Tuesday, October 25, 2016

Kes Culik

Malam ni ada bola dan sudah semestinya bola menjadi siaran pilihan abang 2 saya. Bila waktu dah menginjak 10:00 malam lebih dan lebih. Saya cuba usulkan agar siaran ditukar.

Remote control saya capai dan channel ditukar. Buka tv3. Tak best cerita ni. Pelakon tak tahu siapa nama. Sempat lihat tak sampai 5 minit terus saya tukar cerita lain. Saya tekan info dan nampak tajuk Maduku Telefon Bimbit. Tajuk macam kelakar jadi kita tak perlu tengok.

Selepas tu saya buka Suri Hati Mr. Pilot. Tak layan sangat cerita ni sebabnya bertembung masa dengan Patahnya Sebelah Sayap. Jadi ada peluang ni, saya layan jugalah.

Sedang elok tengok dalam beberapa minit. Eh! Semakin menjadi-jadi nampaknya kes culik. Bahaya betul zaman sekarang. Rasanya baru malam tadi tengok insiden penculikan kat Patahnya Sayap Malam. Malam ni ada lagi kes culik. Si Warda kena culik. Apakah? Hahaha.

Lawak giler bilamana ada tiga jejaka pakai baju putih berdiri kat luar pintu. Macam 3 Abdul je. Rasanya mereka semua pilot. Hahaha. Tak boleh tahan nak gelak! 

Dia Semanis Honey : Hani kena culik.
Patahnya Sayap Malam : Alisha kena culik.
Suri Hati Mr. Pilot : Warda kena culik.

Hahahha. Molek sungguh buat cerita. Detektif, polis, sakit kanser.

Saya cakap kat abang 2. 'Aku dok abis lagi tengok kes culik malam [semalam]. Malam ni ada pulok. Haha'. Abang 2 jawab 'biasa ar cerita tet tet trettt tettt!'. Haha. Kena tapis.

Dahla lawak malam tadi tak habis lagi. Siapa yang perlu kita sian? Tanya abang 2 saya. Dia tanya dia jawab. Meli [Ramli ayah Amzar] ar hok sian kali [paling kesian] kata abang 2 saya. Haha. Tak pasal-pasal kena pergi balai polis bagi keterangan. Dahla sampai habis cerita tak tahu dah balik ke belum dari balai polis. LOL! 

Apapun cerita ni lebih kurang aje kan? Bolehlah untuk dibuat hiburan sesekali.


Wednesday, October 19, 2016

19.10.2016

Banyak ingin dilakarkan ayat-ayat bergabung menjadi satu ceritera panjang. Ingin dikongsikan pelbagai warna pelangi yang sedang diharungi tika ini. Saat dan tika itu hampir pasti. Mungkin akan kekal tiada berubah. Hati perlu kuat dan tetap terus melangkah. Rasamu? Tiada rasa malah hanya ingin melangsai dan membersihkan semua saki baki kerja sebelum bertukar pemandu.

Setiap apa yang Allah hadiahkan dalam hidup kita adalah yang terbaik. Satu ketika saya berfikir kenapa dia mengikut saya? Ke arah mana saya harus lari? Lagi mengusar rasa. Berfikir dan akhirnya dibiarkan sahaja. 

Hari ini, Allah leraikan apa yang saya fikir sejak beberapa bulan dahulu. Allah rancangkan yang indah buat saya. Dia datang dan saya akan pergi. Alhamdulillah. Mana nikmat Allah yang hendak kita dustakan?

Alhamdulillah. Nanti kita sembang panjang eh.



Thursday, October 13, 2016

Bidadari Di Pintu Firdausi

Beberapa bulan lepas, seperti biasa ke kedai buku. Kedai buku ni sebetulnya ada daya magnet yang buatkan kita rasa nak berlama-lama kat dalam. Belek buku satu demi satu, dari rak ke rak, dari bahu ke bahu. Tak  tak. Hehe.. Itu lagu yang Fafau, Nana nyanyi dulu-dulu.

Antara buku yang dah lama sangat saya cari tapi selalu kehabisan stok ialah Bidadari Di Pintu Firdausi. Rasanya semua orang tahu mengenai kisah pemergian Cikgu Zae/Zie tahun lepas. Kejadian tren tumbang dah tentu masih segar dalam ingatan kita bukan? 

