Saturday, December 31, 2016

Tempat Baru

Karangan asal mungkin pendek. Namun mungkin menjadi panjang tak terkawal. Jadi AWAS! Sila bersabar dan continue reading. HEHE.

Awal tahun lalu, telah ditulis mengenai perkara ini. Peringatan Yang Sentiasa Dalam Hati . Dan sekarang genap 1 bulan lebih berada di tempat baru. Eh, sekarang dah 2 bulan kerana entry ini terperap dalam draf agak lama. Kerana itulah beberapa bulan lalu, kehidupan saya agak terpenyek. Padat dan perlu dilunaskan seberapa segera beberapa hal yang penting.

Selepas menghadiri majlis konvokesyen kakak 2. Masuk saja kerja, tak lama kemudian mendapat perkhabaran mengenai keputusan kenaikan pangkat. Rakan-rakan terdekat mengucapkan tahniah. Dan tahniah mereka saya terima dengan perasaan biasa. Hamboi! Kemain kau eh. HA HA!

Ok ok. Serius. Jangan nak main-main sangat. Sejujurnya saya tiada rasa. Saya cuba hadirkan perasaan GEMBIRA, TERUJA atau sama maksud dengan KEGIRANGAN YANG TIDAK TERPERI. Namun tiada. Gagal. Saya sendiri rasa pelik dengan diri ini. Tak kan tak happy kot? Naik pangkat beb! Tak ada. Takkan nak tipu diri sendiri bajet happy tapi rasa biasa? Saya cuba mengingati detik-detik ketika saya memperolehi keputusan mendapat tawaran sambung belajar, tawaran dapat kerja, keputusan dukacita tak berjaya dalam temuduga, tak berjaya dalam menyambung ke IPTA selepas tamat SPM. Saya dapat kenal dan rasai kehadiran gembira atau sedih. Kali ini, saya cari namun hampa! Ah sudoh. Bakpe ni eh?

Saya rasa biasa. Jika kawan-kawan yang baca tentang kisah ini. Kalau nak tahu, perasaan biasa inilah yang hadir dalam diri ketika mendapat perkhabaran itu. Rakan-rakan terdekat memang dah tahu perasaan saya ni. Kawan-kawan yang tak sempat berjumpa khabar, mereka tak tahu. Sangkanya saya kegirangan tak terbendung. Urmm. Masih terbendung kegirangan itu dengan skala biasa. Entahlah. Kadang kita pun sukar nak telah perasaan sendiri.

Agakan saya, rasa biasa ini mungkin kerana perkara ini terlalu lama, terlalu banyak cerita yang panjang, terlalu banyak perkara-perkara yang sulit untuk saya ceritakan sehingga saya selalu mengungkapkan ayat 'saya tutup buku dah pasal ni'. Kalau mereka yang tak kenal saya, tentu beranggapan 'nak cover la tu, padahal berharap setinggi gunung'. Tidak. Saya tidak meletakkan harapan setinggi gunung atau melebihi gunung. Pernah jugalah, sekali dua saya terfikir bagaimana jika saya mendapat kenaikan pangkat? Bagaimana keadaan tu? Namun perkara itu tinggal persoalan di angin lalu sementelah saya banyak benda lain nak fikir. Tambah lagi, apabila saya fikir setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing. Rezeki orang kita tidak tahu. Kalau dapat itu rezeki. Kalau tidak, kita akur. Kerana kenaikan gaji untuk orang bawahan bukannya seribu dua. Tak ada macam tu nya.

Saya selalu fikir dengan gaji sekarang. Ia sudah mencukupi bagi saya. Wah riak betullah. Bukan riak. Ini cakap benda yang betul. Tinggal di kampung sahaja. Saya tidak mempunyai hutang perumahan [buat masa ini], saya tidak mempunyai hutang yang besar-besar di bank selain kereta dan PTPTN. Jadi kalau saya menyimpan, insyaAllah memang ada lebih lagi. Namun jika saya berbelanja macam puteri di kayangan, memang mencekik maggilah jawabnya. HAHA! Mulalah duk mengira hari 'bila nak dapat gaji ni eh?'. Saya tidak terkecuali untuk membilang hari gaji. LOL! Mana mungkin saya berbelanja tanpa melihat tag harga. Berpuluh kali belek tag harga baru beli. Hehe. Apa yang saya pegang ialah, apa yang ada harus disyukuri dan saya selalu berdoa agar apa yang saya ada dicukupkan. Tak nak rasa tak cukup, tak nak berlumba-lumba dengan orang lain. Kerana itu, sukar untuk orang faham diri kita kerana prinsip kita tak semua orang tahu. Walaupun mungkin ada yang bajet konon macam tahu. Eh dia ni. #ajardirirasacukup!



Rupanya, pada hari penyerahan surat kenaikan. Saya menerima surat pertukaran jabatan. WHAT?? Patutlah dari awal saya rasa biasa. Mungkin ini punca utama kenapa saya dari awal tidak rasa gembira perkhabaran mengenai keputusan kenaikan pangkat. Tiada angin tiada ribut, maka terpaksalah saya menerima semua itu dengan hati yang terbuka.

