Sunday, July 31, 2016

Hartaku! Hartaku! Hartaku!

Abu Hurairah ra. berkata, Nabi SAW bersabda: “Seorang hamba (manusia) berkata, ‘Hartaku, hartaku!’ Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: 

(1) Apa yang dimakannya lalu habis. 
(2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. 
(3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. 

Selain yang tiga itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain.” 

(Hadis sahih riwayat Imam Muslim).

Bersedekahlah walau tak banyak. Apa yang kita ada, tak akan kekal. Apa yang ada ditangan kita, hanyalah pinjamanNya.

Jangan takut akan kehilangan kerana kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Jika kita takut [normallah kan rasa takut/bersedih], namun kuatkan diri kita dengan mengingati 'semua ini Allah bagi pinjam'.

Pesanan untuk diri sendiri.




Friday, July 29, 2016

Cerita Bazar Ramadan - Special -

Ramadan yang lalu, setelah sekian lama tidak membeli juadah seperti lauk pauk di bazar Ramadan. Saya akhirnya tewas jua. Memang menjadi kebiasaan, apabila Ramadan aje, saya tak betah untuk ke bazar Ramadan. Apa yang ada, kita makan je. Jika lauk sikit, maka sikitlah kita makan. Sangat tidak beria untuk menziarah dan bersesak-sesakan di bazar. Ditambah-tambah lagi dengan cerita lauk pauk di bazar yang bermacam-macam cerita. Ada yang basi, ada yang mahal ada yang tidak ada rasa. 

Untuk mengelakkan semua itu, walaupun point utama ketika Ramadan ialah kalau lepas waktu kerja, memang nak terus balik ke rumah. Tak nak melencong ke tempat lain dah. Sebab tu tak berapa gemar ke bazar. Tapi kalau tak bulan Ramadan, pasar malam memang menjadi kebiasaan untuk saya kunjungi. Nak-nak kalau teringin nak makan yong tau fu. 

Eh, dah ke mana eh kita? Rasanya panjang sangat ni penjelasan kita. 

Jap, nak ambil point dulu sebelum tulis.

Hurm.

Ok. Sebelum ini, dah pernah dengar kawan-kawan pejabat cakap, lauk kat cafe ini murah. Cafe ni tak jauh dengan pejabat kami, cafe dalam kampus. Lauk, kalau kita ambil sikit pun, masih murah. Saya tak terpedaya. Agak berpendirian sangat ketika ini. Tidak mudah goyah dengan cerita kawan-kawan. Syabas sangat pada diri sendiri.

Satu hari, kawan baik saya maklumkan kepada kami bertiga. Lauk kat cafe ini sedap dan murah. Ketika itu, pendirian saya telah melayang. Telah terhasut. Telah terpedaya. Akhirnya tewas dan membawa kami ke cafe. Tiada lagi ucapan syabas lalu digantikan dengan ucapan, selamat menikmati hidangan. Eh!

Buat kali pertama saya sampai di cafe ini pada bulan Ramadan setelah hampir 6 tahun lebih saya tak ke sini. Yelah, banyak lagi kedai yang menjadi pilihan hati. Cafe ni tak termasuk dalam senarai. Eksyennya dia ni. Hehe. Bila dah sampai, Ya Allah. Ramainya. Semua tengah menunggu pintu cafe di buka. Apabila pintu cafe dibuka, saya tergelak. Mana tak tergelaknya. Ketika itu, kawan kat sebelah ke apa ke, memang kita tak layan. Semua orang semua menumpukan perhatian kepada lauk pauk. Kalah serbuan ke atas butik tudung tau tak. Melihat situasi ini, fahamlah saya apabila ada peminat fanatik tudung yang sanggup bersesakan, berhimpitan semata-mata nak beli tudung. Fuih! Dahsyat. Eh, betul ke eja dahsyat macam ni eh? Tiba-tiba pula tak reti nak mengeja.

Kami mengambil lauk pauk sambil bergelak ketawa. Riang benar suasana ketika ini. Maklumlah, untuk saya, inilah pengalaman baru. Dah hampir penghujung Ramadan, baru dapat rasai perasaan membeli lauk. 




Ini paru. Ia sangat membunuh rasa. Sedap sampai ke hati. Walaupun murah, rasanya tetap mencukupi. Penangan paru ini menyebabkan hampir setiap kali ke cafe ini, saya membelinya. Macam mana dia masak ek sampai sedap macam tu sekali?