Seingat saya, ketika di kaca televisyen memaparkan kejadian ini. Memang jelas dan terngiang lagi kata-kata hos di salah satu tv, yang menyatakan bahawa salah seorang mangsa masih muda. Dipaparkan wajah di dalam bentuk passport, nampak biasa sahaja pada pandangan saya.

Ketika menyelak di media sosial, wajah passport itu jugalah yang dipaparkan. Hati memang rasa sedih bilamana mendengar kejadian tersebut. Cuma pada masa yang sama, rasa nak tahu lagi tentang mereka dan saya fokus pada mangsa masih muda. Hati rasa ingin tahu.






Tidak lama selepas itu, barulah wajah arwah ketika di lapangan terbang menjadi viral. Mungkin orang ramai share melalui facebook ahli keluarga arwah. Ketika saya melihat wajah arwah, Ya Allah Ya Tuhanku. 100% berbeza betul dengan gambar passport. Terdetik tentang wajahnya.

Kita tidak mengenali beliau, namun apabila melihat seraut wajahnya seolah-olah  ada satu aura yang cukup menangkap pandangan. Biasan wajah yang begitu gembira bukan kepalang. Saya rasa sebak. Seri wajahnya bukan seri biasa. Seri yang tiada kata bisa diungkapkan. Tiada kata, tetapi kita dapat rasai seri dan senyumannya yang manis itu. 

Saya percaya, ramai orang di luar sana yang cemburukan dengan arwah. Mana tak cemburunya, meninggal di Mekah dan ditanamkan di perkuburan untuk syuhada. 

Buku yang telah dibeli itu, saya baca satu persatu hingga habis. Sebetulnya tak puas membacanya dan saya rasa, banyak lagi kebaikan yang arwah lakukan akan tetapi Allah hanya tunjukkan sedikit sahaja. Itupun tak terbuat oleh kita. 

Antara amalan beliau ialah solat sunat dhuha sejak dari sekolah menengah, solat tahajjud dan juga bersedekah. Ini yang kita tahu. Yang kita tak nampak? Hanya dia dan Allah sahaja yang lebih tahu. Inilah antara insan yang patut kita cemburui di dalam kehidupan kita. Tidak perlu dicemburui dengan wanita yang meraih populariti di media sosial lepas tu kita pun teringin sebegitu, tidak perlu cemburu dengan wanita yang kaya hingga kita sanggup berhabisan untuk menunjukkan kita juga 'kaya', cemburu dengan wanita  yang cantik hingga kita sanggup bermake up habisan untuk cantik, cemburu dengan wanita yang trendy lagi instafamous hingga kita hilang arah. Tidak perlu cemburu dengan mereka. Buangkan rasa itu. Marilah kita fokus kepada kebaikan seorang wanita. Ya, tak dinafikan orang kaya itu juga baik. Namun dalam konteks ini, kita perlu pandai tujukan mana contoh terbaik buat diri kita. Sekurangnya kebaikan mereka menjadi contoh buat kita.

Hidup kita adalah satu perjalanan. Perlu kutip dan isi sesuatu perkara atau bekalan yang amat berharga. Tak rugi berpenat sedikit di sini berbanding di sana.

Kalau belum memiliki Bidadari Di Pintu Firdausi, Jangan tunggu lama-lama, cepat pergi beli. Nak cerita semua tak boleh, nanti tak seronoklah nak baca kan?  Murah je harga dia. Saya beli pakai member card jadi dapat pula diskaun. Harga pun ok. Tak mahal dan sangat berbaloi untuk jadikan koleksi wajib untuk kita.

Untuk berbuat baik, menjadi baik, berubah ke arah kebaikan, perbaiki diri sikit-sikit. Percayalah. Ia tiada tarikh tamat. Setiap orang adalah baik. Dalam 100%, dah tentu akan ada kebaikan mereka walaupun hanya 65%. Kerana itu, kita tidak boleh terlalu menghukum seseorang. 


Friday, October 7, 2016

Patahnya Sayap Malam

Rupanya bukan. Saya selalu terfikir akan Patahnya Sayap Malam. Padahal dah berepisod-episod saya menontonnya. Barulah saya ketahui, tajuknya Patahnya Sebelah Sayap. Macam canggung pula nama drama ini. Memandai-mandai cakap canggung, empunya naskhah ini agaknya dah tahap pening kepala nak bagi nama. Ekeke.