Maka, bersiap sedialah membuat persiapan terakhir untuk perpindahan. Tempoh yang ada sangat singkat. Lebih kurang seminggu lebih atau 2 minggu kot sebelum berpindah. Semua kerja saya bereskan untuk ditinggalkan kat staf baru nanti. Datang pada hari Jumaat dan Sabtu melunaskan tunggakan kerja. Ketika itu memang agak sibuk dengan pelajar mendaftar kursus dan beberapa perkara lain.

Kalau lihat pada gambar, nampak tak penghadang plastik warna biru tu? Itu untuk lindungi habuk kerana pejabat tengah dibaiki. Ada sedikit masalah pada lantai. Meja kawan baik pun dah teranjak hampir dengan meja saya. Tak lama dah nak ucap selamat tinggal pada 2 orang kawan yang rapat dengan saya ni. Nak kata sedih, tak juga. Biasa je. HAHA! 




Akhirnya siap juga kemaskan meja ni. Memang tak nampak beza sangat kan? Haha. Hakikatnya dah habis daya dah ni saya kemas meja. Berbalik kepada tak sedih nak berpisah dengan 2 kawan rapat.

1. Kami akan sentiasa berjumpa pun. Ketika makan atau ketika setiap Selasa dan Rabu dengan agenda kami.

2. Saya yakin setiap apa yang Allah tetapkan pada diri ini adalah yang terbaik. Saya pegang kata-kata ni. Mana mungkin saya pertikaikan apa yang Allah tetapkan pada saya iaitu kena tukar. Namun saya pernah la bersoal kepada diri sendiri dari sudut pemilihan 'bakpe aku eh?'. Sebab kita bukanlah bagus sangat. Dah 2 bulan kat sini, adalah juga rasa macam lambatnya buat kerja. HAHA! Rasa macam budak baru je. Mungkin kat sini, suasana dia agak berbeza dengan tempat lama yang mana ada sesetengah keputusan, kita boleh buat tanpa bertanyakan kepada bos kita. Untuk hal-hal yang simple lah. Kalau hal-hal besar, memang tak berani. Kena tanya bos dulu macam mana. Pendek kata, pandai-pandailah beza mana yang perlu dirujuk, mana yang tak perlu.

Dan yang pentingnya ialah dah tak perlu bertugas di kaunter buat beberapa tahun ini. Rehat seketika. Bukan tak suka. Cuma bagi saya, bukan mudah untuk bertugas di kaunter. Percayalah. Di sini emosi kita banyak diduga. Apabila dah tak jaga kaunter, membawa maksud, kurangnya perasaan amarah, perasaan geram, perasaan macam-macam apabila berurusan dengan pelajar [terutamanya]. Dulu, selalu juga rasa geram, rasa nak marah. Sebal je, bilamana ada pelajar yang kerek semacam dengan kita. Dia yang salah, tapi salahkan kita. Macam-macam. Sekarang, semua ni dah tak ada. Dah simpan dalam sejarah. Rasa lega dan bersyukurnya kerana Allah dah kurangkan beban kat hati. Dalam blog ni, ada beberapa kali saya tulis perihal menjaga kaunter. Memang terpaksa melayan banyak kerenah. Ada hari boleh sabar, ada hari menjadi singa!. Kerja baru dah tak libatkan pelajar lagi. Sayonara!

3. Kesedihan hanya hadir ketika bermesej dengan orang yang banyak sangat menolong saya iaitu Kak F. Kata-kata dia buatkan saya sebak. Kak F ni dia kerja di jabatan lain, namun urusan saya banyak memerlukan bantuan daripada dia. Memang sangat sedih bilamana mengenangkan akan berkuranglah kami untuk berurusan selepas ini. 



Ini tempat baru. Nampak tersusun kerana kat sini ada partition. Kat tempat lama saya, kami tak ada bajet nak buat. Jadi guna ajelah mana yang ada. Benda ini tidak menjadi masalah bagi saya. Ada, adalah. Tak ada, tak adalah. Dah ada tempat duduk tu, dah kira bersyukur sangat dah.

Selepas 2 bulan kat sini. Saya dah tetapkan matlamat saya macam mana. Mana hala tuju saya selepas ini. Di sini, bukan untuk selamanya. Tidak mungkin untuk berlama-lama. Sesiapa pun boleh duduk di tempat ini kerana insyaAllah setiap orang boleh lakukan kerja yang saya buat [ambil alih] sekarang ni. Bagi saya, tempat ini hanya untuk refresh kembali mana-mana yang perlu dan upgrade semula diri saya dengan persekitaran kerja. Yang penting adalah menambah ilmu baru yang kita tak tahu.






Kalendar ini saya tandakan dengan perkara penting sehingga habis semester. Rupanya selepas dapat tahu kena bertukar. 1 November terus saya tandakan dengan pertukaran. Itulah kan, kita merancang. DIA juga merancang. Saya merancang semester demi semester. Namun pada awal bulan, Allah dah rancang untuk saya ke tempat baru. Suasana baru, angin baru.

Maka, jalanilah hidup seperti biasa. Ecewah! Adalah beberapa perkara yang perlu saya sesuaikan terutamanya bab cuti. 

