Wednesday, March 29, 2017

Pengajaran Hari Ini 2

Nak dijadikan cerita. Saya melihat buku bank Tabung Haji. Dan barulah saya perasan. Dengan tahun saya berkerja dan dengan jumlah simpanan saya. Urmmm. Betul-betul tak balance. Saya kira, saya congak. Melahirkan rasa kesal.

Dah lama saya positif berkenaan hal kewangan. Namun malam ini, saya seolah-olah baru tersedar. Saving saya bukanlah banyak sangat. Tapi saya selalu rasa banyak. Bila saya listkan plan saya untuk long term. Memang tak boleh nak pergi dengan saving ni. Tak cukup!

Kiraan saya campur tolak semua. Saya dah rugi dalam puluh ribu. Lebih kurang hampir 50 ribu. Besar kan angka ni? Namun jangan khuatir. Ini hanyalah angka dan tidak bermakna apa-apa. Itulah jumlah anggaran yang saya kira yang saya dah bazirkan tanpa sedar. Menyesal? YA!

Saya menyesal sangat dengan pembaziran di masa silam. Sampai hati dah resah memikirkan, kalau macam ni macam mana? Kalau begini, bagaimana? Resah. Point utama: MENYESAL SEPENUH JIWA.

Hati saya resah. Buka handphone layan candy crush sekejap. Kalah. Dahla ada satu nyawa je. Tutup game. On hanphone lain. Buka FB.

Kepala duk fikir. Patut ada banyak ni banyak tu. Biasalah. Perasan satu hal. Satu lagi, nak angka sesuka hati. Macamlah duit tak digunakan langsung. Simpan sampai beranak pinak.

Layan FB. Skrol skrol. Skrol lagi dan:

*Artikel ni memang panjang tapi berbaloi kita baca.

Bila bekerja sendiri dan tak ada gaji tetap ni, kita banyak merenung kepada hubungan diri dan Allah SWT.

Tiada jaminan bahawa pendapatan bulan hadapan, setara dengan pendapatan bulan ini. Keuntungan berganda-ganda yang diperolehi sekarang, tidak menjamin pula laba yang bakal diperolehi akan datang. Bahkan bila teruji dengan duit yang sedikit, tiada siapa akan menjamin bulan hadapan akan dapat duit lebih banyak.

Tiada siapa berjanji, tiada siapa yang pasti.

Yang ada hanya usaha dan Ilahi.

Saya sangat tersentuh sebenarnya dengan pesanan seorang usahawan, yang syarikatnya pernah mendapat Anugerah Geneva pada tahun 2014. Beliau bertaraf pakcik, bapa kepada senior saya. Satu hari saya berpeluang makan-makan dengan beliau, dan beliau berkongsi tips bisnes dengan saya.

Beliau menyedarkan saya bahawa, sehebat mana pun seseorang itu melakukan marketing, akhirnya, Allah SWT jualah yang menggerakkan hati pelanggan untuk membeli. Pesan beliau, marketing kena buat, tapi pada masa yang sama, tawakkal kepada Allah SWT juga perlu lebih tinggi.

Saya sangat merasakan hal itu, walaupun tidaklah saya berani menyatakan yang tawakkal saya kepada Allah SWT sangat tinggi. Kadang saya ralat memikirkan ibadah dan kebergantungan saya kepada Allah SWT tidaklah sesempurna mana, tidak padan dengan keadaan hidup saya yang sangat-sangat bergantung kepada kasih sayang Allah SWT.

Saya ada masa takut apabila memikirkan masa hadapan anak-anak. Mampukah nak sekolahkan mereka nanti? Mampukah nak beli rumah? Mampukah nak pastikan anak-anak dapat membesar dengan keperluan-keperluan yang secukupnya? Bagaimana universiti mereka nanti? Kadang hingga mengalir air mata kerana resah, takut tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Namun ketakutan dan kerisauan tadi, sering dipujuk dengan ayat: "Allah ada. Kita kena usaha. InsyaAllah Allah berikan kecukupan."

Bukan tak pernah diuji dengan kesikitan duit, kegagalan projek, dan ditipu serta pelbagai mehnah yang lain. Pernah sahaja. Tetapi bila kita pilih kehidupan macam ini, dapat rasa sangat Allah banyak membantu. Allah beri jalan keluar, Allah beri kemudahan. Kita rasa sedemikian sebab kita tiada orang lain di atas kita, kita tiada boss untuk bantu kita, kita tiada manusia berautoriti yang lain untuk membantu kita. Jadi, segala bantuan yang tiba-tiba datang, segala kemudahan yang tiba-tiba muncul, semestinya kita pulangkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Siapa lagi bukan?