Kali pertama membeli, inilah hasil mahsulnya. Paru - RM3, Kuah Nangka - RM3, Daging Goreng Kacang - RM3, Bilis Goreng - RM3 dan Kerabu Mangga - RM3.

Cukup untuk 4 orang dewasa makan. Bayangkan kuantiti dia tu. Satu lagi, ini layan diri. Jadi kalau nak banyak ke, nak sikit ke. Harga dia memang RM3 satu plastik kecuali sup tulang atau ikan patin. Jadi terpulang kepada diri kita nak pilih yang mana.




Maaf, penataan cahaya kurang memuaskan. Namun, cahaya tak penting. Yang lagi penting ialah rasa kesemua lauk pauk ini ialah sangat menepati selera. Semuanya sedap. Tak tahulah nak tulis macam mana lagi kat kamu semua. Inilah bazar yang saya percaya dan yakin sangat untuk membeli. Tak perlu bersesak di bazar luar sana, tak perlu ragui tahap rasa dia macam mana, tak perlu was-was lauk ni basi ke tidak, tak perlu gundah gulana duit dilaburkan namun hasilnya mendukacitakan. Tidak perlu. Betapa puas hatinya saya sebagai pelanggan di sini. Inilah dia bazar Ramadan yang special sangat pada tahun ini.

Nasib baik, saya hanya sempat membeli beberapa kali kerana saya tertewas di penghujung Ramadan. Kalau tidak, mahu ketagih nak membeli terutama si paru tu. Sedap sangat!

Terliur betul bila melihat kembali kesemua makanan ni.



Thursday, July 28, 2016

'Ustaz Puan'

Balik dari kerja, terus sahaja masuk bilik sebelah. On laptop dan buka kipas. Cepat-cepat ambil pendrive dan save semua cerita Rumi dan Jawi. Nasib baik ada si kakak cantik kat pejabat yang tolong download kesemua episod cerita ni. Nak harapkan saya? Urmm, jangan haraplah. 

1. Malas nak kena tunggu satu hal.
2. Malas nak kena download itu la, ini la barulah dapat download cerita. Leceh!

Tengah-tengah layan cerita ni, Afiq masuk dan nak baca Iqra'. Haa?? Adus! Afiq ni. Time macam nilah dia nak baca Quran. Bukan saya tak nak ajar, tapi saya tengah nak melayan cerita ni secara marathon. Haish. Teruk pula perangai makcik dia ni kan? Nak buat macam mana, kita ni kononnya nak rehat dulu selepas balik kerja. Mengaji tu, malam nantilah lepas Maghrib. Ini petang-petang, saya memang malas nak melayan.

Afiq tetap buka Iqra' dan mula membacanya. Kebetulan saya memang bawa balik gula-gula. Sambil-sambil tu, Humaira dan Afiq memang makan gula-gula. Saya terpaksa ajar. Ye, rasa tak nak ajar betul tadi, sebab nak tengok cerita. Haha. Jahatnya makcik nih! Janganlah contohi perangai makcik ni ya nak.

Tengah-tengah ajar, Afiq tanya pada saya 'bakpe Cuda dok jadi ustaz?'. Saya tak hiraukan soalan dia. Saya ajar dia mengaji beberapa baris, lepas tu saya tak suka dengan keadaan dia. Afiq mengaji sambil makan gula-gula. Lantas saya cakap kat Afiq, 'Afiq gi main dulu. Malam nanti Cuda ajar ngaji. Dok baik tengah ngaji kita makan'. Afiq menerima saranan dan terus keluar dari bilik. Dia takut sebab kat tangan saya ada rotan panjang.

Afiq hilang dari pandangan saya dan terus turun ke bawah rumah. Makcik dia ni, apalagi, terus melayan ceritalah.

Hampir jam 7.30 malam, saya tengah makan. Saya bagitahu Afiq, 'siap sedia Afiq, nanti Cuda ajar ngaaa.... [dengan harapan si Afiq akan menyambung ayat jiiiiii]. Afiq tak sambung ayat tu, tetapi dia sambung 'kekgi Cuda jadi ustaz. Tapi ustaz puan [perempuan]'. Biasanya saya ketawa kalau ada benda kelakar. Tadi, ketawa tak keluar pula. Saya diam. Saya fikir, Afiq masih tidak dapat membezakan ustaz dan ustazah. Ustaz puan apa Afiq oii. Urm, Afiq mungkin tak tahu yang mak cik dia ni ajar benda basic je. Setakat Alif, Ba, Ta je. Mungkin sebab rotan kat tangan saya ni kot. Haha! Padahal saje nak takutkan dia. Tak nak bagi dia lalai masa mengaji. Biar dia rasa masa mengaji tak boleh main-main.