Tamatlah kisah perjalanan di Akademik. Berlalulah kita ke dunia baru. Inilah penutup 2016 yang saya kira sangat berbeza dengan tahun-tahun sudah. 

Sekian.



Thursday, December 29, 2016

Overtime

Nak tulis di instagram rasa macam tak privacy. Nak tulis di facebook rasa tak best. Macam open sangat. Maka kita tulis kat sini ajelah. Kat MPS ni jugalah saya duk bertenggek. Menumpang privacy. Kat sini kita tak tahu siapa yang baca. Kat blog tak ramai yang menyinggah dan yang penting, mungkin kita tak saling mengenali pun. Itu lagi selesa sikitlah nak menulis.

Agak personal penulisan kali ni. Entah bila tak personal pun, tak tahulah. Keh keh keh! Beberapa hari lalu, sempat ambil kesempatan untuk claim overtime. Sebetulnya, tak sedar langsung ada arahan ot masuk kat dalam emel. Ini dah bulan 12. Arahan adalah untuk bulan 11. Masih sempat nak claim.

Buka bahagian kewangan. Klik mana yang patut, masukkan waktu dan tugasan. Saya tengok pada angka ot yang bakal kita dapat. Wow! Banyaknya. Ehem. Tafsiran banyak bagi saya mungkin tak sama dengan kalian. Bila saya lihat angka tu, saya rasa macam dah kaya giler! HAHA. Rasa macam banyaknya duit. Astaghfirullah. Baru tengok angka, belum lagi pegang duit. Terus keluar $$$! Nasib baik sedar diri. Kalau diikutkan kegirangan kat hati yang tak terperi ni, mahu lupa diri!

Sebetulnya saya baru perasan dan sedar. Selama ni macam tak sedar dan tak ambil berat. Tak pernah
nak cakna dengan sepenuh hati dan jiwa. Nak dijadikan cerita, claim tu untuk 2 hari. Angka yang bakal kita dapat mungkin dalam ratus. Jangan bayangkan RM400-RM500++ dan ke atas. Jangan! Kerana angkanya sikit je tapi banyak bagi gwe. Tak lebih dari 350 ke atas pun. Cukup untuk beli barang dapur secara bijak. Makanya sudah tentu bawah lagi dari angka di atas tu. Adalah seratus dua. Bagi saya dah banyak ni, dah memadai sangat even angka ni macam sikit je bagi sesetengah orang. Yelah, kadang kalau orang tu gaji besar, angka ni macam tak bagi kesan sangatlah pada mereka.

Pada saya, angka ni dah banyak sangat untuk 2 hari. Dan saya terfikir satu perkara. Betapa mudahnya kita untuk dapatkan duit extra. Ya, saya tahu ini memang layak untuk di tuntut oleh kita. Dah kita buat kerja kan? Namun bukan itu soalnya.

Soalnya ialah senangnya nak dapat duit. Faham tak? Kita hanya datang buat kerja dan claim. Dapatlah ot. Ini tak termasuk gaji tetap kita. Ot ni boleh diibaratkan hanya nasi tambah. Kata orang, dah kenyang dengan sepinggan nasi, kalau masih nak tambah tak ada masalah pun. Memang terhidang dan tunggu nak cedok je.

Apa yang membuatkan saya terfikir tentang hal ini ialah kemunculan pakcik-pakcik penarik beca yang menunggu pelanggan. Bayangan ini muncul di minda. Tak suruh muncul pun. Tapi dia muncul sendiri. Saya melihat angka tersebut dan saya tak boleh menepis perasaan ini. Kita mungkin agak mudah untuk mencari sumber kewangan, namun di masa yang sama. Masih ramai orang di luar berkerja keras demi mendapatkan seratus, dua ratus ringgit untuk kelangsungan hidup. Seorang penarik beca mungkin menghabiskan sisa-sisa tenaga mereka dengan peluh yang memercik  di dahi. Letih tubuhnya mengayuh demi mendapatkan imbalan. Mungkin apa yang mereka dapat hanya seratus atau dua ratus dengan memakan masa seminggu. Saya mengambil masa mungkin 2 hari sahaja.

Rasa agak sukar saya jelaskan perasaan ini. Harapnya kalian faham arah tuju dan maksud tulisan ini. Rasanya saya tak tersasar jauh untuk membawa pengertian rasa jiwa ini.

Saya hanya menunggu angka ot masuk di dalam bank. Jika saya teruskan permohonan ot ini hingga akhirlah. Setakat ini tak proceed pun lagi. Manakala pakcik penarik beca, dah tentu mereka akan mengira duit yang mereka dapat itu di tangan mereka.

Pastinya mereka akan mengira helaian demi helaian. Mungkin warna biru lebih banyak dari not hijau. Mungkin not hijau lebih banyak dari not merah. Dan saya pasti jarang sekali not ungu berada di telapak tangan mereka. Saya pasti kerana tambang beca bukannya beratus-ratus ringgit. Dah tentu mereka mengira duit termasuk syiling-syiling untuk mengenapkan sesuatu jumlah.

Kenapa perlu semua ini muncul dalam fikiran eh? Kerana mungkin saya ni selalu lupa. 