Drama ini sedang ditayangkan di TV3. Saya duk bajet tayang kat Astro. Hey nadey! Selama ni engkau tengok cerita ni, minda engkau letak kat mana? Nampak sangat tak bagi perhatian pada cerita. Hehe. Nak buat macam mana, ada benda saya tak simpan pun dalam memori. Benda yang tak terlalu penting, kita perlu asingkan kat tepi. Yelah, bulan lalu suka tengok Jawi dan Rumi, sekarang Patahnya Sayap Sebelah. Eh. Patahnya Sebelah Sayap. Itu hari sangat in love dengan cerita Sweet Honey. Hurmm! Apa tajuk betul dia eh. 

1


2


3


4


5


Masih tak dapat nak cari nama cerita yang Alif dengan Siti Nordiana tu berlakon. Padahal saya tak miss tengok drama tu. Apa-ke-nama eh? 

Sweet My Honey? Gurghh! Yes. Dia Semanis Honey.

Normallah kan, dalam hidup kita ni, sekejap suka itu. Sekejap suka ini. Sekejap suka pakai baju kurung, sekejap suka pakai dress, sekejap suka pakai jubah, sekejap suka pakai palazo, sekejap suka pakai kemeja, eh sekarang dah suka pada tunik. Itulah kita. Kerana kesukaan yang sentiasa berubah itulah, menjadi idea kepada peniaga di luar untuk menjual shawl, tudung bawal dan beraneka tudung yang bermacam jenis rupa. Pointnya kerana hati manusia itu berbolak balik. 

Mukadimmah selalu meleret. 

Sebenarnya nak bercerita tentang kisah Patahnya Sebelah Sayap. Kami menonton secara beramai-ramai, saya abang 2 dan juga kakak ipar 2.

Kisah ini pada mula saya lihat, dah terus tertarik. Melihat pelakon yang berlakon bukan calang-calang. Izzue Islam, Ummi Nazeera yang saya lihat karektornya dan juga Aeril Zafril [entah macam mana eja nama dia].

Jalan cerita dia agak longgar, namun tak menghalang kami dari terus tercongok depan tv. Ada satu babak, ibu si Aeril ni hairan kenapa dia asyik senyum sorang diri. 

Ibu: Abang, kenapa anak kita tu ya? Tersenyum seorang diri.
Ayah: Entah.
Ibu: Entah-entah anak kita dah gila kot. Kalau tak, takkan dia duk senyum sensorang. Ya Allah bang, anak kita tu.
Ayah: Apa yang awak merepek ni, jaga kata-kata awak tu. Kata-kata seorang ibu adalah doa. Boleh awak cakap anak kita gila. Ya Allah awak ni.
Ibu: Saya agak aje. Dah dia duk senyum-senyum sensorang. 

-Dialog kat atas tu saya yang ubah. Saya dan kakak ipar ketawa bersama-sama. Mungkin dialog itu lucu atau kakak ipar 2 saya sekadar jaga hati saya. Haha. Padahal dialog sebetulnya, instinct seorang ibu mengatakan anak dia sedang dilamun cinta. 

Drama ini selalu menayangkan si Khuzairi ni [tadi lupa nama dia kat dalam cerita ni], duduk kat pejabat. 

Dialog tambahan kami [saya] kat luar. 

'Doh benornya mung kerja nape eh. Laptop dok buka, kerja dok buat. Mari kerja lambat lepas tu projek tetap berjalan. Projek nape dok tau. Dok kan asyik duk ulang nok minum kopi je sokmo-sokmo. Hairan sungguh. Sedak sungguh kerja gini, wak kopi pastu duk kat pantry. Pastu gi vakum lantai kejap. Pastu kerja siap, balik kat rumoh'. Haha. Jangan terlalu serius. Saya cuma suarakan kepada kakak ipar dan abang saya sahaja mengenai cerita ini. Payah juga kalau penonton minta sesuatu yang realistik

Lepas tu si Alisha buat nasi lemak. Haha. 'Wak nasi lemok pulok. Pastu jual singgit se. Pakat makan ramai-ramai, pastu pakat beli belaka'. Ke mana cerita ni nak bawa kita ni eh? Amende lagi jalan cerita ni eh. Tak sabar nak tahu.

