Monday, January 30, 2017

Kejujuran Seorang Kanak-kanak

Ini bukan tajuk cerpen apatah lagi tajuk buku cerita. Ini biasan kepada beberapa kejadian yang melibatkan anak buah sendiri. Sebagaimana yang kita sedia maklum, saya bukanlah ingin menulis esei BM ya. Yelah, rasa macam skema pula tetiba.

Kisah 1
Hasrat di hati dah lama nak baiki beg yang rosak. Jadinya kami ke bandar beramai-ramai. Kakak ipar dan dua orang anaknya turut serta. Tak lain tak bukan ialah Afiq dan Mera. Ketika habis anak tangga dipijak, ternampak di depan mata seorang lelaki yang kudung tangannya sedang menjahit. Saya melihat dengan teliti dan dia bukan pakar jahit beg. Terernya pada sesuatu yang lain. Bukan beg yang pastinya.

Kami terus ke kedai sebelah yang merupakan kedai yang kami cari. Kedai jahit beg. Semasa sedang menunggu beg dijahit. Borak-borak dengan kakak ipar. Mata sempat melihat si Afiq dan Mera melihat ke kedai sebelah. Lebih tepat mengendap. Saya hanya melihat mereka sekali lalu tanpa berfikir apa-apa dan sambung fokus pada beg yang dijahit serta menyambung borak.

Selesai aje dibayar harga jahitan tu. Saya memanggil anak-anak buah untuk balik. Tiba-tiba. Mera datang ke arah kami tapi mulutnya 'adok anan'. Mendengar ayat itu. Otak terus bersatu membina kerjasama yang utuh menyambungkan gambaran pakcik kedai sebelah dan Mera. 'Jom cepat kita balik!'. Saya menarik tangan Humaira manakala kakak ipar memegang tangan Afiq. Takut orang itu mendengar dan faham bahasa pelat Mera.

'Adok anan'. Mera berbunyi lagi.

'Kak Amani dengar dok Mera kata nape?'.
'Tahu dah', ujar kakak ipar.

Kisah 2
Kakak ipar ke kedai untuk beli popcorn. Makanan ringan ni memang tak ditelan zaman. Hidup seadanya namun kekal bahagia. Ada je permintaan untuk popcorn ni kan? Maintain glamer.

Ketika sedang menunggu popcorn. Afiq berbunyi 'Mi bakpe gigi dia keluar?'. Sambil tunjuk ke arah orang itu.

Kakak ipar tergamam dan berasa sangat malu.

Kisah 3
Semasa sedang menikmati mee goreng mamak yang paling sedap setakat ini di Giant. Adalah satu keluarga berkulit hitam datang ke sebelah kami. Wanita itu menemani anak-anaknya untuk bermain kenderaan budak-budak yang ada music tu. Tak tahulah apa nama dia.

Mera perasan apabila melihat anak perempuan wanita itu. Lalu Mera dan Afiq melihat tanpa putus-putus. Asyik sangat mereka memandang hingga kita terpaksa panggil dan berlakon seolah-olah tiada apa.

Kisah 4
Sedang kami berjalan-jalan, saya ternampak satu patung tak pakai baju. Cepat-cepat bagi arahan pada kakak ipar agar kami lalui lorong lain. Bimbang dilihat Afiq dan Mera. Biasanya Afiq akan tanya banyak perkara manakala Mera hanya akan berkata 'aluuu'. Maksudnya tak malu.

Fuh memang selamat!

-------

• Untuk kes 'adok anan'. Mera dan Afiq perasan dan namun hanya Mera yang bertanya lelaki itu tiada tangan. Kerana itu mereka mengendap kedai sebelah. Kami faham apa yang Mera katakan walaupun agak pelat namun perkara ini sensitif. Kami akhirnya menerangkan dengan bahasa mudah. 'Pakcik tu sakit sebab tu dia tiada tangan'. Lain kali saya nak cakap 'tangan pakcik tu disimpan di syurga'. Supaya mereka akan fikir semua kejadian itu Allah yang punya kuasa. Nak terang lebih-lebih mereka  faham namun tak sepenuhnya. Tak tercapai dek akal mereka lagi. Janji kita cuba explain seringkas mengikut umur dan pemahaman mereka.

Sebenarnya kami agak bernasib baik kerana bukan si Afiq yang berbunyi. Kalau tak, memang sangat haru!