Kerana Allah nak ajar saya supaya menghargai dan mensyukuri setiap nikmat yang saya ada. Syukuri apa yang dipinjamkan kepada saya. Untuk menyedarkan hati bahawa masih ramai orang di luar sana memikirkan apa alternatif untuk mendapatkan duit. Mungkin kita tak kisah, namun masih ramai yang kisah!

---
Aku.
Yang dulu juga begitu.




Friday, December 16, 2016

Oh! RELA vs Viral

Baru-baru ini, saya ada terbaca mengenai satu kes viral mengenai seorang anggota Rela yang dikatakan tidak membenarkan seorang peniaga untuk masuk dan kena parking kat luar untuk hantar barang. Post tersebut dishare dengan pantas dan merebak. Ironinya, menggunung pelbagai komen yang sangat negatif. Ya Allah, sangat menyedihkan perasaan.

Komen yang dilontarkan rata-ratanya menyebelahi peniaga perempuan tersebut yang dikatakan ingin  buat program dakwah. Saya sebagai pembaca hanya membaca namun di dalam hati terasa sangat sedih. Rasa sangat jari nak menaip untuk hentikan semua kata-kata negatif yang saya kira terlebih negatif itu. Namun akal mengatakan JANGAN! kerana kita akan terbuai dengan emosi lantaran akan ada balasan demi balasan komen daripada pelbagai jenis pembaca yang pemikiran mereka tidak sama dengan kita. Setiap orang ada pendapat masing-masing. Lebih-lebih lagi di dalam page sebegitu.

Betapa masih ramai orang kita hanya suka mendengar, membaca seterusnya mempercayai bulat-bulat hanya daripada satu pihak. Kita hanya membaca cerita luahan daripada peniaga perempuan ini. Namun kita tidak mendengar penjelasan atau cerita sebenar daripada pakcik Rela tersebut.

Adilkah kita untuk menghukum, menghentam, menghina individu ini yang dia sendiri tidak tahu kisahnya menjadi viral hampir segenap pelusuk media sosial? Keadaan ini membuatkan saya terbayangkan seolah-olah ada seorang pembawa berita membacakan berita tentang si Mangsa. Kita yang menjadi pendengar lantas terus menembak si Mangsa ini yang mana mulutnya ditutup, tangan diikat. Adilkah untuk kita berbuat demikian tanpa memberi ruang dan peluang untuk si Mangsa memberikan penjelasan?

Ya. Itu hanya bayangan saya sahaja. Namun itulah yang berlaku sekarang. Jikalau peniaga itu ingin bercerita mengenai kekesalannya kerana tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam kawasan bagi menghantar barang niaganya. Itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi isunya ialah tergamak beliau meletakkan gambar petugas Rela tersebut tanpa diblurkan. Jika ingin jadikan insiden itu sebagai pengajaran, boleh sahaja peniaga itu tutup sedikit wajah petugas tersebut. Ceritakan kisah yang boleh kita jadikan iktibar. Saya juga pernah meluahkan rasa hati apabila terjadi sesuatu insiden yang mengundang amarah dalam diri. Namun kita perlu menapis mana yang perlu untuk jadikan kisah itu iktibar atau sekadar luahan yang tidak memerlukan komen yang tidak perlu!. Saya yakin mereka yang dah terbiasa dengan kerja dakwah, sudah tentu tahu untuk olah cerita agar dijadikan tauladan bukan untuk menarik pembaca bertukar menjadi penghentam menghentam seseorang itu.

Saya melihat isunya di sini ialah ekoran ketidaktepatan waktu oleh peniaga. Saya tidak pasti apakah perasaannya apabila melihat semua orang menyokong tindakannya dan mengutuk dengan bertubi-tubi petugas Rela tersebut. Amankah rasa hatinya? Lenakah tidurnya? Bagi saya, ia sesuatu yang sangat besar kesannya. Mungkin untuk seketika kita berasa menang. Namun kita mungkin lupa, tidak selamanya kita akan menang. Tanpa sedar kita berdosa dengan orang yang tidak pernah kita kenal ini. Masakan tidak, dengan tulisan kita menghadirkan tentera-tentera penghukum maya yang tanpa simpati mengeluarkan ayat-ayat yang sangat meluluhkan perasaan. 

Tenatnya dunia sekarang. Kita bergaduh tanpa perlu keluar dari rumah. Kita bergaduh menghina orang lain tanpa pernah berjumpa dengannya. Kita bergaduh hanya dihujung jari. Begitulah kita tanpa sedar telah ditarik dengan kuasa media sosial. Hinggakan lupa menjaga diri, menjaga akal, menjaga jari sekaligus menjaga hati daripada berbuat perkara yang tidak perlu. 

Petugas Rela itu hanya tidak membenarkan perempuan itu masuk ke bahagian dalam [khemah]  untuk turunkan barang niaga. Maksudnya perempuan tersebut perlu mengangkat barang dan mungkin agak jauh baginya sementelah dia perempuan dan stafnya tidak ramai. Namun dia kena ingat, puncanya kerana dia sampai satu jam lewat untuk persiapan booth. 

Melihat kepada gaya penceritaan kita dah boleh nampak salah itu puncanya dari mana? 

