Friday, January 20, 2017

Kisah Klasik Humaira

Biarpun lama terperap di dalam draft, akan tetapi tidak sekali-kali kita lupakan kisah ini. Ceritera ini mungkin akan menjadi panjang kerana Humaira masih membesar dan membesar. Senang cerita, sedang membesar. 

Tatkala kisah ini ditulis, Humaira atau nama timangannya Mera, atau lebih tepat Yaa [dia bahasakan diri dia Yaa], telah berumur 2 tahun 10 bulan. Kisah ketabahannya bermula ketika tahun lepas iaitu proses penceraian tidak boleh lagi minum susu dengan ummi dia. Ketika itu umurnya dah 2 tahun 1 bulan kot. Dah kena stop breastfeeding bahasa mudah. Nak tulis perkara ini sebenarnya agak sensitif. Segan pula nak tulis ayat tu.



Ketika itu si Mera memang tidak mempunyai sumber lain melainkan dengan ummi dia. Tak pernah minum susu formula. Jadinya, kakak ipar 2 fikir si Mera dan Afiq [abangnya], dah tentu tiada beza. Jika ikut sejarah, Afiq dah tak minum dengan ummi dia lebih kurang sebaya Mera. Akan tetapi, sejarah itu takkan sama dengan Mera.

Oleh kerana Mera agak tegar bergantung dengan ummi dia, proses tersebut menjadi agak sukar. Sangat sukar sebenarnya! Kami ingatkan sama sahaja seperti Afiq. Lepas dah bercerai, dah tentu dia akan beralih kepada susu formula dalam botol. Rupanya tidak. Tidak sama sekali. 



Sehari, dia menangis. Dua hari dia menangis. Seminggu berlalu, kami pasti Mera akan okay selepas ini. Rupanya tidak. Untuk tidurkan dia, walid dan ummi dia perlu berjaga malam. Tidur kat bantal? Dalam mimpi. Tidur dalam bilik? Jangan harap!

Jiwanya betul-betul memberontak. Dia hanya ingin diulit dan tidur dipangkuan walid atau ummi dia sahaja. Adakala sesekali saya mengambil peranan apabila walid dan umminya telah letih nak mendukungnya.

Ditimang, didodoi. Namun tetap menangis. Dia tetap nak susu ummi dia. Bayangkan jam 3 pagi, jam 4 pagi, walid dan ummi dia masih bersengkang mata untuk tidurkan Mera. Pada jam sebegitu, orang lain lena diulit mimpi. Abang 2 saya adakala sampai ke kampung sebelah diseberang pantai sana untuk tidurkan Mera. Dengan harapan yang menggunung tinggi, bila dah balik kat rumah Mera akan lena. Langsung tiada harapan. Sampai kat rumah dia akan menangis lagi dan lagi, sehingga jikalau kita lihat dah kering airmatanya.



Saya membuat kesimpulan betapa memberontaknya budak ini. Betapa kerasnya hati dia. Kakak ipar 2 cakap pada saya 'Afiq mudah je, Mera ni keras sungguh'. 

Perkara ini berlarutan sehingga berbulan-bulan lamanya. Sebelum bulan Ramadan tahun lepas sehinggalah sebulan lepas raya kot. Sangat lama hampir 5 bulan. Kakak ipar serba salah. Dia tak tahu nak buat keputusan macam mana. Nak berpatah balik dah tak boleh. Entahlah. Ketika itu keputusan amat sukar.



Nak comel-comel? Tak usah beranganlah. Pemakaian Mera dan keadaan diri dia sangat tidak terurus ketika itu. Dia hanya mahu memakai pakaian yang entah apa-apa. Bayangkan baju dalam umur 6 bulan dia pakai. Dahlah singkat, lepas tu rambut tak nak disikat. Sentiasa menangis. Diberi baju cantik tak nak. Dia akan pilih sendiri semua baju yang dia berkenan. Sesekali tengok dah macam anak tarzan. HAHA! Tapi serius! Betul. Dia punya memberontak memang sangat kritikal.

Hinggalah kakak ipar 2 dan adik ipar 1 mengajak saya untuk berjumpa ustaz untuk buatkan air kepada Mera. Kami pergi beramai-ramai tapi kebetulan ustaz tu tak sihat. Isterinya bertanya pada kakak ipar kenapa baru sekarang bawakan si Mera kat sini. Yelah kan, dah terlalu lama. Dah berbulan-bulan. Kami macam tak tahu nak jawab sebab silap  kami juga.

Sehinggakan saya mencari info-info tentang proses penceraian ini. Dan benda yang paling saya takut ialah jika tak kena gaya, ia boleh memberi kesan emosi yang mendalam kepada diri kanak-kanak itu. Dalam kepala dah terbayang muka Mera. Ish! Tak sanggup tengok anak saudara macam tu. Saya bagitahu kepada kakak ipar 2 tentang kesan emosi kepada budak-budak kerana benda ni tak boleh dibuat main. Ada budak yang mudah nak bercerai, ada budak yang tak boleh langsung nak bercerai. Padahal sebelum bercerai tu, dah bagi sikit dan sikit. Senang cerita, dah ajar agar tak drastik sangat proses tu. Penerimaan antara budak-budak adalah sangat tidak sama.

Akhirnya selang beberapa bulan kemudian. Saya lihat Mera lain macam. Berseri dan dah boleh tidur dalam bilik. Rupanya, abang 2 saya dah tak sanggup berjaga malam-malam, bawa Mera ronda untuk tidurkan dia setiap malam selama berbulan-bulan. Kakak ipar 2 pasrah. Mera diberi semula susu. Maka Meralah orang yang paling gembira lagi bahagia yang tidak terperi di planet ini. Haknya telah dikembalikan selepas berbulan-bulan cuba dipisahkan.




Selepas merana berbulan-bulan, akhirnya Mera dah boleh tersenyum. Dah nak bercomel-comel. Pakai baju yang senonoh sikit. Haha! Semua adik beradik, mak saudara, jiran kami memang melihat perubahan Mera. Siapa yang tidak terkesan. Semua orang terkesan. Melihat rupa Mera ketika tidak diberi susu, memang menyedihkan. Macam dah tak nak membesar dah. Dah tak nak sayang dengan kami semua ni dah. 




Kacamata ni tak ada power. Jangan bimbang, Mera pakai sekejap aje untuk bergambar. Hehe. Sebab tahu tak elok budak-budak pakai kacamata walaupun tak ada power.

Untuk ibu bapa sekalian, ketahuilah jika belum sampai masanya untuk bercerai. Ia tidak akan terjadi dengan mudah. Usaha macam mana pun, tidak akan terjadi dengan semulajadi. Anak-anak itu akan memberontak jiwanya. Tunjuk perasaan walaupun mereka tidak bawa sepanduk. Tapi kita boleh lihat kesannya. Percayalah, bila sampai waktunya. Mereka akan bercerai sendiri.

Seperti Mera, dulu langsung tak nak minum dalam botol. Sekarang, alhamdulillah dah boleh minum dalam botol. BIG NO untuk susu. Makan pun dia tak nak. Bayangkanlah sengsaranya kami yang melihat. Sampai sekarang, dia memang tak minum susu dalam botol. Hanya boleh menerima milo sahaja di dalam botol. Betapa kuatnya kesan susu pada diri dia. Semasa proses penceraian dulu, pernah bagi susu dalam botol. Langsung tidak dipandang. Memang ANTI betul dia dengan susu!

Mulutnya hanya minta 'ummi nok lo'. Maknanya ummi nak milo. Hehe.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.