Sunday, August 28, 2016

Si Pencinta Dedaunan

Pada hari raya ke-4. Di pagi hari selepas kami selesai solat Subuh, kakak 2 meminta satu pertolongan dari adiknya ni. Faham tak, apabila kita ingin bermalasan seketika di pagi hari. Datang undangan yang tidak dipinta untuk menemaninya pergi mengambil anak pokok. Malasnya! Sebab terlalu awal.

HAHAHA! Jahatnya adik dia ni kan? Semalam, dia ajak kakak dia teman ambil satay, tak berkira langsung si kakak terus aje bersetuju.

Saya masih bermalasan, kakak 2 membaca mesej dan bertanyakan lagi soalan kepada saya 'mung teman aku eh gi amik anak pokok tin'. Diceritakan kepada saya bahawa dia mengenali tuan punya pokok ini di dalam group menanam. Saya bertindak sebagai pendengar yang setia sambil mata turut pejam celik pejam celik. 

Sambung ceritanya lagi, tuan punya pokok ini akan balik kampung ke selatan dalam kurang lebih jam 8.30 pagi. Ekoran itu, kami perlu bertindak segera. Saya tahu dia bersemangat waja. Semangat dia menembusi atap rumah kami meroket ke langit tinggi. Sebagai adik yang memahami kakaknya, saya bersetuju. Namun dengan syarat. HAHA!

'Aku nok tidur lu kejap. Kekgi kita gi ar'. Saya menetapkan ingin tidur-tidur ayam selama 10-15 minit sebelum pergi. Terasa satu beban nak memandu di waktu pagi dikala mata masih memohon untuk ditutupi.

Kakak saya terus bersiap manakala saya tidur sambil melihat jam.

Akhirnya masa telah tiba. 'Cepat ar siap', ujar kakak 2. 'Aku nak pakai tudung doh ni, mu nok siap bila?'. Saya memang jenis bersiap cepat [kadang kala]. Saya bangun lantas mengambil tudung dan anak kunci kereta berserta purse. 'Aku siap doh, tunggu mu je nih'. 'Mung nok gi gini?', kakak 2 terkejut. HAHA! 'Hor, aku siap doh'. Kakak 2 saya seolah-olah berkata 'kalau anok aku ni, lama doh kena tinggal'. Haha. Saya ok je, lepas tu kita bagi la  hujah kita, 'doh nak ambil anak pokok je kan?, bukan nak pergi beraya pun'. 

Alah, bukanlah teruk sangat pun, tak pakai baju yang boleh dikategorikan baju raya je. 

Selepas enjin kereta dipanaskan, kami memulakan perjalanan di pagi hari. Dahlah sesat. Guna GPS tapi sampai kat jalan mati. Saya tak pernah ke kampung kawasan sini. Entah nama apa kampung ni eh? Berpandukan kakak 2 saya yang memberi arahan disamping dia mendengar cadangan saya, 'masuk jalan ni kot kan?'. Kami mencuba dan akhirnya kami kebuntuan. 

Kakak 2 bertanyakan kepada orang kampung dan kami berpatah balik. Ketika ini, saya sudah bertukar menjadi semakin bersemangat. Ini ditambah kerana, pagi ini kakak 2 saya dah nak balik ke kampungnya sementelah cuti raya dah habis. Semangat kerana kakak saya tidak jatuh semangat. Saya sayang pada kakak 2 saya sepenuh jiwa saya.

Dengan semangat itu, selepas kakak 2 call kepada tuan pokok. Akhirnya kami menemui sinar di simpang jalan. Tuan pokok sanggup menunggu kami dengan motorsikalnya dan mengarahkan kami mengikutinya.

Kami ikut dan jalan ini tiada dalam GPS pun. HAHA. GPS pun pening nak baca jalan ni macam mana.


Yang melingkari kat atas tu, adalah pokok anggur. Cerewet untuk dijaga katanya.

Kami sampai ke rumah tuan punya pokok. Uish 7.40 pagi dah ada depan rumah orang. Haha. Kakak 2 saya bagitahu, encik ini telah bermurah hati untuk memberikan pokok tin kepada sesiapa yang berminat. Kakak 2 saya umpama orang mengantuk disuruh tidur. Memanglah dia nak. Tambahan pula, kebetulan dia akan balik kampung untuk beraya. 