• Untuk kes gigi keluar. Sebagai ibu bapa, kakak ipar saya sendiri tidak menjangkakan pertanyaan itu akan muncul dari mulut Afiq. Kerana fokus mereka pada popcorn. Jadi macam tak sempat nak digest dengan persekitaran yang boleh mengundang serba salah.

• Bagi kes melihat keluarga wanita berkulit hitam, kami bernasib baik juga kerana Afiq atau Mera hanya memandang dan tidak mengeluarkan pertanyaan yang berbisa. Jika tidak, hancurlah jiwa yang mendengar.

Bagi saya ini adalah perkara normal dalam fasa pembesaran budak-budak. Sikap ingin tahu mereka adakala tidak mampu dibendung. Tidak dinafikan persoalan mereka berupaya mengundang malu, rendah diri, aib pada mereka dan kita yang mendengarnya. Saya sendiri tidak terkecuali dengan soalan-soalan panas daripada anak buah ni.

Budak-budak selalu hadir dengan pertanyaan yang kita sendiri tidak terfikir. Nak cakap salah mak ayah, bagi saya tidak. Ini kerana soalan-soalan spontan anak kecil itu sendiri mengundang kelu ibu bapa. Sebagai contoh: kalau jumpa orang tak ada tangan, jangan tegur ya. Nanti apabila berjumpa dengan mereka yang buta. Dah tentu akan ada soalan daripada mereka. Kerana kami tidak menasihatkan mereka berkenaan orang buta.

Apabila berpesan mengenai orang OKU, dah tentu akan ada soalan lain. Kenapa dia OKU? Perkara ini sebenarnya ingin dielakkan oleh para ibu bapa. Mereka memang tidak mengerti apa-apa. Mereka hanya ingin tahu apa yang mereka lihat di depan mata mereka. Itu sahaja.

Bagi ibu bapa pula, perkara ini bimbang disalah tafsir 'tidak pandai jaga mulut anak', 'tidak pandai jaga anak'. Pendapat saya pula, perkara ini sukar dihalang melainkan apabila kita melihat sesuatu yang tidak sesuai, kita alihkan pandangan mereka. Ini yang kami amalkan namun adakala terlepas pandang kerana bukan setiap masa kita berfikir atau terfikir tentang soalan spontan anak kecil.

Macam soalan anak buah saya sendiri si Nabiha kepada Mera. 'Cikda tangan Mera gelap tapi muka dia cerah sikit'. Hala, kesian kat Mera. Itu soalan anak buah tentang sepupu dia tu. Nasib keluarga sendiri, memang tak boleh nak disekat dengan soalan luar jangka sebegitu. Selalunya kita jawab je 'Mera gelap tapi Mera comel'.




Friday, January 20, 2017

Kisah Klasik Humaira

Biarpun lama terperap di dalam draft, akan tetapi tidak sekali-kali kita lupakan kisah ini. Ceritera ini mungkin akan menjadi panjang kerana Humaira masih membesar dan membesar. Senang cerita, sedang membesar. 

Tatkala kisah ini ditulis, Humaira atau nama timangannya Mera, atau lebih tepat Yaa [dia bahasakan diri dia Yaa], telah berumur 2 tahun 10 bulan. Kisah ketabahannya bermula ketika tahun lepas iaitu proses penceraian tidak boleh lagi minum susu dengan ummi dia. Ketika itu umurnya dah 2 tahun 1 bulan kot. Dah kena stop breastfeeding bahasa mudah. Nak tulis perkara ini sebenarnya agak sensitif. Segan pula nak tulis ayat tu.



Ketika itu si Mera memang tidak mempunyai sumber lain melainkan dengan ummi dia. Tak pernah minum susu formula. Jadinya, kakak ipar 2 fikir si Mera dan Afiq [abangnya], dah tentu tiada beza. Jika ikut sejarah, Afiq dah tak minum dengan ummi dia lebih kurang sebaya Mera. Akan tetapi, sejarah itu takkan sama dengan Mera.

Oleh kerana Mera agak tegar bergantung dengan ummi dia, proses tersebut menjadi agak sukar. Sangat sukar sebenarnya! Kami ingatkan sama sahaja seperti Afiq. Lepas dah bercerai, dah tentu dia akan beralih kepada susu formula dalam botol. Rupanya tidak. Tidak sama sekali. 