Sebetulnya, ini baru masuk hari kedua saya ajar Afiq mengaji. Kononnya nak ajar secara berterusan. Tapi saya selalu on off. 

Benda yang tersangat penting. Ketahuilah ibu bapa sekalian, anak-anak anda ni sebetulnya cepat menangkap apa yang diajar. Namun kena ingat, jika kita tak ajar mereka secara istiqamah, berterusan walaupun sikit. Banyak benda akan hilang daripada ingatan mereka. 

Saya ambil contoh si Afiq. Saya rasa dia ni dah mengaji lama. Dah pernah mengaji di rumah jiran [orang kampung saya juga] hampir setahun. Seharusnya dia dah mahir dan ingat Alif, Ba, Ta dan dapat membezakan apabila ditanya. Ini tidak, seolah-olah menghafal. Apabila ditanya pada huruf lain atau kita konar sikit, terus termenung memikirkan 'apa huruf ni eh?'. Seolah-olah begitulah. Bagi saya, ini sesuatu yang tidak begitu menepati piawaian saya.Terfikir juga 'aku dulu, umur berapa ya pandai baca muqadam?.

Jadi susah jugalah, sebab kalau boleh saya nak lihat anak buah saya biar kenal dan mahir. Sayang dengan umur dia sebegini kalau kita sia-siakan. Yelah, kita kan tahu, budak-budak cepat serap pelajaran sebab mereka tengah berkembang dari segi fizikal dan mental. Inilah masa yang terbaik untuk kita sogokkan pelajaran untuk mereka.

Namun, saya tak paksa pun. Janji kita ajar menyebut sebanyak 3 kali, bila dah agak dia kenal. Kita tunjuk aje huruf secara rambang untuk menguji kepekaan dan ingatan mereka pada huruf-huruf bacaan. Lepas tu tanya pada mereka, jika dah tak nak baca. Kita stop. Jangan paksa kerana mereka dah tak bagi fokus seperti awalnya.

Harapnya, makcik dia ni rajinlah nak mengajar. Jangan beria sehari dua aje makcik oi. 

Doakan makcik kuat ya menepis serangan kemalasan. 




Wednesday, July 27, 2016

Macam Tanah Kubur

Masih segar dalam kotak ingatan saya, pada hari Jumaat tatkala kakak 1 dan keluarganya datang ke rumah untuk menyelesaikan projek abang 2. Terngiang-ngiang ditelinga saya, suara anak buah 'ada orang mati, ada orang mati' oleh anak-anak buah saya. Tapi sedikit pun saya tak rasa nak pergi tanya, tak rasa nak pergi jenguk. Hanya sekadar 'orang mati?'. Langsung tidak terlintas di benak fikiran siapa yang mati?

Saya hanya membiarkan bunyi-bunyi suara anak buah saya itu hilang begitu sahaja. Operasi membersihkan bilik ketika itu, saya teruskan. Ketika saya berada di ruang tamu, saya terdengar suara jiran sebelah. Saya kenal suara itu dan fikir saya, tentu dia bercakap dengan anak lelakinya.

Hanya selepas Zohor atau hampir Zohor, saya ke dapur dan ketika itulah persoalan 'orang mati' itu terungkai. Terungkai umpama benang yang kusut dapat dileraikan oleh si tangan yang mahir. 

Terperanjat. Itulah perasaan saya. Rupanya yang meninggal itu ialah anak kepada jiran saya yang kononnya saya dengar tadi. Yang saya beranggapan, beliau bercakap dengan anak lelakinya. Tapi rupanya selang beberapa jam selepas itu, barulah saya tahu bahawa anak lelakinya telah meninggal dunia.

Faham tak perasaan terperanjat tu macam mana? Saya sememangnya begitu pasti jiran saya bercakap dengan anaknya.Namun sangkaan saya jauh meleset malah tersasar entah ke arah mana. 

