Saturday, February 18, 2017

Pencinta Kucing

Sebut sahaja pasal kucing. Banyak benda menerpa kat dalam minda. Adalah seekor kucing tu. Anti betul dengan dia ni. Sangat tidak patut sebagai haiwan yang comel, naik ke atas rumah kita. Dahla kita tak kenal, bagi salam tu memang tak lah kan sebab dia kucing, wajah dia bukan tergolong dalam sedara kami pun. Eh dia buat perangai tak semenggah, naik rumah semata-mata nak buang air kecil. Siapa yang tak berasap kan?

Saya memang berasap berapi apa semualah. Pakej!

Memang dah bagi warning pada kakak ipar dan juga anak-anak kecil yakni si Mera dan Afiq. Nampak aje kucing gangster tu, mereka perlu halau dengan segera. Jangan berlengah kelak kita akan kecewa!

Pernah tau, kita balik dari kerja. Dia datang terus buang air kecil kat tayar kereta. Ya Allah. Tahulah aku tak suka engkau, kot ya pun janganlah depan kita dia buat angkara. Ini sangat menambahkan rasa sakit hati. Bila dah sakit hati, muka dia pun kita tak nak pandang dah.

Asal kucing ini entah datang dari mana. Memang tidak tahu keasalannya. Elok sangat buat perangai macam tu. Dahlah muka garang. Bulu berkecamuk. Bukanlah nak menghina. Eh ke dah termasuk menghina ni eh?

Ini baru seekor.

Ada lagi seekor. Warna dia cantik. Hajat di hati nak buang. Tak tahu datang dari mana. Mula-mula dia naik kat atas rumah, lama-lama dia buat rumah ni macam rumah dia pulak. Entah masa bila kucing ni ditakdirkan bunting. Jadi kena tangguhkan dulu proses nak buang ke daerah yang paling sunyi untuk dia ni. Maksud saya ke kawasan yang sesuai macam kat pasar ke?

Dia ni bunting tapi tak nampak sarat. Satu malam dah nampak dia masuk ke bilik abang 2. Tapi tak rasa langsung nak halau. Bila abang 2 balik rumah, masuk bilik. Herkk! Rupanya kucing tu dah selamat bersalin 4 ekor anak-anak yang sangat comel.

Tak berani nak tengok masa mereka masih baru. Tambahan pula kakak ipar cakap bau busuk. Lagilah kita tak ada hati nak jenguk. Biarkanlah mereka, janji dah selamat.

Selang beberapa minggu kemudian. Mak kucing ni kehilangan anak dia seekor. Kasihan juga sebab dia asyik cari dan cari aje anak dia. Badan dia nampak susut. Walaupun kita ni bukanlah pencinta kucing, tapi perasaan belas kasihan tu tetap ada. Oh ya. Perasaan ni tak terpakai kepada kucing gangster tu eh. Yang itu memang tak ada dalam senarai.

Berbalik pada kucing yang dah susut tu. Berat badan dia, kami agak dah nak masuk atau sipi-sipi dengan kekurangan zat. Perut dia kempis je. Urmm, lebih kepada cengkung. Saya agak dia meroyan. Yelah, anak dia mati. Memanglah terguris perasaan dia tu. Sekarang ni dah boleh terima kenyataan kot. Emosi kucing pun tentu ada turun dan naik. Saya bagitau kakak ipar 'emosi kucing ni terganggu'. Kakak ipar iyakan. Saya pasti kakak ipar pun faham perasaan kucing tu.

Selepas bersalin, dia dah hilang selera. Tak nak makan. Kalau makan, dia akan makan sambil baring je. Nampak sangat dia tak larat. Satu hari, selepas balik kerja. Orang lain semua keluar. Rehat sambil layan tv lepas tu makan nasi.

Kucing ni datang sambil mengiau-ngiau. Tak henti-henti. Nak menangis lihat keadaan kucing ni. Akhirnya saya kasi nasi berlaukkan ikan. Kiranya kami share sama-sama. Terpaksa cakap kat kucing ni supaya makan kenyang-kenyang. Nanti makin sakit, makin susah. Dia mengiau lagi dan lagi. Sebagai seorang yang bukan berpengalaman dalam menjaga kucing, tidak suka akan kucing [tidak bermakna benci], tidak pegang kucing, tidak pernah gosok kucing, entahlah. Semuanya tidak untuk ditulis. Apa lagi yang harus saya lakukan?

Ketika itu terbayang wajah si Mera dan Afiq. Saya berdoa mereka berdua cepatlah balik. Mereka ni pencinta kucing. Jadi kalau nak minta untuk angkat kucing atau apa-apa yang sama waktu dengannya. Khidmat mereka amatlah diperlukan.

Saya hiba. Nak cakap menangis tak nangis lagi. Airmata baru bergenang. Sedih tengok kucing ni. Ketika inilah saya baru mengerti. Kenapa Allah tidak takdirkan saya menjadi pencinta kucing. Jawapan pada petang itu sangat jelas. Ini baru kucing yang entah datang dari mana. Baru sebulan dua kot datang kat rumah ni. Bersalin dan anak-anak dia bukan saya yang jaga. Tapi bilamana dia mengiau tak henti-henti. Saya serba salah, saya sedih nak nangis. Bila kucing tu pandang, rasa takut. Haha! Memang saya takut kalau kucing main pandang je muka kita.

Tak tahulah kalau saya ni seorang pencinta kucing. Bela, belai, mandikan kucing, yang jenis bercakap dengan kucing. Entah macam mana agaknya kalau kucing tu mengiau tak henti-henti, tak nak makan, kurus cekeding. Memang parah! Mahu nangis berhari-hari angkara kucing. Urgh! Tak boleh bayang.

Dan saya mengerti airmata ini untuk saya gunakan pada perkara lain. Emosi ini untuk saya luahkan pada sesuatu yang lain. Rasa kasih sayang ini untuk saya curahkan pada hal yang lain. Kerana Allah tahu saya bukan seorang yang sesuai untuk menjadi pencinta kucing. Jiwa ini rapuh. Diri ini bukan untuk kucing. Namun saya lebih sesuai hanya sekadar menjadi pengabadi wajah kucing di dalam handphone. Merakam raut wajah mereka, merakam mereka bersama penjaga mereka Mera dan Afiq.

Dan tak tahulah akan bertahan selama mana untuk membenarkan mereka tinggal di sini. Setakat ini prestasi mak kucing ni bagus. Bulu bersih. Tak berak atau kencing merata. Cumanya, prestasi anak-anak dia ni tak boleh nak diukur lagi. Masih dalam keadaan berpantang lagi. Jalan pun masih terhuyung hayang. Langkah masih belum kuat menempuh arus dugaan. Tengoklah macam mana.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.