Ketika kakak 2 saya berada di dunia dia. Saya mengekorinya sambil mengambil gambar curi. Biarlah dia seronok dengan apa yang dia minati. Saya tak berapa minat sangat dengan pokok-pokok macam ni. Saya lebih berminat untuk merakam foto.




Hampir 70 jenis kot pokok yang encik ini kumpul. Sangat banyak dan menyegarkan pandangan mata. Saya agak, kalau kita ada masalah rabun kan, eloklah setiap pagi kita melihat daun-daun hijau ni. Pelbagai jenis pokok tin yang ada.

Kakak 2 saya bertanyakan itu ini, kenapa dia tanam matilah, kenapa tak tumbuh, baja itu, baja ini, jenis itu jenis ini. Saya hanya dengar.

Jenis yang saya paling ingat ialah Purple Jordan. Nama cantik ini nyaman didengari oleh pendengaran saya. Cantik juga kalau kita bagi nama ni kat  kucing ke, kat ikan ke. Kan?




Macam tak percaya, saya boleh melihat dengan mata saya sendiri dengan izinNya, inilah pokok tin. Dulu, saya ingat kita hanya dapat makan buah tin yang dikeringkan oleh jemaah-jemaah haji/umrah yang balik ke Malaysia aje. Masa pergi melawat orang balik Mekah tu lah, baru dapat merasa buah tin. Sekarang dah banyak tempat jual buah tin kering ni. Pilih aje nak beli kat mana.




Proses tut anak pokok. Err, betul ke pernyataan saya ini? Melihat dedaunan ini, saya teringat kepada proses fotosintesis.




Dahla dapat melihat berpuluhan jenis pokok yang ditanam, encik tuan tanah ini bermurah hati melihat dari satu pokok ke satu pokok, mana buah yang dah masak. Dia jumpa satu! Yeay! Lalu diberikan kepada kakak 2 untuk rasa. 

Bolehlah kita rasa makan buah tin yang segar. Dia cakap, masa raya itu hari, dah ramai orang datang petik. Sebab itulah dah tak banyak buah.

Kami berada di sini hampir 1 jam. Melihat jam yang telah menghampiri 8.30 pagi. Kami mengambil keputusan untuk balik. Yelah, encik dan keluarga dia dah nak bertolak tak lama lagi. Macam tak bestlah kalau kami ambil masa mereka terlalu lama. Kakak 2 pun dah mengambil anak pokok tin yang telah di jaga dari kecik sampai dia dah stabil. Tak tahu nak sebut apa, nak kata tut bukan, nak kata semai pun bukan. Nak cakap dipacak, urmm lebih kuranglah. Encik ni dia potong batang anak pokok tin kepada beberapa bahagian lalu dia tanam semula kat dalam plastic bag. Anak pokok itulah yang diberinya kepada kakak.

Selepas bersembang dengan isteri encik ini, kami memang perlu beransur kerana kami pun ada kerja. Bukan kerja sangatlah. Nak pergi beraya kat rumah adik 2 je. Hehe. 




Dalam kereta, saya memuji keluarga encik ini kerana ramah dan tidak sombong. Tak adalah kita segan sangat datang pepagi kat rumah orang. Hehe. Dah sampai kat rumah, saya terus memotong buah tin ini kepada beberapa bahagian. Nak kasi semua orang rasa macam mana.

Bila kita makan, sedap. Lemak. Itulah untungnya kepada mereka yang berbudi kepada tanah. Dapat merasa apa yang mereka tanam. 

Ada orang pencinta bunga, ada orang pencinta haiwan, ada orang pencinta kedamaian, ada orang pencinta animasi. Dan kakak saya, pencinta dedaunan hijau, bunga pun dia minat dan tanam. Kalau saya, saya lebih suka bunga berbanding tanam benda daun-daun ni. Suka ajelah bunga, tanamnya tidak! Hehe.



Saturday, August 27, 2016

Syawal Ke-3

Apa ni. Dah nak masuk Raya Haji baru nak update cerita raya. Apa ni? Tak payah apa ni, apa ni sangat lah. Kita tengah berdaya juang nak tulis ni. Tolong jangan matikan kesungguhan yang menjelma dalam hati kita ni. Tolong jangan!