Yang kami nak gelak, orang yang minum kopi akan cakap 'sedapnya kopi ni'. Saya hanya tertanya-tanya, kesedapan air itu sangat berbeza ke eh? Contohnya kopi. Macam mana boleh diukur tahap kesedapan air itu berbanding dengan air kopi yang lain. Maksud saya, air tangan seseorang itu. Kami macam wow jugalah kan, bab air kopi tu kan, si Khuzairi dengan si Amzar boleh tahu siapa yang bancuh kopi tu. Wow! Hebak. Haha. Banyak betul wow sebab saya terwow dengan ketereran Alisha dalam cerita ini. 

Cerita ini santai dan best jugalah untuk ditonton. Nak-nak watak kawan si Khuzairi tu. Macam lawak je. Hensem tapi kelakar sebab cara dia bercakap macam ikut dialog sangat kot. Dah macam robot pulak. Tapi tak mengapalah sebab watak dia tak banyak sangat.

Sebetulnya. Nak juga lihat drama yang mempunyai dialog yang lebih realistik atau kan best jika pelakon-pelakon dapat edit dialog mereka sesuka hati. Haha. Peninglah pengarah drama kalau semua pelakon buat macam tu. 

Apapun kami akan tunggu lagi cerita ni. Rasanya kan, si Amzar ni nanti tension juga sebab dia kan selalu ditekan dengan mak dia yang mata duitan tu, dan selalu mementingkan duit duit duit, selalu nak berlagak dalam banyak perkara. Tak pun Amzar akan masuk jail kerana dia kan langgar lari isteri si Khuzairi. Khuzairi pula mesti akan kawin dengan si Alisha. Atau mak si Amzar ni kot stress dan dibalas cash sebab dia kan suka hina si Alisha dan suka control anak lelaki bujang dia tu.

Ending dia macam urmm, boleh agak kot. Kalau tak pun, boleh twist cerita tu jadi lebih gempak tak stereotaip. Amzar masuk jail. Si Alisha meninggal kerana kena langgar lalu si Khuzairi kahwin dengan adik Alisha. Habis.

Eh. Mesti ending dia tak macam tu kan? Ok. Jangan serius sangat, ini hanya penulisan random dan kami memang suka part air kopi tu. Siapa suka minum kopi dia geng dengan Kak Dah. Kak Dah rakan sepejabat suka sangat dengan kopi. 


Wednesday, October 5, 2016

Roti Telur Kobis

Kalau mula-mula dengar, memang sukar nak diteka. Tak payah teka, tak payah nak bayangkan macam mana rupa Roti Telur Kobis ni. Saya sendiri tidak dapat nak merungkai gambaran wajah kuih ini. Kena tengok depan-depan baru boleh tergambar. Kalau tak, kirim salam di angin lalu.

Itu hari, saya dan kawan keluar untuk ke bank jika tak silap perkiraan saya. Dia bagi cadangan untuk beli kuih ni. Saya ikut aje, lagipun tak pernah nak tahu tentang gerai kecil ini. Memang hadapan gerai ni, saya wajib lalu hari-hari. Namun tak sempat nak huraikan apa yang dia jual.

Ketika kami berhentikan kereta, kakak ni tengah menggoreng. Kami pesan nak roti biasa, ayam dan daging. Jadi kami pun menunggu. Tunggu punya tunggu. Haih! Dah hampir 30 minit ni.

Semasa menunggu, saya melihat apa yang kakak ni buat pada kuih tu. Memang tak faham. Saya lihat dia goreng, ingatkan dah siap. Rupanya tak. Dia balut dan goreng lagi. Ingatkan akan berhenti kat situ aje, rupanya tidak. Dia goreng lagi dan lagi. Memang takkan faham. Yang saya faham, minyak tu akan menyerap dengan kadar yang lebih banyak dan banyak. Minyak itu akan terperangkap umpama terperangkap di dalam gua yang gelap. 



Penantian kami akhirnya berbalas dengan kuih ini. Dihadapan mata kami kuih ini terhidang. Nampak jelas lapisan berlapis-lapis dengan tepung yang dibalut lagi dengan kobis dan telur. Rasanya? Memang sedap! Berkali ganda sedap apabila kita menikmatinya ketika masih panas. Apa minyak? Haha! Minyak tak minyak, nak makan juga. Bukan main tadi eksyen berfikir weh. Minyak la, gualah. Bila dah dapat rasa, diam terpaku terus. 