----

Menziarah

Pada petang Jumaat itu, saya ke rumah jiran untuk menziarah [perempuan tak wajib untuk menziarah, tapi degil nak pergi juga kerana terperanjat. Percaya tak percaya]. Rupanya dia meninggal kerana demam. Pada petang Khamis, kawannya membawa dia ke klinik dan dihantar ke hospital. Sampai kat sana, dia meninggal. Lebih kurang macam tulah ceritanya.

Mak saudara saya sempat melihat jenazahnya, selepas melihat mak saudara saya menangis. 'Comelnya muka, putih bersih'. Saya rasa nak tengok, tapi saya 50/50. Akhirnya tak tengok pun, sebab rasa tak kuat. 

Ketika kami balik menziarah, saya bersama abang 2 dan mak saudara bersembang di bawah rumah Moksu. Kata abang saya 'aku takut nak tengok, tapi biar jelah. Tengok jelah. Bila tengok, bersihnya muka. Putih. Kalau mu tengok kejut'. Mak saudara saya mengiakan apa yang abang 2 saya ceritakan.

3 Minggu Sebelum Itu (Sebelum Ramadan)

Pokok-pokok renek yang dah tumbuh kembali. Semua gambar ini diambil, hampir 2 minggu selepas pemergian anak jiran saya

Masih saya ingat persoalan pada diri saya 'kenapa dia ni rajin sangat ni?'. Ini kerana, setiap kali saya pulang dari kerja, selalunya saya akan buka tingkap bilik untuk memberi ruang udara bilik saya bernafas dan memastikan peredaran udara tidak tersekat selepas seharian tidak dibuka. Namun, kelibat jiran saya ini yang sentiasa membersihkan halaman belakang rumahnya ini telah membataskan saya daripada berbuat demikian.

Disebabkan dia rajin, saya tak boleh nak buka tingkap. Saya tak boleh nak selak langsir. Saya tak boleh nak biarkan angin semulajadi masuk ke dalam bilik saya. Semuanya itu tak boleh dilakukan kerana anak jiran saya ini memang akan membersihkan daun-daun tebu dan juga pokok-pokok renek yang meliar di atas tanah.

Sebenarnya, anak jiran saya ini dah pangkat pakcik kepada saya. Umurnya mungkin menjangkau 55 tahun macam tulah. Namun, tetap tidak betah untuk kita berbuat sesuka hati. Pernah terfikir nak tegur macam arwah mak saya tegur kepadanya, namun saya takut. Yelah, kami tak pernah bercakap dan hanya sekali ketika saya menghantar kuih/daging korban kot ke rumahnya. Dia yang ambil dan ucap terima kasih kepada saya. Itu sahaja.




Beginilah keadaan apabila tingkap saya dibuka. Seluruh kawasan rumah jiran saya, boleh dilihat dengan terang. Itu nasib daun tebu dah tumbuh yang baru. Kalau tidak, tingkap rumah makcik ni memang boleh saya pandang. Tapi selalunya jiran saya ini jarang buka tingkap kecuali anak-anak dia balik kampung.




Apabila saya melihat kawasan belakang jiran saya ini, bermacam-macam yang menerpa di fikiran. 

Ketika petang, saya melihat dia terbongkok-bongkok mencabut pokok renek yang meliar. Apabila dia meninggal, kakak ipar 2 saya cakap pada saya. Macam dia tahu yang dia akan pergi, dia tinggalkan kawasan yang bersih sebersihnya untuk mak dia.

Arwah ini persis cerita tanah kubur. Tidak dipandang ketika hidup kerana dia pernah tersalah langkah. Ingin ditulis, rasanya tidak elok untuk dibaca, bimbang akan disalah tafsir. Cukup saya nyatakan bahawa dia yang menjaga arwah ayahnya ketika sakit. Ini kerana, hanya dia anak lelaki yang tinggal bersama ibunya. Dulu setiap malam saya boleh mendengar suara ayahnya memanggilnya. Tidak pernah dia meninggi suara pada ayahnya walaupun dia boleh melakukannya. Itu apa yang saya dengarlah kan, selebihnya hanya Allah yang tahu. Sudah pasti, kita tidak tahu bagaimana dia hubungan dia dengan Allah

Perginya anak jiran saya ini pada hari Jumaat. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya. Semoga ia menjadi peringatan kepada saya. Sekarang, kalau balik kerja buka tingkap bilik. Saya kadang kala, masih teringat bunyi daun-daun pokok tebu yang diseretnya untuk dikumpul.