Kisahnya, dah lama nak menulis dan habiskan semua cerita. Namun apa yang dirancang tidak menjadi, terlalu banyak halangan. Antara halangan utama ialah serangan m a l a s. Entah dari mana dia datang, tak tahulah. Percayalah, serangan ini lagi merbahaya kepada diri kita. Ia boleh melumpuhkan sendi-sendi kerajinan yang ada di dalam tubuh kita. Kerana itulah, adanya doa agar dihindarkan dari sifat malas dan dukacita.

Dah ke mana tu? Meh sini. Meh kita mulakan cerita.

Hari Raya ke-3. 

Pada pagi hari, saya dah cop kakak 2 saya untuk temankan saya mengambil satay. Nak dijadikan cerita, niat nak order satay dah lama terpahat kat dalam hati. Namun biasalah, bila raya ni kan. Kita banyak guna duit. Nak beli itu, nak beli ini. Nak sediakan duit raya lagi. Jadinya memang tak berhasil untuk direalisasikan.

Selepas Subuh, saya tidur-tidur ayam, antara lena dengan tidak. Apabila jam menginjak 7 lebih pagi. Saya terus mengajak kakak 2 untuk mengambil satay. Tempat pertama yang kami tuju ialah ke bandar Kuala Terengganu. Ini tempat pertama yang saya tempah. Dengan berpandukan GPS dan kakak 2 sebagai co pilot, kami akhirnya sampai. Sebenarnya kami terlajak juga. Terpaksa berpatah balik sebelum sampai ke destinasi tu.

Apabila sampai, saya lihat tempat membakar satay sangat banyak. Sebelum ini, saya tak pernah terfikir bagaimana tempat orang membakar satay dengan kuantiti yang menimbun. Kerana teruja, saya bertanyakan kepada tokey satay. 'Start pukul berapa ni bakor satay?'. Tokey antara ingat tak ingat, bilakah dia membakar satay. Jawabnya dalam jam 1 lebih. Saya terkejut. Dan pada firasat saya, dah tentu dia ni letih. Maka tak payah tanya banyak sangatlah. Kesian.

Selepas itu, kami menuju ke utara, atau lebih tepat. Ke kampung kakak ipar 2 saya. Di situ, saya juga memesan satay. Ye, saya memesan satay di 2 tempat. Ini kerana, pada mulanya saya nak 100 namun kerana dah terlambat, maka saya terpaksa cari satay tambahan. Lantas saya memesan dengan kakak ini. 

Ada hikmah dia rupanya. Tengah Sangat mesra alam sangat kakak ni melayan. Padahal saya dahlah tempah di saat akhir. Selepas itu, minta tambah lagi 50 cucuk. Lantas menjadikan satay yang ditempah adalah 250 cucuk. Cukuplah kan untuk makan bersama keluarga.




Kerana handphone saya semasa raya, dia buat perangai. Asyik hang aje. Maka kakak 2 saya ditugaskan untuk mesej, call kepada kakak satay ni. Mesej kat atas ni, kakak 2 saya gelak apabila dia dah hantar. Saya memang suruh dia tulis macam tu. 

Sebetulnya, mesej itu perlu di baca dengan dialek Terengganu. Kakak 2 saya cakap kat saya 'nape mesej gini bagi ke orang. Orang dok faham nak baca'. Lepas tu dia gelak. Saya pun gelak sama. Kerana mesej tu seolah-olah 2 dalam 1. Kami tanya dan kakak satay tu seolah-olah menjawab. Padahal tak pun. 

Kalian mungkin tak faham. Mana yang lawaknya? Maksudnya kat sini ialah:

Jangan gaduh = jangan terburu-burulah/tak perlu cepat sangatlah. 
Kami dok gaduh mana = kami tak terburu-buru/kami bukan nak cepat pun/kami rileks je. Lebih kurang ar macam tu maksudnya.

[HAHA! ayat Terengganu memang susah nak translate kepada bahasa luar]

Balik dari mengambil satay tu, saya dah berpakat dengan kakak 2 nak buat mee kari. Jadi sempatlah ke pasar sekejap beli bahan-bahan.

Alhamdulillah. Dari hari pertama, sampai hari ketiga, kebanyakkan makanan yang disediakan habis. Suka hati sangat kerana penat lelah kita berbaloi apabila makanan dah habis. Seronok dan berbunga sangat kat dalam diri.




