni, setang ar ni cucuk. Ya. Orang Terengganu memang ada G kat belakang. Haha. Sedangkan kita tak sedar. Hari tu kita bagi RM5 dan hanya sekali sahaja di dalam sebulan. Lepas tu dah tak bagi-bagi dah.

Pernah tak macam tu? Ke tak pernah? Alaa. Haha. 

Nak dijadikan cerita, satu hari tu kan. Saya terdengar kat dalam tv atau terbaca kat media sosial ke mana entah. Ustaz tu cakap, adalah lebih baik kita sedekahkah setiap hari dan berterusan. Tak kisah walaupun kita sedekah hanya 20 sen contohnya. Yang penting istiqamah setiap hari. Kalau tak dapat buat, kita niat macam ni pun dah dikira dalam catatan amalan kan? Jadi untuk hari-hari mendatang, saya rancang untuk buat benda-benda simple sesuai dengan kemampuan diri sendiri untuk lakukan perkara yang saya nak buat. Tak mengapalah kecil pun, janji ia tercapai. 

Kadang-kadang terinspirasi juga dengan cerita mereka-mereka yang konsisten membuat amalan kebaikan. Kerana dengan amalan itu sahajalah yang kita bawa ke sana walaupun kita tidak ke syurga dengan amalan namun dengan rahmat Allah. Haish. Bila mood baik-baik datang dalam jiwa, inilah yang terhasil. Biasalah, #AkuNiManusiaBiasa.

Sebab itu, tidak menjadi kesalahan jika kita untuk berazam atau tanamkan niat untuk membuat kebaikan atau perubahan diri walaupun sedikit, walaupun selangkah, walaupun 1 perubahan setiap hari. Walaupun azam itu orang cakap klise atau azam yang tidak tertunai, tertangguh atau apa-apa ajelah tanggapan orang lain. Biarkan kerana kita tak boleh nak curi kebaikan yang orang lain buat. Tapi kita boleh tiru dan boleh tukar sedikit demi sedikit cara kita. Benda yang paling mudah ialah pastikan setiap hari ada benda baik kita lakukan. Contoh, Zohor kita solat lambat sikit. Lepas tu kita azam Asar nanti, bila dah masuk waktu, kita terus tunaikan. Sebab kita ganti Zohor yang kita lewat tadi tu. Benda ni simple, tapi boleh dipraktikkan. Macam tu juga dengan solat waktu-waktu lain. Biar rasa bersalah tu akan kuatkan hati kita untuk buat yang terbaik bagi waktu solat berikutnya. Sekurangnya, kita cuba perbaiki masa solat. Ini sebagai contoh yang paling mudah untuk kita buat kerana tidak gunakan wang ringgit namun hanya gunakan sedikit kekuatan dan keazaman.

Yelah kan, dalam duk bergembira, duk seronok ke situ ke sini. Memang menjadi lumrah seorang manusia akan memikirkan tentang kehidupan mereka sendiri. Tidak menjadi kejanggalan, andainya anda duduk diam-diam dan merenung bagaimana hidup di masa akan datang. 5 tahun? 10 tahun? 15 tahun?

Kerana itulah saya percaya dan baru faham nikmat masa muda sebelum tua. Ini kerana, apabila kita melepasi umur 25 tahun. Jika panjang umur, baki hidup 25 tahun dan sebenarnya dengan keadaan masa yang semakin singkat ini, 25 tahun adalah tempoh yang singkat. Tengoklah, itu hari rasa baru bulan Januari, ini dah bulan Jun. Bulan Ramadan. Nanti dah 15 Ramadan, masa terus meluncur lalu tiba Hari Raya. Mulalah mintak mak kuih sepotong berkumandang di corong-corong radio. Kat mana lagi kita nak cari balik masa yang dah berlalu? Tak tanya kat orang lain. Tanya kat empunya diri ni haa. Si tukang tulis ni.

Entahlah. Saya sendiri tiada jawapan khusus.

Rasa malu sendiri je kot.



Monday, June 6, 2016

27 Syaaban 1437H

3 hari sebelum Ramadan menjengah. Kita pasti melalui 27 Syaaban. Tarikh yang penuh bermakna. Bila masuk Syaaban, selalu congak-congak 'hari ni dah berapa Syaaban eh?'. Namun seperti biasa, adik 3 tetap menjadi orang terawal mengingatkan kami mengenai 27 Syaaban ini.

Tarikh sejarah perginya arwah ibu kami menemui penciptaNya di subuh hari. Perginya tidak menyusahkan kami adik beradik seramai 10 orang. Perginya menyentap hati kami. Rasanya dah banyak sangat saya menulis tentang hal ini. Jemu? Tak. 


Manakan jemu, ini cerita perpisahan keluarga kami dengan kesayangan hati.

Apapun. Hanya doa-doa yang mampu kami titipkan untuk kesejahteraan arwah ibu kami di sana. Besar harapan kami agar kami berjumpa semula di syurga kelak.

Amin.

27 Syaaban 1437H - 2 Jun 2016
Jumaat



Wednesday, June 1, 2016

Pemilihan Pakaian #runsingmaknak

Sejak akhir-akhir ini, rasa ketidaktahuan untuk memilih pakaian terutamanya untuk bersantai, ketika hari minggu, ketika nak pergi bercuti. Sesiapa yang mengenali diri ini secara individu ketika beberapa tahun yang lampau, dah tentu ingat gaya saya yang lebih senang dengan jeans, t-shirt atau dipadankan dengan kemeja. Gaya tersebut cepat dan santai. Nampak lebih up to date dan boleh ke sini ke sana. Maksud saya, tak adalah rasa pelik apabila pergi berjumpa kawan-kawan atau ketika bercuti ke mana-mana.