Cukuplah kematian sebagai peringatan kepada kita. Jangan kita rasa kita ini baik kerana kita belum tentu baik. Jangan terpesona dengan tipu daya diri sendiri dengan apa jua kebaikan yang kita lakukan. 



Saturday, July 23, 2016

Duit Raya

Bercerita mengenai duit raya, memang amat menyeronokkan dikalangan kanak-kanak. Apalah makna raya tanpa diselangi dengan duit raya. Seolah-olah pelengkap raya bagi kanak-kanak. Seolah-olah. Kita yang dewasa ni tak usah duk berangan sangat nak duit raya. Haha. Ehem, saya ada jugalah berangan nak dapat duit raya tahun ni seperti tahun lepas. Namun yang diangankan tidak kunjung tiba. Mungkin zaman dapat duit raya dah hampir menuju garisan penamatnya. Hehe.

Seperti kebiasaan, penukaran duit raya akan dilakukan secara berjemaah dengan kawan-kawan pejabat. Kami akan tulis siap-siap di atas sehelai kertas dan tanda aje nak tukar duit berapa. RM10 nak berapa, RM5, RM1. Ikut bajet masing-masing. Selang beberapa hari atau seminggu sebelum raya, kebanyakkan kami dah bagi duit untuk penukaran dan selang sehari biasanya dah dapat dah. Bau duit baru biasanya lain macam. 

Keriaan memang terpancar kat wajah kami, itu baru dapat tukar duit raya. Namun sedikit mengecewakan apabila mendapat note RM5 buruk. Bukan buruk sampai tak boleh guna, namun kedut-kedutan yang ada dibadan note RM5 tu mengundang rasa tak seronok. Biasalah raya, kalau boleh, kita nak bagi yang terbaik untuk kanak-kanak terutamanya anak-anak buah sendiri.

Tahun ini, dah plan tak nak isi sampul raya last minute. Kerja lain masih banyak menanti, jadi mana kerja kecil-kecilan tu kita kasi habis dulu. Nanti tak kalut dikemudian hari.  




Memang disengajakan membeli sampul kartun-kartun. Tapi ada juga dibelikan sampul yang formal untuk diberi kepada orang dewasa. Takkan nak kasi sampul kartun kan? Pada satu malam tu, dengan gigih dan terus asingkan setiap design sampul mesti digunakan. Asingkan juga note untuk diberi kepada setiap anak-anak buah, anak-anak kawan pejabat, sepupu yang kalau diikutkan memang dah tak ada kerana dah besar-besar dah, dan juga duit standby untuk kanak-kanak yang dirasakan layak untuk menerima duit raya.




Kat tempat kerja, memang ada sampul official. Namun tak cantik dipandangan mata. HAHA. Saya perasan, dah banyak tahun design dia tak menarik berbanding design di agensi lain. Rasa nak tolong kasi idea je untuk memeriahkan sampul raya. Eh! Dia ni.

Sampul-sampul di atas dah berisi duit raya. Nilainya sama namun design sampul adalah berbeza. Ini kerana, anak-anak buah saya mempunyai kesukaan yang pelbagai. Jadinya, saya selaku mak cik yang memahami denyut nadi perasaan anak-anak buah mengambil keputusan untuk mengikut trend sekarang [perasan sangat kan?]. Jika diberi pilihan, saya lebih gemarkan sampul raya yang menunjukkan kehari rayaan. Yang agak hampir adalah macam sampul Upin Ipin 1 dan 2 dari atas sebelah kiri tu. Namun sukar nak jumpa sekarang yang betul-betul ada aura raya, mungkin ada. Tapi saya yang tak perasan.




Tidak dilupa juga untuk menempah bunga api dan membeli mercun bawang [pop-pop]. HAHA. Makcik yang terlebih beria. Sebetulnya, jika ada peluang berjumpa dengan penjual bunga api. Belilah. Lebih jimat. Namun andai tak jumpa dengan tokey penjual mercun atau bunga api, bolehlah dibeli di pasar malam aje. Namun harganya agak mahal sedikit. Macam saya, anak-anak buah ramai. Jadi memang tak boleh beli sikit, nanti akan meletus perang saudara. Lagi mengucar kacirkan keadaan, akan terjadi persengketaan sesama mereka. Makcik dah biasa dah dengan suasana begitu, jadi langkah pencegahan diambil bagi mengelakkan semua itu terjadi. Keharmonian menjelang lebaran amatlah diharapkan. 