Sekali sekala oklah. Kuih ini jika dimakan ketika perut lapar, ok. Boleh habis kesemua 1 biji ni. Nampak aje kecil, kenyang menyandar weh. Jika dimakan di kala perut sudah mempunyai isi, memang agak sukar nak habiskan semua sekali. Dinasihatkan makan perlahan-lahan sambil nikmatinya. Alah, kalau makan laju pun kamu nak ke mana?



Kakak ni cerita, jika roti yang biasa. Sekejap aje lapisnya. Tengok hargalah, sebab tu yang biasa murah. Kalau yang jenis ayam, daging, sardin dan seangkatan dengannya tu, haa yang tu memang lambat. Kakak ni akan goreng lagi dan lagi hingga kita akan rasa mengantuk. Jika kalian tak sabar, rasanya ada yang angkat kaki. Tapi rugilah kalau angkat kaki. Ikut rasa kaki, lapar! Jangan buat macam tu. Kena bertenang, hayati cara kakak ni menggoreng. Memang tak berapa nak sedar masa berlalu. Saya memang sedar masa berlalu kerana kat kepala asyik fikir 'dok sudoh lagi ke?'. Lambatnya, getus hati kecil. Yelah, mana tak mengumam, sebab dah nampak berderet roti kat depan tu. Rupanya itu yang biasa, yang saya cakap tadi tulah. Lapis sikit.

Kalau nak mencuba, silakan. Nak cepat? Boleh order terlebih dahulu. Datang untuk ambil aje. Senang kan? Gerai kakak ni terletak di sebelah bus stop tak jauh dengan simpang jalan UMT. Cubalah, tak menyesal. Kalau tamak, makan sensorang. Kalau jiwa pemurah, kongsilah dengan kawan.

Err. Saya tak nak berkongsi. Eh! Hahaha.


Sunday, October 2, 2016

1 Muharam 1438H

Dalam hidup kita, melalui pengalaman dan pengamatan. Lama kelamaan, kita akan dapat analisiskan apa yang penting dalam hidup kita. Sejujurnya, saya lebih tenang di blog berbanding media sosial yang lain. Di sini, saya lebih mudah untuk huraikan dengan panjang lebar dan tiada mata-mata yang memandang. Bukanlah bermaksud apa-apa. Namun di dalam facebook, kita dah tahu siapa rakan kita. Kita dah agak siapa yang membacanya. Salah? Tak salah. Namun adakala segan dan adakala apa yang kita ingin sampaikan itu tak sampai kerana salah ditafsirkan. Selalunya begitulah, macam kita jugalah, sebagai contoh apabila melihat status kawan-kawan kerana kita sendiri tidak boleh menelah 100% maksud status rakan kita di facebook mereka kan? 

Saya pernah menulis tentang impian hidup saya di dalam buku merangkap diari. Akan tetapi, diari itu telah lama terbiar sepi tanpa coretan dari saya. Dulu sangat rajin menulis, sekarang ni dah lemau. Masuknya tahun baru Islam, saya ingin gerakkan apa yang ada dalam hati saya. Saya ingin padamkan apa yang tidak perlu di dalam diri ini.

Kehidupan kita ini hampir 90% [atau lebih] melibatkan pergaulan dengan manusia. Suka atau tidak, banyak kesalahan yang kita kumpul membabitkan manusia yang lain.

Tempat kerja: pergaulan dengan rakan sekerja. Sebolehnya jika diikutkan hati saya, saya lebih gemar membuat urusan sendiri, membuat kerja sendiri, melepak dengan rakan yang kita senangi dan boleh masuk kepala senang cakap. Saya tidak betah untuk mencari krisis yang tidak berkesudahan. Namun sekarang, saya tahu saya diuji. Diuji kerana mungkin saya berada di posisi yang salah. 

Beberapa hari lepas, saya menaikkan 2 status mengenai hal tempat kerja [tulisan tu dah habis berlapik]. Sebetulnya, saya tiada masalah langsung dalam hal ini kerana saya adalah badan yang berkecuali. Tidak terbabit dengan sesiapa, pegawai Alhamdulillah sangat baik, terlampau baik boleh saya katakan. Rakan sekerja dalam bahagian saya pula ok. Tiada masalah. 