Sehari, dia menangis. Dua hari dia menangis. Seminggu berlalu, kami pasti Mera akan okay selepas ini. Rupanya tidak. Untuk tidurkan dia, walid dan ummi dia perlu berjaga malam. Tidur kat bantal? Dalam mimpi. Tidur dalam bilik? Jangan harap!

Jiwanya betul-betul memberontak. Dia hanya ingin diulit dan tidur dipangkuan walid atau ummi dia sahaja. Adakala sesekali saya mengambil peranan apabila walid dan umminya telah letih nak mendukungnya.

Ditimang, didodoi. Namun tetap menangis. Dia tetap nak susu ummi dia. Bayangkan jam 3 pagi, jam 4 pagi, walid dan ummi dia masih bersengkang mata untuk tidurkan Mera. Pada jam sebegitu, orang lain lena diulit mimpi. Abang 2 saya adakala sampai ke kampung sebelah diseberang pantai sana untuk tidurkan Mera. Dengan harapan yang menggunung tinggi, bila dah balik kat rumah Mera akan lena. Langsung tiada harapan. Sampai kat rumah dia akan menangis lagi dan lagi, sehingga jikalau kita lihat dah kering airmatanya.



Saya membuat kesimpulan betapa memberontaknya budak ini. Betapa kerasnya hati dia. Kakak ipar 2 cakap pada saya 'Afiq mudah je, Mera ni keras sungguh'. 

Perkara ini berlarutan sehingga berbulan-bulan lamanya. Sebelum bulan Ramadan tahun lepas sehinggalah sebulan lepas raya kot. Sangat lama hampir 5 bulan. Kakak ipar serba salah. Dia tak tahu nak buat keputusan macam mana. Nak berpatah balik dah tak boleh. Entahlah. Ketika itu keputusan amat sukar.



Nak comel-comel? Tak usah beranganlah. Pemakaian Mera dan keadaan diri dia sangat tidak terurus ketika itu. Dia hanya mahu memakai pakaian yang entah apa-apa. Bayangkan baju dalam umur 6 bulan dia pakai. Dahlah singkat, lepas tu rambut tak nak disikat. Sentiasa menangis. Diberi baju cantik tak nak. Dia akan pilih sendiri semua baju yang dia berkenan. Sesekali tengok dah macam anak tarzan. HAHA! Tapi serius! Betul. Dia punya memberontak memang sangat kritikal.

Hinggalah kakak ipar 2 dan adik ipar 1 mengajak saya untuk berjumpa ustaz untuk buatkan air kepada Mera. Kami pergi beramai-ramai tapi kebetulan ustaz tu tak sihat. Isterinya bertanya pada kakak ipar kenapa baru sekarang bawakan si Mera kat sini. Yelah kan, dah terlalu lama. Dah berbulan-bulan. Kami macam tak tahu nak jawab sebab silap  kami juga.

Sehinggakan saya mencari info-info tentang proses penceraian ini. Dan benda yang paling saya takut ialah jika tak kena gaya, ia boleh memberi kesan emosi yang mendalam kepada diri kanak-kanak itu. Dalam kepala dah terbayang muka Mera. Ish! Tak sanggup tengok anak saudara macam tu. Saya bagitahu kepada kakak ipar 2 tentang kesan emosi kepada budak-budak kerana benda ni tak boleh dibuat main. Ada budak yang mudah nak bercerai, ada budak yang tak boleh langsung nak bercerai. Padahal sebelum bercerai tu, dah bagi sikit dan sikit. Senang cerita, dah ajar agar tak drastik sangat proses tu. Penerimaan antara budak-budak adalah sangat tidak sama.

Akhirnya selang beberapa bulan kemudian. Saya lihat Mera lain macam. Berseri dan dah boleh tidur dalam bilik. Rupanya, abang 2 saya dah tak sanggup berjaga malam-malam, bawa Mera ronda untuk tidurkan dia setiap malam selama berbulan-bulan. Kakak ipar 2 pasrah. Mera diberi semula susu. Maka Meralah orang yang paling gembira lagi bahagia yang tidak terperi di planet ini. Haknya telah dikembalikan selepas berbulan-bulan cuba dipisahkan.