Saya mengambil keputusan untuk membuat mee kari dan mee rebus. Mee kari ni sepatutnya ada aksesori dia, namun dah habis. Tinggallah sisa-sisa aja. Tak banyak dah. Gambar ni dirakam oleh kawan saya yang kebetulan masih punyai rezeki untuk merasa mee kari. Terima kasih kepada kakak 2 kerana tolong selesaikan hal kuah mee kari ni.

Mee kari habis. Mee rebus juga habis. Maka saya kegirangan.



Bersama Ziela yang disebelah kanan. Dialah yang sanggup berpatah balik untuk ke rumah saya. Ketika saya menghantar Ziela yang ketika itu dah nak balik. Tetiba dia ternampak kereta Vios putih lantas melambai. Ya Allah, rupanya kawan kami yang melintas di hadapan rumah saya. Ketika ini, kami sambung berborak di depan rumah jiran saya. 

Ziela cakap 'berani mung lalu kot rumah Aida tapi dok singgoh ork?'. HAHA! Insiden ini sangat lucu kerana, si Jan ni [kalau korang ingat, dia partner saya semasa kami ke Acheh], sebenarnya tak nak singgah pun kat rumah saya. Ceh! Kurang asam punya kawan. Dia cakap, dia just nak lalu je sebab dia baru balik dari rumah kakaknya. Tak sangka kena tahan ditengah jalan. Haha! Ziela beria tak nak dengar alasan si Jan. Bengang je muka dia. Tapi dia ok. Sempat juga kami bergambar tanda kami berjumpa.

--------

Malamnya, kami sekeluarga membuat bbq. BBQ ni dah jadi acara wajib yang perlu ditanda di dalam kalendar. Pada petang tu, kakak 1 sempat buatkan bihun goreng. Alhamdulillah, bihun tu habis juga apabila malam dah menjelang. Ingatkan dah tak habis. 





Tempat membakar kecik aje. Sebetulnya, kami dah beli tempat khas. Namun permukaannya dah bocor angkara kepanasan arang. Maka yang tinggal hanyalah tempat memanggangnya sahaja. Lain kali kami perlu cari tempat yang lagi besar. Contohnya dalam kereta sorong. Eh! Haha.

Ok. Untuk rekod, kali ini, sosej tak cukup, kerana kebiasaan kami membeli juga burger. Ini kali memang tak ada daging burger. Biasanya ayam/sosej/daging burger memang melebih-lebih. Namun tidak untuk kali ini.

Buat kali pertamanya [kot], ayam sold out! Hinggakan terpaksa potong beberapa ketul ayam lagi kerana ada 2 individu yang tak sempat makan lagi. Owh! Kesilapan ini amatlah dikesali, namun kami pandai cover. Jadi cepat-cepat potong ayam dan perap seketika dalam lebihan bahan perapan. 

Pendek kata, memang tak ada membazir pada kali ini. Sampaikan kami bercakap sesama kami, 'biasanya ayam yang dibakar akan berbaki sampai esok. Sosej pula akan dipandang sepi'. Kali ini, memang terbaik. Lain kali elok buat macam ni. Tak membazir. 

Saya tinggalkan kata-kata akhir iaitu tak membazir. Haha. Entah apa yang lawak ni, tak tahulah.



Wednesday, August 17, 2016

Olimpik 2016 - Berbasikal Akhir [Keirin]

Dalam banyak-banyak acara, tak dinafikan inilah acara yang sangat mencemaskan perasaan. Mendebarkan jantung. Meremang perasaan. Sangat dramatik! Dengan debaran untuk meloloskan diri dari kelompok yang bertanding.

Tidak cukup dengan itu, kita yang menonton terasa nak tolak aje basikal tu ke depan sampai ke garisan penamat.

Lonjakan dengan kerahan tenaga dan keringat yang ada, FUH! Kami penonton hanya mampu merasai debaran, si pelumba bertambah-tambah lagi dengan tekanan di medan juang.




Video ini walaupun telah dilihat berkali-kali, tetap mengundang debar di hati. Sebak apabila melihat pelumba negara kita mampu menewaskan pelumba-pelumba negara lain yang terkenal dengan fizikal yang besar dan tinggi.

Memang berdebar kerana ini adalah penentuan untuk ke saringan seterusnya. Akhirnya, debaran berakhir apabila Azizulhasni berjaya mendapat tempat yang PERTAMA!!!