Namun, apabila kita berkawan, masalah kawan adalah masalah kita juga. Mereka memendam emosi, saya tahu kerana mereka berkongsi rasa dengan saya. Namun apa yang boleh saya lakukan sebagai rakan? Sejujurnya, saya adakala letih dan ingin lari daripada permasalahan ini. Sepanjang saya berkerja, saya fikir inilah keadaan yang sangat meletihkan fikiran saya. Ingin saja saya lari dari semua ini. Eceh eceh. Padahal tak perlu fikir pun. Tapi itulah, cubit paha kiri paha kanan pun terasa. Kerana itu saya memang diuji dengan keadaan. Jika mereka yang betul-betul kenal dengan saya, mereka dah tahu saya ini bagaimana. Hal-hal yang remeh sebetulnya bukan keutamaan saya. Masih banyak hal penting yang perlu saya utamakan.

Kamu yang baca tentu penat kan? Maafkan saya. 

Cuma, menurut pemerhatian saya sebagai pemerhati luar ini. Tak kira kita berada di peringkat mana, jangan atau elakkan sikap tidak berpuas hati terhadap rakan sekerja tanpa sebab. Perkara ini agak rumit apabila si Nona Manis boleh lakukan apa sahaja, namun si Ice Blended tidak boleh. Si Ice Blended sentiasa dipantau sedangkan si Nona Manis lepas bebas [saya selalu katakan kepada si Ice Blended bahawa si Nona Manis ini sangat bernasib baik. Allah bagi nikmat yang banyak kepadanya]. Saya yang melihat ketidakadilan kepada si Ice Blended ini dalam beberapa perkara yang terang lagi jelas. Dan yang penting saya melihat dengan mata saya sendiri. Hasrat hati adakala ingin bersuara. Tetapi layakkah saya bersuara? Jika bersuara perkara yang benar, apa pula pandangan rakan-rakan yang lain? Pengkhianat? Pengadu domba? Sibuk hal orang lain? Saya tidak pasti, kerana itu saya hanya mampu meluahkan 2 status di facebook. Itupun secara kiasan. walaupun hati dah geram benar! Tumpang geram. 

Selalu saya katakan pada si Ice Blended, jika saya tidak berkawan dengannya, dah tentu saya tidak perlu memikirkan hal ini. Saya serius mengatakan hal ini kepadanya kerana saya sebenarnya tersepit dan muak. Kalau nak tahu, si Ice Blended ini sangat baik dan dia bukan orang yang aktif di facebook, tiada sesi luahan perasaan di media sosial. Paling teruk, dia akan luahkan kepada kami. Itu sahaja. Kerana itulah, saya tanpa dipinta oleh Ice Blended ini, membuat status kerana hanya itu sahaja yang mampu saya tolong. Tolong luahkan bagi pihak dia.



Saya berharap, dengan kedatangan tahun baru Islam ini, saya tidak lagi terlibat tanpa sengaja di dalam perkara-perkara yang sebenarnya membuang masa kita. Adakala perkara itu sangat remeh dan tidak sesuai untuk kita layan. Di dalam hidup kita, banyak lagi perkara pokok dan besar yang perlu kita beri perhatian. Apa tujuan kita hidup? Apa pengisian kehidupan kita? Pada peringkat umur macam ni, apa yang kita nak buat? 5 atau 10 tahun lagi apa kita nak buat, apa perkara yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan nilai tambah dalam diri kita? Apa yang ingin kita tinggalkan kelak? Masa makin laju meninggalkan kita, kita pula letih memikirkan perkara remeh hingga merugikan. Saya sebolehnya tidak mahu di dalam kamus hidup saya, dihiasi dengan perkara sebegini.

Semua orang tahu, hidup ini bukan setakat di sini sahaja. Bukan setakat memendam rasa dengan rakan sekerja. Tidak. Itu hanya picisan yang saya kira bukan tujuan hidup kita. Namun, dengan keadaan sekarang, kita banyak habiskan masa di pejabat dan tidak boleh tidak, mesti ada sedikit krisis. Sebolehnya, dah tentu kita inginkan suasana yang lebih harmoni. Ah! Saya rindukan akan waktu lalu ketika berada di dalam bilik kecil, buat kerja, makan dan balik kerja.