Selepas merana berbulan-bulan, akhirnya Mera dah boleh tersenyum. Dah nak bercomel-comel. Pakai baju yang senonoh sikit. Haha! Semua adik beradik, mak saudara, jiran kami memang melihat perubahan Mera. Siapa yang tidak terkesan. Semua orang terkesan. Melihat rupa Mera ketika tidak diberi susu, memang menyedihkan. Macam dah tak nak membesar dah. Dah tak nak sayang dengan kami semua ni dah. 




Kacamata ni tak ada power. Jangan bimbang, Mera pakai sekejap aje untuk bergambar. Hehe. Sebab tahu tak elok budak-budak pakai kacamata walaupun tak ada power.

Untuk ibu bapa sekalian, ketahuilah jika belum sampai masanya untuk bercerai. Ia tidak akan terjadi dengan mudah. Usaha macam mana pun, tidak akan terjadi dengan semulajadi. Anak-anak itu akan memberontak jiwanya. Tunjuk perasaan walaupun mereka tidak bawa sepanduk. Tapi kita boleh lihat kesannya. Percayalah, bila sampai waktunya. Mereka akan bercerai sendiri.

Seperti Mera, dulu langsung tak nak minum dalam botol. Sekarang, alhamdulillah dah boleh minum dalam botol. BIG NO untuk susu. Makan pun dia tak nak. Bayangkanlah sengsaranya kami yang melihat. Sampai sekarang, dia memang tak minum susu dalam botol. Hanya boleh menerima milo sahaja di dalam botol. Betapa kuatnya kesan susu pada diri dia. Semasa proses penceraian dulu, pernah bagi susu dalam botol. Langsung tidak dipandang. Memang ANTI betul dia dengan susu!

Mulutnya hanya minta 'ummi nok lo'. Maknanya ummi nak milo. Hehe.



Tuesday, January 3, 2017

Trend Simpan Duit

Satu ketika dahulu, kisah Duit Kerah pernah ditulis. Akhir-akhir ini, banyak artikel dan perkongsian yang saya baca mengenai simpan duit mengikut warna. Ada yang menyimpan warna merah, biru, hijau atau syiling. Mengikut tahap keupayaan diri. Tidak perlu memaksa kerana kita tidak bersaing dengan sesiapa. Kita hanya bersaing dengan diri kita sendiri!

Dan yang pentingnya. Kita rasa kepuasan [lebih tepat ialah TERHARU dengan kejayaan sendiri] apabila melihat jumlah yang kita simpan. Itu sahaja.

Apabila disingkap sejarah silam, saya mula menyimpan duit syiling mengikut tahun ketika habis study dulu. Selepas itu, beralih kepada duit-duit lama seperti RM2, duit syiling RM1, duit RM5 lama, RM1 jenis lama. Tak banyak. Sekadar ada beberapa keping je. Lagipun saya bukan dikalangan penyimpan atau pengumpul duit-duit lama yang jenis tegar. Kita menyimpan untuk kenangan dan suka-suka aje.

Selepas itu, cinta beralih arah ke sebelah Barat. Hati suka menyimpan setiap wang kertas yang masih baru tidak berkedut-kedut. Dalam masa yang sama, masih menyimpan duit syiling. Akhirnya pada tahun lepas, saya pecahkan tabung untuk mengira jumlahnya. Berapa hasilnya? Setelah berkerja keras mengira, dapatlah RM60 lebih. HAHA! Tak sampai RM100 pun.



Ps: Note RM50 adalah hasil tabungan duit syiling yang telah dikira dan ditukarkan kat kedai.


Untuk rekod, saya tidak melupakan juga kepada duit syiling 'emas'. Duit syiling baru yang nampak keemas-emasan membuatkan saya tak rasa nak gunakannya. Saya simpan semua duit syiling emas dengan harapan nak pergi lebur tukarkan kepada emas! Jangan percaya. Memang tak dapat tukarkan kepada emas. Tapi selalu saya nyatakan perkara ini pada kawan-kawan. Sebahagian duit syiling emas saya simpan di dalam tabung antik.

Nak dijadikan cerita, satu hari saya maklumkan kepada seorang kawan 'nak duit syiling emas'. Dia bagi pada saya, lalu dia berkata 'dia tak simpan duit syiling, tapi dia simpan duit RM5'.