Namun sekarang, keadaan sudah tidak sama lagi. Saya lebih senang memilih untuk memakai jubah/dress, skirt labuh yang dipadankan dengan blouse. Namun adakala gaya itu buntu. HAHA. Mana tak buntu, seluar jeans memang dah lama tidak menjadi pilihan saya kecuali dipakai bersama jubah.

Maaflah, memang perempuan sedikit complicated apabila berdepan dengan beberapa situasi.



Gambar tahun lepas. Bila tengok gambar ni, alahai. Dah banyak kali dah pakai skirt biru labuh ni. Banyak kali juga bergambar dengan si biru ini. Memang bukti yang nyata.

----

Jubah/dress biasanya, saya upah jahit dengan sepupu atau adik ipar saya. Saya design macam mana yang saya nak, yang saya suka. Saya tak berapa gemar jubah yang menampakkan susuk badan, macam tak sesuai nak panggil jubah. Sebetulnya, jubah ni saya mula pakai [sekali sekalalah] ketika study dulu. Itu pun jubah kakak. Dan pada tahun 2012, saya upah makcik saya untuk membuat jubah dengan tujuan senang nak pakai apabila ada majlis. Tak sangka, dalam 4/5 tahun ini jugalah, trend jubah yang bermacam-macam pilihan warna dan fesyen, menjadi pilihan ramai kaum hawa. Perkembangan yang sangat sihat saya fikir. Seingat saya, dululah kan. Sekiranya jubah yang cantik-cantik dah tentu jubah dari Dubai. Manik dan kain dia sangat eksklusif. Sekarang, dek kerana pertumbuhan yang pesat dikalangan orang kita. Urmm, tak perlu lagi tunggu lagi jubah dari Dubai. Beli aje di dalam talian. 

Ok, berbalik pada cerita kita. Apabila dah selalu berjubah, dress. Saya naik jemu. Saya perlukan sesuatu yang segar. Untuk pemakaian jubah, saya selesa memakainya dengan jeans. Namun untuk ke pejabat, jubah tidak menjadi pilihan saya. Adalah lebih selesa memakai baju kurung sahaja ketika berkerja. Dan sekarang, saya dah buat keputusan untuk mengubah gaya saya. Sebelum ini, apabila ke pejabat, saya bosan dengan baju kurung. Lalu saya design baju kurung moden yang longgar dan selesa, saya design baju [idea dari baju kemeja] dan padankan dengan kain kurung. Apabila dah bosan dengan semua ini, saya berbalik semula kepada baju kurung. Haha. Baju kurung memang tetap menjadi pujaan hati.

Dan sekarang, saya dah tahu apa jenis rekaan yang saya inginkan bagi menggantikan baju kurung. Lalu, cepat-cepat ambil keputusan untuk mengasingkan semua baju-baju kurung saya untuk diberi/preloved kepada orang lain. Tak lupa juga dengan tudung-tudung saya yang dah terlampau banyak tu. Hingga tak terpakai oleh saya. Apa nak jadi nih? 




Gambar lama juga sebagai rujukan. Baju bunga, skirt labuh juga berbunga. Jadilah sekebun bunga. Tapi dah jenis hentam ajelah labu. Keyakinan itu sentiasa ada. Haha. Cuma adakala kita rasa 'ini bukan benda yang betul'. Dah macam si Betty la pula.

-----

Beberapa minggu lepas, saya bercuti. Nak kemas pakaian tu kan, punyalah menemui jalan mati. Tak tahu nak pilih baju mana. Tak tahu nak pakai baju mana. Tak tahu sungguh! Kalau dulu, dah tahu nak pakai apa. Jeans, t shirt atau blouse. Siap! Sekarang, saya rasa saya tak ada baju nak dipakai, nak dibawa. Buka almari, saya rasa tak ada baju yang betul-betul selesa nak dibawa. Saya tak nak jubah! Akhirnya saya bawa skirt labuh dan blouse. Itupun blouse yang jadi pilihan, warnanya caca marba. Blouse berbunga dan skirt pun berbunga. Jadilah taman tema bunga-bunga bergerak. Tak sesuai langsung. Macam mana boleh ambil keputusan macam ni? Padahal baju-baju lain punyalah banyak #duhaihawa. Haha.

Mungkin bagi kaum hawa di luar sana, mungkin  tidak mengalami permasalahan seperti orang ini.



Inilah skirt berbunga yang dimaksudkan. Namun ketika ini, saya memakai baju t shirt anak buah. Alhamdulillah, nasib baik muat dengan si peminjam. Hehe. Dan juga, baju itu ngam-ngam juga dengan tudung. Macam berjanji kan? 

Memang walaupun caca marba gayanya, keyakinan itu tetap A. 

Antara gaya yang menari-nari di dalam kepala gwe ialah seperti berikut:

Urmm. Gambar pula tak sesuai untuk diupload. Macam berangan sangat nak buat gaya macam ni. Lagipun saya tak berapa berkenan tunic yang dipakai dengan skinny jeans atau ala-ala legging. Baju labuh dah cantik, seluar tu saya tak berkenan. 

Makanya, lain kali ajelah kita reveal eh.