Setiap orang mempunyai perancangan dalam hidup. Tidak kira perancangan itu berjalan lurus atau tidak, kita tetap perlu merancang. Jika gagal? Tidak mengapa. Ini pendapat saya sahajalah. Bagi saya tidak mengapa jika gagal, namun sekurangnya kita telah merancang dan mungkin perkara itu belum dapat direalisasikan sekarang. Akan datang? Kita tidak tahu kan?



Dalam diri  kita, ada perangai buruk yang kita rasa perlu ditinggalkan seiring dengan usia kita. Saya fikir, suasana yang lebih aman menghiasi diri ketika saya belajar dahulu bersama rakan-rakan teman sebelajar. Sekarang, adakala diri ini terperangkap dengan masalah budak-budak sekolah menengah. Lebih kepada kebudak-budakan. 

Saya selalu berdoa dan yakin, tentu si Ice Blended akan menemui sinar di akhirnya. Sekarang, bertahanlah untuk seketika.



Saturday, October 1, 2016

Rumi dan Jawi vs Jaja dan Din

Beberapa bulan yang lepas, Astro ada menyiarkan cerita Rumi dan Jawi. Mula tertengok dan rasa cerita itu best. Gigih balik dari kerja untuk menonton. Namun adakala, terlepas juga nak lihat episod Rumi dan Jawi ni. Nasib baik ada kawan pejabat yang rajin untuk donwload semua cerita ni dan kami main pass pendrive je. 

Ambil pendrive dan copy kat dalam laptop. Drama ini mengisahkan Rumi yang nama penuh dia Jalaludin Rumi. Rasa nak tergelak dengar nama dia macam ni, sebab ingatkan singkatan dari nama apa. Sementara itu, nama Jawi pula ialah Sharifah Jawiatul xxx [kalau tak silap]. Cerita dah lama, itu pasal ingat-ingat lupa.

Rumi adalah lepasan pelajar dari Mesir, yang dulunya pernah belajar engineering namun dia quit sebab jiwa dia bukan kat situ. Manakala si Jawi pula adalah pelajar luar negara yang memang dah ada teman lelaki.

Apabila di Rumi ni dah balik ke tanah air, adalah beberapa konflik keluarga terjadi. Adik perempuan Rumi agak sosial dan enggan mendengar kata si Rumi. Manakala mak dan ayah tiri Rumi pula dah biasa hidup bebas. Tak solat, tak kisah nak buat apa. Manakala adik lelaki Rumi pula menjadi pelakon. Haha. Kelakar je watak adik lelaki Rumi ni. Nama dia Salahuddin Ayyubi.

Insiden pada mula cerita ini, adik perempuan Rumi ni memberontak kerana Rumi selalu pesan jangan buat itu, jangan buat ini. Senang cerita, adik perempuan dia terasa dikongkong oleh Rumi sejak abang dia ni balik kat rumah. Adik dia memberontak. Mak ayah tiri dia pun memberontak termasuk adik lelaki dia. Kena kejutkan solat subuh, sampai tahap Rumi simbah air kat muka adik-adik dia ni. Hinggalah satu tahap yang sangat kritikal, Rumi beli speaker. Haha! Dia azan subuh kat dalam rumah dia. Lagilah orang kat dalam rumah tu bengang.

Cuma agak sedih, bilamana part speaker dia tu, wayar dia kena potong. Si Rumi ni just guna portable speaker ngan mic tu je. Tapi kan orang tak suka. Memang sedih jugalah.



Sehingga satu ketika, birthday ayah tiri Rumi yang lebih kurang sebaya Rumi. Haha. Tapi yang bestnya, Rumi ok je dengan ayah tiri dia. Budak baik katakan. Dia selalu cuba untuk menentang kemungkaran dan mengajak ke arah kebaikan. Namun tak semua orang suka kan? Semasa birthday ayah si Rumi, dia buat hal kerana mak dan ayah tiri dia buat party. Jadi Rumi ambil keputusan untuk blackout kan rumah dan takutkan tetamu dengan jadi hantu olok-olok. Bengang je mak ayah tiri dia. 

Berbalik pada adik perempuan dia, kerana degil dia dihantar ke sekolah pondok lebih kuranglah. Itu pun adik dia memberontak dan akhirnya mak ayah tiri dia bawa balik semula adik perempuan dia tu. 