Apabila melihat jadual perlumbaan seterusnya adalah lebih kurang jam 3.45 pagi kot dan jika menang perlumbaan akhir pada 5.30 pagi kot. Tak mampu nak melihat kerana lena beradu. Haha.

Apapun dah menang gangsa. Memang tabik spring untuk team Azizul! Kami tumpang bangga. Terharu pun ada.




Thursday, August 11, 2016

Hutang PTPTN

Ada kelapangan sedikit, maka kita gunakan sebaiknya. Buka laman web PTPTN. Memang dah lama hajat di hati nak menjenguk baki di dalam akaun. Berapa agaknya, masih menimbun atau sudah semakin kurus?

Apabila dibuka, baki yang tertera adalah RM7,600 macam tulah. Banyak lagi. Ingatkan dah menyusut dengan kelajuan yang sangat tinggi.

Boleh tak jangan perasan kalau setiap bulan, yang dibayar hanyalah RM100.

Hehe. Masih berharap ada keajaiban, akan ada tawaran potongan jika peminjam bayar secara lump sum. Yahoo.

Dalam angan-angan ajelah.

Pautan untuk ke PTPTN untuk penyata baki.

Nah : Penyata Baki

Nasib dah tukar kepada Ujrah.



Wednesday, August 3, 2016

Kisah Syawal

Seperti kebanyakan tahun-tahun yang lalu, saya sememangnya akan bercuti lebih awal untuk sambutan hari raya. Pertamanya kerana persiapan raya. Keduanya, nak raya tulah bermacam perkara yang nak dibuat. Kemas rumah, basuh pinggan mangkuk yang nak digunakan, basuh lantai di luar rumah. Banyak sangat sampai terasa setaraf dengan buruh kasar. Penat kerana tenaga perempuan berapalah sangat kan?

Tapi berbekalkan semangat nak raya serta pertolongan dari adik 3 dan isterinya, kami berjaya juga menamatkan cabaran untuk beraya. Alhamdulillah. 

Kenapa perlu bersungguh untuk semua itu? Hal ini saya bincangkan dengan jiran di depan rumah ketika menziarahinya ketika hari raya ke... [entah ke berapa]. Memang perempuan ini unik. Kemas rumah, tukar langsir, beli karpet baru, beli tupperware baru, beli itu beli ini. Untuk ditunjuk kepada siapa? 'Padahal adok orang tengok pun kan?. Pesen perangai orang puan ork?', ujar jiran saya. Apalagi, teruslah saya mengiyakan. 'Betul Kak Yah, memang doh kita ni gitu kan? Padahal adok pun orang gi belek kain langsir ke apa'. Sebetulnya ini adalah satu kepuasan. Normal bagi mereka bergelar perempuan. Seolah-olah nak semua baru. Erk, tapi tak adalah semua baru. Mana-mana yang perlu.

Cuti yang saya ambil adalah 12 hari. HAHA! Memang berbaloi dan sakan tahap maksimum saya bedal cuti. Padahal bukan balik kampung pun, bukan tinggal jauh dari tempat kerja pun. Memang dah satu tradisi raya [tetiba claim tradisi raya. Hehe].

Beberapa hari sebelum raya. Jumaat, Sabtu, saya lepak-lepak aje membazirkan cuti pada siangnya. Pada hari Ahad, saya lepak namun sambil buat kerja. Buat kerja lepak, lepas tu sambung balik buat kerja. Nak dijadikan cerita, disebabkan jiran rumah saya ni dekat dengan rumah kami. Dia tumpang bersemangat nak cuci pinggan untuk hari raya. Semua pinggan dikeluarkan dari almari yang tak pernah dia keluarkan selama dia tinggal kat sini. Urm, hampir 3 atau 4 tahun kot mereka menyewa di sebelah rumah kami. Selama itu tak pernah langsung dia keluarkan kesemua pinggannya untuk dibasuh.

Kami sama-sama mencuci peralatan dapur masing-masing sambil berbual dan bertanyakan progress di setiap aktiviti kami. Padahal bukan dapat apa pun. Eh dapat lah. Dapat semangat. Hehe.

Apabila Isnin dan Selasa menjelma, lagi banyak kerja yang saya pulun. Itulah, cuti awal tapi dia pergi melepak jer. Tak pasal-pasal terpaksa kerah keringat lebih daripada Bangla untuk berkerja. Bangla dah rehat makan daging kambing dah, saya masih berkerja kat rumah. 