Bunga api yang dibeli ini berharga RM16 dan mempunyai 100 batang. Saya dah kira siap-siap berapa batang yang boleh dibagi-bagikan kepada setiap anak buah. Itupun masih lagi terdapat pertikaian. 'Cuda kedekut'. Kurang asam punya anak buah. Bagi 5 nak 10 batang. Mana boleh! Saya selaku Menteri Pertahanan bagi bunga api memang membantah. Itu namanya tamak. Nasib makcik ni dah biasa dengan lontaran suara ketidakpuasan hati anak-anak buah. Jadi kita buat derk je. Nanti dia akan datang semula kat kita. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua pabila anak-anak buah datang minta mercun pop pop pula. Eleh!




Ini adalah sebahagian sampul-sampul raya yang ditemui pada tahun ini. Menarik juga design dia kan? Paling saya suka ialah sampul Upin Ipin warna biru tu dan juga sampul Angkasa. Nampak lebih dekat pada diri saya. 

Bercakap pasal duit raya. Dulu, semasa kecil saya selalu menjelajah rumah ke rumah untuk mendapatkan duit raya. Ya, memang pergi rumah orang untuk dapatkan duit raya. Tak tipu. HAHA. Pengakuan jujur dari hati. 

ERTI DUIT RAYA
Apabila dah besar, dah tiba giliran kita untuk berkongsi rezeki kepada mereka yang lain. Saya memilih untuk memberi duit raya pada bulan Ramadan, biasanya pada hari akhir berkerja. Kan orang cakap, kalau memberi pada bulan Ramadan, lagi banyak pahala. Jadinya saya berharap, diterimalah pemberian saya itu. InsyaAllah. Sebahagian yang lain, memang diberi pada hari rayalah. 

Bagi saya, nilai yang kita beri kepada sesiapa sahaja bukan menggambarkan seseorang itu kedekut atau apa sahaja. Ini kerana, saya tahu apabila tibanya Syawal. Kebanyakkan ibu bapa atau mereka yang berpendapatan kecil dan sederhana, banyak menggunakan wang. Nak beli itu ini. Ditambah lagi bagi mereka yang telah berkeluarga. Saya sendiri rasa tidak sampai hati melihat ada sesetengah orang yang hanya mampu memberi RM1 kepada kanak-kanak. Ini bukan kes budak yang tak kenal, kita kasi RM1. Bukan. Ini adalah bagi mereka yang tak mampu nak sediakan wang yang lebih nilainya untuk kanak-kanak.

Kerana itulah saya selalu ingatkan diri saya, nilai yang kita beri kepada kanak-kanak atau sesiapa sahaja adalah untuk berkongsi rezeki. Tidak perlu MALU atau segan jika kita hanya memberi RM1, 50 sen jika itu yang kita mampu. Tak perlu mengikut kata orang sekiranya ia membebankan kewangan kita. Memberilah mengikut kemampuan diri sendiri. 

Dan sebagai ibu bapa atau orang yang lebih besar, mainkan peranan kita. Ingatkan kepada anak-anak kecil ini bahawa duit yang diberi, tak kira berapa. Ucapkan TERIMA KASIH. Jika boleh, elakkan daripada membuka sampul didepan si pemberi duit raya. Bukan apa, takut terjadi dialog macam ni 'haa?? seringgit aje? Kedekutnya!'. Kalau suara tu bervolumekan 1 atau 2 tak apa lah juga. Ini tidak. Nada suara memang memecah sunyi. Hai, rasa nak debik mulut tu. Perkara ini pernah juga terjadi dikalangan anak-anak buah saya sendiri. Bila dah ramai, memang akan ada yang jenis suka membuka sampul depan-depan. Perkara ni memang tidak digemari oleh kebanyakkan orang. Namun adakala, terpaksa dimaafkan jikalau yang terlibat itu anak-anak kecil yang memang walaupun berbuih kita pesan, masih lakukan juga benda ni. Haish!

Apapun, semua perkara akan dinilai olehNya. Tak guna bagi duit note besar-besar sekadar untuk pujian, dan tak guna juga jika berkemampuan namun kedekut untuk berkongsi rezeki. Yang penting, pilihlah yang terbaik berpadanan dengan diri kita. Semoga amalan dan pemberian kita diterima oleh Allah. Ini yang paling penting.