Ketika itu saya terus terpedaya. Why not kan? Bermula pada bulan 4 - 7 kot tahun lepas, saya mula menabung duit RM5 hinggalah pada akhir 31.12.2016, saya membawa pulang tabung yang antik itu ke rumah. Tabung antik ini ilham daripada kawan sepejabat lama saya. Beli potato, selepas tu nak buanglah kononnya. Terus kawan cakap 'baik simpan duit kat dalam tu'. Terus terpedaya lagi. Kerana itulah saya panggil tabung antik. Hehe.

Di pejabat, saya dan kawan-kawan rapat mempunyai tabung masing-masing. Selepas pulang dari tempat makan, kalau ada baki. Kami terus masukkan kat dalam tabung. Sekali dah masuk tabung, saya tak akan berpatah balik. Nak mengira sebelum waktunya pun tidak sesekali. Lebih selesa membiarkan pembiakan si hijau di dalam tabung berlaku dengan aman dan tenteram.




Hinggalah satu ketika. Apabila saya di pejabat baru. Secara tak sedar atau spontan, saya maklumkan 'tak guna duit RM5. Simpan'. Lalu beberapa orang kenalan rasa bersemangat nak menyimpannya juga.

Dalam keseronokan kita berkongsi hobi dan semangat kepada kawan-kawan baru. Saya tersedar satu perkara. Ia bagaikan pukulan dan ingatan kepada saya.

'Simpanlah. Jangan guna', kata saya memberi semangat.
'Tak boleh, sebab ada nak guna benda lain', balasnya kepada saya.
'Kak Aida tak pe. Keluarga orang, orang je yang kerja kerajaan', sambungnya lagi.

Dia menyambung cerita. Saya diam cuma.

Ketika di pejabat, saya katakan padanya 'simpanlah yang mana yang dirasakan boleh, jangan paksa diri'.

Sebenarnya saya rasa BERSALAH!

1. Dalam kita bercerita mengenai kegembiraan kita menyimpan note RM5 [ini baru RM5, BUKAN RM10 atau RM20 waima RM50!] tanpa ada perasaan nak membangga diri atau riak atau 'hey tengok aku simpan duit RM5!'. Sebab pada pendapat saya, menabung adalah perkara normal. Bukan sesuatu yang aneh lagi pelik lagi tidak pernah dibuat orang di planet ini.

Namun itulah kan. Kita adakala terlupa. Terlepas pandang. Terguris hati orang lain. Ini kerana, tidak semua orang mampu. Saya sendiri TIDAK MENYIMPAN RM5 setiap hari. Ada, saya simpan. Tak ada, memang saya tak kisah. Makna kata, saya tak simpanlah.

Semasa kami kecil, kami memang susah sebenarnya. Namun bila dah kerja, Alhamdulillah. Cukuplah untuk menampung hidup masing-masing. Lagipun adik beradik kami ramai. Kerana itu apabila saya mendengar masih ada orang yang lagi susah dari saya. Terasa tak sampai hati. Mungkin zaman saya susah dah berlalu. Cabaran yang ada dari segi lain pula. Setiap kita ada bahagian masing-masing. Senang kat sini, diberi halangan kat situ. Ada rezeki kat sini, berliku di sana. Begitulah hidup!.

Mungkin si dia melihat saya dari sisi dah stabil. Sisi ketika saya bergelar penganggur dia tak sempat lihat. Itu belum lagi melihat saya mencuci dinding kaca kat A&W Petaling Jaya. HAHA! Mahu dia terkejut.

Tapi kita punyai hati dan perasaan. Tidak tergamak untuk saya bercakap secara berlebih-lebihan mengenai hobi ini kepadanya lagi. Biarlah saya simpan sedikit walaupun niat saya untuk memberi semangat kepadanya. Itu sahaja.

Apapun dia dah start menyimpan sikit demi sikit mengikut keupayaan dia. Seronok bila dia cerita, apabila ada duit RM5 dia akan simpan.

Saya doakan semoga Allah murahkan rezekinya sekeluarga. Dipermudahkan urusan. Amin.

Yang penting, semoga apa yang kita kongsikan bersama kawan-kawan adalah bukan bertujuan nak menunjuk-nunjuk atau menyombong diri. Semua ini tidak kekal. Kegembiraan silih berganti. Dapat baju baru, gembira. Esok dapat makan sate, hati gembira untuk sate. Minggu depan dapat makan mee kari, kita rasa gembira kat situ pula. Putaran macam roda. Begitulah.