Konflik sangat banyak, melibatkan juga si Erra Fazira dan bekas suaminya, melibatkan juga jirannya dan bekas suami [apabila diceraikan kerana paksaan oleh isteri pertama dia]. Si Rumi inilah yang jadi tukang penyelamat keadaan hinggakan si Erra ni jatuh hati pada Rumi begitu juga dengan jiran Rumi ni. Kiranya Rumi ni memang pilihan hati wanita kerana akhlak dia tu.



Watak Rumi ni tampak lurus, sebetulnya dia betul-betul berpegang pada ajaran agama. Dakwah yang dia lakukan memang tak keras sangat sebetulnya, cuma orang biasa tak boleh terima. Dialog yang boleh kita hafal yang selalu sangat keluar dari mulut dia ialah Astaghfirullahalazim. Dan dalam kisah ini, Rumi adalah anak yang sangat baik. 

Pendek cerita, sebab kalau cerita details memanglah tersangat panjang. 

Adik perempuan Rumi meninggal, mereka pindah rumah sebab mak dia sedih dengan kematian adik perempuan dia. Selepas itu, mak dan ayah dia dah macam berubah sikit demi sikit, Adik lelaki Rumi pun ambil keputusan untuk sambung belajar dan tinggalkan lakonan. Untuk semua babak-babak ini, banyak insiden kelakar sebetulnya. Kalau nak tulis, memang tak tertulis. Sebab banyak sangat.

Rumi berjumpa dengan si Jawi adalah ketika di pejabat agama kalau tak salah, kerana masa tu mak si Jawi ni ada masalah rumahtangga. Selepas tu, banyak lagi insiden pertemuan mereka. Sehinggalah mereka bertemu lagi ketika dalam perjalanan ke luar negara. Semasa itu, Rumi dalam perjalanan untuk kerja dia bagi memberi ceramah kepada pelajar di luar negara. 

Jawi pula yang dah mempunyai teman lelaki akhirnya putus di tengah jalan. Sedihla si Jawi ni. Banyak kerja nakal yang Jawi buat ke atas Rumi sebab dia benci sangat ustaz kerek ni.

Saya skip cerita, akhirnya Rumi ni kahwin dengan si Jawi. Macam dah boleh agak kan? Tapi pertengahan cerita ni, memang kena lihat sendiri sebab banyak pengajaran yang kita boleh ambil.

Walaupun dah kahwin, si Jawi masih lagi degil. Degil giler dia ni. Namun akhirnya Jawi berubah. Selepas melihat cerita ini, saya teringat akan cerita Jaja dan Din

Perbezaan cerita ini : Jaja senang untuk berubah kerana Jaja yang minat pada Din [ustaz]. Jawi pula susah nak berubah kerana Jawi tak suka dengan Rumi. Tahap benci giler! Jawi atau Rumi saling tak sangka atau tak nak mereka berjodoh. Mereka minta dijauhkanlah. Sebab Jawi anggap Rumi ni ustaz poyo. 

Persamaan cerita ini : Jaja berubah memakai tudung. Jawi juga berubah memakai tudung pada akhirnya. Hidayah itu milik Allah. Si Rumi sebagai suami hanya mampu menasihatkan, menegur secara keras dan lembut pada si isteri, yang akhirnya tetap berbalik pada Allah. Jika Allah izin, ia akan berlaku. 

Kesimpulan cerita ini, setiap orang boleh berubah menjadi baik dengan izin Allah. Kerana itu, kita tidak boleh menghukum orang sampai orang tu dah confirm akan masuk neraka. Adakala dari 100 bahagian, mungkin 30% keburukan. Jadi kita tidak boleh menganggap keburukan mereka itu 100% disebabkan kita tak suka dengan mereka. Kerana itu, terdapat pesanan yang cakap. Benci pada dosa mereka, bukan pada diri pelaku ni. Ini adalah benda yang berbeza yang selalu kita tertukar dan terlalu mengikut emosi. 

Tontonlah cerita ini, tak rugi kerana drama yang menarik dan lain sikitlah dari drama-drama biasa tu. Pelakon pun hebat-hebat. Antaranya Shaharul Ridzwan, Juliana Evans, Erra Fazira, heroin cerita Fathia Latif dan hero Remy Ishak, Aqasha dan entah apa nama lelaki muka putih-putih tu disamping watak mak ayah tiri dan adik-adiknya tu.