Yang ini menjaga tugasnya, yang ini mempunyai kepentingannya sendiri. Kita? Kita pula tidak berada di situasi itu, yang hanya membaca. Tak perlu hentam tak perlu menghina tugas Rela. Rasanya tak perlu kot menulis melebih-lebih. Remain silent itu yang terbaik kerana mungkin kita akan tersalah tafsiran.

Tak bolehlah orang tu salah mungkin 3 hal, kita balas dengan beribu komen yang teruk. Memang pakcik tu tak akan menang. Namun tak mengapalah. Siapa yang salah, siapa yang betul. Secara tepatnya kita tidak tahu. Namun tidak salah untuk memohon maaf kepada petugas Rela tu atas isu viral yang tidak mungkin dapat kita padamkan semula. 

Untuk kita pula, Ambillah iktibar. Jaga jari. Mungkin Allah ingin duga kesabaran kita. Tidak berlaku semua ini tanpa izinNya.


Saturday, December 3, 2016

Hikayat Konvokesyen Melabuhkan Tirai

Untuk hikayat terakhir ini, biarlah ditulis dengan semua rasa. Untuk kesayangan hati saya ini, biarlah terabadi di sini. Ayat tak boleh nak jiwang lagi ke? HA HA! Adakala meluat juga baca ayat sendiri. Tak pepasal nak menjiwang. Ini bukan jiwang, ini ekspresi kepada perasaan kasih adik kepada kakak dia. Nak juga pertahankan diri sendiri.

Beberapa tahun yang lepas, ada ditulis tentang Dia Dah Marah. Saat ini, dia masih lagi gigih belajar. Kami adalah tempat untuk dikerah bagi mendapatkan idea assignmentnya. Namun hampa. Adik beradik dia, bukan boleh diharap. HAHA!

Saya copy ayat sendiri yang dah lama dalam draf.
Ke hadapan kakak 2 ku. Entry ini aku tulis sebelum mung berkonvo. Aku tahu mung mesti suka giler dapat habiskan pengajian selama 3 ke 4 tahun eh? Aku dok ingat. Atau bahasa standard dia, aku tak ingat.

.

.

Eh. Suka sangat duk dot dot ni. Bukan nak cerita pasal perenggan atau dot dot tu.
InsyaAllah, pada hari Sabtu ini kakak 2 akan bergraduasi. Sejujurnya, saya dah tak sabar nak hadiri majlis konvokesyen dia. Majlis terakhir yang saya pergi namun tak sampai ialah majlis konvokesyen adik 2 saya. Ye. Itulah majlis konvokesyen yang tidak kesampaian bagi keluarga kami. 
Dari bulan lepas lagi saya dah ambil cuti. Isi siap-siap cuti pada 25 September yang lalu. Bersemangat macam saya pulak yang nak naik pentas. Elok ambil cuti awal, tak adalah kelam kabut lupa nak isi ke apa.
Berbalik pada kisah ini. Kakak 2 seorang kakak yang sangat tabah pada pandangan mata saya. Dialah tempat saya menumpang manja dan boleh diajak ke sana sini jika dia balik kampung. Jika dia free tak ada kerja lainlah. Sebetulnya, adik-adik pun memang menganggap dia umpama mak kami cuma tak adalah terlalu keterlaluan nampaknya. Ini kerana kebanyakkan kami dah besar dan ada hidup sendiri. 


Memang saya sangat beria-ia untuk turut hadir ke majlis konvo dia. Dah tekad nak saksikan dengan mata saya sendiri kakak 2 naik ke pentas untuk mengambil skrolnya. Walaupun saya tahu, bukannya ada skrol kat dalam tu. Standardlah, kat kampus kami pun macam tu juga. Hanya folder sebagai simbol. Graduan ramai, kalau letak skrol dalam tu. Jika bertukar, haru. Graduan bukan sikit, beribu. Mana nak cari?

Masa hari kejadian, Sabtu 15 Oktober 2016. Kami rancang semua pergi, rupanya kakak 2 cakap tak boleh. Anaknya yang kecil memang tidak mempunyai sijil untuk dibawa ke dalam majlis atau tempat sebegitu. Ragamnya sangat memeningkan kepala. Adalah elok anak-anaknya tinggal sahaja di apartment bersama abahnya. 

Sebetulnya hanya kami berdua yang akan ke PWTC. Tapi saya pujuk anaknya Angah. 'Bukan senang nak tengok Ummi konvo. Jomlah Angah teman Cuda. Kekgi Cuda sorang je tengok'. Angah setuju dan kami bersiap. Semasa kami bersiap, kakak 2 dah siap. HAA?? Dia cakap kami lambat, lantas keputusan dibuat untuk tunggu kami di bawah. 

Lepas dah selesai bersiap, kami terus turun ke tempat parkir kereta untuk bertolak ke PWTC. Kami memang akan jalan kaki je. Selang tak lama selepas tu, dah cukup korum. Berpandukan kawan kakak, kami jalan dan terus jalan. Rupanya tak jauh PWTC dengan Regalia ni. Adalah dalam 10 - 15 minit je kot berjalan. Dekat sangat. Nak cakap letih tu, tak sempat sebab kita berjalan sambil berborak.