Kami dah plan nak masak nasi kuning. Saya rasa inilah resepi yang paling mudah untuk kami laksanakan di pagi raya. Tak nak masak masakan bombastik sangat, sebab tak pandai satu hal. Satu lagi takut tak terjaga nak masak di pagi buta. Jadi kami mengambil langkah keselamatan.

Kakak 3 saya membuat acar disamping rendang dan nasi himpit. Kakak ipar 2 membuat gulai ikan dan saya pula memasak nasi. Saya bukanlah seorang yang terer masak, nasi pun kuning dia tak sekata. Tapi tak mengapalah, hentam ajelah.




Alhamdulillah, nasi semuanya habis walaupun pada awalnya, rasa gusar juga melihat nasi begitu banyak dalam periuk. Habis ke tak ni? Gulai pada kali ini agak berbeza. Rasanya pada pagi itu, kakak ipar saya hilang skill secara tiba-tiba atau ada masalah teknikal. Gulai ikannya tidak seperti kebiasaan. Biasanya kan, dia memang pandai memasak gulai. Namun biasalah kan, mungkin kepenatan kerana melayan kerenah Humaira. Kalau boleh nampak, nasi saya pudar kuningnya. Warna tak sekata sampai ke bawah. Haha. Masaklah kau!

Selepas solat hari raya, kami semua makan-makan. Bersalam-salaman lepas tu terus memulakan acara ziarah menziarahi secara berkonvoi.

Alhamdulillah, semua rumah saudara mara dapat kami pergi dan sangat berpuas hati dengan pencapaian ini. Mungkin boleh dikekalkan pada tahun hadapan kerana kami memperuntukkan 2 hari untuk menziarah mak/pak saudara. Yelah, kebanyakan mereka dah uzur. Jadi kita yang muda inilah yang kena memulakan langkah. Semasa kami kecil-kecil dahulu, mereka senantiasa datang kat rumah kami. Kini, giliran kami pula. Hidup umpama roda.



Hanya kiriman gambar dari adik 2 dari Kelantan. Nak buat macam mana, tahun ni giliran kampung isterinya. Jadi hanya gambar inilah yang dapat kami tatap si Baihaqi dan Adam. Adik mereka Faezah tiada dalam gambar.



Anak-anak kakak 2. Oleh kerana abang ipar 2 bertugas di pagi raya, mereka hanya dapat pulang ke kampung pada petang hari raya pertama. Ini barisan tentera kakak 2. Pasukan inilah yang biasanya dinanti kepulangan mereka. 

1. Adik-beradik mereka ramai.
2. Riuh dengan pelbagai persengketaan terutamanya si tudung merah.
3. Selalu terjadi tangisan raungan kerana tidak mendapat apa yang dihajati. 

Namun sekarang, dah bertambah baik prestasinya. Yelah, dah besar, jadi perasaan malu untuk membuat onar menurun sedikit. 



Kakak 3 bersama anak-anak dan anak-anak buah. Kepesatan bilangan anak-anak buah telah menjangkau 23 orang dan akan bertambah lagi pada tahun ini. InsyaAllah. Jadi memang tak menang tangan untuk membuat aktiviti atau melayan semua kerenah mereka.



Pada hari raya ke 2, kami pergi menziarah kakak 1 secara berkonvoi. Balik dari rumahnya, kami melalui Lebuhraya Pantai Timur. Memang sesak, sesak kerana tol. Seronok juga sebenarnya, dapatlah merasa konon-konon macam balik kampung. 

Dari pagi sampai petang kami pergi sebuah demi sebuah rumah. Ini juga perkara rutin kami. Maklumlah, antara ramai-ramai adik beradik mak, kamilah yang paling ramai adik beradik. Dahlah tu, paling ramai kot anak-anak buah yang masih kecil. Memang penuh sekali kami pergi serang. Memang terkesima tuan rumah. Tapi tuan rumah yang dah biasa dengan kedatangan kami tu, urrmm mereka dah tahu dah. Dan akan tertanya-tanya jika kami tak datang.

Alhamdulillah moga dapat dikekalkan seperti ini untuk tahun seterusnya. Dan yang penting, semoga kami dapat perbaiki mana yang kurang.

Bukankah, perjalanan yang paling baik adalah perjalanan untuk menyambung silaturrahim.