Friday, July 22, 2016

Ku Pohon Restu Ayah Bonda

Raya dah melepasi hampir 16 hari sudah. Namun baru teringin mendengar lagu-lagu raya. Banyak sangat lagu lama yang kena pada halwa telinga. Lagu-lagu sekarang, agak kurang menyengat. Bukan tak enak didengar, namun tidak menyerap dijiwa.

Antara banyak-banyak lagu yang diminati, nak senarai memang banyak. Satu lagi, kebanyakkan lagu ini digemari kerana mengikut aliran mood. Jika kebetulan terasa lagu itu best, maka akan diulang putar sehingga bosan.

Berapa kerap sangatlah kan kita boleh mendengar sesuatu lagu dalam satu masa. Paling kurang beberapa minggu, selepas itu kita akan beralih kepada lagu lain dan seterusnya. Tiada peraturan di dalam mendengar lagu namun ianya akan berdasarkan kehendak diri kita sendiri.






Macam esok baru nak raya kan? Rasa tetiba nak balik kampung je. Tapi nak balik ke mana? HAHA. Dah memang tinggal kat kampung pun. 

Lirik orang dahulu kala memang lebih dekat dengan jiwa kita kan? Terasa aura rayanya. Seperti juga lagu Allahyarham P. Ramlee. Lirik beduk berbunyi tu. Apa nama entah nama lagu tu. Dendang perantau kalau tak silap. Eh bukan. Lagu Suara Takbir. Kita boleh bayangkan suasana kampung walaupun kita tak pinta. Walaupun kita tidak membesar di zaman dulu kala, namun rasa itu boleh kita rasai lagi hitam putih di televisyen [tiba-tiba] walaupun takkan sama 100%. Cukup rasa klasik iringan muzik dan suara penuh nostalgia P. Ramlee. Terima kasih atas lagu yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ini. Akan tetapi cat rumah sekarang banyak yang lekang dek kerana panas. Tak macam cat rumah dulu-dulu. Maaf pernyataan yang tiada kaitan langsung dengan lagu. Hehe.





Tuesday, July 12, 2016

Comelnya Dia

Semalam saya cuti. Sambung cuti raya sementelah perasaan malas agak berkuasa di dalam diri. Agak lama bercuti pada kali ini. 11 hari! Termasuk Jumaat dan Sabtu. Sebetulnya setiap kali raya, memang saya akan mengambil peluang bercuti lama-lama.

Pada tengah hari semalam, saya dan Afiq menonton tv. Untuk rancangan yang sesuai, saya memilih Sekolah Saya Hebat. Show ini dikendalikan oleh Farah Anuar. Nak dijadikan cerita, ketika sedang kami menonton. Si Afiq 'lawo pipi dia Cuda'. Saya terpana sebentar. Apakah? Afiq sambung lagi, 'bukan hok ni'. Ketika itu pandangan kamera dihalakan kepada penonton yang saya pasti kebanyakan cikgu-cikgu yang bertanding. Hanya 2 buah sekolah yang bertanding ketika show ini bersiaran. 

Saya pasti Afiq ingin saya tahu yang dia bukan maksudkan pipi comel itu bukan pada penonton. Selepas itu, kamera dihalakan semula kepada Farah dan peserta sekolah. Afiq sambung lagi. 'Hok pakai tudung tu Cuda'. Haha! Anak buah aku dah pandai dah.

Kami melihat sambil mulut Afiq pot pet pot pet. Banyak ulasan dia.

Afiq rasa hok laki tu dok menang. Ork Cuda ork? Saya hanya mengiakan aje.

Ketika debat mengenai mana lebih berjasa ke apa entah. Hang Tuah atau Hang Jebat. Pelajar sekolah asyik sebut pembunuh. Hai, Afiq tanya lagi. Bunuh tu apa? Terpaksa terangkan. Keluar darah dan mati.

Yang paling haru sekali ialah ketika rancangan dah nak habis.

Comel ye ork Cuda? HAHA! Ingat kan dah habis. Rupanya masih ada sisa-sisa pujian pada Farah.

Comel ork hok orang besor tu Cuda. Macam Qu Puteh je Afiq nampak.

HAHAHA! Rasa tak percaya dengar bait ayat si Afiq ni. Hamboi dah pandai memuji orang perempuan, padahal baru 5 tahun ni.