Tuesday, June 13, 2017

Diri dan Kebaikan

Kaki menjejak ke dalam masjid selepas selesai kursus. Nak Zohor di rumah, memang tak sempat. Kerana itulah, terus selesai di masjid sementelah kursus di adakan di tempat yang sama. Satu bangunan.

Ketika masuk, ternampak ramai pelajar sedang belajar, mengaji, buat hal masing-masing.

Usai solat. Saya ternampak satu bunting mengajak untuk membaca Al-Quran. Maksudnya sekurang-kurangnya sehelai pun jadilah. Lebih kurang macam tulah.

Apabila mata melihat pelajar-pelajar sedang membaca Al-Quran. Ternampak seorang pelajar ni, dah banyak betul muka surat bacaannya. Dan diri sendiri terfikir.

Setiap orang ada kebaikan mereka tersendiri. Di kala kita semua sibuk dengan hal duniawi, ada mereka yang sedang menambah pahala untuk diri mereka. Jikalau dilihat pada pakaian, pakaiannya biasa-biasa sahaja [yang saya tertengok jelah]. Namun jika dilihat pada apa yang mereka lakukan, bukan biasa-biasa.

Apabila kita berbaris di dalam satu barisan jemaah untuk solat. Kita akan sedar bahawa, di bahu setiap orang, dibelakang mereka, di dalam diri mereka mempunyai sesuatu yang bernilai untuk mereka bawa ke sana. Melihat orang yang telah meningkat umurnya, telah melepasi usia emas namun masih gagah ke masjid. Saya terbayang mereka membawa berguni-guni pahala di belakang mereka. Memang agak kartun pemikiran, namun ianya spontan.

Dan betapa setiap orang mempunyai ladang pahala mereka masing-masing. Semoga kita juga begitu dan tidakkan jemu untuk sentiasa menanam dan menanam hingga jayanya.

Salam Ramadan 1438H.