Saya pernah diuji dengan kegagalan syarikat penerbitan membayar saya royalti dengan baik. Angkanya ada, duitnya tak dapat diberikan kepada saya. Diberitahu kepada saya pula saat saya menanti dibayar, bermakna beritahu 'last minute'. Hampir luruh jantung saya ketika itu, memikirkan survival diri dan keluarga. Kemudian, saya usaha buka syarikat penerbitan sendiri dengan 'zero knowledge' berkenaan cara nak urus terbit buku sendiri. Upah designer, tiba-tiba designer buat hal pula. Resah sangat ketika itu. Namun, tiba-tiba, tak ada angin tak ada apa, satu persatu bantuan tiba. Ada orang hubungi untuk bantu, ada orang tiba-tiba hubungi untuk tunjuk ajar, ada orang tawarkan untuk mudahkan cara begini dan begitu. Bila menjual, marketing pun taklah seberapa sangat. Tapi masyaAllah, ramai yang beli. Berbondong-bondong, tak menang tangan urus!

Siapa yang patut dipuji ketika itu? Sudah semestinya Allah SWT. Siapa lagi bukan?

Itu bagi saya antara kemanisan memilih jalan hidup sebegini. Terasa benar kewujudan Allah SWT di dalam hidup. Maka ketika itu bila kita baca Al-Quran, ayat-ayat seperti "Sesungguhnya Aku amat dekat" di dalam Surah Al-BAqarah, "Kami lebih rapat dari urat lehernya(manusia)" di dalam Surah Qaff, "Berdoalah kepadaku nescara akan aku kabulkan" di dalam Surah Ghafir, terasa sungguh realistik!

Benarlah firman Allah SWT: "Sesungguhnya bersama kesusahan itu, adanya kesenangan." yang diulang dua kali di dalam Surah Al-Insyirah.

Dan Maha Benar firman Allah SWT: "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." Surah At-Talaq ayat 2-3.

Ayat ini digelar ayat 1000 dinar, kononnya ayat nak tarik rezeki masuk. Tetapi bila berada di dalam situasi saya, ini bukan ayat jampi serapah atau ayat magik nak bagi banyak duit. Ini ialah janji yang benar daripada Allah SWT untuk ditekuni, dan dipraktikkan.

Kuncinya, TAQWA. Perasaan tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Rasa berhati-hati dalam melangkah kerana tidak mahu terpijak duri-duri larangan Allah SWT, untuk menuju ke destinasi yang besar, yakni keredhaanNya. Itulah dia TAQWA, yang menjadi resipi utama kecukupan dan bantuan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Semoga sama-sama dapat kita gantungkan pergantungan kita, hanya kepada Allah SWT.

Kadang dalam kesibukan kita mengharungi hidup, kita lupa Allah SWT ada.
Kadang hidup kita dah selesa, gaji setiap bulan masuk, terlupa kita yang Allah sebenarnya merupakan pemberi rezeki.

Kadang pula, kita nak pangkat lebih tinggi, harta lebih banyak, sampai sanggup sailang kawan, aniaya orang, terlupa kita bahawa sebenarnya itu Allah larang, Allah marah, Allah tidak redha. Bila kita buat tindakan-tindakan tersebut, seakan kita nak kata pada Allah, rezeki yang Dia beri lalu jalan halal ni tak cukup, seakan-akan Dia tak tahu keperluan kita. Padahal kita sebenarnya dirasuk tamak.

Kepada Allah kita tunduk kembali berserah.

Sama-sama bermuhasabah.

Oleh: Hilal Asyraf

.

Saya baca sampai habis coretan ni yang terpapar di news feed saya. Menangis dibuatnya. Betapa tadi saya duk fikir pasal kewangan. Sekarang depan mata ada cerita pasal kewangan juga. Dan intipati coretan ini adalah kena bergantung kepada Allah. Siapa yang tak menangis?

Hati ada saki baki gusar. Namun tidak segusar tadi. Sedikit lega bilamana baca artikel tu. Terasa ada jalan keluar yang mungkin saya tidak tahu. InsyaAllah memang ada. Esok, lusa. Bulan depan, hujung tahun? Entah. Tapi yang pasti, TENTU ADA jalannya.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas pandangan.