Monday, January 30, 2017

Kejujuran Seorang Kanak-kanak

Ini bukan tajuk cerpen apatah lagi tajuk buku cerita. Ini biasan kepada beberapa kejadian yang melibatkan anak buah sendiri. Sebagaimana yang kita sedia maklum, saya bukanlah ingin menulis esei BM ya. Yelah, rasa macam skema pula tetiba.

Kisah 1
Hasrat di hati dah lama nak baiki beg yang rosak. Jadinya kami ke bandar beramai-ramai. Kakak ipar dan dua orang anaknya turut serta. Tak lain tak bukan ialah Afiq dan Mera. Ketika habis anak tangga dipijak, ternampak di depan mata seorang lelaki yang kudung tangannya sedang menjahit. Saya melihat dengan teliti dan dia bukan pakar jahit beg. Terernya pada sesuatu yang lain. Bukan beg yang pastinya.

Kami terus ke kedai sebelah yang merupakan kedai yang kami cari. Kedai jahit beg. Semasa sedang menunggu beg dijahit. Borak-borak dengan kakak ipar. Mata sempat melihat si Afiq dan Mera melihat ke kedai sebelah. Lebih tepat mengendap. Saya hanya melihat mereka sekali lalu tanpa berfikir apa-apa dan sambung fokus pada beg yang dijahit serta menyambung borak.

Selesai aje dibayar harga jahitan tu. Saya memanggil anak-anak buah untuk balik. Tiba-tiba. Mera datang ke arah kami tapi mulutnya 'adok anan'. Mendengar ayat itu. Otak terus bersatu membina kerjasama yang utuh menyambungkan gambaran pakcik kedai sebelah dan Mera. 'Jom cepat kita balik!'. Saya menarik tangan Humaira manakala kakak ipar memegang tangan Afiq. Takut orang itu mendengar dan faham bahasa pelat Mera.

'Adok anan'. Mera berbunyi lagi.

'Kak Amani dengar dok Mera kata nape?'.
'Tahu dah', ujar kakak ipar.

Kisah 2
Kakak ipar ke kedai untuk beli popcorn. Makanan ringan ni memang tak ditelan zaman. Hidup seadanya namun kekal bahagia. Ada je permintaan untuk popcorn ni kan? Maintain glamer.

Ketika sedang menunggu popcorn. Afiq berbunyi 'Mi bakpe gigi dia keluar?'. Sambil tunjuk ke arah orang itu.

Kakak ipar tergamam dan berasa sangat malu.

Kisah 3
Semasa sedang menikmati mee goreng mamak yang paling sedap setakat ini di Giant. Adalah satu keluarga berkulit hitam datang ke sebelah kami. Wanita itu menemani anak-anaknya untuk bermain kenderaan budak-budak yang ada music tu. Tak tahulah apa nama dia.

Mera perasan apabila melihat anak perempuan wanita itu. Lalu Mera dan Afiq melihat tanpa putus-putus. Asyik sangat mereka memandang hingga kita terpaksa panggil dan berlakon seolah-olah tiada apa.

Kisah 4
Sedang kami berjalan-jalan, saya ternampak satu patung tak pakai baju. Cepat-cepat bagi arahan pada kakak ipar agar kami lalui lorong lain. Bimbang dilihat Afiq dan Mera. Biasanya Afiq akan tanya banyak perkara manakala Mera hanya akan berkata 'aluuu'. Maksudnya tak malu.

Fuh memang selamat!

-------

• Untuk kes 'adok anan'. Mera dan Afiq perasan dan namun hanya Mera yang bertanya lelaki itu tiada tangan. Kerana itu mereka mengendap kedai sebelah. Kami faham apa yang Mera katakan walaupun agak pelat namun perkara ini sensitif. Kami akhirnya menerangkan dengan bahasa mudah. 'Pakcik tu sakit sebab tu dia tiada tangan'. Lain kali saya nak cakap 'tangan pakcik tu disimpan di syurga'. Supaya mereka akan fikir semua kejadian itu Allah yang punya kuasa. Nak terang lebih-lebih mereka  faham namun tak sepenuhnya. Tak tercapai dek akal mereka lagi. Janji kita cuba explain seringkas mengikut umur dan pemahaman mereka.

Sebenarnya kami agak bernasib baik kerana bukan si Afiq yang berbunyi. Kalau tak, memang sangat haru!

• Untuk kes gigi keluar. Sebagai ibu bapa, kakak ipar saya sendiri tidak menjangkakan pertanyaan itu akan muncul dari mulut Afiq. Kerana fokus mereka pada popcorn. Jadi macam tak sempat nak digest dengan persekitaran yang boleh mengundang serba salah.

• Bagi kes melihat keluarga wanita berkulit hitam, kami bernasib baik juga kerana Afiq atau Mera hanya memandang dan tidak mengeluarkan pertanyaan yang berbisa. Jika tidak, hancurlah jiwa yang mendengar.

Bagi saya ini adalah perkara normal dalam fasa pembesaran budak-budak. Sikap ingin tahu mereka adakala tidak mampu dibendung. Tidak dinafikan persoalan mereka berupaya mengundang malu, rendah diri, aib pada mereka dan kita yang mendengarnya. Saya sendiri tidak terkecuali dengan soalan-soalan panas daripada anak buah ni.

Budak-budak selalu hadir dengan pertanyaan yang kita sendiri tidak terfikir. Nak cakap salah mak ayah, bagi saya tidak. Ini kerana soalan-soalan spontan anak kecil itu sendiri mengundang kelu ibu bapa. Sebagai contoh: kalau jumpa orang tak ada tangan, jangan tegur ya. Nanti apabila berjumpa dengan mereka yang buta. Dah tentu akan ada soalan daripada mereka. Kerana kami tidak menasihatkan mereka berkenaan orang buta.

Apabila berpesan mengenai orang OKU, dah tentu akan ada soalan lain. Kenapa dia OKU? Perkara ini sebenarnya ingin dielakkan oleh para ibu bapa. Mereka memang tidak mengerti apa-apa. Mereka hanya ingin tahu apa yang mereka lihat di depan mata mereka. Itu sahaja.

Bagi ibu bapa pula, perkara ini bimbang disalah tafsir 'tidak pandai jaga mulut anak', 'tidak pandai jaga anak'. Pendapat saya pula, perkara ini sukar dihalang melainkan apabila kita melihat sesuatu yang tidak sesuai, kita alihkan pandangan mereka. Ini yang kami amalkan namun adakala terlepas pandang kerana bukan setiap masa kita berfikir atau terfikir tentang soalan spontan anak kecil.

Macam soalan anak buah saya sendiri si Nabiha kepada Mera. 'Cikda tangan Mera gelap tapi muka dia cerah sikit'. Hala, kesian kat Mera. Itu soalan anak buah tentang sepupu dia tu. Nasib keluarga sendiri, memang tak boleh nak disekat dengan soalan luar jangka sebegitu. Selalunya kita jawab je 'Mera gelap tapi Mera comel'.




No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.