Full house! Orang tersangat ramai. Bayangkan kalau semua anak-anak buah datang kat sini. Rasanya ada yang buat hal. Agak hingar-bingar suasana kat sini. Semua dah jumpa dengan kawan-kawan. Memang berborak sakan. 



Masa ni kami dah terpisah dengan kakak 2. Dia dah beratur untuk masuk ke dalam dewan. Bunga sempat juga di beli semasa dalam perjalanan nak datang ke PWTC ni. Nasib baik ada orang jual kat car boot je. Pilih pilih dan terus beli. Kakak 2 tak sedar sebab saya dan Angah jalan kat belakang.




Gambar tak tersusun. Aduyai! Hehe. Tak pelah. Kita dah upload silap. Waktu ni, dah selesai majlis konvo. Bergambar beramai-ramai sebagai bukti dan kenangan. Nak bergambar ni pun, bukan enteng. Ramai lagi yang nak bergambar. Kami kena pandai dan cepat ambil ruang serta peluang. Itu sebab sekadar bergambar di pinggiran sahaja. Jadilah daripada tak ada langsung. 




Ketika masih berada di ruang legar sebelum masuk ke dewan. Sebagai jurugambar yang tak bertauliah. Tanggungjawab saya adalah untuk merakam sebanyak mungkin gambar-gambar kakak. Rasa sayang jika saya tak ambil setiap moment dia dan kawan-kawan. Sekurangnya saya puas hati. Kakak 2 rileks je. Dia jenis i don't care sangat. Haha. Adik dia yang melebih-lebih.



Dalam ramai-ramai anaknya. Hanya Angah yang setuju nak ikut. Yang lain bila difikirkan, memang elok tak ikut. Andainya si kakak dengan si Ateh nak mengikut. Memang kesemua akan mengikut. Alhamdulillah si adik kecil yang bongsu jenis manja atau senang dengan si kakak. Jadi memang elok sangatlah tinggal mereka kat apartment tu. 




Buat kali pertama menjejakkan kaki ke dalam dewan PWTC. Saya akui sangat menyenangi binaan dewan ini. Rasanya, setiap arkitek yang bina dewan, perlu mengambil dewan ini sebagai contoh. Kedudukan kerusi, kedudukan penonton, aras pandang penonton sangat selesa. 



Kami berada ditingkat atas. Pemandangan kat sini saya rasa paling perfect untuk kami berdua. Kedudukan kakak pula memang tak jauh depan mata. Kerusi dan aras di dalam dewan ini sebenarnya penyumbang utama kepada keselesaan kami hadirin pada majlis ini.

Pelan lantai yang direka tidak landai. Jika tidak dah tentu boleh menyebabkan orang kat belakang tak nampak apa yang berlaku kat depan pentas. Dari tempat duduk depan hingga ke belakang, pandangan sangat jelas. Ditambah lagi kiri kanan dewan untuk bahagian atas, di reka bentuk sebegini. Memang terbaik. 

Selalu sangat terjadi, dewan landai, lepas tu tingkat atas nun jauh di sana. Kerusi pula bukannya jenis kiri dan kanan dewan. Memang jauh dan tidak berapa mesra pandangan. Mulalah terdongak-dongak nak tengok. Penat!



Bersiap sedia untuk mengambil skrol. Ketika ini saya dah standby untuk rekod video. Banyak video yang berjaya direkodkan. Dan bilamana lihat kembali, dah tentu menjadi nostalgia terindah buat kakak. HAHA. Saya jelah perasan macam tu. 



Setiap detik yang penting, lensa saya rakamkan pada dia. Dari dia masuk dewan, duduk, keluar barisan beratur, naik pentas, turun pentas, semua saya rekodkan. Semua saya rakamkan. 

Kalau anda ada kakak yang hebat, saya juga ada kakak yang hebat. Hebat pada mata saya. Hebat kerana jiwanya yang tidak mudah mengalah berputus asa. Siapa tak sayang keluarga sendiri ya dak? Hehe. Saje je panaskan line.



Sejujurnya, saya bajet saya akan menangis apabila melihat kakak di pentas. Rupanya sangkaan saya silap. Dek kerana terlalu sibuk nak rakam gambar, rekod video. Saya terlupa nak bersedih. Konon rasa sayulah kakak dah konvo. Tak ada pun. 

Bukan mudah untuk kakak 2 mengenggam segulung ijazah. Nak bahagikan masa dengan anak-anak seramai 7 orang. Tak ada pembantu, perlu drive kereta untuk belajar dari Kemaman ke Kuantan. Naik kereta kebal. HAHA! Ya, dia naik kereta buruk dia. Dahlah tu, dalam ramai-ramai kawan yang dia ada. Dia yang agak berani nak bawa kereta. Namun dengan syarat, bawa kereta kebal je. Kalau kereta yang abang ipar selalu bawa tu, dia tak pandai sebab auto.

Kereta kebal ni atau nama sebenar dia kereta iswara aeroback. Memang sangat berjasa. Dari dia mula kahwin hingga anak dah bersekolah menengah, kereta itulah yang di bawa ulang alik untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Biasalah, pagi-pagi kena ada dua kereta. Abang ipar hantar pasukan A, kakak pula hantar pasukan B. Haha! 

Saya tahu betapa banyak perkara yang kakak telah korbankan. Dan saya dapat rasakan bahawa dia super duper LETIH lagi PENAT! Dia bukan robot. Namun kekuatan dan kekentalan jiwanya buatkan saya kagum. Bayangkan, bila dia balik kampung. Macam mana letih, dia tetap masuk dapur masak untuk kami. Memang macam tu, dari anak-anak dia 2 - 4 - 7 orang, dari anak dia kecil lagi bukan satu alasan untuk dia ngelat tak nak masak atau apa. Jika ada masa lapang, kami curi-curi keluar untuk ke Mydin, Giant atau mana-mana tempat yang dia rasa nak pergi atau yang saya rasa nak pergi. Tak pernah tolak kecuali dia ada kerja. Biasanya dalam curi-curi keluar tu, memang jarang kami keluar berdua. HAHA! Ada juga anak-anak buah yang terpaksa dibawa. Kalau tak menangis berlagu raya lah jawabnya.



Berbalik pada topik utama. Airmata saya rupanya hanya hadir apabila wakil graduan membacakan teks ucapan. Sangat-sangat tersentuh. Dari tadi duk tertanya-tanya, rupanya time ni saya nangis. Tapi bukan nangis beria. Biasa je. Saya kira, ini adalah ucapan yang paling baik pernah saya dengar. Wakil daripada Sarawak ini menceritakan pengalaman beliau menimba ilmu. Susah. Tinggal di pedalaman, nak dapatkan internet susah. Redah naik bot menyusuri sungai di Sarawak. Bayangkan. 

Saat ini memberi saya satu pengalaman baru. Pengalaman pelajar sepenuh masa adalah berbeza dengan mereka yang telah berkeluarga dan berkerja namun memilih untuk menyambung pelajaran. Dugaan dari sudut masa, keluarga dan banyak faktor lain melahirkan rasa kagum saya kepada mereka.

Melihat wajah-wajah mereka yang dah berusia, membuatkan kita rasa kerdil. Kesungguhan dan keazaman mereka untuk menuntut ilmu perlu dijadikan cetusan semangat kepada mereka yang masih muda untuk belajar.



Kakak 3 turut hadir ke majlis ini. Kami tahu dia nak datang. Cuma waktu tu memang tak akan sama dengan kami. Dia sampai dah lewat dah. Macam berjanji je, esok hari adalah hari konvokesyen abang ipar 3 di UM. Jubah abang ipar 3 dah diambil masa hari Jumaat kalau tak silap. Dia konvo pada hari Ahad dan mereka bertolak dari Kuantan agak lewat, tak macam kami yang dah bertolak sehari lebih awal ni. Patutnya kalau semua hadir, dah tentu meriah. Ini kami terpaksa gilir-gilir ambil gambar. Hehe!

Tak mengapalah, yang penting memang seronok dan Alhamdulillah selamat pergi dan kembali.

Selepas ni, tak tahulah majlis konvokesyen siapa yang kami boleh pergi ek. Seronok sebenarnya pergi majlis-majlis macam ni. Yelah, bukannya selalu. Sekali sekala je. 

Ok. Hikayat konvokesyen melabuhkan tirainya. 

End.



Friday, December 2, 2016

Hikayat Konvokesyen Lagi

Ini dah betul-betul Hikayat Merong Mahawangsa ni. Apa punya semangat menulis kalau macam ni gayanya. Asyik tertangguh je. Hinggakan dah lupa kat mana ending untuk cerita yang lepas.

Kita sambung balik. Untuk perjalanan ke Kuala Lumpur, kami bertolak hampir waktu Subuh. Singgah solat di masjid sekitar Kemaman sebelum kami meneruskan perjalanan. Untuk kali ini, abang ipar 2 melalui jalan lama di negeri Pahang. Seronok juga lalu jalan ni. Dah lama kot tak lalu sejak adanya lebuhraya.



Kakak saya bilang saya punya tiket murah. Jadi terpaksa duduk kat wing. Haha! Inilah dia wajah-wajah kanak-kanak riang yang satu baris dengan mak saudara dia. Memang selesa kerana kami bertiga aje kat belakang. Si Qayyim tu agak nomad. Berpindah randah dari seat 2 kepada seat depan. Sekali sekala dia datang kat saya untuk join kami. 

Sepanjang perjalanan, memang banyak lagu-lagu yang dipersembahkan oleh anak-anak buah ni. Ada ketika serabut sangat terutamanya apabila kereta dipecut laju. Penakut. Haha! Serabut kerana saya perlukan ketenangan seketika. Selepas stabil, haa kamu nak nyanyi. Nyanyilah. Banyak betul lagu mereka hafal. Umpama cd yang korang pilih aje nak lagu yang mana.

Kami berhenti makan di sekitar apa entah nama tempat tu. Lupa. Tapi saya tak lupa akan keenakan makanannya. Sedap dan rasa berbaloi yang teramat sangat. 



Mencari AeU bukan mudah. Kami dah ikut gps namun masih lagi tersesat. Rupanya bangunan ini betul-betul di tepi jalan besar. Kelemahan ketara ialah ketiadaan parking. Ramai graduan terpaksa letak aje kereta di mana-mana jalan yang bersesuaian. Macam kami, terpaksalah parking di tepi jalan besar. Ambil  keputusan untuk berjalan kaki sahaja ke sini.

Lintas jalan, naik jejantas. Nak elak masa terbuang cari parking. Inilah alternatifnya. Masa kami kat sini, dari jauh dah nampak betapa ramainya orang kat sana.

Nasib baik untuk ke sini, kami hanya bertiga. Kakak 2, saya, Ateh dan Qayyim. Si jejaka ini perlu di ajak sekali, jika tidak akan terjadi perang antara dirinya dan kakak-kakak.



Bersemangat betul ketika menunggu giliran untuk mengambil jubah. Tujuan utama ialah untuk melihat bagaimana sistem mereka. Macam mana mereka handle keadaan ketika pengambilan jubah. Adakah lebih baik daripada kami? Atau bagaimana? 



Rupanya graduan daftar, isi borang di tingkat bawah. Lepas tu naik ke tingkat atas untuk mengambil jubah. Ok, kat sini rasanya pihak kami lebih tersusun berbanding mereka. Kerana kami tak banyak prosedur untuk isi itu ini. Biasanya pelajar hanya membawa slip dan jika ada borang yang perlu diisi, urrmm kebanyakkannya dah melalui sistem. Semua dah online. Hanya beberapa perkara masih manual.

Beratur pula untuk mengambil jubah. Yang ini saya suka, jubah hanya digantung dah tak perlu petugas susah payah nak masukkan ke dalam plastic bag. Mereka hanya bagi plastic bag aje. Itu pun dah kira oklah. Haha! Graduan lepas dah pilih jubah, pilih mortar board. Lepas tu keluar lagi untuk  ke tingkat yang lain.



Situasi yang paling kritikal saya pernah saksikan. Semua graduan beratur untuk mengambil gambar konvo. Kat sini, laluan dahlah tak berapa nak luas. Beratur punyalah panjang. Tempat pula agak tidak selesa dengan jumlah pelajar yang terlalu ramai pada hari itu.

Pelajar akan beratur panjang dan selesai bergambar mereka akan keluar melalui pintu kaca ini. Bayangkan sampai ada yang hampir pitam kerana terlalu lama berdiri. Saya akui, memang tersangat lama untuk habiskan semua proses ini.

Kami ke sini pada jam 12:00 tengah hari dan hanya selesai pada jam 3:25 petang. Sila bayangkan betapa lamanya kami kat sini.

Si Qayyim dah mula ke sana ke sini. Sekejap hilang sekejap muncul. Risau betul! Orang terlalu ramai dan pelbagai kaum. Inilah kali pertama saya lihat pemandangan sebegini. Di kampus sendiri, kami tak banyak sangat kepelbagaian kaum dan usia. Situasi ini menarik namun bila terlalu lama, kami agak lemau.

Bila dah selesai. Kami jalan cepat-cepat ke kereta. Anak-anak buah yang dalam kereta dah kelaparan. Abang ipar pun bersoal kenapa lambat sangat? Dia tak risau diri dia tu, namun yang dirisaukan anak-anak dah lapar. Nak mencari kedai makan kat situ, bukan sesuatu yang mudah. Dengan parkir lagi, dengan anak-anak lagi, dengan tak tahu jalan lagi. Haha. Memang mengundang persoalanlah kepada kami. Kami ceritakan tentang keadaan yang kami tempuhi tu. Hanya satu ayat yang saya rasa kita perlu ada. Sabar! Perlu sabar kerana saya sendiri tak jangka betapa lamanya kami di AeU untuk mengambil jubah. Ini kalau kat universiti awam ni, dah lama kena komplen. Dah lama kena viral ni. 

Bagi saya, lain tempat lain caranya. Cuma ada perkara yang perlu dipertingkatkan oleh pihak universiti ini bagi memudahkan semua graduan dan menjimatkan masa. Kebanyakan graduan saya tengok dah berusia. Kasihan sangat. Pakai jubah pun senget benget. Saya kasihan sebab nanti bila ambil gambar tentu tak cantik. Nampak selebet. Sebab kat sini, tiada orang yang akan tolong baiki jubah kita macam mana. Pandai-pandailah sendiri.




Dah selesai hal jubah. Kami terus ke Regalia Apartment. Nak sampai kat sini, kami sesat. HA HA! Berulang alik lalu tempat sama. Perut dah lapar. Kami belum check in. Asyik-asyik jalan sama je kami lalui.

Akhirnya selepas perhati betul-betul, kami silap ambil lorong. Memang sangat mengelirukan. Sampai kat Regalia. Semua dah seronok. Lupa sebentar dengan kelaparan dah proses ambil jubah yang lama tu. Anak-anak buah seronok duk lihat lrt. Dah macam ulat bulu. 

Kami check in dan siap-siap nak keluar makan pula. Tinggi betul bilik kami. Nun di tingkat 33. Seram! Haha.